Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, November 21, 2019

Ulang kenang...

Saya baca dalam buku tulisan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, La Tahzan, bahawa perkara silam yang telah berlalu tidak boleh diungkit, dikenang apalagi untuk disesali. Pun begitu, saya percaya menyingkap kisah silam dibenarkan jika ianya dapat memberi manfaat kepada diri kita.

Kisah perjalanan hidup saya tidaklah sehebat atau selayaknya untuk dijadikan pengajaran dan teladan. Walaubagaimanapun, saya kongsikan dengan harapan diri saya sendiri ingat dan sedar bahawa keputusan dan pilihan yang telah berlaku dan berlalu sebenarnya adalah hikmah untuk masa depan yang lebih baik.

Saya seorang pelajar yang boleh dikatakan cerdik dan pintar. Sepanjang saya bersekolah rendah, tiada satu pun hari anugerah kecemerlangan yang diadakan di sekolah melainkan nama dan diri saya tercatat dalam senarai penerima anugerah. Saya hampir pasti dan berkeyakinan penuh bahawa saya mampu beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada ketika itu.

Apalagi keputusan percubaan saya ialah 4A1B, jadi saya mula menanam impian dan harapan untuk menempatkan diri saya di salah sebuah sekolah berprestij pada ketika itu. MRSM, SAB, SBP adalah antara sekolah-sekolah yang menjadi impian saya untuk saya masuki.

Pendek cerita, hari keputusan diumumkan, ketika itu saya di kampung kerana kematian opah sebelah ayah. Melalui panggilan telefon, saya mengubungi guru saya, Allahyarham Cikgu Anuar Sadat, guru matematik kesayangan saya, dan beliau memaklumkan keputusan saya ialah 2A3B. Saya terdiam dan terpaku, ketika itu masih di kawasan perkuburan. Air mata kekecewaan mengalir dan menitis. Saya masih ingat bicaranya, "Sabar ye Farid, awak dapat 2A3B," ujarnya melalui perhubungan melalui telefon tersebut.

Allah saja yang tahu betapa remuk, berkecai dan longlainya saya pada ketika itu kerana menerima keputusan yang demikian.

Saya tidak begitu pantas sembuh dari luka menerima keputusan yang tidak saya sangka, dan jauh dari apa yang saya harapkan itu. Namun harapan untuk bersekolah di asrama masih ada, kerana bapa saudara saya mencadangkan agar saya masuk ke sekolah biasa, berasrama harian, dan memiliki rancangan khas Bahasa Arab.

Terus terang, saya tidak begitu menggemari Bahasa Arab, kerana kerap kali ponteng sekolah agama, dan kali terakhir saya bersekolah agama petang ialah ketika di darjah 4. Prestasi dalam kelas pendidikan Islam juga tidak begitu baik. Namun, semangat ingin belajar di asrama dan menempuh pengalaman baru bersekolah di asrama masih tinggi dan saya menerima dengan hati yang lapang untuk bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Shah, Parit, Perak.

Bersekolah di luar bandar, dengan persekitaran dan suasana kampung begitu sesuai dengan jiwa saya. 3 tahun yang singkat merupakan titik permulaan anjakan paradigma keseluruhan hidup saya. Hasilnya ialah 9A PMR dan berjaya menempatkan diri ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang. Antara SBP dan SMKA yang terbaik di Malaysia.

Memperolehi 7A4B bukanlah keputusan yang boleh dibanggakan, akan tetapi saya berjaya menempatkan diri ke Program Matrikulasi dan kemudiannya melayakkan diri ke Universiti Kebangsaan Malaysia. 

UKM adalah perbukitan ilmu yang sangat hebat dan banyak membentuk fikiran, jiwa dan diri saya seluruhnya. Saya juga bertemu jodoh di sana.

Fast Forward, nah saya kini menjadi seorang Guru Besar di SRITI At-Ta'alim Seri Iskandar, dan beberapa tugas lain yang tidak kurang mencabar bagi diri saya.

Naik turun, susah senang, kalah menang, sebenarnya bukan dinilai pada mana-mana titik persimpangan dalam kehidupan. Titip terpenting dalam kehidupan yang sebenarn ialah detik kematian dan kemenangan pula tidak diukur dari kejayaan, tetapi dari usaha dan amal berterusan yang senantiasa mengharap keampunan dan keredhaan Tuhan.

Hikmah terbesar dari segala bentuk kejayaan dan kegagalan bukanlah apabila kita menilai sesuatu itu diperolehi atau terlepas dari genggaman. Persoalan diri kita hanyalah picisan sebaliknya yang utama yang perlu dilihat ialah hikmah setiap kejadian nak mengajak kita supaya sentiasa rasa diri berTuhan. 

Bukankah setiap yang kita alami itu untuk pengajaran diri kita sendiri, dan kita diuji oleh Allah Ta'ala atas segala susah dan senang untuk kita kembalikan segala puji dan puja kepadaNya
Gambar ketika darjah 5 mewakili Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana dalam pertandingan Choral Speaking Negeri Selangor, Naib Johan.

