Sebelum meneruskan kempen saya mengenai kuasa ketiga, eloklah kiranya kita mengenal pasti kuasa pertama dan kedua terlebih dahulu. Kita diajar semenjak kecil, bahawa untuk membuat sesuatu keputusan, terlebih dahulu kita mestilah menyenaraikan segala pilihan dan mengkaji segala kebaikan dan keburukan yang dibawa oleh setiap pilihan. Di dalam kes ini, mungkin kebanyakan kita telah pun membuat pilihan masing-masing. Media menggambarkan seolah-olah kita hanya mempunyai dua pilihan, iaitu kuasa pertama dan kedua.
Saya sebenarnya, secara peribadi tidaklah begitu pasti mengenai pihak manakah yang dikatakan sebagai kuasa pertama dan kedua, maka saya terpaksa bersetuju dengan dakwaan di atas, dengan mengemukakan andaian bahawa kuasa pertama sebenarnya dirujuk kepada Kerajaan yang memerintah. Manakala kuasa kedua pula merujuk kepada kuasa kedua selepas Kerajaan, iaitu pihak Pembangkang di dalam Dewan Rakyat.
Umum mengetahui, Kerajaan adalah pihak yang paling berkuasa dan memiliki segala kemampuan dan berhak membuat segala pilihan yang menentukan hala tuju Negara Malaysia. Kemunculan kuasa ketiga ini sebenarnya turut mewakili suara tidak puas hati terhadap prestasi yang dipamerkan oleh kerajaan. Setakat ini, semua pihak yang menyokong dan mendokong kemunculan kuasa ketiga seharusnya setuju dengan kenyataan di atas, iaitu Kerajaan sudah tidak boleh diharap.
Begitu juga dengan pihak Pembangkang dalam Dewan Rakyat yang dirujuk sebagai kuasa kedua. Namun begitu, soal prestasi pihak pembangkang tidak sewajarnya dipersoalkan kerana mereka masih belum memerintah dan diberi peluang untuk membuktikan kata-kata dan janji mereka. Bagi saya, kita sewajarnya menguji hipotesis terhadap kemampuan pihak Pakatan Rakyat memerintah Negara, supaya teori sebenar dapat dikeluarkan.
Namun begitu, saya difahamkan oleh penggerak paling popular Kuasa Ketiga ini bahawa desakan untuk munculnya kuasa ketiga ini sebenarnya didorong oleh; pertama kegagalan Kerajaan menjalankan fungsinya dengan sebaik mungkin, kedua kegagalan pihak Pembangkang untuk muncul sebagai alternative kepada kerajaan yang rosak itu tadi.
Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, saya rasa kita sewajarnya memberikan mereka peluang untuk membuktikan kata-kata mereka. Pihak kerajaan dan pembangkang juga perlu memberikan mereka peluang untuk menunjukkan kepada kita, apakah model dan acuan sebenar kuasa ketiga, jika ia benar-benar mampu memberikan nafas baru kepada kerosakan fungsi seluruh entity yang ada dalam Negara, apa salahnya jika kita juga turut menyokong usaha tersebut.
Namun, saya lebih tertarik dan berminat untuk menceritakan dengan lebih lanjut mengenai kerosakan kuasa kedua. Kenapakah golongan ketiga mengemukakan bantahan terhadap kuasa kedua ini? Mungkin ada baiknya jika kita menjelaskan terlebih dahulu, bahawa mereka yang tergolong dalam golongan ketiga ini ialah mereka yang kebanyakannya sudah tidak sehaluan dengan kuasa kedua. Golongan ketiga ini, dahulunya berada di pihak yang kedua. Mereka tidak menyertai Kerajaan, mungkin kerana tiada tempat untuk mereka dan kemungkinan besar ialah kerana mereka juga tidak sehaluan dengan golongan pemerintah ketika ini.
Golongan kedua, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, merujuk kepada pakatan rakyat. Sebelum wujudnya Pakatan Rakyat, mereka pernah dikenali dengan nama Barisan Alternatif. Sebelum Barisan Alternatif, belum ada pakatan di kalangan Pembangkang Kerajaan. Ketika itu, kuasa kedua lebih kepada Parti Islam SeMalaysia, PAS, sebagai musuh tradisi UMNO sejak pilihanraya pertama di Tanah Melayu. Parti Tindakan Demokratik, DAP, pula muncul pada tahun 1966 dan menyertai pilihanrayanya yang pertama pada tahun 1969.
