Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, September 27, 2012

Kenapa tidak lahir Hassan Al-Banna Jr.?

Semalam, saya sempat berbual dengan seorang ustaz, mantan ketua pemuda Pas Kawasan Parit. Beliau merupakan Imam, guru agama di surau berdekatan rumah saya, dan juga merupakan seorang guru agama di salah sebuah sekolah di tempat saya tinggal. Kami berbincang mengenai tajuk kuliah yang disampaikan di surau berkenaan. Ketika sedang kami berbincang, saya cuba mencadangkan kitab Fiqh Sunnah karangan Sheikh Syed Sabiq. 

Beliau menyatakan bahawa kitab tersebut diakui sendiri oleh pengarang, bahawa pengarang menulis kitab tersebut pada usia yang terlalu muda, iaitu ketika pengarang berusia 20 tahun, dan beliau mengarang kitab tersebut dalam penjara.

"Umur 20 tahun dah karang kitab, dalam penjara pulak tu," kata ustaz tersebut.

SubhanaLlah, mengarang kitab yang hebat ketika berumur 20 tahun memang perkara yang amat luar biasa. Bahkan seawal umur 20 tahun telah merasai pengalaman di penjara. Penjara sememangnya bukanlah tempat untuk orang yang baik-baik. Namun, semestinya bagi insan sehebar Al-Marhum, beliau dipenjarakan kerana beliau merupakan ancaman kepada pemerintah yang zalim.

Di Malaysia sendiri, ramai para ustaz yang dipenjarakan dan "digam" kerana kononnya boleh menimbulkan huru-hara dan menyampaikan ceramah yang berbentuk hasutan. 

Kembali kepada persoalan utama, kenapa di Malaysia, khususnya, jarang sekali kita berjumpa dengan pemuda yang mempunyai ketokohan seperti Al-Marhum, mahupun Asy-Syahid Hassan Al-Banna?

Di manakah kita ketika berusia 20 tahun? Apakah sumbangan kita untuk agama ketika kita berumur 20 tahun? Apakah kegiatan utama kita ketika berusia 20 tahun? Berapakah buku yang pernah kita terbitkan? Berapa pula buku yang telah kita habiskan membacanya?

Rata-rata, kita disibukkan dengan pengajian, yang kononnya menjadi aset penting untuk masa depan. Ada juga yang sibuk mencari jodoh. Tidak kurang mereka yang "menikmati" usia muda yang liar dan bertenaga. Sudahnya, fikiran kita jarang sekali menumpukan ke arah maslahat ummah. Kita lebih cenderung memikirkan kepentingan diri kita dan masa depan kita sedang dalam masa yang sama, kita semakin ketandusan pemimpin yang berwibawa. 

Masa saya semakin suntuk. begitu juga masa kalian. Jom, kita kurangkan masa bermain, perlahan-lahan kita bunuh masa lapang kita dengan aktiviti yang bermanfaat. Semoga sentiasa tergolong di kalangan mereka yang untung. Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Wednesday, September 26, 2012

Lihat Kampusku Yang Malang....

Suasana ceria dan bersemangat pasti menyelubuni warga UM dan UKM kerana kejayaan Pro-M dan Gabungan Mahasiswa mengekalkan penguasaan mereka. Namun, bagi saya keputusan pilihanraya kampus semalam adalah berita malang buat semua pendokong keadilan dan kebenaran di Malaysia. 


Sudah semestinya, sebagai pendokong kebenaran, saya dan ramai rakyat Malaysia yang lain benar-benar mengharapkan keputusan pilihanraya kampus pada kali ini tidak terlalu memihak kepada calon Mahasiswa yang membawa aliran "kerajaan". Umum mengetahui kerajaan tidak begitu komited memastikan demokrasi di Malaysia ini terpelihara. Ternyata, Kerajaan bukan sahaja tidak mampu menjaga demokrasi di Malaysia, bahkan mereka juga mencampuri urusan demokrasi di kampus sehingga begitu banyak rungutan yang didengari.

Walaubagaimanapun, faktor campur tangan "kerajaan" sebenarnya adalah faktor luaran. Terdapat faktor yang lebih besar yang perlu diambil perhatian hasil daripada keputusan pilihanraya kampus ini, iaitu faktor Mahasiswa itu sendiri. Memang, Kerajaan UMNO-BN yang ada pada hari ini sememangnya kerajaan yang sudah lama rosak, ibarat retak menanti belah. Maka, sandaran dan harapan sebenarnya terletak pada bahu Mahasiswa. 

