Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, February 18, 2010

Tahanan tanpa bicara...

Saya diajar untuk tidak mudah meletakkan harapan dalam hidup ini kecuali pada perkara-perkara yang saya benar-benar pasti. Ibarat berpaut pada ranting atau dahan, tidak selamanya ia akan memberi jaminan keselamatan. Sekiranya ingin berpaut, kita mestilah mencari pautan terbaik yang tidak akan melukakan dan sentiasa menjamin keselamatan.

Perlembagaan Malaysia, seperti yang diketahui umum, merupakan sistem aturan yang dicorakkan manusia. Hakikat bahawa sistem ini terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi pihak-pihak tertentu sama sekali tidak boleh dinafikan. Untuk status perlembagaan di Malaysia, eksploitasi telah lama berlaku, bahkan saya yakin ramai yang boleh bersetuju dengan kenyataan ini.

Saya sama sekali tidak memaksudkan kita perlu mengubah kandungan perlembagaan, juga tidak bermaksud saya selesa dengan kandungan perlembagaan sedia ada. Jauh sekali untuk mengagung-agungkan perlembagaan sedia ada. Cuma saya terasa, kita perlu meletakkan sedikit kepercayaan perlembagaan sedia ada mampu membawa kedamaian dan keadilan kepada seluruh warganegara Malaysia sekiranya dilakukan beberapa penekanan terhadap 2 aspek penting perlaksanaan perlembagaan tersebut.

1. Melaksanakan konsep Pengertian Keadilan yang sejagat. Adil dari segi istilah yang paling ideal ialah "meletakkan sesuatu kena pada tempatnya". Konsep keadilan ini sama sekali lebih baik daripada konsep kesama-rataan, atau mana-mana pemahaman istilah keadilan selainnya. Manusia dibezakan mengikut jantina, kaum, umur, jawatan, status ekonomi, keadaan geografi, dan macam-macam lagi. Maka sudah pastinya keperluan dan kehendak setiap manusia adalah berbeza. Pada masa-masa tertentu, konsep sama-rata boleh dilaksanakan, namun adakalanya sama-rata tidak akan membawa solusi yang berkesan.

Akal fikiran manusia yang cetek dan dangkal pastinya tidak akan terjangkau hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ketetapan yang telah Allah Ta'ala ciptakan ke atas manusia. Allah Ta'ala yang menciptakan manusia terdiri daripada kepelbagaian jenis ini. Kemudian dilengkapkan ciptaan ini dengan segala nikmat, seterusnya menurunkan PERINGATAN untuk manusia dan seluruh makhluk di dunia ini. Allah Ta'ala memberi jaminan penjagaanNya terhadap peringatan ini. Peringatan yang terkandung perintah dan larangan, serta pelbagai kisah dan pengajaran yang perlu menjadi keutamaan di kalangan manusia. Lebih-lebih lagi, manusia yang diberikan kelebihan dan amanah di antara mereka.

2. Memelihara Hak Asasi Manusia. Memahami konsep amanah dalam perkara pentadbiran duniawi ini akan memastikan kita menghormati hak-hak sesama manusia. RasuluLlah mengajar mengenai hak sesama manusia dalam aplikasi konsep kejiranan dan persaudaraan. RasuluLlah juga menunjukkan model kepimpinan dan pentadbiran yang paling cemerlang dalam hal-hal yang berkaitan dengan "Hak Asasi Manusia" ini.

Sila rujuk kisah layanan RasuluLlah terhadap orang Yahudi semasa menjadi ketua kerajaan Islam Madinah. Baginda memberikan perlindungan dan jaminan kebajikan serta keselamatan kepada semua rakyat termasuk di kalangan Yahudi. Jaminan kebajikan ini diberikan oleh RasuluLlah merentasi sempadan kaum, agama, dan warna kulit. Sekalipun Baginda lebih 'arif mengenai perihal orang yahudi yang suka mengkhianat dan berbuat kerosakan di muka bumi ini.

Baginda terus membela dan memelihara kebajikan orang-orang kafir dan yahudi ini sehinggalah terbukti secara terang-terangan pengkhianatan yang dibuat oleh orang Yahudi terhadap RasuluLlah dan negara Islam pada ketika itu. Malah, RasuluLlah sempat memberikan amaran dan meminta orang-orang Yahudi Bani Quraizah untuk bertaubat dan berhenti daripada usaha khianat yang mereka lancarkan dalam peristiwa Perang Ahzab (Tentera Bersekutu). Pada ketika itu, barulah Nabi Muhammad SAW mengambil tindakan yang tegas ke atas mereka.

Peristiwa ini mengajar kita mengenai kepentingan pihak pentadbiran dalam memberikan layanan yang Adil dan menghormati Hak Asasi Manusia.

Malangnya, terlalu banyak kekarutan yang berlaku di Malaysia. Akta Keselamatan Dalam Negeri misalnya, membuat tangkapan dan penahanan tanpa bicara yang secara jelas menyalahi konsep keadilan dan Hak Asasi Manusia.

Walaupun Akta ini SAH dari segi undang-undang dan perlembagaan Malaysia, namun samalah Malaysia seperti Kerajaan Diktator Nazi suatu ketika dulu yang menggunakan Akta untuk melakukan "ethnic cleansing" ke atas bangsa Yahudi pada perang dunia ke-2. Sama jugalah Malaysia dengan Amerika dan Britain yang melancarkan perang terhadap Gerakan Islam melalui "Kempen Anti Keganasan" dan menggunakan undang-undang untuk menghalalkan perbuatan terkutuk mereka.

Amerika dan sekutu mereka-reka bukti mengatakan keganasan datang daripada tentera Mujahideen, padahal telah dibuktikan secara teknikalnya bahawa peristiwa 11 September hanyalah semata-mata rekaan untuk mereka melakukan keganasan ke atas umat Islam. Contoh tepat untuk situasi perbicaraan DSAI. Semua bukti adalah palsu bahkan terbukti dalam tuduhan terdahulu bahawa DSAI tidak bersalah. Kerajaan masih dengan usahanya mengawal segala institusi untuk kepentingan mereka.

Maka saya berazam dan sentiasa komited untuk meletakkan harapan saya hanya padaAllah Yang Maha Esa. Saya yakin akan kebenaran janjiNya. Saya yakin dengan janjiNya kepada orang-orang yang beriman dan melakukan amal-amal soleh.

"Ada di kalangan orang-orang yang beriman, lelaki yang dibenarkan janji Allah ke atasnya. Maka ada dikalangan mereka yang telah menunaikan janji setianya(gugur dan syahid) dan ada yang masih menunggu(terus berjuang dan menanti giliran untuk syahid), dan mereka sekali-kali tidak akan berganjak dan berpaling,". Al-Quran.


No comments:

Antara Yang Menarik