Semalam, saya sempat berbual dengan seorang ustaz, mantan ketua pemuda Pas Kawasan Parit. Beliau merupakan Imam, guru agama di surau berdekatan rumah saya, dan juga merupakan seorang guru agama di salah sebuah sekolah di tempat saya tinggal. Kami berbincang mengenai tajuk kuliah yang disampaikan di surau berkenaan. Ketika sedang kami berbincang, saya cuba mencadangkan kitab Fiqh Sunnah karangan Sheikh Syed Sabiq.
Beliau menyatakan bahawa kitab tersebut diakui sendiri oleh pengarang, bahawa pengarang menulis kitab tersebut pada usia yang terlalu muda, iaitu ketika pengarang berusia 20 tahun, dan beliau mengarang kitab tersebut dalam penjara.
"Umur 20 tahun dah karang kitab, dalam penjara pulak tu," kata ustaz tersebut.
SubhanaLlah, mengarang kitab yang hebat ketika berumur 20 tahun memang perkara yang amat luar biasa. Bahkan seawal umur 20 tahun telah merasai pengalaman di penjara. Penjara sememangnya bukanlah tempat untuk orang yang baik-baik. Namun, semestinya bagi insan sehebar Al-Marhum, beliau dipenjarakan kerana beliau merupakan ancaman kepada pemerintah yang zalim.
Di Malaysia sendiri, ramai para ustaz yang dipenjarakan dan "digam" kerana kononnya boleh menimbulkan huru-hara dan menyampaikan ceramah yang berbentuk hasutan.
Kembali kepada persoalan utama, kenapa di Malaysia, khususnya, jarang sekali kita berjumpa dengan pemuda yang mempunyai ketokohan seperti Al-Marhum, mahupun Asy-Syahid Hassan Al-Banna?
Di manakah kita ketika berusia 20 tahun? Apakah sumbangan kita untuk agama ketika kita berumur 20 tahun? Apakah kegiatan utama kita ketika berusia 20 tahun? Berapakah buku yang pernah kita terbitkan? Berapa pula buku yang telah kita habiskan membacanya?
Rata-rata, kita disibukkan dengan pengajian, yang kononnya menjadi aset penting untuk masa depan. Ada juga yang sibuk mencari jodoh. Tidak kurang mereka yang "menikmati" usia muda yang liar dan bertenaga. Sudahnya, fikiran kita jarang sekali menumpukan ke arah maslahat ummah. Kita lebih cenderung memikirkan kepentingan diri kita dan masa depan kita sedang dalam masa yang sama, kita semakin ketandusan pemimpin yang berwibawa.
Masa saya semakin suntuk. begitu juga masa kalian. Jom, kita kurangkan masa bermain, perlahan-lahan kita bunuh masa lapang kita dengan aktiviti yang bermanfaat. Semoga sentiasa tergolong di kalangan mereka yang untung. Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
1 comment:
tuan boleh memulakannya, menulis untuk perubahan...
Post a Comment