Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, January 29, 2012

Kuasa Ketiga: IMR

Saya sebenarnya kurang senang dengan kempen IMR yang dijaja oleh Dato' Hassan Mohamed Ali. Walaupun kempen utamanya untuk membela Islam menampakkan ketelusan dan keikhlasan perjuangan beliau untuk mendaulatkan Islam sebagai cara hidup, tetapi saya aga kurang senang dengan kempen Melayu dan Raja yang beliau bawakan.

Pertama mengenai Melayu. Perjuangan membela nasib Melayu ini sebenarnya bagus dan perlu diteruskan. Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi dasar perjuangan. Memang, Nabi juga mengasihi orang Arab kerana bangsa Arab adalah kaum kerabat Baginda. Bahkan Bahasa Arab diiktiraf oleh Nabi dan disebut di dalam Al-Quran bahawa Bahasa Arab itu dipilih kerana Nabi merupakan orang Arab. 

Tetapi, penegasan ini tidak bermakna Bangsa Arab bebas melakukan apa sahaja yang mereka suka dan terus berkomplot dengan semangat asabiah sehingga mengakibatkan kerugian terhadap dunia Islam seluruhnya. Sokongan dan dokongan terhadap bangsa menunjukkan kita menghargai jatidiri, tetapi sokongan dan pembelaan mestilah tidak sampai mengkesampingkan dan menidakkan peranan dan hak orang-orang bukan Islam.

Kedua, mengenai peranan institusi Raja. Sejak berlakunya penjajahan Barat ke Tanah Melayu, kuasa Raja telah dikurangkan. UMNO pula meneruskan legasi tersebut dengan menuntut kemerdekaan dan meneruskan perlembagaan yang direka penjajah dengan mengekalkan kuasa raja sepertimana yang dianjurkan penjajah. Sekarang, portfolio bagi seorang Raja dan Sultan hanyalah menjaga perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam dan adat resam. Penjagaan ini pula hanya melibatkan perkara-perkara rasmi kerana Islam hanyalah agama Rasmi Malaysia. 

Raja dan sultan di Malaysia tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membela dan mendaulatkan Islam sebagai cara hidup. Pernahkah Raja dan Sultan bertindak dalam isu-isu yang melibatkan Akidah umat ISlam? Di manakah Sultan dan Agong ketika isu murtad Lina Joy? Apa pula tindakan para sultan dan Raja ketika heboh dengan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab bible? Bagaimanakah pendirian para Raja dan Sultan apabila rakyat Malaysia dihidangkan dengan pelbagai cerita yang karut dan marut sehingga menjejaskan akidah dan kepercayaan umat ISlam? Bagaimana dengan masalah sosial yang kebanyakannya melibatkan anak muda yang tertera pada IC mereka "Agama ISlam"?

Untuk apa sebenarnya membela dan mempertahankan kedudukan Sultan dan Raja?

Bagi saya, memang raja dan sultan perlu dikembalikan kuasa mereka jika dan hanya jika mereka cenderung untuk menjadikan ISlam sebagai cara hidup dan meletakkan kepentingan ISlam melebihi kepentingan diri dan orang lain. Saya mengemukakan cabaran kepada institusi Raja di Malaysia ini untuk membuktikan kerelevanan kewujudan mereka dan tidak menjadi terlalu eksklusif sehingga langsung tidak boleh ditegur.

Kalaulah artikel ini pun tidak mampu disambut dengan baik, saya bimbang dengan masa depan Islam sekiranya ianya diserahkan kepada raja dan sultan yang ada.

Saya sangsi dengan matlamat sebenar perjuangan IMR ini, apalagi ia melibatkan orang melayu dan raja. 

Saya mengulangi komitmen saya dan menyeru kepada semua Umat Islam untuk terus memberkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Islam. Mungkin cara dan kaedah kita berbeza, tetapi perbezaan pendekatan tidak sepatutnya menjadikan kita bermusuhan. Saya bersama dengan PAS, walau apa pun wadah kalian, kita perlu saling bantu-membantu dan dialog yang sihat perlu berterusan supaya kita terus mencapai persefahaman dalam perbezaan yang masing-masing kita miliki. Kembali kepada ajaran Islam, bermakna kita melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul, mematuhi pemimpin yang adil kerana kepatuhan kita kepada Allah dan Rasul.




No comments:

Antara Yang Menarik