Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, December 30, 2009

Ujian mengikut tingkatan.

Saya percaya walau di tingkatan mana sekalipun manusia itu, dia sebenarnya mengalami ujian seberat ujian manusia-manusia yang lain. Ujian yang dikenakan ke atas manusia itu semestinya sesuai dengan tingkatannya. Misalnya, spiderman akan bertembung dengan Dr Octopus, sedangkan ultraman Tiga pula akan bertembung dengan Raksasa Ohiko yang saiz dan keupayaannya lebih kurang sama. Walaupun dalam kedua-dua pertembungan ini, watak yang baik sudah pasti akan menewaskan watak yang jahat, namun adatnya manusia akan diuji dengan ujian yang setara dengan kemampuan.

Pengajaran yang pertama ialah, semua manusia pasti akan diuji. Jika kita tidak mahu diuji, berdoalah supaya ditukarkan kepada kayu atau besi buruk yang hanya menunggu masa untuk dimusnahkan. Sementara masih bergelar manusia, ujian adalah rakan karib yang akan menemani kita setiap detikan masa.

Pengajaran kedua, manusia diuji mengikut tingkatan. Pakcik Spiderman pernah berpesan, "A great power, comes with greater responsible". Perdana Menteri akan diuji dengan pengurusan dan pentadbiran sebesar sebuah negara. Menteri Besar akan diuji dengan pengurusan dan pentadbiran sebesar sebuah negeri. Petani akan diuji dengan peertanian, usahawan akan diuji dengan cabaran perniagaan, begitu juga guru, kerani, dan pelajar sekalipun, semuanya akan diuji dengan kemampuan yang setara dengannya.

Ketiga, ujian menentukan tingkatan. Allah Ta'ala mengingatkan,

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" Al-Ankabut, 29:2.

Natijahnya, selepas sesuatu ujian itu berlalu, tingkatan kita diukur berdasarkan kejayaan kita menempuhi ujian itu dan menghadapinya dengan jayanya. Bagi mereka yang berkata mereka Islam, mereka akan diuji dengan ibadah Fardhu sehari semalam. Sekiranya mereka mampu melengkapkan kesemua rukun Islam, barulah dikatakan mereka sebagai seorang Islam. Setelah itu, mereka akan diuji dengan kepercayaan mereka terhadap Tuhan Yang Maha Esa, apakah mereka benar-benar bergantung hanya kepadaNya. Diuji dengan kepatuhan terhadap pesanan dan amaran Rasul, kandungan Kitab-kitab suci yang diturunkan, kepercayaan terhadap adanya hari kebangkitan dan juga terhadap Qada' dan Qadar Allah Ta'ala.

Setelah mereka berjaya melepasi ujian ini, barulah dikatakan bahawa mereka ini tergolong orang-orang yang beriman. Bagi yang beriman, mereka akan berdepan pula dengan ujian keikhlasan, bagi menentukan adakah niat mereka bersih kerana Allah Ta'ala? Sama seperti mereka yang baru lahir, diuji dengan merangkak, kemudian berjalan, dan akhirnya berlari.

Semua manusia, beginilah sifat ujiannya.

Pengajaran terakhir, kita mampu mengubahnya. Janji Allah Ta'ala di dalam Al-Quran, bahawa Allah Ta'ala tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri. Dan ingatan yang paling kerap meniti di bibir kita,

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya
..." Al-Baqarah, 2:286.

Kita diberikan kelebihan akal yang menjadikan kita wakil pemerintahan di dunia. Bermakna keupayaan kita tidak terbatas di rumah, di fakulti, di kolej, dalam persatuan, mahupun di dalam syarikat tempat kita bekerja semata-mata. Kita sebenarnya mampu untuk mengubah dunia ini sekiranya kita benar-benar berusaha dan bergerak ke arahnya.

