Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, May 11, 2011

Di susur keluar LDP menghala ke Sri Kembangan

Semalam, ketika saya memandu kereta yang baru saya beli, dalam perjalanan ke satu janji temu dengan seorang kenalan, saya tersangkut dalam satu kesesakan lalu lintas luar biasa. Luar biasa kerana di situ memang tidak sepatutnya berlaku kesesakan lalu lintas. Teruskan membaca untuk mengetahui puncanya. Pada mulanya, dari arah putrajaya, untuk ke Sri Kembangan, menggunakan susur keluar dari Lebuhraya Damansara Puchong, saya menghimpit ke kiri dan beratur di belakang puluhan kereta yang lain, yang pastinya telah terlebih awal menunggu dan beratur dengan sabar di situ.

Kemudian, saya dapati, keadaan trafik tidak bergerak dengan baik, kerana hanya sekitar 10 meter pergerakan bagi tempoh 15 minit. Jam menunjukkan pukul 9.20 malam, dan temujanji saya sepatutnya bermula 10 minit dari sekarang. Maka, saya mengambil keputusan untuk membuat pusingan U di hadapan, iaitu selepas tol Puchong, dan membayar RM 3.20 bagi kedua-dua tol( pergi balik) yang perlu saya lepasi. Terasa benar bezanya menjadi rakyat yang didahulukan oleh kerajaannya berbanding warga Arab Saudi, sejauh ribuan batu, dengan lebuh raya yang lebih cantik dan berkualiti, langsung tiada tol yang dikenakan.

AlhamduliLlah, pilihan yang saya buat adalah betul, keadaan susur masuk dari arah Puchong dan Subang Jaya tersebut kelihatan lebih baik, kerana dalam masa 15 minit, saya sudah berada di jalan masuk Sri Kembangan, iaitu pergerakan sebanyak 500 meter dari kedudukan awal, ketika mula-mula beratur di susur keluar tersebut.
Sambil menyentuh skrin sesentuh pada selular yang baru saya beli dari Arab Saudi untuk menghantar mesej kepada kawan yang mengirim berita gembiranya, saya beratur dengan penuh sabar dan tenang. Tenang seperti kenderaan lainnya. Masing-masing, walaupun mencari peluang untuk bergerak lebih laju, tetapi perlumbaan dan persaingan yang saya kira sangat sihat dan perlu diteruskan.

Sehinggalah suatu ketika, tiba-tiba saya terdengar bunyi hon. Waktu itu, saya telah pun selesai mengirim mesej, dan tidak lagi menyentuh skrin selular tersebut kerana ingin menikmati suasana barisan dengan kereta baru saya tersebut. Seorang diri saya membebel, “Eh, takkan aku yang tertekan hon! Pelik, sebab bunyi macam nak sama,” soal saya kehairanan. Maklumlah, masih belum biasa dengan kereta baru, jadi bunyi hon sendiri pun belum dapat dicam dengan baik.

Selang tidak sampai seminit, bunyi lagi hon yang sama. Saya mula risau, jika berlaku sebarang kerosakan pada stereng kereta baru saya tersebut. “Alamak, ada lagi yang nak kena tukar ke dengan kereta ni?” soal saya kebingungan di situ.

Saya mula mengesyaki, bunyi tersebut datang dari arah belakang, anak mata saya langsung bergerak kea rah cermin pandang belakang, dan mendapati sebuah teksi dengan model yang sama, sedang mengekori rapat di belakang.

“Pinnn!” bunyi hon kedengaran serentak dengan pandangan saya tepat kea rah pemandu teksi berkenaan. Sah, dialah yang telah berkali-kali mengeluarkan bunyi yang berjaya memecah kesunyian malam di susur keluar tersebut.

Panjang barisan dianggar sekitar 2km, memandangkan jauh dihadapan, masih belum kelihatan tanda-tanda kesesakan itu akan berakhir. Alunan muzik dari MP3 yang saya pasang melalui pemacu MP3 Emulator, menemani saya sepanjang hampir 45 minit saya terperangkap di situ.

Tiba-tiba, saya dapati peluh mengalir mencurah-curah, jantung saya berdegup kencang, hidung saya kembang-kuncup, dan badan saya menjadi tidak selesa dan bergerak-gerak kerana tidak mahu diam. Semuanya berpunca daripada bunyi hon yang dikeluarkan oleh teksi yang berada di belakang saya tadi. Mungkin tangannya terlekat pada butang hon sterengnya, menyebabkan hon tersebut berbunyi agak lama.
Hampir-hampir saya mahu turun dari kenderaan dan menolong pemandu teksi tersebut membuang “gam” pada tapak tangannya supaya tidak lagi melekat pada butang hon keretanya itu.

Saya cuba member ruang untuk teksi tersebut memintas di sebelah kiri, namun sejurus ruang dibuka, hon tersebut berbunyi lagi, dan lebih lama dari awalnya. Saya pun, menarik balik tawaran tersebut, dan terus menghalang laluan yang asalnya sudah cukup baik untuk pemandu teksi tersebut keluar dari kesesakan lalu lintas yang barangkali sudah melewati had kesabarannya memandu.

