Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, June 8, 2011

Tak kenal, maka tak cinta...

Memang manusia terlalu cepat melenting dan menghukum. Kalaupun bukan semua manusia begitu, pastinya saya salah seorang dari mereka yang memiliki ciri-ciri di atas. Cepat melenting dan menghukum sebelum terlebih dahulu jelas dengan sesuatu perkara yang berlaku. Memang ada wajarnya kita mendalami dan meneltiti ayat-ayat Allah di dalam surah Al-Hujurat, yang mengandungi terlalu banyak khazanah juga hikmah yang Allah Ta'ala ajarkan kepada kita, khalifahNya di atas muka bumi ini.

Insiden kecil yang saya alami baru-baru ini ketika berada di Tanah Suci benar-benar menginsafkan saya. Kecilnya rasa diri ini bila mengenangkan kesilapan yang telah saya lakukan. Saya rasa, ramai yang dah sedar dan sedia maklum tentang hakikat perkara yang ingin saya sampaikan ini, tetapi anggaplah ini teguran terbuka yang saya buat ke atas diri saya sendiri, semoga ianya memberikan pengajaran dan peringatan kepada mereka yang beriman.

Allah Ta'ala menyebut di dalam Al-Quran, 



"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." Al-Hujurat, 49:13.


Kerap berlakuya konflik disebabkan kita belum benar-benar mengenali dan belum benar-benar memahami seseorang atau sesuatu perkara yang menjadi punca konflik tersebut. Konflik berlaku disebabkan perbezaan, dan perbezaan ini dapat diatasi dengan kita mengenali dan memahami perbezaan tersebut dengan sebaiknya.

Sebab itu, apabila Allah Ta'ala memerintahkan kita untuk berkenalan dengan manusia yang diciptakan dari kalangan lelaki dan perempuan. Malah diciptakan pula terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, "Mengenali" sebenarnya adalah tips penting dalam pergaulan kita seharian. Kenalilah mereka yang ada di sekeliling anda, pasti anda akan dapati, kita semuanya sama, berhak hidup, dan yang terbaik di kalangan kita hanyalah mereka yang bertaqwa, sedang ukuran ketaqwaan seseorang itu pula hanya mampu ditentukan oleh Allah Ta'ala.

Bila kita kenal dan menghayati seseorang, barulah kita faham dan menyelami fikiran dan perasaan mereka. Kalau kita tidak cuba mengenali mereka dengan lebih dekat, sekadar melihat dari luaran, kadang-kadang sekali imbas sahaja, pasti penilaian yang kita buat ke atas mereka akan tersalah dan tersasar. Ketika itu, kita akan menyesal kerana bodoh dan dangkalnya akal dan fikiran kita, dan inilah yang sedang saya rasakan sekarang. Sebab itu, saya semakin suka dengan perkataan "Menghayati".... Empati dan simpati.

Kenapalah kita tidak cuba mengenali seseorang itu dengan lebih dalam dan dekat sebelum kita menghukum atau menilai? Saya yakin, bahkan sedang mengalaminya, jika kita kenal dan cuba menyelami seseorang itu, kita akan mampu menerima perbezaan yang ada sama ada perbezaan yang negatif mahupun positif. Memang, kejadian sebenar tidaklah seindah dan semudah tulisan mahupun percakapan. Tetap, kita kena cuba dan berusaha. Keputusan akhir selepas setiap percubaan adalah 50% berjaya. Tetapi keputusan selepas setiap kali kita enggan mencuba adalah 100% tidak berjaya.

Maka di sinilah kita akan dapati, bahawa konflik itu sebenarnya adalah peluang. Peluang untuk kita mengenali dan memahami seseorang atau sesuatu dengan lebih baik, lebih dalam dan lebih erat. Konflik tidak akan surut, kerana konflik juga adalah ujian yang datang bersamanya peningkatan kualiti, dalam konteks tulisan kali ini, kualiti perhubungan.

Di dalam kehidupan seharian, kita sebenarnya kerap menjadikan diri kita sebagai "Pemain Utama". Kononnya, kitalah yang memegang watak utama, yang memainkan peranan paling penting dan segala yang berlaku, berkisar tentang diri kita, kerana kitalah pelakon utamanya. Kita selalu merasakan diri kitalah yang paling banyak tanggungjawab, kita yang lebih berhak untuk mendapatkan dan memiliki sesuatu, dan kehadiran kitalah yang paling memberikan kesan. Orang lain, hanyalah pembantu, sekadar tambahan untuk memudahkan atau menjadikan jalan cerita menjadi lebih menarik.

Padahal, semua manusia adalah penting dan pemain utama dalam kehidupan kita dan mereka, sebab itulah pentingnya untuk kita MENGENALI, supaya kehadiran dan kewujudan manusia lain dapat kita rasai dan kita raikan dengan hak kehadirannya yang setimpal. Tak kenal, maka tak cinta. Kita mencintai manusia kerana cinta kita pada Yang Esa, maka cintailah mereka seperti yang diajarkan olehNya kepada kita.


6 comments:

Unknown said...

mengenali dan memahami. jadi jika sifat negatif orang kita tak boleh terima (walau da cuba cari persamaan dan bersama ketika ada persamaan), ape patut kita buat? lari dari mereka (menjauhkan diri) atau..emm..bersama ketika boleh bersama-sama, menjauhkan diri bila x boleh bersama. macam itukah???? cane ek?

Unknown said...

kisah ni byk pengajaran.maksudnya bila kita kenal seseorg yg baru kita jumpa..kita mesti memahaminya dahulu dari segi perangai dll ..kemudian barulah jadinya habblum minaallah wahablum minannas..
tak kenal maka tak cinta kena tukar kpd tiada cinta tanpa memahami..waallahu'alam.

Aida Rahayu said...

benar ustaz
sy sedang menyelami seorang anak buah yg sedikit bermasalah sosial.
apabila kita cuba memahaminya, malulah mereka yang hanya menghukum mereka. Mereka sebenarnya tidak kurang hebatnya ttp terpengaruh dgn suasana. malah tetap punyai hasrat untuk kembali.

xkenal maka xcinta
bagaimana mahu kenal? pandanginya dgn kasih sayang..

rasa seperti seorang motivator pula
tp itulah dakwah fardhiah yg wajib kita lakukan.

Farid Albariti said...

Atikah: sy rasa, kalau kita kenal seseorang itu, pasti kita akan dapat terima keburukannya atau kekurangan.. Tapi, kalau kita tak kenal, atau belum cukup kenal, tentu ada masalah untuk kita menerima.

Indah Islam: betul, setuju...

Aida: Nice one!!

Unknown said...

gege...saye rase, saya perlu lebih prihatin bab ni. Ye pandanginya dengan kasih sayang! terima kasih cik aida! dan..ayah farid.

i get my answers..Alhamdulillah =)

Anonymous said...

Kenal dahulu barulah bercinta...
Bukan
Bercinta barulah nak kenal...

Antara Yang Menarik