Allah Ta'ala Maha Pemurah, Maha Adil dan Maha Bijaksana. Dia memberikan keputusan yang terbaik untuk kita. Terbaik mengikut sukatan dan tingkatan kita sendiri. Jika baik amal kita, maka baiklah natijahnya. Namun, sebagai seorang Muslim, kita mempunyai kelebihan yang tidak terhitung banyaknya kerana kita bertuhankan Allah, Tuhan sekalian Alam, Yang Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Kerana kelebihan ini, maka kita sepatutnya menjadi manusia yang terakhir untuk putus asa dengan kehidupan. Teruskan perjuangan.


Thursday, December 17, 2009

Hijrah

Alhamdulillah. Kita telah memasuki ke tahun baru 1431. Kita dianjurkan untuk membaca doa hujung dan awal tahun. Simbolik kepada muhasabah kepada setahun yang telah berlalu dan azam untuk setahun yang mendatang.

Sejenak mengenang iman dan amal saya sepanjang tahun 1430 yang lalu, saya merasakan diri ini begitu kerdil dan lemah di sisiNya. Terlalu sedikit yang mampu saya lakukan untuk mengubah diri saya apalagi untuk menyumbang dan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Pilihanraya kampus, di tangkap dalam demonstrasi, berkhidmat sebagai pembantu Ahli Majlis MPKj, belajar dan mengajar di Fakulti, pertama kali mengikuti daurah di Baitul Qura', dijemput untuk mengisi slot bersama adik-adik dalam program KSQ, dan saya akhiri tahun 1430 dengan kembara bersama-sama sahabat-sahabat di kelantan seterusnya berpeluang untuk bertemu muka dengan insan istimewa yang sangat saya kagumi, Dato' Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang tahun ini, namun masih terlalu banyak yang saya perlu belajar. Syukur, Allah Ta'ala mengurniakan saya nikmat kesihatan yang agak baik sepanjang tahun ini. Berpeluang belajar, mencabar potensi yang ada pada diri, dan yang paling penting belajar mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah. Alhamdulillah saya adalah seorang muslim, dan saya bangga kerana saya adalah seorang muslim.

Azam saya pada tahun ini ialah untuk menjadi hamba yang lebih baik, di samping menambahkan kualiti diri untuk meningkatkan manfaat kewujudan saya di dunia ini terhadap mereka yang saya kasihi, sahabat-sahabat, gerakan Islam yang saya cintai, serta seluruh manusia umumnya. Tahun ini, Saya juga berazam untuk menamatkan pelajaran seterusnya meneruskan pelayaran kehidupan. InsyaAllah tahun ini juga saya berazam untuk menuai ubi yang saya tanam. Semoga dipermudahkan.

Bersama beramal dan berhijrah, kerana dan ke arah Allah!!!

Salam Ma'al Hijrah 1431.

Thursday, December 3, 2009

Sempena perarakan esok di Kelantan...

Suatu ketika, dakwah Nabi Muhammad SAW telah mencapai ke tahap yang membimbangkan bagi kaum musyrikin Mekah, terutamanya bagi golongan pembesar yang mempunyai kepentingan nama, kuasa dan harta. Kekuatan umat Islam semakin ketara dengan keislaman Umar dan Hamzah yang menambahkan kekuatan umat Islam.

Lalu, Abu Lahab, yang juga berperanan sebagai Presiden Parti Musyrikin Mekah memanggil para pembesar ke suatu mesyuarat tergempar membincangkan perihal dakwah Nabi Muhammad SAW. Dalam mesyuarat tersebut, berkatalah Abu Lahab,

”Bagaimanakah pandangan Tuan-tuan mengenai Muhammad?” soal Abu Lahab kepada barisan jemaah menteri musyrikin Mekah.

”Sungguh Muhammad membawa bahaya kepada kedudukan kita, dia telah membawa perpecahan di dalam bangsa kita, memesongkan ajaran agama nenek-moyang,” jawab salah seorang menteri.