Saya, walaupun bukan penduduk kawasan perumahan di Sri Kembangan tersebut, berasa amat hairan dengan kesesakan tersebut. Sudahlah, ianya bukan waktu puncak, malah kerapkali saya menggunakan laluan tersebut, walaupun ketika waktu puncak, keadaan trafik tidak pernah seteruk itu. Barangkali, pemandu teksi tersebut juga sangat terkejut, dan kejutan ini menyebabkan dia gagal mengawal marah dan tenangnya.

Saya pula, bertindak menambah minyak pada api yang sedang membara. Sesekali pemandu teksi tersebut cuba menghimpit ke kanan untuk mencari ruang, saya pun dengan pantas menggerakkan kenderaan saya ke kanan. Apabila di sebelah kiri dilihat kosong, pemandu teksi tersebut cuba menghimpit ke kiri kembali, seperti dalam perlumbaan Daytona, saya menggerakkan kereta saya ke kiri bagi menghalang laluan teksi tersebut.

Melihat gelagat pemanduan saya, pemandu teksi tersebut membuka tingkapnya dan melambai-lambai tangannya, member isyarat supaya saya memberikannya laluan. Lambaian tangannya yang gemalai itu, saya balas dengan senyuman yang saya pasti tidak akan dapat dilihat olehnya. Senyuman yang sedikit menampakkan gigi taring di bahagian sebelah kanan pipi saya. “Dah macam lama tak jumpa je lambai-lambai macam tu,” bisik saya keseorangan.

Himpitan ke kiri dan ke kanan berlarutan sehingga dua tiga pusingan kiri dan kanan. Di akhir pusingan yang ketiga, hon yang sudah agak lama tidak berbunyi, kali ini dibunyikan tanpa henti. Saya menjadi semakin teruja untuk mengetahui harga hon tersebut dibeli, diukur dari jangka hayatnya berbunyi. Rupanya, tidak mahal, kerana ianya berbunyi hanya sekitar 5 saat dan bunyinya juga sudah tidak semerdu bunyi ketika di awal tadi ianya dibunyikan.

Kami sudah sampai di laluan masuk ke sebuah taman perumahan, kali ini, laluan sudah terlalu luas untuk kami bermain, maka dengan mudah teksi tersebut meloloskan diri dari kawalan saya. Sambil berlalu, dia membunyikan lagi honnya sambil mengangkat tangan, melambai pulang barangkali.

“Takpe, pergi dulu. Hati-hati memandu,” sambut saya sambil membalas lambaiannya.

Tempoh 10 minit kami bermain-main, sangat mengujakan, kerana membuatkan En Otak bekerja dengan lebih keras.

Kenapa agaknya dia membunyikan hon, di saat di hadapan kami deretan puluhan dan mungkin juga ratusan kereta yang masing-masing menunggu giliran untuk melepasi kesesakan yang sama. Adakah kerana dia membayar cukai yang lebih, maka dia berhak untuk sampai awal ke rumah?

Atau mungkin juga kerana isterinya lebih merindui dan menyayanginya berbanding pengguna-pengguna jalanraya yang lain, termasuk saya yang masih belum mempunyai isteri?

Atau kerana dia adalah seorang tua, maka alasan untuk dia bergerak lebih laju adalah lebih konkrit daripada pengguna jalan lainnya?

Saya membiarkan En Otak mencari jawapan kepada teka-teki di atas dan kembali menumpukan perhatian kepada pemanduan. Sekarang, saya sudah pun 30 minit lewat daripada waktu temujanji saya. Sesuatu yang sangat saya kesali, dan pastinya berpunca daripada kelemahan dan kelalaian saya sendiri yang kerap lewat dalam bertemujanji. Maaf.

Keadaan gelap malam tiba-tiba berubah menjadi begitu bercahaya, keadaan panas menjadi sejuk, hati saya seolah berada di sebuah padang rumput yang luas menghijau dihiasi bunga yang berwarna-warni. Di hadapan 50 meter, kenderaan di lihat sudah sudah mula bergerak melebihi 20km/j. Saya yakin, kami, pengguna-pengguna jalanraya yang telah agak lama sabar menunggu, juga sangat gembira dengan keadaan itu.

Menghampiri 20 meter yang terakhir, rupa-rupanya pihak Polis DiRaja Malaysia melakukan sekatan jalan dan menahan setiap penunggang motosikal. Jalan empat lorong tersebut dikurangkan kepada satu lorong kecil, dua untuk pasukan polis dan satu untuk projek pembaik-pulihan jalan yang sedang berjalan di situ.

Melepasi sekatan jalan dengan hati yang sejahtera, sambil berharap agar pesalah-pesalah yang dikehendaki polis tersebut, diadili sebaiknya. Semoga sekatan ini, benar-benar menimbulkan keinsafan dalam hati setiap pesalah agar tidak lagi melakukan kesalahan.

Maaf kepada pemandu teksi terbabit, tidak sengaja mengajaknya bermain-main di jalanraya...

Terima kasih Ya Allah kerana memanjangkan usiaku dan memberikan aku kereta baru. Semoga kereta ini tidak menjadikan aku lupa kepadaMu.

No comments:

Antara Yang Menarik