Kita baru sahaja melepasi bulan pertama untuk tahun 2010. Walaupun hanya sebulan, tetapi rentetan peristiwa yang berlaku ke atas dunia ini seolah berbulan-bulan lamanya. Terasa lama mungkin disebabkan oleh begitu banyak peristiwa yang melukakan dan sukar untuk dilupakan.
Dunia digemparkan dengan gempa bumi di Haiti, Malaysia digemparkan dengan isu Kalimah Allah, bahkan di merata-rata tempat berlaku pelbagai kegemparan yang membimbangkan. Dalam masa yang sama, golongan penindas terus dengan penindasan. Pejuang kebenaran terus vokal menyuarakan pandangan, yang muda terus hanyut dengan arus dunia, sedang yang berpeluk tubuh, asyik dengan keseronokan masing-masing. Solusi yang pada hakikatnya perlu dicari dan digali sesegera mungkin pula dilihat seakan menjauh dari capaian manusia.
Walaupun baru sebulan berada di tahun baru, gegaran dan getarannya semakin membimbangkan. Malaysia bakal memulakan bulan ini dengan keputusan Mahkamah berkaitan perlembagaan Negeri Perak yang akan menentukan sama ada maruah "kedaulatan undang-undang" di Malaysia ini terus diperkosa atau sebaliknya. Golongan muda pula berhadapan dengan sesi kepimpinan baru di kampus masing-masing yang semuanya dipenuhi misteri dan kontroversi.
Semoga penantian untuk melihat kebenaran ditegakkan berakhir dalam masa yang terdekat.
No comments:
Post a Comment