Negara akan hancur sekiranya rakyatnya bersikap tidak ambil peduli. Sekiranya kuasa jahat dibiarkan berleluasa, maka kuasa jahat itu akan membawa kehancuran yang teramat sangat. Lord Acton menyebut, "Power is tends to corrupt, absolute power corrupt absolutely".

Begitu juga apa yang akan berlaku di universiti-universiti di Malaysia, akan mengalami kehancuran dek kerana sikap Mahasiswa yang tidak ambil peduli terhadap hal yang berlaku di sekeliling mereka. Pilihanraya, bukanlah suatu hal yang boleh dipandang rendah. Ia melibatkan kepentingan seluruh masyarakat kampus. Sekalipun autoriti dan autonomi Majlis Perwakilan Mahasiswa di kampus berkenaan adalah terhad, namun ia tetap memberikan gambaran mengenai tahap pemikiran Mahasiswa.

Ironinya, jika hal sekecil ini pun tidak dapat diselesaikan dengan baik, bagaimana pula ingin disandarkan harapan untuk menentukan nasib negara pada masa akan datang?

Mahasiswa adalah golongan cerdik pandai yang sewajarnya terdedah kepada lebih banyak maklumat dan pengetahuan. Namun, saya merasakan golongan Mahasiswa yang ada pada hari ini, sebahagiannya tidak mengambil berat akan apa yang berlaku di sekitar mereka. Hasilnya, mereka ini samalah seperti katak di bawah tempurung yang sama sekali  tidak tahu mengenai apa yang berlaku di luar tempurung mereka.

Malaysia memerlukan ghulam yang sanggup mengorbankan dirinya lalu menjadi asbab kepada petunjuk bagi ribuan penduduk negerinya. Pengorbanan sehingga mampu menggoncangkan kerajaan zalim yang ada pada hari itu. Malaysia juga memerlukan pemuda gua yang tegar memelihara keimanan, bangun dan bangkit untuk menyatakan kebenaran. Semoga detik malang ini tidak berulang pada Pilihanraya Umum di Malaysia.

Tuesday, September 25, 2012

Politik "Ugutan": UMNO terdesak kekalkan kuasa.

Saya yakin dan 100% percaya, bahawa Najib adalah dalang di sebalik kerancakkan suasana Pilihanraya Kampus di 15 buah kampus yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi. Penguasaan Kampus, walaupunramai yangcuba menafikan bahawa politik kampus tidak begitu dipengaruhi oleh politik Negara, namun, adat hujan, pasti akan ada tempiasnya.


Buktinya, Najib beria benar ingin memastikan pilihanraya kampus berpihak kepada calon yang membawa ideologi kerajaan. UMNO-BN seboleh mungkin, mahu memastikan calon-calon aspirasi menang kesemua kerusi yang ditawarkan di dalam pilihanraya kampus.

Ironinya, pilihanraya kampus merupakan medan pertempuran dan menguji bakat kepimpinan Mahasiswa yang rata-rata mereka berumur 20-25 tahun. Jauh jika nak dibandingkan dengan umur Najib dan Rosmah. Jika logik akal digunakan, Najib tidak sepatutnya gelisah dan gelabah jika Mahasiswa yang sebaya  dengan anak cucunya bertanding dalam pilihanraya kampus. Berilah anak-anak dna cucu-cucu ini peluang yang sama rata untuk mengasah bakat kepimpinan.

Apalagi, isu yang mereka bawa ialah kebajikan mereka sebagai Mahasiswa, sedikitpun tidak menyentuh isu mahu menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan. Akibat daripada tindakan kurang cerdik Najib dan Rosmah, OPS 2020 telah membawa malapetaka yang besar, dan saya yakin petanda malapetaka tersebut akan muncul malam ini.

Saya percaya dan yakin bahawa Mahasiswa bijak membuat pilihan yang tepat. 