Gambar kelas 503 DI Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS, Kelang.

Gambar Tahun Pertama di UKM

Ni masa nakal di tahun akhir UKM.

Gambar Baru kahwin, come on... 

Keluarga kecik saya, baru bertujuh.
.

Tak penting apa yang kita dapat hari ini, jika yang kita lihat hanyalah pada akal dan kemampuan kita. Bukanlah kaya itu apabila seseorang itu banyak hartanya, tetapi kaya itu ialah kaya jiwanya dan tidak bergantung kepada selain Tuhannya..
 

Saturday, November 16, 2019

Kemenangan BN di Tanjung Piai dan Kesannya Terhadap Survival Umat Islam

Muafakat Nasional telah membuat satu keputusan yang bukan sahaja berani, malah mengejutkan ramai pihak apabila menghantar calon MCA untuk bertanding di Pilihanraya Kecil Tanjung Piai.

Penetapan calon bukan Islam dilihat seperti bertentangan dengan prinsip Muafakat Nasional yang berkehendakkan kuasa politik Islam dan Melayu bertambah di Parlimen.

Perkara ini dilihat bukan sahaja memberi tamparan yang besar kepada sebahagian besar ahli kedua-dua Parti iaitu UMNO dan PAS, malah ianya dilihat seolah-olah bola tanggung yang diberikan kepada Pakatan Harapan untuk menghentam dan memperkecilkan agenda Islam dan Melayu yang diperjuangkan baru-baru ini.

Kononnya apabila calon bukan Islam dipilih, dan lawan kepada calon itu pula adalah calon Muslim dari Pakatan Harapan, ditambah dengan gelaran Imam yang dimilikinya, maka sepatutnya penyokong kedua-dua parti, UMNO dan PAS, sepatutnya memberikan sokongan kepada meramaikan MP Muslim di Parlimen.

1. Meramaikan MP Muslim adalah perlu, namun menambah MP dari kalangan PH, walau bergelar Ustaz sekalipun adalah suatu perkara yang sia-sia dan tidak akan dapat membela nasib orang Melayu dan Islam. Jika PH serius dalam hal membela Islam, jumlah MP muslim dengan jawatan penting yang sedia ada mereka miliki tidak sepatutnya menjadikan Islam dan Umat Islam menjadi semakin tertekan.

2. Kedudukan MP PH sebagai Menteri Agama, adalah bukti jelas bahawa MP PH tidak berupaya menjadi sandaran untuk mempertahankan dan membangunkan Islam dan umatnya di Malaysia. Sebaliknya, MP PH ini menjadi ancaman bahaya yang cukup besar bahkan memberikan mudarat yang sangat hebat jika terus dibiarkan berkuasa.

3. Adakah MP BN dari kalangan bukan Islam boleh diharapkan untuk membela Islam? Bukankah mereka juga menunjukkan sikap permusuhan mereka dengan agenda Islam? Tidak dapat disangkal, dinding pemisah antara bukan Islam dan Islam di Malaysia ini masih tebal dan pemimpin bukan Islam seringkali menjadikan permusuhan dengan Islam sebagai loncatan untuk mendapatkan kepercayaan daripada pengundi bukan Islam. Seolah-olah jika mereka terlalu tunduk kepada Islam dan agendanya, maka dia tidak dapat membela nasib kaumnya. Ini adalah kenyataan yang pahit, namun hakikat sebenar yang sedang berlaku di Malaysia.

4. Justeru meletakkan calon bukan Islam dalam PRK Tanjung Piai bukanlah misi utamanya untuk membela Melayu dan Islam. Namun, ianya lebih kepada strategi jangka masa lebih panjang iaitu bentuk sokongan yang bakal diterjemahkan dalam PRU-15. Ini adalah misi yang jauh lebih penting dalam PRK Tanjung Piai pada kali ini.

5. Jika MN berdegil ingin meletakkan calon Melayu, maka kita tidak akan dapat melihat bentuk sokongan bukan Islam kepada BN dan PAS. Malah, MN akan dilihat sebagai satu gerakan rasis yang meminggirkan nasib bukan Islam. Sedangkan MN bertujuan menyatupadukan Melayu dan Islam, begitu juga semua rakyat berbilang kaum, keluar dari kerangka politik perkauman yang sempit dan memberi fokus kepada agenda perpaduan nasional, di mana Melayu dan Islam adalah sebagai teras dan tonggak utama.

6. Keadilan bukanlah boleh dilihat dari kesama-rataan, sebaliknya keadilan itu berlaku apabila kita memberikan kedudukan dan penilaian yang tepat berdasarkan kepada keadaan-keadaan tertentu. Malaysia adalah negara yang majoriti umatnya adalah Islam dan Melayu sebagai pemilik dan penghuni asal, mempunyai hak istimewa yang WAJIB dihormati oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ini adalah kata kunci utama bagi membantuk kesepakatan dan perpaduan yang baik di kalangan rakyat Malaysia.

