Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, January 8, 2012

Tanggungjawab Membela dan Membina Negara

Allah Ta'ala menurunkan kepada manusia seluruhnya, melalui perantaraan Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW, panduan bertulis, Al-Quran, untuk dijadikan sumber rujukan utama dalam menyelesaikan segala permasalah ketika hayat kita di dunia ini. Panduan yang hanya berguna ketika hidup, kerana setelah nyawa kita dipulangkan, kita akan dipersoalkan terhadap setiap tindakan yang telah kita lakukan ketika masih hidup.

Bagi setiap kebaikan, akan diberikan ganjaran pahala, disediakan nikmat sebagai ganjaran terhadap pahala tersebut. Begitu juga setiap kejahatan, dikira sebagai dosa dan jika tidak sempat bertaubat, akan dibalas dengan azab bagi setiap perbuatan.

Garis panduan yang terdapat di dalam Al-Quran memandu manusia dalam menjalani kehidupan seharian supaya tidak tersasar dari tujuan asal kehidupan iaitu mengabdikan diri kepada Allah Ta'ala. Kita dijadikan dengan misi ibadah, maka setiap perbuatan kita mestilah menjurus kepada tujuan pengabdian. Jika tersilap, terlupa, atau terlalai, maka Al-Quran menjelaskan, dibukakan pintu Taubat kepada semua hambaNya selagi ruh belum sampai ke urat tengkuk, dan selama tidak mensyirikkan Allah. Sebesar mana pun dosa kita tetap akan diampunkan.

Tanggungjawab pengabdian ini, melibatkan seluruh kehidupan, termasuk jual beli, makan minum, dari sekecil-kecil perkara, sehinggalah ke sebesar-besar perkara. Maka, tanggungjawab membela dan membina negara juga termasuk di dalam tanggungjawab pengabdian kepada Allah Ta'ala. Tangungjawab ini, tidak mensyaratkan parti yang kita pilih, sekiranya kita berkiblatkan UMNO dan BN, malah jika kita menyokong dan mendokong DAP, PKR, KITA atau PERKASA sekalipun, kita tidak dikecualikan daripada tanggungjawab ini.

Bayangkan, bumi yang Allah Ta'ala cipta dengan pelbagai nikmat dan keindahan ini, diciptakan untuk manusia hidup di atasnya.

Firman Allah:

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah, 2:29)

dan firmanNya lagi:

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur? (Yasin, 36:71-73)

Membuktikan bahawa kita merupakan makhluk yang terbaik diciptakan oleh Allah, dan segala yang ada bumi ini, diciptakan untuk manusia. Mensyukuri nikmat kurniaan Allah yang tidak terhingga ini, semestinya dilakukan dengan mematuhi segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Oleh kerana kesemua nikmat ini dicipta dan dikurniakan oleh Allah, maka Dialah yang selayaknya memimpin dan membimbing kita, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita kecapi nikmat ini agar ianya lestari dan berkat.

Negara Malaysia juga adalah sejenis nikmat yang dikurniakan oleh Allah untuk kita syukuri dan kita hargai. Manual penggunaan Negara Malaysia ini, diceritakan dengan panjang lebar di dalam Al-Quran malah ditunjukkan melalui teladan Nabi Muhammad SAW mentadbir bumi berkat Mekah dan Madinah.

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad SAW menjalankan peranan Baginda ketika berada di Negara Sekular Mekah, dan bagaimana pula Nabi menjalankan peranan Bagina ketika memerintah Negara Islam Madinah. Tidak pernah ada sesaat dalam hidup Nabi Muhammad SAW yang berlalu tanpa diisi dengan tanggungjawab pengabdian Baginda kepada Tuhannya. Demikian pula Bagina mengisi tanggungjawab pengabdian tersebut dengan menyebarkan risalah dan menjalankan peranan dan tanggungjawab membela dan membina negara di mana jua Baginda berada.

Tanggungjawab pengabdian ini menjangkaui fahaman politik dan status kehidupan kehidupan kita di dunia ini. UMNOkah kita, PASkah kita, KITAkah kita, Mahasiswakah kita, hatta seorang bayi yang baru lahir dua saat yang lalu juga tidak terlepas daripada tanggungjawab pengabdian ini, juga melibatkan diri secara langsung dan bersungguh-sungguh dalam membela dan membina Negara.

Oleh kerana nikmat ini datangnya daripada Allah, maka penggunaannya juga mestilah kembali kepada Allah menurut tujuan dan kaedah penggunaannya. Seperti firman Allah Ta'ala,

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. (As-Saba', 34:15)

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

No comments:

Antara Yang Menarik