Buktinya, kes ugutan yang berlaku di UKM. Keluarga calon Pro-Mahasiswa, atau lebih tepat, GMUKM, yang bertanding dalam Pilihanraya kampus kali ini, menerima panggilan ugutan bunuh oleh seseorang yang tidak dikenali. Bukan mereka yang diugut, tetapi keluarga. Saya mendapat cerita ini dari salah seorang kenalan saya, yang juga merupakan aktivis GMUKM, menceritakan bahawa keluarga 7 orang calon menerima panggilan mengugut ingin membunuh calon tersebut sekiranya mereka terus bertanding. 

Semoga Allah Ta'ala melaknat mereka yang berbuat khianat!

Bagaimanankah puak-puak ini menggunakan akal mereka? Ini hanyalah pilihanraya kampus, soal kebajikan dan hak Mahasiswa, mengapa sanggup melibatkan keluarga dan mengancam nyawa?

Saya cukup pelik dengan keadaan ini.

Semoga Allah Ta'ala melaknat mereka yang bersubahat dan terlibat dalam cubaan mengugut dan mengganggu ketenangan orang lain.

Saya berharap, adik-adik saya di UKM akan meneruskan perjuangan mereka dan sentiasa yakin bahawa bantuan Allah Ta'ala sentiasa ada bagi mereka yang dizalimi. Yakinlah, doa orang yang dizalimi ini makbul. Doakanlah mereka yang berbuat zalim itu dicabut ketenangan dankesejahteraan dari hidupnya sehingga mereka bertaubat dan mengaku salah. Saya yakin mereka tidak akan tenang dan hidup mereka juga akan sentiasa terganggu.

InsyaAllah, semoga Allah merahmati kalian..

Friday, September 14, 2012

Jual Beli Agama

Dahulu saya pernah berangapan bahawa, dalam dakwah dan menyampaikan agama kepada masyarakat, kita tidak boleh mengenakan harga dengan tujuan berniaga. Sehingga hari ini, saya masih mempunyai pandangan yang sama, cuma ada sedikit perubahan dan percanggahan dengan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "menjual ayat Allah dengan harga yang murah".

Dalam Al-Quran Allah Ta'ala menyebut dengan banyaknya ayat yang berkaitan dengan tindakan orang-orang kafir, munafiq mahupun musyrik yang menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Ayat di bawah adalah antaranya:


"And believe in what I have sent down confirming that which is [already] with you, and be not the first to disbelieve in it. And do not exchange My signs for a small price, and fear [only] Me." Surah Al-Baqarah, 2:41.


Exchange / jual ayat Allah dengan harga yang murah di sini, bukanlah bermakna kita tidak boleh menjual-beli Al-Quran. Juga tidak bermakna, hasil kreatif yang berkaitan dengan ayat-ayat Al-Quran, seperti Frame, dan lebih lagi, ceramah-ceramah yang berkaitan dengan agama, tidak boleh dijual-beli. Tetapi disebut dalam Tafsir Jalalain, bahawa perbuatan "exchange / jual" di sini merujuk kepada menukarkan agama atau segala ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan segala yang dibawa oleh RasuluLlah SAW, dengan sesuatu yang lebih buruk atau lebih tepat, menukarkannya dengan dunia.

Mengambil kelebihan dunia, berbanding kelebihan akhirat. Memilih untuk bersenang-lenang di dunia, berbanding kesenangan dan nikmat di akhirat, inilah makna sebenar ayat ini.

Justeru, dalam berdakwah dan juga menyampaikan ajaran kepada manusia, kita tidak boleh mengejar bahagian dunia, sehingga meninggalkan akhirat. Kita digalakkan untuk mencari rezeki yang halal. Misalnya, jika kita bekerja, kita menerima gaji yang setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Segala imbuhan dan ganjaran yang kita terima, diterima dengan ikhlas dan sesuai dengan apa yang kita lakukan. Jika ada lebih, kita berzakat dan infaq pula ke jalan Allah.

Ramai di kalangan kita, kerap kali mempersoalkan tindakan ustaz-ustaz mengenakan harga untuk ceramah mereka. Atau perkhidmatan yang mereka berikan kepada kita, sebagai contoh jampi untuk sembuhkan penyakit, berdoa dan solat hajat kepada Allah Ta'ala bagi pihak kita. Jika di Darul Mubarak, kami juga menerima upah untuk mengerjakan haji dan bacaan Al-Quran untuk arwah di Tanah Haram. Semua ini dipersoalkan, kononnya, memperniagakan agama. 