”Kalau begitu, pandangan kita adalah sama. Justeru, apa yang patut kita lakukan?” soal Abu Lahab lagi.

”Begini, kita sudah tidak mampu berbuat apa-apa ke atas Muhammad dan pengikutnya,’ujar salah seorang menteri. ”Jadi, kita perlu melakukan sesuatu kepada golongan atas pagar dan orang-orang luar yang masih belum mengenalinya supaya pengaruh Muhammad tidak meluas,” terang menteri itu lagi.

”Saya setuju, tetapi apa yang perlu kita lakukan?” sahut seorang menteri yang lain.

Lalu ada yang mencadangkan supaya Media Musyrikin melaporkan bahawa Nabi Muhammad terkena penyakit gila.

Kemudian mereka semua berpakat untuk menggunakan segala jenis media yang ada untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad SAW.

Pada suatu hari, Dimad Al-Azadiy datang berkunjung ke Mekah. Dimad juga menerima berita memburukkan RasuluLlah daripada orang-orang Kafir Musyrikin. Terlalu buruk gambaran mengenai RasuluLlah yang Dimad terima daripada Media Perdana Musyrikin Mekah.

Dimad Al-Azadiy berfikir, ”Apa salahnya kalau aku menemuinya mudah-mudahan Allah menyembuhkan penyakitnya dengan jasaku.”

Walaupun amaran keras musyrikin Mekah diberikan kepada Dimad Al-Azadiy supaya tidak berjumpa dengan RasuluLlah, dia tetap mengambil keputusan untuk berjumpa dengan RasuluLlah.

Berkatalah Dimad kepada RasuluLlah, ”Adakah engkau terkena apa-apa dan aku boleh tolong menjampinya?” soal Dimad.

Lalu Nabi Muhammad SAW menjawab, ”Segala puji bagi Allah, Kami memujiNya dan memohon pertolongan dariNya. Maka sesiapa yang Allah memberi petunjuk kepadanya maka tiada siapa pun boleh menyesatkannya. Dan sesiapa yang Allah mentakdirkan dia menjadi sesat maka tiada siapa yang boleh memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya.”

Selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad SAW tersebut, Dimad terkesima. Lalu dia meminta Nabi Muhammad mengulang perkataan tersebut, Nabi Muhammad mengulangnya sebanyak tiga kali.

Dimad pun berkata, ”Aku pernah mendengar kata-kata ahli nujum, ahli sihir, dan penya’ir. Setelah aku mendengar kata-katamu aku dapati bukan seperti kata-kata mereka itu. Sesungguhnya kata-katamu mencapai lautan qamus. Hulurlah tanganmu. Aku mahu berbai’ah sebagai seorang Islam.”

Petikan daripada kitab Fiqh Harakah, TG Abdul Hadi.

Sejarah mengajar kita bahawa, perjuangan para Nabi dan Rasul sememangnya tidak pernah lekang daripada tohmahan dan fitnah. Namun, di akhirnya kebenaran tetap berada di pihak Islam. Sesungguhnya parti Allah sahajalah yang akan menang. Penolong-penolong agama Allah perlu bijak dalam menerima apalagi menyampaikan berita. Jika tersalah langkah, berita yang kita terima atau samapaikan ini boleh mendatangkan fitnah dan membuka ruang kepada musuh untuk menjatuhkan umat Islam.

Rentetan isu, TGNA, perkara ini sudah pastinya akan diperjelaskan dan kebenaran akan tetap nyata walau seteruk dan seburuk mana ianya cuba disembunyikan. Saya berdoa, UMNO yang telah menzalimi saya sebagai rakyat Perak, dan rakyat Malaysia, diberikan pengadilan yang setimpal oleh Allah. Ameen.

Tuesday, December 1, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - Bahagian Akhir

Bermula daripada perubahan yang berbentuk fizikal sehinggalah perubahan dari segi mental, emosi dan spiritual, semuanya menuntut kepada satu proses yang sangat panjang. Paling penting, proses itu mestilah berlaku secara konsisten dan berterusan. Apalagi kalau bercakap mengenai perubahan dalam masyarakat.

