Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, May 24, 2011

Doktrin dan Dominasi...

Kita sedang berdepan dengan kejahatan dan keburukan yang popular dan dominan. Walaupun hakikatnya, bukan semua orang dapat menerima keburukan dan kejahatan tersebut. Jauh di sudut hati setiap manusia yang hidup ini, terdetik perasaan inginkan kebaikan dan sukakan kepada perkara yang baik-baik sahaja. Bahkan, pasti manusia akan berdepan dengan dilema sekiranya sesuatu yang disukainya itu tidak disukai oleh orang lain.

Saya hampir pasti, walaupun begitu sekali Obama dan barat membenci Osama, tetapi jauh di sudut hati mereka masih mengharapkan agar Osama juga diberikan peluang untuk hidup seperti manusia lainnya.

Akan tetapi, kita berdepan dengan nilai negatif yang mendapat liputan yang banyak dan jauh lebih baik berbanding nilai positif. Misalnya, rasuah mendapat lebih perhatian berbanding kejujuran. Maka, ramai yang menyangka, dunia sudah dipenuhi dengan rasuah, dan mereka hampir percaya bahawa rasuah sudah menjadi kebiasaan dan ada yang membenarkan perbuatan tersebut atas nama "keperluan".

Kerap kali kita mendengar berita yang tidak baik, dan berita yang tidak baik ini begitu popular sehingga kita lupa bahawa sebenarnya ada banyak lagi berita yang baik-baik. 

Programkan minda kita dengan dunia yang lebih baik, supaya harapan dan impian untuk memilikinya terus subur. Bermula dengan kehidupan bersama Tuhan, adakah kehidupan yang lebih baik daripada bersama dengan Tuhan. Mentaati Allah dan bertaqwa kepadaNya, melalui jiwa dan perasaan, akal dan pemikiran, tingkah laku dan perbuatan, sehinggalah kepada seluruh kehidupan lebih-lebih lagi kematian.

Seterusnya. cuba untuk berkongsi keindahan yang anda rasai ini dengan semua orang, dengan dunia!

Bukankah Tuhan telah berfirman:


"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! (Surah Fussilat, 41:33)"

Dakwah juga merupakan proses doktrin dan dominasi, pemikiran, perasaan, dan tindakan. Mempengaruhi manusia seluruhnya kepada jalan yang diredhai Tuhan. Kembali mengamalkan dan melaksanakan sepenuhnya ajaran dan meninggalkan segala larangan Tuhan. Mendoktrin dan mendominasi dunia dengan nilai-nilai yang positif dan fitrah kejadian manusia sebenar-benarnya.

Seperti firman Allah Ta'ala di dalam kitab suciNya,

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Ali-Imran, 3 : 64)

Ayat yang sungguh bermakna dan meninggalkan kesan yang mendalam. Menceritakan nilai sepunya yang ada antara kita dan manusia lain, iaitu keinginan untuk mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Penyembahan dan pergantungan harap secara total kepadaNya.


Nyahkan segala bentuk doktrin dan dominasi kejahilan dan keburukan yang sedang meracuni akal dan hati kita. Pecahkan segala tembok dan rantai yang membelenggu kita daripada kembali ke jalanNya. Tiada yang lebih indah daripada kehidupan bersamaNya. Selangkah kita kepadaNya, seribu langkah Dia menghampiri kita.... SubhanAllah...

No comments:

Antara Yang Menarik