Saya kira, tuduhan ini tidak tepat, kerana kami mengambil upah yang bersesuaian dengan apa yang kami lakukan. Begitu juga ramai di kalangan penceramah-penceramah yang ikhlas, juga ustaz-ustaz yang mengamalkan perubatan alternatif yang ikhlas, mereka meminta apa yang sepatutnya menjadi hak mereka. Mereka juga ada keluarga yang perlu mereka sarai.

Justeru, sebagai pihak yang menerima khidmat dan ceramah yang berguna untuk kehidupan akhirat tersebut, kitalah yang terlebih dahulu perlu menghargai jasa mereka dengan memberikan upah-ganjaran yang setimpal.

Kadang-kadang, saya juga setuju dengan sebahagian yang berpendapat, jika kita berikan sesuatu itu secara percuma, ia tidak akan dihargai. 

Saya juga berpendapat, mereka yang menyertai politik kerana ingin mendapatkan kuasa bagi pihak Islam, adalah mereka yang ikhlas, (pasti ada juga yang diuji dengan niat yang tidak baik!). Maka, kedudukan mereka juga sama dengan orang lain yang masing-masing cuba melakukan kebaikan. Walaupun berbeza lapangan, tetapi matlamat tetap sama iaitu menyebar-luaskan kebaikan.

Apapun, saya lebih gemar untuk mempercayai bahawa, ganjaran yang Allah tentukan untuk mereka yang berbuat kebaikan sebenarnya amat jauh lebih baik daripada ganjaran yang diberikan oleh manusia. Kami(Darul Mubarak) juga pernah mengalami situasi ditipu, walaupun secara jelas dan terang, ia adalah hak yang tidak boleh dinafikan, semoga Allah melimpahkan rahmatNya, mengurniakan taufiq dan hidayah, serta memberikan kesedaran dan ganjaran buat mereka yang benar dan bersabar.


Saya pernah bertemu dengan ramai ustaz-ustaz yang "Totally" fi sabiliLlah. Mereka hanya bergantung kepada Allah dan Rasul. Mereka memenuhi undangan sedaya mampu mereka dan mereka tidak pernah sekali pun diabaikan oleh Allah Ta'ala. Sedang pencuri dan perasuah pun kenyang, inikan pula mereka yang berjuang di jalanNya...

Thursday, September 6, 2012

Anak

Saya sebenarnya masih belum mempunyai pendirian yang konkrit mengenai perancangan keluarga. Saya rasa ada wajarnya kita menjarakkan anak, dalam masa yang sama saya juga percaya kepada taqdir dan rezeki daripada Allah. Memang, bagi anak yang rapat, kebarangkalian untuk berlakunya "kekurangan-kasih-sayang" disebabkan perhatian yang sukar diberikan dalam satu-satu masa, adalah amat tinggi.

Tapi, baru-baru ni saya mendengar ceramah daripada seorang ustaz yang telah dikurniakan 6 orang anak. Dia berkata, anak ni rezeki dan kita tak berhak menghalang. Dan bagi saya, alasan beliau juga baik. Terutama dalam bab penggunaan pil-pil perancang dan kaedah-kaedah yang sememangnya boleh dianggap sebagai bahaya dan "mengubah" takdir Allah.

Mungkin terdapat satu atau dua kes yang benar-benar memerlukan kepada "kaedah perancang keluarga", misalnya melibatkan kesihatan. Ini kerana, ada ibu mengandung yang memerlukan tempoh yang agak lama untuk "kembali mengandung" disebabkan oleh kekurangan darah dan kecederaan yang dialami.

Apapun, biarlah kita pertimbangkan sesuatu itu dengan seluruh dan sepenuhnya, berpandukan kepada syariat dan sunnah kehidupan kita sebagai manusia.

Paling penting, hargai nikmat sebagai seorang hamba, dan hargai nikmat kurniaan anak. Pesanan buat diri.

Pelik bukan, ramai yang mengadu dan mengeluh kerana tidak mempunyai anak, tapi ramai jugak yang mengeluh kerana mempunyai terlalu banyak anak. 

Saya tidak boleh setuju, jika alasan "perancang keluarga" yang mereka gunakan ialah "kedudukan kewangan". Ini alasan yang paing tidak munasabah. Ada juga, yang tak nak anak kerana ingin menjaga kecantikan. Ada juga yang tak nak anak, kerana bimbang berkurangnya kasih sayang antara suami isteri.