Memimpin perubahan mestilah bermula daripada individu itu sendiri melalui proses pencerahan pemikiran dan pembentukan jiwa yang besar dan kental. Seorang teman pernah berpesan kepada saya, ketika itu saya berada dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dia berpesan percakapan manusia itu ada tiga (3) jenis. Bercakap kerana Ilmu, bererti dia bongkak. Bercakap kerana pengalaman, bererti dia sombong, adapun sebaik-baik perkataan itu adalah perkataan yang diucapkan kerana Allah.

Agak lama saya termenung kerana mendengar kata-kata yang sungguh mendalam tersebut. Sesetengah orang merasakan dia harus dan layak bercakap kerana memiliki ilmu yang banyak. Maka percakapan dia sememangnya penuh dengan ilmu dan maklumat. Mungkin dia akhirnya dapat menjadikan orang yang mendengar percakapannya itu tahu dan sedar akan ilmu yang disampaikan.

Sesetengah pula merasakan bahawa pengalamannya yang banyak perlu menjadi pengajaran kepada orang lain. Sudah semestinya bagi mereka yang mempunyai pengalaman akan mampu menceritakan dengan baik pengalaman yang dia miliki. Lanjutan daripada itu, orang ramai akan dapat mengetahui pengalamannya yang menarik itu.

Namun, sekiranya ilmu dan pengalaman semata-mata, tidak mampu memimpin perubahan sekiranya kata-kata itu tidak dilafazkan kerana Allah. Padahal segala ilmu dan pengalaman, datangnya daripada Allah Ta'ala, maka perkataan yang tidak disandarkan kepada Allah Ta'ala adalah perkataan yang kosong dan akan terhenti di dalam kotak akal pemikiran manusia. Sekadar tahu, tidak mampu mencetuskan mahu untuk berubah.

Kita perlu belajar segala jenis ilmu dan menimba seberapa banyak pengalaman sebagai bekal. Namun, biarlah Tuhan yang menentukan keputusan di atas perbuatan, pemikiran, dan percakapan kita.

Dialah, Allah Yang Memiliki hati-hati manusia. Hanya Dialah yang mampu memimpin dan mendidik hati manusia. Hati kita juga di bawah pimpinanNya.

Saya memohon ampun dan maaf daripada Allah Ta'ala di atas segala kekurangan dan kelemahan. Dan bersama Allah Ta'ala jualah Taufiq dan Hidayah.

WaLlahu Ta'ala A'Alam Bis Sawab

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN

Sunday, November 29, 2009

GERAKAN ISLAM SEBAGAI MINI ISLAMIC STATE - Bahagian Dua

AlhamduliLlah, saya berkesempatan memanjangkan pintalan otak saya yang dangkal ini mengenai "gerakan Islam sebagai mini Islamic State" dengan beberapa orang sahabat. Banyak pendangan bernas yang saya terima daripada perbincangan tersebut. Paling menarik, pandangan seroang sahabat saya, Ust Hasbullah, lulusan syariah di Syria, mengatakan bahawa sebenarnya negara itu sendiri perlulah difahami dalam konteks yang lebih luas.

Negara yang beliau maksudkan di sini sebenarnya bermula daripada negara individu itu sendiri. Bahawa kita perlu menegakkan Islam dalam "negara" diri kita sendiri, dengan menjadikan Islam sebagai perlembagaan utama dalam kehidupan. Melalui makna ini, negara Islam itu sendiri sebenarnya meliputi seluruh aspek kehidupan dan berada di segenap pelusuk dunia sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat, negara fizikal, mahupun dunia keseluruhannya.

Maksud negara yang seperti ini adalah lebih jelas dan tepat berdasarkan kepada firman Allah, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!.."Ali-Imran, 3:26.

