Bermula di awal bulan Februari, telah rancak kedengaran kempen-kempen sambutan 14/2 yang lebih dikenali sebagai Hari Kekasih atau Valentine's Day. Dari segi istilah, saya lebih bersetuju sekiranya diterjemahkan Valentine's Day kepada Hari Valentine supaya kekeliruan terhadapnya dapat dikurangkan. Selain daripada menghalalkan yang haram dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, Hari Valentine ini juga boleh membawa kepada salah laku agama dan saya yakin ramai yang lebih arif mengenainya.
Bagi saya, menolak Hari Valentine sama sekali tidak bermaksud menolak "romantik" dalam berpasangan dan berkasihan. Apalagi untuk menolak budaya memberi hadiah kepada mereka yang kita sayang. Bahkan Islam terlebih dahulu mengutamakan hal-hal yang sedemikian. Seperti di dalam sebuah hadith Nabi yang menyebut, "Siapa yang tidak mengasihi orang lain, dia tidak akan dikasihi".
Islam menganjurkan penganutnya supaya sentiasa berkasih-kasihan antara satu sama lain. Bahkan kasih-sayang di dalam Islam adalah rentas ras dan warna kulit. Konsep persaudaraan yang sejagat tidak membataskan umat Islam untuk melahirkan rasa kasih dan sayang sesama umat Islam. Islam meletakkan batas semata-mata untuk menjaga kehormatan umatnya supaya maruah dan keturunan dapat dipelihara dengan baik. Selagimana konsep dan kaedah berkasih-sayang yang diamalkan itu tidak melanggar batas yang ditetapkan oleh Islam, maka sambutlah kekasih anda walau diluar 14/2.
"Siapa yang tidak mengasihi orang lain, dia tidak akan dikasihi".
Dalam hal ini, saya menyalahkan Kerajaan Malaysia 100% kerana gagal mengawal rakyat dalam isu 14/2 ini. Masyarakat tidak dididik untuk menghayati agama masing-masing sehingga pegangan agama menjadi longgar dan cenderung untuk mengamalkan budaya hidup yang bebas dan tidak terkawal.
Kempen mengenai 14/2 ini dilihat lebih rancak daripada kempen Larangan Merokok, malah demonstrasi hiburan sempena 14/2 ini dihalalkan dan digalakkan penganjurannya. Adakah kerajaan sudah tidak berkuasa untuk mengawal bahan-bahan penerangan sehingga kandungan penerangan itu dilihat semakin melampau batas.
The Star misalnya, pernah menyiarkan hebahan mengenai sambutan ini secara melampau dan tidak terkawal. Maka peranan kerajaan adalah perlu dalam memantau perkara ini, bukan sahaja dalam hal-hal yang berkaitan dengan 14/2 bahkan banyak lagi isu-isu lain yang perlu ditangani secara serius. Kerajaan mempunyai kuasa dalam mentadbir dan menguruskan rakyat, maka setiap kesalahan dan kehancuran yang berlaku di kalangan rakyat adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan yang memerintah.
1 comment:
Salam,betul,kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang lebih jelas dalam menjaga kemurnian dan kesucian akidah umat islam daripada dinodai oleh amalan yang mempunyai unsur yang bercanggah dengan syara'.
Kerajaan semestinya mengambil tindakan kerana fatwa telah dinyatakan di peringkat muzakarah kebangsaan pada tahun 2005 seperti berikut:
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day
Tarikh Keputusan:
24 Nov, 2005
Tarikh Mula Muzakarah:
22 Nov, 2005
Tarikh Akhir Muzakarah:
24 Nov, 2005
Oleh:
Muzakarah Kali Ke 71
Keputusan:
Amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam
Post a Comment