Jawatan dan tanggungjawab sebagai hamba yang melaksnakan segala tuntutan pengabdian diberikan kepada semua manusia. Sekecil-kecil amanah dan tanggungjawab yang kita pikul ialah tanggungjawab terhadap diri sendiri. Bahawa diri kita mempunyai hak yang perlu kita tunaikan. Hak asasi yang ada pada setiap manusia ialah hak untuk mengabdikan diri kepada Allah Ta'ala, beriman kepada yang ghaib, melaksnakan segala tuntutan dan meninggalkan segala larangan, serta menjalani kehidupan normal seorang manusia, makhluk yang bernyawa.
Kembali kepada tanggungjawab membela negara, di manakah titik penamat atau pemula kepada tanggungjawab ini? Adakah kita dituntut untuk bangun ketika Allah Ta'ala mentakdirkan pemerintah Negara pada ketika itu berlaku zalim dan melakukan pelbagai kerosakan? Adakah kita dituntut untuk melakukan proses Islah dan Islamisasi ketika pemerintah pada ketika itu engkar dan mensyirikkan Allah?
Tanggungjawab ini sebenarnya difardhukan kepada setiap manusia. Bahawa sekecil-kecil daerah yang perlu dia bina dan bela ialah daerah dirinya sendiri. Membela dan membina dirinya sendiri agar sentiasa cenderung untuk melakukan kebaikan dan menghindarkan segala bentuk kerosakan dan kejahatan.
Bagaimana pula bentuk negara yang ingin kita bina dan bela?
Semestinya rukun pertama bagi negara yang ingin dibina dan dibela ialah Negara yang mendaulatkan Islam. Islam adalah agama rasmi bumi dan satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah Ta'ala. Maka mendaulatkan Islam bererti menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan dan membuat sesuatu keputusan.
Ada yang menyangkal tindakan di atas, dan mengatakannya sebagai ketinggalan zaman. Tidak kurang yang mengatakan bahawa mengamalkan Islam menyebabkan minda dan fikiran kita tersekat dan terkebalakang. Suka untuk diingatkan, bahawa bumi dan seluruh isi cakerawala ini menjadikan Islam sebagai panduang utama mereka. Binatang hidup dengan Islam. Mereka makan dan minum menurut manual yang Allah Ta'ala tentukan ke atas mereka. Begitu juga dengan silih pergantian siang dan malam, peredaran bulan, bintang dan matahari, setiap satunya tidak pernah terkeluar daripada landasan dan laluan masing-masing dan tidak juga pernah tercepat atau terlambat walau sesaat sekalipun.
Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Yasin, 36:36 - 40)
Jika seluruh alam ini menjadikan Islam sebagai panduan, apa hak kita yang kecil dan tidak sedikit pun menjejaskan "berat" bumi ini untuk menidakkan Islam sebagai cara hidup yang terbaik.
Cara hidup Islam ialah cara hidup yang sangat fitrah dan terbuka. Ia bukanlah jumud dan autokratik seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam. Ajaran Islam mendidik umatnya supaya menjadi yang terbaik dan sentiasa mengamalkan rukun damai dan hidup dengan harmoni dan sejahtera. Bahwa Allah Ta'ala memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam setiap tindak tanduk kita. Adil bermakna, meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Adil juga bermakna kita menggunakan sukatan dan penilaian yang tepat dan relevan. Adil dalam ibadah, kehidupan sosial, politik, ekonomi, rumah tangga, dan segala aspek kehidupan. Adil juga bermakna, bagi mereka yang bersalah dan menyalahi undang-undang dan peraturan Islam dan Alam ini, hendaklah diletakkan di tempat yang sepatutnya. Maka, kita akan dapati bahawa Islam merupakan ajaran dan cara hidup yang sangat indah dan sesuai bagi yang "beragama" Islam mahupun yang bukan beragama Islam.
Melaksnakan Islam ialah menjadikan ajaran Islam sebagai ajaran dan nilai yang dominan dan memayungi dunia dan seluruh isinya. Mentadbir sungai, laut dna gunung-ganang dengan Islam. Termasuklah mentadbir segala urusan sesama manusia dengan Islam. Urusan di kalangan yang bukan Islam juga mestilah ditadbir dengan nilai-nilai dan ajaran Islam.
Ajaran dan nilai Islam ini pula mestilah yang bertepatan dengan apa yang diturunkan oleh Allah Ta'ala dan yang ditunjukkan model perlaksanaannya oleh Baginda RasuluLlah SAW. DItafsir dengan tafsiran dari sumber yang dipercayai dan kuat sandarannya. Sumber yang dipercayai ini pula, tidak mensyaratkan kelompok pemikiran ataupun mazhab. Selagi tafsiran dan bacaan itu dibuat dengan baik dan mematuhi peraturan penetapan hukum dan syarat-syarat pentafsiran yang sempurna, maka ianya boleh dijadikan sandaran.
Misalnya, jika seseorang itu tidak memahami Bahasa Arab, hanya dengan menggunakan tafsir dan terjemahan Al-Quran belum cukup melayakkan dia untuk mentafsir dan membaca Al-Quran mengikut pemahamannya sendiri semata-mata. Begitu juga dengan hadith. Dalam pentafsiran dan penentuan hukum, seseorang itu mestilah mampu memahami Al-Quran dari segi tatabahasa, kosa kata, dan seni kesusasteraan yang terdapat dalam Al-Quran, begitu juga memahami konteks sesuatu ayat atau hadith, termasuk sebab turunnya sesebuah ayat atau sebab bagi setiap sabda Nabi SAW untuk menerangkan maksud sebenar ayat atau hadith tersebut.
Sebab itulah, Ulama' terdahulu mampu mengarang buku-buku panduan yang menjadi rujukan utama dan popular sehingga sekarang. Kandungan buku-buku yang dikarang oleh Ulama' terdahulu juga kekal sehingga ke hari ini dan terus dijadikan rujukan utama dalam bidang pengajian Islam.
Akal manusia sangat terhad, maka Al-Quran dan Hadith dapat membantu kita memahami apa yang tidak mampu kita fikir dengan menggunakan akal. Sebab itu, mengamalkan Islam sebenarnya menyelamatkan kita daripada melakukan kesilapan di dunia, lebih-lebih lagi yang mengakibatkan kerugian di dunia dan di akhirat.
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
No comments:
Post a Comment