Kami tiba di Madinah tempoh hari pada hari Rabu, hari ini hari khamis, cuma sempat melakukan aktiviti ziarah dalam, dan kemudiannya aktiviti bebas. Allah Maha Besar, Maha Agung, diberikan peluang membimbing jemaah yang hampir kesemuanya sudah kerap kali datang ke Masjid ini. Saya berpeluang mendapatkan "masa" yang lebih untuk bersendiri di Masjid Nabawi.
Suatu ketika, waktu subuh, saya bergerak awal ke Masjid, (awal jika nak dibandingkan dengan waktu Malaysia) Jam 4.00 pagi saya sudah berada di Masjid. Tapi masyaAllah, ruang solat raudhah, dan ruang solat berdekatan raudhah semuanya telah ditutup kerana telah dipenuhi para jemaah. Kalau di Malaysia, selepas azan pun masih sempat merebut saf pertama. Di sini, perlu sekurang-kurangnya 3 jam lebih awal dari waktu Subuh.
Tiba-tiba saya disapa oleh seorang lelaki dan saudaranya. Saya lupa nama yang diperkenalkan beliau kepada saya, Namun katanya, dia baru sahaja sampai, dan ini kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Masjid Nabi. Beliau meminta saya menunjukkan di mana kedudukan Rumah dan Maqam Nabi Muhammad SAW. Rupanya, dia mendahului jemaahnya pergi awal ke Masjid, lalu saya memimpinnya dan membawa beliau keluar menuju ke Bab As-Salam.
Ketika itu, hanya Bab As-Salam dibuka, dan ketika ini, laluan Bab As-Salam dikosongkan sama sekali dari para jemaah yang ingin beriktikaf. Saya kira ini sebagai salah satu nilai tambah yang baik pada pengurusan Pihak Masjid. Syabas.
Saya menunjukkan sambil menerangkan, inilah pintu laluan masuk ketika Nabi mula-mula sampai ke Madinah bersama para Sahabat. Ketibaan Nabi disambut meriah oleh penduduk Madinah. Penduduk Madinah sebenarnya telah lebih setahun menunggu detik kedatangan Nabi Muhammad SAW ini. Tahun sebelumnya, hanya wakil yang menemui Nabi Muhammad SAW, lalu dihantar Mus'ab Bin Umair untuk mengajar Al-Quran kepada mereka.
Selepas setahun, mereka membuat pelbagai persiapan untuk menyambut Baginda. Lalu tatkala Nabi sampai melalui jalan Bab As-Salam ini, berpusu-pusu orang Madinah ingin mengajak Nabi singgah dan menetap di rumah mereka masing-masing. Namun, Nabi menyebut "biarkan Unta ini berjalan, dan dia akan berhenti di tempat yang dia akan berhenti,". Lalu unta baginda berhenti di sana, sambil saya menunjukkan lokasi rumah Nabi Muhammad SAW yang kini dipagari kemas, dihiasi dengan Kalam Allah yang agung. Setiap kalam itu, apabila dibaca, cukup meruntun hati dan jiwa.
Melihat dinding rumahnya sahaja, mendatangkan sebak. Entah dari mana datangnya perasaan rindu yang begitu mendalam kepada Baginda Nabi Muhammad SAW. Lelaki tadi, bercucuran airmatanya melihat rumah Nabi dan Maqam Nabi, sambil teresak-esak menyampaikan salam buat Baginda.
Salam Sejahtera ke atas mu wahai Kekasih Allah, Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan Selain Allah dan bahawasanya dikau adalah rasul dan pesuruhNya. Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menasihati ummah, berjihad dengan sebenar erti jihad di jalan Allah. Ya Allah kurniakanlah kepada kekasih kami, Nabi Muhammad SAW kedudukan dan pangkat yang tinggi lagi terpuji seperti yang telah Engkau janjikan, sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji.
