Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, January 30, 2019

Negara Islam

Apa Itu Negara Islam?

Semestinya Pengertian yang paling sesuai bagi Islam ialah merujuk kepada bahasa asal perkataan Islam itu sendiri, iaitu Bahasa Arab. Kata Islam ialah terbitan dari perkataan asal "salama", yang bermaksud selamat.

Islam pula bermakna menyelamatkan, dari timbangan "If'al", yang bermaksud usaha untuk melakukan sesuatu. 

Pengertian mudahnya ialah, Islam bermakna usaha untuk meyelamatkan diri, atau serah diri untuk selamat.

Contohnya, polis meminta kita serah diri atau ditembak, semestinya kita akan serah diri kerana tidak mahu ditembak.

Nah, Islam bermaksud serah diri kepada Allah, untuk selamat. Selamat di dunia dan di akhirat.

Sebab itu, dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad SAW, di akhirnya ditulis, "Aslim Taslam", dari segi bahasa bermaksud "Serah diri, kamu selamat". Boleh juga diterjemah sebagai, masuklah Islam, kamu akan selamat.


Jadi, untuk menyelamatkan diri dari bahaya ancaman dunia dan akhirat, untuk mendapat kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat, mesti serah diri kepada Allah.

Begitu juga halnya, nak selamatkan Negara dari segala bahaya ancaman dunia dan akhirat, mestilah serah diri kepada Allah.


Ibarat apabila kita serah diri kepada polis, segala arahan akan dipatuhi kerana bimbang akan ditembak atau dikenakan hukuman yang lebih keras. Begitulah halnya menyerah diri kepada Allah, patuh akan segala sistem kehidupan yang telah Allah tetapkan, kerana percaya bahawa keselamatan, kebahagiaan, kemajuan, ketamadunan, kecemerlangan akan dicapai hanya apabila kita benar-benar telah menyerah diri kepada Allah..


Hari ini masyarakat Islam sendiri, sudah timbul keraguan terhadap sistem Islam, dengan pelbagai cara, termasuklah yang berikut:-


1. Tidak percaya kepada isi kandungan Al-Quran, hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Sama ada secara literal, mahupun selepas penafsiran dibuat oleh para Ulama.

Mereka mendakwa, kononnya Al-Quran diturunkan pada 1400 tahun yang lepas, maka ianya telah ketinggalan zaman. Kononnya Al-Quran perlu diberikan semangat baru sesuai dengan perkembangan teknologi dan peradaban manusia semasa.

Hal ini bercanggah dengan banyak ayat Al-Quran, antara lain yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pembawa rahmat untuk sekalian alam, bermakna sehingga berakhirnya usia dunia ini, Al-Quran mahupun hadith Nabi Muhammad SAW adalah sentiasa relevan dan menjadi petunjuk kepada semua manusia.


2. Mereka percaya kepada kebenaran Al-Quran dan Hadith, namun, merasakan keadaan belum cukup kondusif untuk pelaksanaan menyeluruh sistem Islam. Kononnya disebabkan faktor ekonomi dan sosial di Malaysia.

Sehingga bila-bila pun keadaan tidak akan pulih, kerana keadaan hanya akan pulih apabila kita telah benar-benar kembali kepada Islam.

3. Ada juga yang berkata, Islam adalah agama yang sederhana dan tidak menyukai perbuatan atau sikap-sikap yang ekstremis. 

Segala hukum hakam dalam Islam telah pun jelas, perbahasan mengenainya banyak dan panjang, bahkan telah lama dan begitu hebat sekali Ulama mengarang kitab berkaitan pelbagai bidang dan aspek kehidupan. Bukan hanya ibadah wajib, bahkan berkaitan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial, segalanya telah dibahaskan.

Islam adalah agama Nasihat dan Pendidikan. Hukum tidak boleh berubah, pelaksanaannya adalah fleksibel. Justeru, walaupun pendekatan yang sederhana diambil, hala tuju tidak akan berubah, dan tiada sesuatu pun yang boleh mengubah hukum yang jelas yang telah ditetapkan...

Persoalannya, ketika kuasa sudah berada di tangan orang-orang Islam, apakah sikap pemimpin-pemimpin yang mengaku beragama Islam, terhadap pengabaian hukum, baik yang dilakukan oleh pihak pemerintah, mahupun oleh rakyat?

Sejauh mana kerajaan benar-benar ingin menjadikan Malaysia sebuah negara yang "Serah Diri" kepada Allah?

No comments:

Antara Yang Menarik