AlhamduliLlah, seperti pencinta Kebenaran dan Keadilan yang lain, saya juga berkesempatan untuk berada di Ibu Kota, berjalan untuk Kebebasan dan Demokrasi. Usaha yang sedikit itu, semuanya dilakukan untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab asasi rakyat Malaysia, menyatakan pendirian.
Memang tak ahh!!
Desakan kami, tidak lain dan tidak bukan, untuk memulihkan keadaan. Memulihkan sistem pemilihan kepimpinan Negara kerana di sinilah bermulanya segala bentuk penindasan dan kezaliman. Rakyat yang matang dan berpengetahuan tentu sekali akan faham bahawa berjalan beramai-ramai di sebuah Negara Demokrasi sepatutnya tidak menjadi masalah kepada polisi dan undang-undang. Hanya mereka yang rasa dirinya tergugat akan melenting dan berasa tidak senang duduk.
Kerajaan UMNO-BN sudah terlalu Uzur sehingga mereka gagal membaca mesej yang ingin disampaikan oleh rakyat yang berhimpun. Kami, para penyokong dan pendokong PAS, jelas sekali menyertai himpunan ini kerana taat setia kami kepada perjuangan PAS. Akan tetapi, ribuan rakyat yang lain, terdiri daripada pelbagai jenis latar belakang yang sama-sekali berbeza pandangan dan pendirian khususnya mengenai PAS dan agama Islam. Untuk ribuan rakyat yang lain ini, mesej mereka adalah jelas, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
Najib perlu sedar, "Ubah" di sini, tidak semestinya merujuk kepada mengubah seluruh kepimpinan Negara dan menggantikannya dengan yang lain. Walaupun, jutaan rakyat sudah meluat dan hampir tiada sedikit pun perasaan belas terhadap Najib dan rakan-rakannya, namun, Najib sebagai seorang yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi seharusnya menerima "mesej" ini secara positif dan optimis terhadap peluangnya untuk mengekalkan jawatan dan penguasaan.
Apa yang rakyat mahukan ialah perubahan. Perubahan total terhadap segala sistem yang digunapakai oleh kerajaan pada ketika ini, berubah kepada sistem urustadbir yang baik dan berkesan. Ketelusan, kedaulatan undang-undang, responsif terhadap kehendak rakyat dan pelbagai aspek lain yang perlu diberikan penekanan dan perhatian serius oleh Najib dan rakan-rakan pemerintah yang lain.
Inilah sebenarnya yang rakyat mahukan perubahan ke arah sistem urustadbir yang baik dan berkesan. Mereka adalah rakyat Malaysia yang celik dan berperasaan. Mereka juga perasan dan peka terhadap perubahan yang berlaku di Malaysia. Tanah air yang dahulunya dimiliki oleh orang Melayu(kononnya), kini perlu dikongsi bersama. Tanah Air yang dahulunya mundur, kini perlu dibangunkan dan dimajukan bersama. Rakyat Malaysia sudah tentu sangat memahami konsep Satu Bumi, Satu Bulan dan Satu Matahari. Setiap pagi, kita menatap Matahari yang sama, di waktu malam, bulan yang sama yang menerangi kita, dan kita juga berkongsi udara, air dan tanah yang sama. Maka apa yang diperlukan ialah hidup bersama-sama , dengan rukun, aman dan sejahtera.
Benar, saya dan jutaan rakyat yang lain, sangat bencikan Rosmah. Akan tetapi, cubalah fikir secara positif. Apa yang Najib perlu lakukan, bukanlah menceraikan Rosmah dengan Talak seratus, sebaliknya didiklah Rosmah menjadi Isteri yang cerdik dan solehah. Najib, anda hebat, mendidik Isteri tidak sepatutnya menjadi masalah untuk anda. Walaupun dia agak nakal, buas dan ganas, optimislah dengan perubahan setiap manusia. Sedangkan Khalid Al-Walid yang pernah mengetuai Tentera Musyrik membunuh Syuhada Uhud pun akhirnya diberikan petunjuk oleh Allah, apalagi Rosmah yang memang dilahirkan sebagai seorang Islam. Saya percaya, kita semua juga mempunyai peluang yang sama. Selagi kita tidak berputus asa daripada rahmat Allah, Dia pasti akan sentiasa bersama..
Najib, inilah mesej sebenar yang perlu difahami dan diambil tindakan segera, jom sama-sama, Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia!
No comments:
Post a Comment