Muafakat Nasional telah membuat satu keputusan yang bukan sahaja berani, malah mengejutkan ramai pihak apabila menghantar calon MCA untuk bertanding di Pilihanraya Kecil Tanjung Piai.
Penetapan calon bukan Islam dilihat seperti bertentangan dengan prinsip Muafakat Nasional yang berkehendakkan kuasa politik Islam dan Melayu bertambah di Parlimen.
Perkara ini dilihat bukan sahaja memberi tamparan yang besar kepada sebahagian besar ahli kedua-dua Parti iaitu UMNO dan PAS, malah ianya dilihat seolah-olah bola tanggung yang diberikan kepada Pakatan Harapan untuk menghentam dan memperkecilkan agenda Islam dan Melayu yang diperjuangkan baru-baru ini.
Kononnya apabila calon bukan Islam dipilih, dan lawan kepada calon itu pula adalah calon Muslim dari Pakatan Harapan, ditambah dengan gelaran Imam yang dimilikinya, maka sepatutnya penyokong kedua-dua parti, UMNO dan PAS, sepatutnya memberikan sokongan kepada meramaikan MP Muslim di Parlimen.
1. Meramaikan MP Muslim adalah perlu, namun menambah MP dari kalangan PH, walau bergelar Ustaz sekalipun adalah suatu perkara yang sia-sia dan tidak akan dapat membela nasib orang Melayu dan Islam. Jika PH serius dalam hal membela Islam, jumlah MP muslim dengan jawatan penting yang sedia ada mereka miliki tidak sepatutnya menjadikan Islam dan Umat Islam menjadi semakin tertekan.
2. Kedudukan MP PH sebagai Menteri Agama, adalah bukti jelas bahawa MP PH tidak berupaya menjadi sandaran untuk mempertahankan dan membangunkan Islam dan umatnya di Malaysia. Sebaliknya, MP PH ini menjadi ancaman bahaya yang cukup besar bahkan memberikan mudarat yang sangat hebat jika terus dibiarkan berkuasa.
3. Adakah MP BN dari kalangan bukan Islam boleh diharapkan untuk membela Islam? Bukankah mereka juga menunjukkan sikap permusuhan mereka dengan agenda Islam? Tidak dapat disangkal, dinding pemisah antara bukan Islam dan Islam di Malaysia ini masih tebal dan pemimpin bukan Islam seringkali menjadikan permusuhan dengan Islam sebagai loncatan untuk mendapatkan kepercayaan daripada pengundi bukan Islam. Seolah-olah jika mereka terlalu tunduk kepada Islam dan agendanya, maka dia tidak dapat membela nasib kaumnya. Ini adalah kenyataan yang pahit, namun hakikat sebenar yang sedang berlaku di Malaysia.
4. Justeru meletakkan calon bukan Islam dalam PRK Tanjung Piai bukanlah misi utamanya untuk membela Melayu dan Islam. Namun, ianya lebih kepada strategi jangka masa lebih panjang iaitu bentuk sokongan yang bakal diterjemahkan dalam PRU-15. Ini adalah misi yang jauh lebih penting dalam PRK Tanjung Piai pada kali ini.
5. Jika MN berdegil ingin meletakkan calon Melayu, maka kita tidak akan dapat melihat bentuk sokongan bukan Islam kepada BN dan PAS. Malah, MN akan dilihat sebagai satu gerakan rasis yang meminggirkan nasib bukan Islam. Sedangkan MN bertujuan menyatupadukan Melayu dan Islam, begitu juga semua rakyat berbilang kaum, keluar dari kerangka politik perkauman yang sempit dan memberi fokus kepada agenda perpaduan nasional, di mana Melayu dan Islam adalah sebagai teras dan tonggak utama.
6. Keadilan bukanlah boleh dilihat dari kesama-rataan, sebaliknya keadilan itu berlaku apabila kita memberikan kedudukan dan penilaian yang tepat berdasarkan kepada keadaan-keadaan tertentu. Malaysia adalah negara yang majoriti umatnya adalah Islam dan Melayu sebagai pemilik dan penghuni asal, mempunyai hak istimewa yang WAJIB dihormati oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ini adalah kata kunci utama bagi membantuk kesepakatan dan perpaduan yang baik di kalangan rakyat Malaysia.
7. Justeru kemenangan di Tanjung Piai memberikan kesan yang sangat positif kepada perkembangan politik di Malaysia. Antaranya
i. PH terus menerus ditolak oleh rakyat, bukan sahaja Islam bahkan bukan Islam turut menunjukkan kemarahan mereka.
ii. MN mampu memberikan alternatif terbaik buat rakyat Malaysia ke arah kestabilan politik, ekonomi, agama dan budaya.
iii. MN bukanlah perjuangan rasis dan kejayaan di Tanjung Piai adalah jawapan tuntasnya.
iv. Agenda Melayu dan Islam tetap menjadi keutamaan dan ianya akan terus diperjuangkan dalam MN.
No comments:
Post a Comment