Raja kepada sekalian kerajaan di dunia ini adalah Allah. Tanpad sebarang sempadan jajahan takluk yang direka oleh manusia, tanpa sebarang perbezaan rupa paras dan warna kulit, mahupun sempadan ideologi dan pemikiran. Inilah makna sebenar "negara Islam". Walau di mana kita berada, sebenarnya kita tidak pernah lari walau sesaat apalagi seinci daripada wilayah Islam.

"Walau di mana kita berada, sebenarnya kita tidak pernah lari walau sesaat apalagi seinci daripada wilayah Islam."

Lanjutan daripada pembentukan negara Islam dalam diri, kita perlu meneruskan agenda pencerahan pemikiran manusia seluruhnya mengenai konsep negara Islam yang asal dan tulen ini. Gerakan Islam yang sebenar, akan memimpin ahlinya untuk terus menghayati maksud ini dan mengajak manusia seluruhnya ke arah manifestasi pengahayatan Islam yang syumul dalam kehidupan.

Sudah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk menjadikan segala urusan seharian mereka berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Namun, kita telah kembali kepada zaman di mana manusia telah melupakan Tuhan Yang Menciptakan mereka. Moga kita tergolong di kalangan orang yang diberikan petunjuk olehNya.

Oleh kerana itu, saban hari kita terpaksa melaksanakan urusan kehidupan kita dalam sistem yang diatur oleh manusia. Walaupun di luar kemahuan kita sebagai seorang muslim, hakikatnya inilah yang sedang berlaku, dan benar-benar berlaku. Maka, kita perlu menyelamatkan diri kita dengan menggabungkan diri kita bersama individu-individu muslim yang lain untuk membentuk satu ketumbukan individu muslim yang besar, yang bergerak untuk membuka lebih banyak wilayah-wilayah Islam. Ketumbukan inilah yang dinamakan sebagai Gerakan Islam.

Wilayah Islam dalam gerakan Islam ini sudah semestinya adalah lebih besar daripada wilayah Islam yang ada pada individu-individu tertentu. Manusia diciptakan Allah Ta'ala dilengkapi dengan sifat kelemahan dan kekurangan, dengan adanya Gerakan Islam, maka kelemahan itu InsyaAllah akan dapat ditampung dengan sebaiknya.

Benarlah kata-kata RasuluLlah, bahawa kambing biri-biri yang seekor(yang keluar daripada kelompok kambing biri-biri) adalah lebih mudah diserang oleh serigala (syaitan) berbanding kambing biri-biri yang berada di dalam kelompoknya.

Anjuran berada di dalam kelompok atau kumpulan sebenarnya terdapat dalam banyak hadith dan qalam-qalam suci Al-Quran. Ayuh kita menyelak kembali lembaran suci itu agar diterangkan kembali hati untuk terus ditetapkan atas jalan yang lurus ini.

Ya Allah berikanlah kami Hidayah, serta orang-orang yang bersama-sama dengan kami, dan berilah petunjuk kepada manusia keseluruhannya. Serta Jadikan kami sebab kepada orang yang diberikan petunjuk.



GERAKAN ISLAM SEBAGAI MINI ISLAMIC STATE - Bahagian Satu

Negara Islam merupakan negara yang mengamalkan nilai, budaya dan undang-undang Islam. Ciri utama pada negara Islam bukan sahaja dilihat daripada jumlah penganut agama Islam mahupun jumlah Masjid yang terbina di dalam negara tersebut. Sebaliknya nilai utama yang membezakan antara negara Islam dengan Negara Bukan Islam ialah Perlembagaan yang berdasarkan Al-Quran Dan As-Sunnah. Bermakna tidak cukup dengan meletakkan Islam sebagai agama Rasmi, malah perlu menjadikan sumber utama rujukan dalam Islam sebagai rujukan utama dalam menentukan dasar pemerintahan.

