"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar."
Kalim Siddiqui di dalam sebuah buku karangannya, "The Phase Of Islamic Revolution" pernah menyebut Gerakan Islam sebagai "Mini Islamic State" kerana ciri-ciri yang ada pada gerakan tersebut, dan juga ciri-ciri yang dimiliki oleh mereka yang mengepalai dan mengganggotai gerakan Islam tersebut.
Beliau merujuk Gerakan Islam sebagai Mini Islamic State, kerana sekalipun berada di sebuah negara yang Sekular dan tidak melaksanakan Islam, gerakan Islam menyediakan suasana yang membolehkan ahli-ahlinya komited dalam melaksanakan Islam sebagai cara hidup dan melindungi nilai-nilai Islam yang suci dan syumul daripada anasir-anasir yang bertentangan dengannya.
Namun begitu, untuk kekal wujud sebagai "Mini Islamic State", sesebuah gerakan Islam itu perlu melaksanakan tiga tugasan utama yang wajib, tugasan mendidik ahli yang juga disebut sebagai Tugasan Tarbiyah, amanah menyampaikan dan mengembang risalah Islam iaitu Amanah Dakwah, dan mentadbir setiap urusan di dalam dan di luar Gerakan Islam, yang disebut Tanggungjawab Siasah.
Tanggungjawab inilah yang memastikan aspirasi Islam yang didokong oleh sesebuah Gerakan Islam itu tersebar luas selain memastikan kemandirian dan kelangsungan Gerakan Islam itu sendiri. Mahu atau tidak, setiap tugasan itu mestilah menepati apa yang disampaikan dalam ayat di atas, iaitu ciri-ciri mereka yang bersama dengan Nabi Muhammad SAW. Tepat seperti yang digambarkan di dalam ayat di atas, iaitu mereka sentiasa membuahkan tunas, tumbuh subur yang akhirnya menjadikan mereka bertambah kuat sehingga menimbulkan kegerunan dalam hati orang-orang yang engkar dan memusuhi Islam.
Bersama dengan Nabi Muhammad, ialah meletakkan sepenuh kepercayaan, wala', dan kepatuhan kepada Nabi dan bersama dengan Baginda dalam perjuangan yang diteruskan oleh Nabi, warisan turun-temurun daripada Nabi-nabi dan Rasul-rasul 'Alaihimussolatu wasssalam. Kehadiran dan kelahiran Gerakan Islam di seluruh dunia pada hari ini, ialah hasil pendidikan, seruan, dan siasah para Nabi, khususnya RasuluLlah SAW.
Pembinaan generasi yang dilakukan oleh RasuluLlah berkekalan sehingga ke hari ini, seperti janjinya bahawa tidak akan sepi dunia ini daripada golongan yang sentiasa menzahirkan kebenaran. Golongan ini pula tidak akan mampu digugat oleh mereka yang menentang dan membantah aspirasi Islam yang mereka bawa. Sama ada hidup mulia, atau mati sebagai saksi kepada Yang Esa. Seperti mana sabda Nabi Muhammad:
Sentiasa akan ada taifah(golongan) dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya sehinggalah datang perintah Allah (mati syahid atau tibanya Hari Kiamat
Ciri utama golongan yang dimaksudkan itu ialah mereka diberi keupayaan untuk menzahirkan kebenaran. Mereka tidak hanya memperkatakannya sahaja, malah menjadi perbualan dan perbincangan tentang kebenaran itu mengalir dalam urat nadi mereka sehingga membuahkan dalam segala tindak-tanduk kehidupan mereka. Islam adalah yang paling tinggi dalam kehidupan mereka, dan yang paling tinggi itulah yang mereka jadikan sebagai cara hidup, tidak selainnya.
Ciri kedua, ialah mereka tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana pihak yang menentangnya. Bermakna, mereka mendapat pertolongan langsung daripada Allah. Bantuan dalam bentuk ketenteraan yang tidak ternampak, mahupun dalam bentuk ketenangan yang hanya dirasai oleh mereka yang benar-benar menjiwai perjuangan untuk menegakkan kebenaran yang sebenar-benarnya ini.
Ciri ketiga, ialah mereka dipimpin oleh orang yang selayaknya memimpin mereka, iaitu yan bertaraf mujaddid. Nabi pernah mengingatkan kita, bahawa akan dibangkitkan seorang mujaddid dalam setiap kurun, yang mana tugas mujaddid ini ialah membawa perubahan kepada dunia, iaitu kembali kepada agama Islam, seluruh dan sesungguhnya. Seperti mana yang telah dilakukan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna kepada paradigma umat Islam dan mereka yang menyertai gerakan hampir 90 tahun yang silam. Maka kita sudah memasuki kurun yang seterusnya, dan dunia benar-benar sedang menantikan kemunculan Mujaddid baru, yang akan mengembalikan Islam kepada kedudukan asalnya, paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Golongan inilah yang disebutkan oleh Allah Ta'ala di dalam ayat di atas. Disebut juga sebagai "Qaedah Sulbah", yang bermakna tulang belakang. Kerana, golongan inilah yang menjadi teraju utama, pekerja dan pemikir kepada perjuangan Gerakan Islam ini. Mereka sanggup menjadikan batang tubuh mereka sebagai umpan dan perisai daripada serangan musuh-musuh Islam. Mereka menginfaqkan seluruh jiwa, masa, harta dan tenaga untuk memastikan aspirasi Islam tersebar dan menaungi Dunia.
Di dalam diri mereka, tertanam hasrat untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan perjuangan menegakkan Islam. Tidak akan goyah apalagi resah dan gelisah kerana yakin akan pertolongan dan rahmat Allah di sebalik setiap ujian dan dugaan. Segala suka dan duka, sentiasa manis kerana Tuhan sentiasa bersama mereka dalam tindakan dan pekerjaan mereka. Hanya mereka yang dapat memahami betapa pertolongan Allah sangat hampir, meskipun perjalanan yang bakal mereka tempuh seakan terlalu jauh dan tidak terjangkau bila akan berakhir.
Ingatlah Firman Tuhan,
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. Al-Ahzab, 33:23
Semoga kita tergolong di dalam golongan ini, dan tidak berganjak sehingga datangnya perintah Allah kepada kita...