Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, September 26, 2012

Lihat Kampusku Yang Malang....

Suasana ceria dan bersemangat pasti menyelubuni warga UM dan UKM kerana kejayaan Pro-M dan Gabungan Mahasiswa mengekalkan penguasaan mereka. Namun, bagi saya keputusan pilihanraya kampus semalam adalah berita malang buat semua pendokong keadilan dan kebenaran di Malaysia. 


Sudah semestinya, sebagai pendokong kebenaran, saya dan ramai rakyat Malaysia yang lain benar-benar mengharapkan keputusan pilihanraya kampus pada kali ini tidak terlalu memihak kepada calon Mahasiswa yang membawa aliran "kerajaan". Umum mengetahui kerajaan tidak begitu komited memastikan demokrasi di Malaysia ini terpelihara. Ternyata, Kerajaan bukan sahaja tidak mampu menjaga demokrasi di Malaysia, bahkan mereka juga mencampuri urusan demokrasi di kampus sehingga begitu banyak rungutan yang didengari.

Walaubagaimanapun, faktor campur tangan "kerajaan" sebenarnya adalah faktor luaran. Terdapat faktor yang lebih besar yang perlu diambil perhatian hasil daripada keputusan pilihanraya kampus ini, iaitu faktor Mahasiswa itu sendiri. Memang, Kerajaan UMNO-BN yang ada pada hari ini sememangnya kerajaan yang sudah lama rosak, ibarat retak menanti belah. Maka, sandaran dan harapan sebenarnya terletak pada bahu Mahasiswa. 

Negara akan hancur sekiranya rakyatnya bersikap tidak ambil peduli. Sekiranya kuasa jahat dibiarkan berleluasa, maka kuasa jahat itu akan membawa kehancuran yang teramat sangat. Lord Acton menyebut, "Power is tends to corrupt, absolute power corrupt absolutely".

Begitu juga apa yang akan berlaku di universiti-universiti di Malaysia, akan mengalami kehancuran dek kerana sikap Mahasiswa yang tidak ambil peduli terhadap hal yang berlaku di sekeliling mereka. Pilihanraya, bukanlah suatu hal yang boleh dipandang rendah. Ia melibatkan kepentingan seluruh masyarakat kampus. Sekalipun autoriti dan autonomi Majlis Perwakilan Mahasiswa di kampus berkenaan adalah terhad, namun ia tetap memberikan gambaran mengenai tahap pemikiran Mahasiswa.

Ironinya, jika hal sekecil ini pun tidak dapat diselesaikan dengan baik, bagaimana pula ingin disandarkan harapan untuk menentukan nasib negara pada masa akan datang?

Mahasiswa adalah golongan cerdik pandai yang sewajarnya terdedah kepada lebih banyak maklumat dan pengetahuan. Namun, saya merasakan golongan Mahasiswa yang ada pada hari ini, sebahagiannya tidak mengambil berat akan apa yang berlaku di sekitar mereka. Hasilnya, mereka ini samalah seperti katak di bawah tempurung yang sama sekali  tidak tahu mengenai apa yang berlaku di luar tempurung mereka.

Malaysia memerlukan ghulam yang sanggup mengorbankan dirinya lalu menjadi asbab kepada petunjuk bagi ribuan penduduk negerinya. Pengorbanan sehingga mampu menggoncangkan kerajaan zalim yang ada pada hari itu. Malaysia juga memerlukan pemuda gua yang tegar memelihara keimanan, bangun dan bangkit untuk menyatakan kebenaran. Semoga detik malang ini tidak berulang pada Pilihanraya Umum di Malaysia.

No comments:

Antara Yang Menarik