Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, November 21, 2019

Ulang kenang...

Saya baca dalam buku tulisan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, La Tahzan, bahawa perkara silam yang telah berlalu tidak boleh diungkit, dikenang apalagi untuk disesali. Pun begitu, saya percaya menyingkap kisah silam dibenarkan jika ianya dapat memberi manfaat kepada diri kita.

Kisah perjalanan hidup saya tidaklah sehebat atau selayaknya untuk dijadikan pengajaran dan teladan. Walaubagaimanapun, saya kongsikan dengan harapan diri saya sendiri ingat dan sedar bahawa keputusan dan pilihan yang telah berlaku dan berlalu sebenarnya adalah hikmah untuk masa depan yang lebih baik.

Saya seorang pelajar yang boleh dikatakan cerdik dan pintar. Sepanjang saya bersekolah rendah, tiada satu pun hari anugerah kecemerlangan yang diadakan di sekolah melainkan nama dan diri saya tercatat dalam senarai penerima anugerah. Saya hampir pasti dan berkeyakinan penuh bahawa saya mampu beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR pada ketika itu.

Apalagi keputusan percubaan saya ialah 4A1B, jadi saya mula menanam impian dan harapan untuk menempatkan diri saya di salah sebuah sekolah berprestij pada ketika itu. MRSM, SAB, SBP adalah antara sekolah-sekolah yang menjadi impian saya untuk saya masuki.

Pendek cerita, hari keputusan diumumkan, ketika itu saya di kampung kerana kematian opah sebelah ayah. Melalui panggilan telefon, saya mengubungi guru saya, Allahyarham Cikgu Anuar Sadat, guru matematik kesayangan saya, dan beliau memaklumkan keputusan saya ialah 2A3B. Saya terdiam dan terpaku, ketika itu masih di kawasan perkuburan. Air mata kekecewaan mengalir dan menitis. Saya masih ingat bicaranya, "Sabar ye Farid, awak dapat 2A3B," ujarnya melalui perhubungan melalui telefon tersebut.

Allah saja yang tahu betapa remuk, berkecai dan longlainya saya pada ketika itu kerana menerima keputusan yang demikian.

Saya tidak begitu pantas sembuh dari luka menerima keputusan yang tidak saya sangka, dan jauh dari apa yang saya harapkan itu. Namun harapan untuk bersekolah di asrama masih ada, kerana bapa saudara saya mencadangkan agar saya masuk ke sekolah biasa, berasrama harian, dan memiliki rancangan khas Bahasa Arab.

Terus terang, saya tidak begitu menggemari Bahasa Arab, kerana kerap kali ponteng sekolah agama, dan kali terakhir saya bersekolah agama petang ialah ketika di darjah 4. Prestasi dalam kelas pendidikan Islam juga tidak begitu baik. Namun, semangat ingin belajar di asrama dan menempuh pengalaman baru bersekolah di asrama masih tinggi dan saya menerima dengan hati yang lapang untuk bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Shah, Parit, Perak.

Bersekolah di luar bandar, dengan persekitaran dan suasana kampung begitu sesuai dengan jiwa saya. 3 tahun yang singkat merupakan titik permulaan anjakan paradigma keseluruhan hidup saya. Hasilnya ialah 9A PMR dan berjaya menempatkan diri ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang. Antara SBP dan SMKA yang terbaik di Malaysia.

Memperolehi 7A4B bukanlah keputusan yang boleh dibanggakan, akan tetapi saya berjaya menempatkan diri ke Program Matrikulasi dan kemudiannya melayakkan diri ke Universiti Kebangsaan Malaysia. 

UKM adalah perbukitan ilmu yang sangat hebat dan banyak membentuk fikiran, jiwa dan diri saya seluruhnya. Saya juga bertemu jodoh di sana.

Fast Forward, nah saya kini menjadi seorang Guru Besar di SRITI At-Ta'alim Seri Iskandar, dan beberapa tugas lain yang tidak kurang mencabar bagi diri saya.

Naik turun, susah senang, kalah menang, sebenarnya bukan dinilai pada mana-mana titik persimpangan dalam kehidupan. Titip terpenting dalam kehidupan yang sebenarn ialah detik kematian dan kemenangan pula tidak diukur dari kejayaan, tetapi dari usaha dan amal berterusan yang senantiasa mengharap keampunan dan keredhaan Tuhan.

Hikmah terbesar dari segala bentuk kejayaan dan kegagalan bukanlah apabila kita menilai sesuatu itu diperolehi atau terlepas dari genggaman. Persoalan diri kita hanyalah picisan sebaliknya yang utama yang perlu dilihat ialah hikmah setiap kejadian nak mengajak kita supaya sentiasa rasa diri berTuhan. 

Bukankah setiap yang kita alami itu untuk pengajaran diri kita sendiri, dan kita diuji oleh Allah Ta'ala atas segala susah dan senang untuk kita kembalikan segala puji dan puja kepadaNya
Gambar ketika darjah 5 mewakili Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana dalam pertandingan Choral Speaking Negeri Selangor, Naib Johan.

Gambar kelas 503 DI Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS, Kelang.

Gambar Tahun Pertama di UKM

Ni masa nakal di tahun akhir UKM.

Gambar Baru kahwin, come on... 

Keluarga kecik saya, baru bertujuh.
.

Tak penting apa yang kita dapat hari ini, jika yang kita lihat hanyalah pada akal dan kemampuan kita. Bukanlah kaya itu apabila seseorang itu banyak hartanya, tetapi kaya itu ialah kaya jiwanya dan tidak bergantung kepada selain Tuhannya..
 

No comments:

Antara Yang Menarik