7. Justeru kemenangan di Tanjung Piai memberikan kesan yang sangat positif kepada perkembangan politik di Malaysia. Antaranya


i. PH terus menerus ditolak oleh rakyat, bukan sahaja Islam bahkan bukan Islam turut menunjukkan kemarahan mereka.

ii. MN mampu memberikan alternatif terbaik buat rakyat Malaysia ke arah kestabilan politik, ekonomi, agama dan budaya.

iii. MN bukanlah perjuangan rasis dan kejayaan di Tanjung Piai adalah jawapan tuntasnya.

iv. Agenda Melayu dan Islam tetap menjadi keutamaan dan ianya akan terus diperjuangkan dalam MN.

Thursday, November 14, 2019

Hati Kalis Api


Sekuat mana, setebal mana pun sebuah kereta perisai, pasti akan ada titik kelamahan, dan akan musnah juga apabila terkena ledakan bom. Ketahanan dinding ada batas kekuatannya.

Demikian hati, namun musuhnya bukanlah peluru, bukan juga ledakan bom, tetapi musuh bagi hati ialah api. Api kebencian, api kemarahan, api kesedihan, kedengkian dan macam-macam bentuk api yang walaupun berbeza namanya, sifatnya sama iaitu menghancurkan.

Memiliki kalis api, bukan sahaja dapat menepis segala bentuk kebencian, kemarahan, kesedihan kedengkian, bahkan yang paling hebat, ianya kalis api neraka yang menghancurkan.


Bagaimana memiliki hati kalis api? Hadir beramai-ramai ke majlis ilmu, mudah-mudahan Pemilik Hati kita redha dan mengurniakan kita hati yang kalis api...

Tuesday, November 12, 2019

Daurah Luqman Al-Hakim, Program Istimewa Cuti Sekolah


Tercari-cari Program Menarik Cuti Sekolah untuk mengisi masa anak-anak?

Kami tawarkan program 7 dalam 1...


Ada hafazan, Tadabbur, smart solat, aktiviti berkumpulan, ceramah dan motivasi, permainan interaktif, dan ISTIMEWA program Qiamullail dan Zikir Munajat sebagai program Kemuncak.


Anak-anak belum mahir membaca Al-Quran?

Tiada masalah kerana kami akan isi dengan kelas Intensif Iqra', dengan sasaran MAMPU MEMBACA Al-Quran dalam tempoh 10 hari.


Untuk mendaftar, hubungi

013-6727827 (Ustaz Farid)
013-3664574 (Ustazah Sakinah)



Monday, November 11, 2019

Antara Nyata dan Ilusi

Apa yang kita nampak,rasa,dengar, hidu bahkan semua yang kita telan semuanya adalah satu ilusi. Hakikat kejadian yang perlu kita sedar bahawa kewujudan kita juga sebenarnya adalah ilusi.

Dahulu, sebelum kita lahir, kita tidak punya nama, dan kewujudan kita bukan sahaja tidak dikenali bahkan tidak pernah dibayangkan keadaan dan rupanya. Kemudian kita lahir dan menempati sudut yang sangat kecil di atas muka bumi ini. Anehnya, kelahiran kita hanya disedari oleh mereka yang dekat, sedang dunia ini hakikatnya tidak pernah terkesan dengan kelahiran kita.

Kemudian tatkala kita sudah membesar, kita mula mencorak dunia dan kehidupan kita mengikut selera kita sendiri. 

Hanya beberapa ketika, kemudiannya kita akan kembali semua kepada keadaan asal iaitu tiada.
Kita jarang sekali sedar, sebenarnya sangat sedikit masa yang diberikan oleh Allah untuk kita bernafas. Kemudian jantung kita berhenti kerana kontrak hayat yang telah tamat. Maka segala yang kita lihat, dengar, hidu, bahkan semua yang pernah kita miliki tatkala hidup akan kita tinggalkan. Tiada satu pun yang dibawa bersama kecuali amal.

Demikianlah keadaan hidup kita. Terpedaya dengan dunia, bahkan terpedaya dengan kelebihan atau kekurangan diri sendiri, yang hakikatnya tidak lebih dari sekadar ilusi. Hadirnya tidak terkesan, kehilangan pula tidak dirasai.
Begitu sekali nilai dunia ini untuk kita banggakan.

Yang nyata hanyalah Dia Yang Maha Wujud, Nyata dan Hakikat segalanya.

Maka pujian kepadaNya lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya. Tiada nilai selain pujian kepadaNya, dan demikian kita dan kehidupan kita tidak bernilai jika tidak mengembalikan segala puji kepadaNya.





Dengan NamaNya kita hidup, dan dengan NamaNya juga kita mati....



Antara Yang Menarik