7 Rabi'ul Awal 1431 Hijrah / 21 Februari 2010 Masehi.
"Tidak beriman seseorang di kalangan kamu, sehingga dia kasihi untuk saudaranya, seperti dia mengasihi untuk dirinya sendiri" (Riwayat Ahmad, At-Tirmizi dan Al-Hakim).
Maksud hadith di atas adalah mafhum, mengenai perhubungan di kalangan muslim yang bersaudara. Apa pula yang dimaksudkan dengan mengasihi saudara seperti mengasihi diri sendiri? Ir Ahmad Jais, Pengarah Radio IKIM, di dalam sebuah Forum Bicara Ad-Deen menjelaskan bahawa maksud hadith di atas ialah sekiranya kita sukakan buah oren dan merasakan buah oren itu baik untuk diri kita, maka jika ada buah oren, kita pasti inginkan saudara muslim kita memiliki buah oren yang sama.
Mendahulukan sahabat pula adalah tingkatan yang paling tinggi. Iaitu, sekiranya kita hanya memiliki sebiji buah oren, maka kita akan mengahadiahkan buah oren itu untuk saudara muslim kita tadi. Sesuai dengan tingkatan tertinggi yang disebut oleh Imam Hassan Al-Banna, Al-Ithar(melebihkan) sahabat.
Tingkatan terendah dalam indikator perhubungan sesama saudara muslim ialah Salamah As-Sadri(Sejahtera hati) daripada keburukan saudara muslimnya. Istilah yang lebih popular digunakan ialah "Husnu Adz-Dzhan" iaitu baik sangka. Hakikatnya, kita bukan sahaja perlu berbaik sangka terhadap perbuatan saudara seagama kita, bahkan kita juga perlu menerima keburukan dan kekurangan yang ada pada saudara kita. Perasaan kita terhadap saudara kita perlu sentiasa murni, walau seburuk mana peribadi saudara kita.
Bertentangan dengan sikap baik sangka, ialah buruk sangka ataupun "Su'u Adz-Dzhan". Buruk sangka pula hanyalah sebahagian daripada kegagalan mencapai Salamah As-Sadri. Mereka yang tidak sejahtera hatinya terhadap saudaranya, akan mengungkit-ungkit keburukan peribadi saudaranya sama ada melalui perkataan, perbuatan mahupun sekadar lintasan hati. Sekiranya terlintas di hati kita perasaan tidak senang dengan peribadi sahabat kita, maka tidak sejahteralah hatinya itu.
Masalah peribadi di sini hanyalah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan sifat dan kelemahan peribadi seseorang. Sebagai contoh gagap dalam berkata-kata, kulit yang gelap, gigi yang berterabur, tahi lalat yang menonjol, saiz badan yang tidak ideal, dan pelbagai sifat-sifat yang berbentuk peribadi. Kelemahan peribadi ini, jika dilihat dari segi hukum hakikatnya adalah harus. Harus untuk seseorang itu gagap, lembab, gemuk, keding dan sebagainya.
Kesalahan yan biasa saya dan anda lakukan dalam persoalan Salamah As-Sadri ini ialah, kita berbaik sangka dalam perbuatan salah dan dosa yang dilakukan oleh saudara kita. Tiada istilah baik sangka dalam perkara-perkara dosa, syubhah, dan sebagainya. Istilah yang biasa kita gunakan ialah "meraikan sahabat".
Merujuk kepada hadith di atas, perkara yang sama juga perlu berlaku dalam hal-hal yang boleh membawa mudharat. Perlakuan dosa boleh membawa ke neraka. Wajib ke atas kita untuk elakkan, maka wajib juga ke atas kita, atas dasar kasihkan saudara, untuk mengelakkan saudara kita melakukan dosa tersebut.
Dalam organisasi dan gerak kerja berjemaah. Sekiranya kawan kita tidak pandai dalam bertutur, hukumnya adalah harus. Tetapi sekiranya kawan kita enggan bertutur, disebabkan faktor malas dan yang sewaktu dengannya, hukumnya adalah .....(tak berani meletakkan hukum). Saya yakin, kita sudah terlalu matang untuk membezakan antara perkara yang harus, makruh, sunat, wajib dan dosa.
"An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musytabihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musytabihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rusak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.'" (HR. Bukhori)
Berbalik kepada persoalan perhubungan antara saudara muslim, merujuk kepada konflik perhubungan yang ada di sekitar kita, saya merasakan kita perlu menyerap kembali semangat persaudaraan yang ditonjolkan oleh para Sahabat RasuluLlah R.A. Mereka bukan sahaja sentiasa sunyi daripada berbicara mengenai kelemahan peribadi saudara-saudara muslim mereka, malah mereka komited dalam menjaga perhubungan dan meraikan saudara-saudara muslim mereka dalam konteks yang sebenar dan sangat mengharukan.
Abdullah Nasir Al-'Ulwan dalam kitabnya "Ukhuwah FiLlah" menjelaskan bahawa ikatan persaudaraan sebenar bukanlah semata-mata dalam tempoh perjuangan. Iaitu, kita kasihkan saudara kita kerana perjuangan dan susah-payah yang dilalui bersama. Akan tetapi, ikatan persaudaraan yang sebenar ialah ikatan yang bertitik tolak daripada kasih kita kepada Allah, iaitu mengasihi saudara kita kerana kasih dan sayang kita kerana Allah.
Di antara 7 golongan yang akan berada di bawah naungan Allah Ta'ala di hari yang tiada naungan selain naunganNya ialah 2 orang pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah Ta'ala.
Semoga sejahtera hati saya daripada kelemahan dan keburukan peribadi saudara-saudara saya, juga sejahtera hati seluruh Umat Islam daripada keburukan dan kelemahan saudara-saudara mereka.
Bumi Allah ini terlalu luas untuk kita berasa sedih dan dukacita, tetapi masa kita terlalu singkat untuk berasa benci dan mencetus sengketa.
“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu(Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” An-Nisa' - 4:65.
No comments:
Post a Comment