Parti Keadilan Rakyat pula muncul ketika DSAI dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998, dan mula menyertai pilihanraya pada tahun 1999. Zaman reformasi tersebut telah mengubah lanskap politik Malaysia di mana semakin ramai rakyat Malaysia yang mula berani melibatkan diri dalam arena politik tanah air.
Jika dahulu hal-hal politik ini tidak begitu menarik minat rakyat Malaysia, kini rakyat yang terdedah kepada maklumat sudah mula membina pendirian mereka yang tersendiri dalam urusan politik Malaysia. Banyak udang, banyak garam, banyak orang maka banyak pulalah ragamnya. Maka berlaku perpecahan dalam kuasa kedua. Kemunculan PERKASA, KITA dan terbaru Kuasa Ketiga merupakan bukti perpecahan tersebut.
Perpecahan ini berpunca daripada pendirian yang berbeza dan kesefahaman yang sudah tidak mampu disatukan lagi.
AlhamduliLlah, walaupun saya bukanlah sesiapa di antara ketiga-tiga kuasa tersebut. Saya memilih untuk terus bersama dengan PAS.
Saya dipesan oleh agama saya untuk mempertahankan KalimahNya dalam satu organisasi yang kukuh dan tersusun. Maka tugas dan tanggungjawab saya ialah memperkukuhkan organisasi tersebut. Tugas dan tanggungjawab ini tidak pernah meletakkan syarat untuk menang atau kalah dalam pilihanraya. Juga tidak pernah meletakkan syarat untuk meletakkan kepatuhan mutlak kepada pemimpin. Ideologi dalam bentuk fikrah yang ditunjukkan oleh contoh tauladan paling mulia, RasuluLlah SAW adalah asas utama dan tali yang paling besar yang mengikat saya untuk terus berada di sini.
Meletakkan kepentingan sendiri ketiga selepas kepentingan Allah dan Rasul adalah impian setiap ahli organisai ini. Bermakna, kepentingan oraganisasi ini sebenarnya mewakili kepentingan Allah dan Rasul, bukan kepentingan pemimpin. Perbezaan ideology yang dibolehkan dalam organisasi ini adalah sangat tidak terhad asalkan tidak bercanggah daripada kepentingan Allah dan Rasul. Selagi boleh bersetuju bahawa Islam adalah yang palng utama untuk ditegakkan, maka di sana aka nada ruang dan peluang untuk sama-sama membina dan menjalin kekuatan untuk terus memperjuangkan nilai murni dan syumul yang diajarkan oleh Islam.
Perjuangan menegakkan Islam boleh melalui pelbagai cara dan sudut pengaplikasiannya juga sangat luas, tergantung kepada kemampuan kita yang tersendiri. Menulis seperti ini juga boleh dikatakan menyumbang kepada perjuangan tersebut, asalkan tidak melakukan perkara yang sebaliknya.
Jika penulisan ini membuatkan semakin ramai yang meluat dengan PAS, atau menimbulkan sedikit keraguan kepada manhaj dan dasar yang diambil oleh PAS, maka penulisan ini sebenarnya adalah penulisan yang bercanggah dengan perjuangan.
Kenapa pula begitu ekstrim?
Telah saya nyatakan, PAS merupakan organisasi yang meletakkan kepentingan Islam dihadapan dan di atas melebihi segala kepentingan termasuk para pemimpin. Mereka yang mendokong organisasi ini dididik supaya meletakkan kepercayaan kepada pemimpin selagi mereka tidak melakukan dosa dan keburukan. Pemimpin yang dilantik melalui syura adalah pemimpin yang sah dan perlu diberikan kepatuhan. Prinsip ini adalah prinsip asas organisasi. Organisasi yang tidak memiliki kepatuhan ahlinya ialah organisasi yang berhadapan dengan kehancuran. Lihatlah Malaysia, semakin ramai yang tidak patuh lahir, maka semakin rosak dan punah.
Saya bukan mengajak kepada mana-mana kuasa. Jika kita tidak suka kepada kerajaan yang thoghut dan zalim, dan tidak pula menyukai amalan politik yang keterlaluan, maka kita perlu kembali kepada Islam dan demokrasi yang terpimpin yang juga dianjurkan di dalam Islam. Maka, terlebih dahulu pulihkan system hidup di Malaysia, dengan melaksanakan Islam.
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!