Sekalipun jika Perdana Menteri itu merupakan seorang cina yang baru sahaja memeluk agama Islam dan melaksanakan Islam dalam dasar pemerintahannya, maka negara itu adalah lebih Islam daripada Negara yang diperintah oleh orang Melayu yang sejak lahirnya beragama Islam tetapi hanya menggunakan Islam ketika suka dan apabila perlu sahaja, bukan sahaja tiada galakan untuk mengajak kepada kebaikan, malah menyediakan lesen untuk rakyatnya berjudi, minum arak dan mengutip keuntungan daripada industri berteraskan maksiat seperti perlancongan dan khidmat sosial(pelacuran).

Semenjak kejatuhan khilafah Islamiyyah, pada tahun 1924, dunia semakin menuju ke arah kehancuran.Undang-undang Tuhan yang Maha Pencipta sudah tidak lagi dihormati malah dikutuk dan direndah-rendahkan. Malaysia yang kononnya Negara Islam juga turut menurut telunjuk "kelompok bukan Islam" apabila membiarkan pemimpin-pemimpinnya menggubal dasar tanpa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan. Lebih teruk daripada itu, pemimpin yang mengutuk undang-undang Islam dibela dan diagungkan.

Berapa ramai pemimpin parti pemerintah di Malaysia yang pernah mengutuk ajaran Islam secara terbuka? Cukup dengan mereka mengatakan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah sudah ketinggalan zaman, maka hukum ke atas mereka adalah sama dengan hukum ke atas mereka yang ingkar terhadap ajaran Islam atau dalam bahasa mudahnya, KAFIR. Kita berlindung dengan Allah Ta'ala daripada kejahatan kelompok-kelompok ini.

Namun begitu, walau betapa buruk dan zalimnya manusia-manusia ini, sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah Ta'ala dan RasulNya, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghukum dengan hukum yang keras. Sesungguhnya hukuman dan pengadilan daripada Allah Ta'ala adalah lebih 'Adil.

Justeru, telah menjadi tanggungjawab mereka yang mewaqafkan diri ke jalan Tuhannya untuk memikul amanah dan tugas para Rasul dan Nabi. Para Rasul dan Nabi diutus Allah Ta'ala ke dunia untuk menyampaikan berita gembira kepada yang beriman dan azab neraka yang sengsara kepada mereka yang ingkar.

Bermula dari saat penjajah menjejakkan kaki ke tanah air, Ulama' yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul telah bangkit menyatakan bantahan mereka. Puluhan malah ratusan nyawa Ulama' telah dibunuh dan dibuang negeri kerana ketegasan mereka melaksanakan amanah ini.

Siapa yang tidak kenal dengan Tok Janggut. Seorang Ulama' di Kelantan, dan ramai lagi Ulama' yang menjadi pahlawan membela tanah air daripada dicemari dakyah Kuffar penjajah. God, Gospel and Glory, menunjukkan secara jelas bahawa pertembungan yang dianjurkan penjajah adalah pertembungan akidah. Misi utama mereka adalah menyesatkan Umat Islam, dan menghapuskan segala jenis ajaran Islam yang Maha Suci dan Sempurna.

Sejarah menunjukkan pertembungan antara Umat Islam dengan golongan Kafir musyrikin telah bermula sejak pengutusan Nabi Muhammad SAW lagi. Semenjak daripada itulah, misi menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada bahaya kekafiran dilancarkan secara terbuka. Hakikatnya, Islam datang membawa keamanan dan keselamatan, mengajak manusia kembali beriman kepada Tuhan Yang Maha Besar, Maha Pencipta dan Dialah Allah yang mencipta dan mentadbir seluruh alam.

Sejarah juga menunjukkan, setiap Nabi yang diutus akan datang bersamanya pengikut yang menolong dan sentiasa bersama walau dalam susah atau senang. Begitu juga penentang dan musuh yang juga tetap tegar degil di atas jalan kekafiran. Bagi yang berada di barisan Para Nabi dan Rasul, tiada lain yang mereka harapkan kecuali keredhaan dan keampunan Tuhannya.

