Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, January 7, 2019

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018 (Bahagian 2)

Menu makan pagi di Madinah, biasanya Nasi Lemak, nasi goreng, bihun, maggi goreng, dan sandwich layan diri. Tapi antara yang paling dirindui ialah teh dan kopi layan diri. Teh uncang, dengan sesudu gula, ditambah dengan susu tepung. SubhanaLlah.

Kadang-kadang saya rasa, sebenarnya yang membuatkan sesuatu makanan itu sedap atau tidak, bukanlah semata-mata pada cara masak, tetapi memori yang bersangkutan dengannya. Teh dan kopi ini, mungkin tidak secanggih teh atau kopi di hotel-hotel, disediakan oleh pakar kopi dan sebagainya, namun teh ini tetap sangat sedap dan rasanya melekat ke dalam hati.

Tepat pukul 7.30 saya menanti di Lobi. Dalam jemaah kami, ada jemaah yang dijadualkan membuat rawatan Dialisis, isitimewanya Arab Saudi, kos rawatan Dialisis bagi pemegang Visa Umrah dan Haji, adalah percuma. Untuk berapa kali pun, tetap percuma. Jadual Dialisisnya jam 9, di bawa oleh Ustaz Jajang.


Setelah menunggu, akhirnya cukup korum jam 8,.00 pagi, kami pun berjalan beramai-ramai ke Masjid An-Nabawi. Ziarah Dalam, adalah aktiviti ziarah yang biasanya termasuk dalam semua pakej Umrah. oleh semua syarikat. Yang termasuk dalam ziarah dalam ialah menziarahi Masjid Nabawi dan tempat-tempat penting di sekitarnya. Termasuk Raudhah, Maqam Nabi Muhammad SAW, Maqam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, dan Perkuburan Baqi'.

Seperti selalunya, walauapun sudah hampir 4 tahun tidak ke sini, saya membawa jemaah mengikut jalan kebiasaan, yang akan menemukan kami dengan Bab As-Salam, iaitu pintu As-Salam. Tidak seperti di Makkah, Bab As-Salam di Masjid Haram dinamakan demikian kerana pintu itulah yang selalu digunakan oleh Nabi Muhammad untuk masuk ke Masjid Haram. Namun, di Madinah, Bab As-Salam dinamakan demikian kerana setentang di bahagian luarnya ialah jalan yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW bersama para Sahabat R.A. ketika mula-mula sampai ke Yathrib.

Bumi Madinah di beri gelaran Al-Munawwarah, bermaksud yang bercahaya, bergemerlapan. Semestinya kerana cahaya yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad wajahnya ibarat bulan dan matahari, bersinar menerangi seluruh pelusuk bumi Madinah. Bahkan setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, bumi ini terus disimbahi cahaya, bersinar, meriah dan bergemerlapan. Para tetamu Allah membanjiri bumi ini, tiap kali ingin menunaikan haji dan umrah.

Banyak kelebihan, antaranya Sabda Nabi,
من زار قبري وجبت له شفاعتي

"Barangsiapa yang menziarahi kuburku, wajib baginya syafaatku,"

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”. [Riwayat Muslim (1394)]

Banyak lagi kelebihan lain, ziarah dan solat di sini. Di Madinah sahaja ada 3 syurga, disebut dalam Hadith.

1. Raudhah, "Di antara mimbarku dan rumah ku, ialah taman dari taman-taman syurga (Raudhah)

2. Baqi', Nabi menyebut perkuburanBaqi' ini sebagai "Jannatul Baqi'" yang bermaksud Syurga.

3. Gunung Uhud, "Sesungguhnya bukit Uhud adalah bukit dari bukit-bukit Syurga, kami mencintai dia, dan dia mencintai kami."


Perkara paling menarik bagi saya secara peribadi, selain ziarah, menunaikan solat dan berdoa di Raudhah, ialah melihat dan mendekatkan diri dengan kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW. Melihat bagaimana rupa rumah Nabi. Melihat dan merasai sendiri udara dan persekitaran yang pernah didiami oleh Nabi. Memijak bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi. Berada di tempat-tempat berlakunya perang yang diketuai sendiri oleh Nabi, kesemuanya didirikan Masjid untuk mengembalikan segala ingatan dan sandaran kepada Allah Ta'ala.

Menariknya, semua lokasi ini didirikan Masjid, kerana ingin mengingatlkan kepada kita semua, bahawa segala aktiviti ibadah dan ziarah, tujuan utamanya ialah untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Bukan sekadar mengisi kekosongan jiwa, mencari dan merekod pengalaman, bersiar-siar dan melancong.

Bahkan lebih dari itu, ianya merupakan perjalanan penyucian jiwa,kerana dan ke arahNYa.

Apa yang ingin kita rebut semasa berada di Madinah dan Makkah? Selain berebut untuk memasuki Raudhah, selain berebut untuk solat di Belakang Imam, selain berebut untuk merakam detik terbuka atau tertutupnya payung di halaman Masjid Nabi, rebutlah kemaafan, keampunan, keredhaan, keberkatan, keimanan, kerinduan, kecintaan kepada Allah. Jika kita temui dan mendapat redhaNya, kita temui harta yang paling bernilai dan seperti memiliki segalanya.

Jika sebaliknya yang dicari hanyalah kesempatan berdoa di raudhah, atau merakam detik tatkala melalui Maqam Nabi Muhammad SAW yang mulia, maka kesempatan itu hanya akan mengisi catatan dalam memori dan tidak lebih dari sekadar itu.

Rebutlah apa sahaja peluang yang manis dan hebat ketika berada di Madinah dan Mekkah. Rebutlah semuanya kerana dan ke arahNYa.


Bersambung

No comments:

Antara Yang Menarik