Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, May 25, 2012

Surat Terbuka Buat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Assalamu’alaikum. Salam hormat saya tujukan kepada Dato’ Seri. Terlebih dahulu saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Seri andai surat ini dibaca oleh Dato’ Seri. Besar sunggguh hati saya, bahkan jutaan rakyat Malaysia yang lain sekiranya kandungan surat ini dibaca dan diteliti sebaiknya oleh Dato’ Seri, juga seluruh kepimpinan Kerajaan Malaysia sekarang. Izinkan saya memperkenalkan diri saya, nama saya Mohd Farid Bin Hamlud, merupakan seorang warganegara Malaysia yang sah, dilahirkan di Balik Pulau , Pulau Pinang, dan kini menetap di Seri Iskandar, Perak Darul RIdzuan.

Dato’ Seri,

Saya percaya, sebagai rakyat Malaysia, saya dijamin oleh Undang-undang, selagi mana saya tidak menimbulkan kekecohan dan ketegangan, saya dibenarkan untuk menyuarakan pandangan saya. Saya juga dijamin oleh Kerajaan Malaysia yang mengamalkan system demokrasi bahawa setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendangan serta pendirian mereka yang tersendiri. Sebagai seorang rakyat yang cintakan Negara, saya akui bahawa pendapat saya tidak boleh memaksa orang lain menerima pendapat saya, dan orang lain juga tidak boleh memaksa saya menerima pendapat mereka. Kepercayaan ini menjadikan Negara kita aman, maju dan sejahtera.

Maka saya berpandangan, dalam situasi semasa yang agak tenat, kekacauan dan kekeliruan rakyat yang semakin meningkat, ada baiknya saya menulis sepucuk surat untuk menyatakan pandangan ikhlas dan jujur saya mengenai urus tadbir Negara, dan saya percaya Dato’ Seri adalah orang yang paling tepat untuk menerima surat ini.

Dato’ Seri,

Untuk menjadikan negara kita ini sebuah Negara Maju, maka perkara paling utama yang perlu diberikan tumpuan ialah terhadap pembangunan rakyat yang disebut sebagai modal insan. Suka saya nyatakan Sembilan matlamat utama Wawasan 2020 yang digariskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu:

1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. 
2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain. 
3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun. 
4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi. 
5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. 
6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. 
7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh. 
8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. 
9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.


Pelan Transformasi Kerajaan yang Dat’ Seri gagaskan juga, saya dapati tidak banyak bezanya dengan wawasan 2020, maka saya kira kita boleh bersetuju bahawa Wawasan 2020 ini adalah impian dan hasrat seluruh rakyat Malaysia.

Dato’ Seri,

Malangnya saya merasakan terlalu banyak perkara yang berlaku tidak selari dengan hasrat kerajaan dalam mencapai Wawasan 2020 ini. Kita Cuma ada kurang dari 8 tahun untuk sampai ke tahun 2020, namun apa yang kita kecapi pada ketika ini tidak mencerminkan kesediaan dan keupayaan kita untuk menjadi sebuah negara maju seperti yang diidam-idamkan. Dato’ Seri tentunya lebih arif, bahawa kekuatan utama sesebuah negara ialah rakyat. Malah kekuatan dan kestabilan sesebuah Kerajaan adalah hasil daripada dokongan dan sokongan rakyat.

Rakyat yang maju, selain memiliki pendapatan yang tinggi, ialah rakyat yang bermaklumat. Dalam era globalisasi ini pula, maklumat begitu mudah didapati. Saya sendiri tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan ini. Maklumat menjadikan rakyat bijak dalam memilih dan membuat keputusan.

Saranan saya yang pertama kepada Dato’ Seri, berilah maklumat yang tepat dan benar kepada rakyat. Jika Dato’ Seri berselindung, menyembunyikan maklumat yang sepatutnya didengari dan diketahui oleh rakyat, maka ini akan melemahkan daya maju rakyat untuk terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pembangunan Negara. Apalagi, Negara ini bukanlah milik pemimpin, sebaliknya Negara ini adalah milik rakyat dan rakyat berhak mengetahui segala hal yang berlaku.

Dato’ Seri sendiri tentu sangat arif dengan apa yang dikatakan sebagai “Good Governance” iaitu urus tadbir yang baik dan berkesan. Salah satu criteria utama dalam urustadbir yang berkesan ini ialah ketelusan. Telus bukanlah hingga membuka pekung dan aib individu. Sebaliknya secara professional membentangkan apa yang sepatutnya diketahui oleh rakyat jelata. Kepimpinan kerajaan pada ketika ini menerima tekanan yang sangat dahsyat di mana begitu banyak tindakan dipersoalkan dan belum ada jawapan yang berjaya memuaskan hati rakyat. Saya sendiri tertanya-tanya, kenapakah belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini mencatatkan penurunan yang mendadak dalam bidang pendidikan sehingga begitu banyak sekolah yang mendakwa tiada peruntukan yang secukupnya diberikan oleh kerajaan Malaysia?

Saya juga tertanya, apakah nasib rakan-rakan saya di Universiti Teknologi Petronas, UTP yang sebelum ini, abang-abang dan kakak-kakak mereka menerima Biasiswa penuh daripada Petronas, sebaliknya mereka tidak mendapat kelebihan tersebut? Apakah sesuatu telah berlaku kepada Syarikat Petronan, antara penyumbang utama ekonomi Negara?