Maka muncullah gerakan-gerakan Islam yang sentiasa vokal dalam menyatakan kebenaran. Strategi dan perancangan disusun semata-mata untuk mendapat mardhatiLlah dan menegakkakan Kalimat Allah yang Maha Tinggi. Sepertimana Ikhwanul Muslimin, Jamaat Al-Islam, Marshumi, Partai Keadilan Sejahtera, Taliban, HAMAS, Hizbul Muslimin juga ditubuhkan atas maksud ini.

Mereka bergerak bukan untuk menghukum manusia yang ingkar, sebaliknya untuk menyedarkan manusia akan janji yang pernah diberikan kepada Allah ketika di alam Ruh, bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia. Menyedarkan manusia dengan janji kenikmatan atau amaran kesiksaan.

Wednesday, November 25, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERBAHAN - Bahagian 7 - Memiiliki Jiwa Pemimpin

Ibnu Taimiyyah menggariskan dua sifat utama yang perlu ada pada seseorang pemimpin , iaitu Al-Quwwah dan Al-Amanah. Al-Quwwah bukan hanya disandarkan kepada kekuatan fizikal malah kekuatan emosi dan mental perlu dimiliki oleh mereka yang bergelar pemimpin. Al-Amanah pula merujuk kepada sifat tanggungjawab dan profesionalisme seseorang itu dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

Terdahulu telah dinyatakan bahawa di dalam Islam, tiada istilah kuasa dalam soal kepimpinan dan pentadbiran di kalangan manusia. Sebaliknya manusia hanya diberikan amanah untuk menjadi wakil pentadbiran Allah Ta'ala di dunia. Pengertian khalifah juga tepat menceritakan mengenai soal ini.

Power is corrupt, Absolute power corrupt absolutely. Frasa yang juga tepat menggambarkan situasi sekiranya manusia menyangka mereka berkuasa.

Nabi Muhammad menjelaskan bahawa setiap manusia adalah pemimpin, di mana sekecil-kecil pimpinan ialah memimpin diri sendiri. Manusia akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab dan amanah kepimpinan itu di hari akhirat kelak. Justeru, jawatan sama sekali bukanlah suatu nikmat atau ghanimah yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

Pemimpin selain diukur dari segi wawasan perjuangannya, perlu dinilai dari segi kemahiran membuat keputusan dan pertimbangan. Pemimpin perlu mempunyai kebijaksanaan dan keadilan kerana mereka akan sentiasa berdepan dengan masalah dan pilihan yang perlu dibuat sama ada melibatkan diri sendiri apalagi yang melibatkan rakyat di bawah kepimpinannya.

Sebab itu, taqwa perlu ada pada diri pemimpin. Manusia yang bertaqwa sentiasa berhati-hati ketika membuat tindakan dan pilihan. Manusia yang bertaqwa juga sentiasa memikirkan yang terbaik dan berpandangan jauh dalam melakukan sesuatu perkara.

Apabila bercakap mengenai hala tuju kepimpinan, seseorang pemimpin itu perlu memiliki jiwa yang besar walaupun dalam masa yang sama perlu mengukur baju di badan sendiri. Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang mampu berfikir demi kemajuan dan pembangunan rakyatnya untuk masa depan yang lebih panjang dan mencabar. Berfikir untuk kepentingan semua dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk dieksploitasi sebaiknya. Di sinilah kemampuan kritis dan kreatif seorang pemimpin akan teruji.

Walaupun sekadar memimpin sebuah institusi yang kecil seperti UKM, pemimpin Mahasiswa perlu memikirkan nasib rakan-rakannya untuk tahun-tahun mendatang serta bijak dalam membuat sebarang keputusan dan merancang sebarang tindakan.

Antara Yang Menarik