Bagi mereka-mereka yang di atas ini (yang bagi alasan pelik2), sememangnya kalau dikurniakan anak sekalipun tetap tidak akan mengubah mentaliti mereka, bahkan mereka cenderung untuk berlaku zalim ke atas diri mereka, lebih-lebih lagi kepada anak yang tidak berdosa. Bagi mereka anak hanyalah beban dan menyusahkan. Sedangkan anak sebenarnya amanah, pengikat kasih sayang, dan penyejuk mata bagi mereka yang beriman dan menghargai nikmat kurniaan Allah.

Ingatlah, rezeki itu, hanya akan terasa nikmatnya, apabila disyukuri..

Bagi yang memberikan alasan kewangan. Tentu kita pernah bertemu dengan mereka yang mempunyai harta berjuta ringgit. Cuba tuan-tuan dan puan-puan tanya kepada mereka, cukupkah harta yang mereka ada?

Saya pernah jumpa orang yang gajinya 5 angka. Dia sendiri tidak pernah cukup dengan gajinya.

Saya pernah jumpa orang yang gajinya rm700, anak 6, tetapi hidupnya sederhana, dan AlhamduliLlah, saya melihat keluarganya lebih "kurang" masalah berbanding keluarga yang hidup "kononnya" mewah.

Sekali lagi, rezeki yang diberikan, hanya akan terasa nikmatnya jika disyukuri.

Rezeki, walaupun sedikit sekiranya dibandingkan, akan lebih memberikan kesan sekiranya disyukuri, berbanding rezeki yang banyak tetapi dipandang sebelah mata.

-untuk diri dan orang lain-

Tuesday, September 4, 2012

Komited

Ketika ramai yang sedang memperkatakan tentang perlaksanaan hudud, ada yang mempertikai, ada yang mengatakan terdapat keringanan dan pengecualian, dan masih ada yang tegas menyatakan komitmen untuk terus memperjuangkan agar undang-undang ini dilaksanakan, mungkin ramai yang terlupa akan hakikat sebenar kehidupan di dunia. 

Hakikatnya, kita tidak berhak mengemukakan apa-apa pandangan selain apa yang diizinkan oleh Allah. Apalagi untuk mengeluarkan pandangan yang menyanggah pandangan Allah. Allah Ta'ala lebih berhak di atas segala sesuatu. Kita pula tidak mempunyai apa-apa hak melainkan tanggungjawab dan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita hanya ada tugas sebagai hamba yang memikul amanah sebagai Khalifah di atas muka bumi ini.

Sebagai seorang muslim saya beriman bahawa Tiada Tuhan yang sebenar, melainkan Allah 'Azzawajalla, dan sesungguhnya Nabi Muhammad adalah hamba utusan Allah yang membawa khabar gembira bagi mereka yang percaya dan amaran buat mereka yang engkar.

Hudud, merupakan salah satu hak Allah yang wajib dilaksanakan. Meskipun, hudud ini sebenarnya adalah salah satu daripada ribuan hak Allah yang wajib ditunaikan, tidak bermakna satu hukuman yang kononnya disifatkan sebagai pecahan kecil boleh dikesampingkan.

Telah ditegaskan bahawa, Allah Ta'ala memerintahkan manusia untuk masuk ke dalam "As-Silmi" (Agama Islam) secara seluruhnya.

Juga, ditempelak manusia yang beriman kepada sebahagian isi kandungan Al-Quran, tetapi menolak sebahagian yang lain. 

Hakikatnya, kita tiada pilihan lain selain daripada beriman kepada seluruh isi kandungan Al-Quran dan memperjuangkan agar seluruh dunia berpedomankan kepada isi kandungan tersebut. Kita tidak punya pilihan lain, jika kita benar-benar beriman kepada Allah.

Saya suka titah Sultan Brunei, "siapakah kita untuk berkata tidak atau nanti dulu, sedangkan kita sudah punya kemampuan?". Katanya kepada sidang parlimen di Negara Brunei Darussalam..

Ini adalah contoh komitmen seorang pemimpin Islam yang diperlukan.

Begitupun kita punya alasan strategi dan pelbagai, kita sewajarnya tetap terus berpegang dengan ajaran Allah dan beriman terhadap kewajaran seluruh isi kandungannya dilaksanakan.

Antara Yang Menarik