Paling pelik, kenapa begitu ramai rakyat yang turun menyatakan bantahan dan suara mereka dalam Bersih 3.0, menuntut supaya pilihanraya umum ke-13 diadakan secara bersih dan adil? Saya dapati, isu sebenar tuntutan Bersih 3.0 langsung tidak didengari, sebaliknya RTM, syarikat penyiaran yang bernaung di bawah Jabatan Penyiaran, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hanya melaporkan keganasan yang dilakukan oleh peserta Bersih 3.0. Padahal, sehingga kini belum ada laporan rasmi dan keputusan yang sah oleh mahkamah bahawa kerosakan dan keganasan tersebut dilakukan oleh peserta Bersih 3.0.

Laporan keganasan yang dilakukan oleh Polis disenyapkan, sebaliknya laporan keganasan rakyat dicanang begitu sekali. Terus-terang, saya menghadiri himpunan tersebut, dan saya sebagai rakyat tertindas merasakan tindakan RTM dan media arus perdana yang lain tersebut hanya akan menyemarakkan lagi rasa tidak puas hati rakyat yang mahu 8 tuntutan Bersih 3.0 tersebut dilaksanakan. Saya ingin menarik perhatian Dato’ Seri kepada salah satu tuntutan iaitu Akses Media yang bebas dan adil.

Cuba Dato’ Seri bayangkan, pilihanraya diadakan untuk memilih wakil rakyat ke Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Setiap yang bertanding, sekalipun tidak mewakili apa-apa parti sewajarnya diberikan ruang untuk mewakili diri sendiri dan orang lain yang memilihnya. Maka mereka seharusnya diberikan akses kepada media. Terutamanya media rasmi Kerajaan. Malah menjadi tanggungjawab media rasmi kerajaan ini menyediakan akses yang adil kepada semua yang bertanding untuk berkempen dan memperkenalkan diri masing-masing. Sehingga ke hari ini, selama 26 tahun saya hidup di Malaysia, belum pernah ada ruang yang tulen dan mencukupi untuk mereka yang bertanding, selain daripada Parti Barisan Nasional, untuk mempertahankan diri daripada kecaman, apalagi untuk berkempen memperkenalkan diri mereka.

Dato’ Seri seharusnya malu dengan diri sendiri sekiranya amanah dan kepercayaan yang Dato’ Seri peroleh daripada rakyat ini menjadikan Dato’ Seri lupa daratan dan bertindak menafikan hak parti pembangkang, kerana mereka juga rakyat Malaysia seperti saya.

Bertepatan dengan situasi Bersih 3.0 di atas, saranan saya yang kedua ialah, Dato’ Seri sewajarnya bersikap responsive terhadap tuntutan dan suara rakyat. Jika benar slogan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” seperti yang dilaungkan oleh Dato’ Seri, maka suara rakyat perlu didengari. Kita semua faham, apabila suara rakyat didengari, tidak bermakna suara rakyat perlu dipatuhi. Inilah kelebihan yang Allah Ta’ala kurniakan kepada seorang pemimpin, bahawa mereka berhak melaksanakan apa-apa yang dirasakan perlu selagi ianya baik dan penting untuk pembangunan negara, juga bagus untuk kebajikan rakyat. Responsif bermakna, Dato’ Seri bersedia mendengar luahan dan pandangan rakyat, dan menjawab segala isu yang berlegar untuk merungkai permasalahan dan meleraikan kekeliruan yang dihadapi oleh rakyat.

“A good leader is a good listener”, (Pemimpin yang baik, ialah pendengar yang baik). Sekali lagi saya tekankan, mendengar bukan bererti patuh, tetapi mendengar untuk diraikan dan diambil tindakan yang mana perlu.
Saya kira, cukuplah dua saranan yang lebih berupa tuntutan peribadi saya kepada Dato’ Seri. Sebagai rakyat yang cintakan negara, saya berharap agar surat ini menjadi muhasabah kepada diri saya, Dato’ Seri, juga semua pemimpin utama Negara.

Sebelum saya berundur, suka saya ingatkan, jika Dato’ Seri berhajat ingin menyambung kontrak sebagai Perdana Menteri, fikirkanlah tuntutan dan suara daripada rakyat dengan sebaiknya. Apalagi Jawatan Perdana Menteri itu bukanlah warisan daripada UMNO-Barisan Nasional, sebaliknya amanah daripada Allah, dan tangggungjawab terhadap rakyat. Keengganan Dato’ Seri untuk betindak secara bijak hanya akan menyebabkan Barisan Nasional dihukum, jika tidak di dunia pastinya akan dihukum di Akhirat.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
MOHD FARID BIN HAMLUD
Seri Iskandar,
25 Mei 2012

1 comment:

Anonymous said...

… Unbelievable , but I just found software which can do all hard work promoting your kacapermata.blogspot.com website on complete autopilot - building backlinks and getting your website on top of Google and other search engines 1st pages, so your site finally can get laser targeted qualified traffic, and so you can get lot more visitors for your website.

YEP, that’s right, there’s this little known website which shows you how to get to the top 10 of Google and other search engines guaranteed.

I used it and in just 7 days… got floods of traffic to my site...

…Well check out the incredible results for yourself -
http://magic-traffic-software.com

I’m not trying to be rude here, but I believe when you find something that finally works you should share it…

…so that’s what I’m doing today, sharing it with you:

http://magic-traffic-software.com

Take care - your friend Jennifer

Antara Yang Menarik