Selesai menunjuk jalan, kami mengambil haluan kami masing-masing. Saya membawa diri ke suatu sudut di dalam Masjid. Kawasan yang pada ketika awal saya masuk tadi masih lengang, kini sudah dineuhi dan hampir tiada lagi ruang kosong.
Inilah kali kedua saya bertembung dengan jumlah Jemaah Umrah yang begitu ramai, sehingga melimpah-limpah. Rupanya pagi itu, pagi jumaat. Memang jumaat, jumlah jemaah jauh lebih ramai dari biasa. Penduduk Madinah, dan Arab Saudi sekitar juga kerap mengambil peluang hari jumaat untuk mengimarahkan Masjid Nabi ini. Awal mereka tiba di Masjid.
Ketika solat subuh, Imam membaca bacaan Surah As-Sajadah. Sepanjang pengalaman saya membawa jemaah Umrah, seingat saya baru kali kedua imam membaca Surah As-Sajadah di Masjid Haramain. Kali pertama, saya tak ingat tarikhnya, tapi ketika itu kami juga baru sampai di Mekah, dan baru sahaja selesai menunaikan umrah pertama.
Pengalaman kali ini luar biasa, ketika sampai ayat sujud, imam bertakbir dan bersujud, saya pun turut bersujud. Tapi, ramai di kalangan jemaah yang lain tidak turut sujud sekadar ruku'. Di sinilah, kelebihan membaca ayat sajadah di pagi Jumaat di Malaysia. Sebenarnya bacaan surah As-Sajadah bukanlah rutin biasa di Madinah atau Mekah, bahkan di Negara lain umat islam juga tidak menjadikan amalan rutin setiap minggu.
Walaupun di Malaysia, menjadikan amalan membaca surah As-Sajadah sebagai rutin sehingga ada yang terlalu memberatkan, bahkan ada yang sampai kecewa dan tidak berpuas hati jika imam tidak membaca surah tersebut, namun di negara-negara umat Islam yang lain, ianya bukanlah rutin dan sebenarnya tidak sedikitpun mencacatkan. Saya secara peribadi, lebih cenderung untuk menjadikannya sebagai rutin. Alasan saya, jika 34 waktu solat yang lainnya, kita baca surah yang pendek, apalah sangat satu waktu solat ini sahaja yang dibaca dengan bacaan panjang.
Apalagi, bacaan imam yang cukup merdu, suara yang jelas, dan sangat menusuk.
Ketika pulang ke hotel, rupanya, ada jemaah lain yang mengalami kehairanan dan terjebak dengan situasi yang sama. Bahkan, di tempat beliau bersolat, hampir tiada yang sujud. Nah, inilah kelebihannya. Di Malaysia kalau diperhatikan, subuh jumaat, jemaahnya akan lebih ramai berbanding subuh-subuh yang lainnya.
Saya siap-siap berpesan kepada jemaah semasa ziarah dalam kami, supaya datang awal ke Masjid pada hari jumaat, kalau boleh seawal jam 10. Zuhur masuk 12.30. Jadi kebanyakan kami memang bergegas awal ke Masjid. AlhamduliLlah saya juga dapat bergerak awal ke Masjid.
Namun, seawal jam 11 pagi, beberapa pintu utama Masjid sudah ditutup kerana sudah penuh. Lebih kurang sejam sebelum masuk waktu, pintu yang menghubungkan escalator untuk ke bahagian atas dibuka, menandakan limpahan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat pada hari tersebut.
Jemaah yang tiba awal, cukup sedikit yang tidur. Kebanyakan mereka mengisi masa dengan merakam video, bergambar, membaca Al-Quran, menunaikan solat sunat, berkenal-kenalan dari jemaah pelbagai negara. Ada yang dari South Africa, New Zealand, Chicago Amerika Syarikat, Perancis, dan begitu banyak negara. Maha Suci Allah.
Hadirnya kami kerana kasihMu Ya Allah, rahmatilah kami dan eratkan hubungan antara hati-hati kami keranaMu...
bersambung....
No comments:
Post a Comment