Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, November 11, 2019

Antara Nyata dan Ilusi

Apa yang kita nampak,rasa,dengar, hidu bahkan semua yang kita telan semuanya adalah satu ilusi. Hakikat kejadian yang perlu kita sedar bahawa kewujudan kita juga sebenarnya adalah ilusi.

Dahulu, sebelum kita lahir, kita tidak punya nama, dan kewujudan kita bukan sahaja tidak dikenali bahkan tidak pernah dibayangkan keadaan dan rupanya. Kemudian kita lahir dan menempati sudut yang sangat kecil di atas muka bumi ini. Anehnya, kelahiran kita hanya disedari oleh mereka yang dekat, sedang dunia ini hakikatnya tidak pernah terkesan dengan kelahiran kita.

Kemudian tatkala kita sudah membesar, kita mula mencorak dunia dan kehidupan kita mengikut selera kita sendiri. 

Hanya beberapa ketika, kemudiannya kita akan kembali semua kepada keadaan asal iaitu tiada.
Kita jarang sekali sedar, sebenarnya sangat sedikit masa yang diberikan oleh Allah untuk kita bernafas. Kemudian jantung kita berhenti kerana kontrak hayat yang telah tamat. Maka segala yang kita lihat, dengar, hidu, bahkan semua yang pernah kita miliki tatkala hidup akan kita tinggalkan. Tiada satu pun yang dibawa bersama kecuali amal.

Demikianlah keadaan hidup kita. Terpedaya dengan dunia, bahkan terpedaya dengan kelebihan atau kekurangan diri sendiri, yang hakikatnya tidak lebih dari sekadar ilusi. Hadirnya tidak terkesan, kehilangan pula tidak dirasai.
Begitu sekali nilai dunia ini untuk kita banggakan.

Yang nyata hanyalah Dia Yang Maha Wujud, Nyata dan Hakikat segalanya.

Maka pujian kepadaNya lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya. Tiada nilai selain pujian kepadaNya, dan demikian kita dan kehidupan kita tidak bernilai jika tidak mengembalikan segala puji kepadaNya.





Dengan NamaNya kita hidup, dan dengan NamaNya juga kita mati....



No comments:

Antara Yang Menarik