Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, January 9, 2019

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018 (Bahagian 4)





Hari ni hari Sabtu, seperti yang dirancang, hari ini adalah tempoh bagi program Ziarah Luar. Ziarah Luar merujuk kepada aktiviti ziarah di luar kawasan Masjid Nabi, iaitu Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, Ladang Kurma, dan Masjid Sab'ah.

Banyak perkara menarik dalam aktiviti Ziarah Luar, selain latar belakang sejarah yang mewarnai setiap tempat yang akan dilawati, pelbagai bentuk jualan juga sedia menanti para jemaah. Membeli, sama hukumnya dengan perbuatan-perbuatan lain, boleh dikelaskan antara 5 hukum, Wajib, Sunat, Harus, Makruh, Haram. Tergantung kepada situasi, hukum membeli belah boleh sahaja berubah dari sunat menjadi makruh dan sebagainya.

Orang kata, belilah buat ole-ole. Ada juga yang kata, kalau setakat kurma, kat Malaysia pun banyak, harga lebih kurang. Tapi, saya berpandangan, belilah ikut keperluan dan kemampuan.

Kali ini duit Riyal yang saya bawak cuma SR300 sahaja. Haa, cukup tak? Tentu tak cukup kalau banyak barang yang nak dibeli, tapi jika bukan kerana mengenangkan ahli keluarga saya di Malaysia, silap-silap langsung tiada barang yang saya beli melainkan apa yang saya betul-betul perlu.

Lawatan kami pagi ini dimulakan dengan perjalanan menuju ke Masjid Quba. Masjid yang pertama dibina oleh Nabi Muhammad SAW. Ia disebut dalam Surah At-Taubah,ayat 108, 

"Sesungguhnya Masjid yang dibina atas dasar Taqwa dari awal pembinaan, adalah lebih baik bagi kamu mendirikan solat di dalamnya. Di dalamnya ada pemuda yang ingin menyucikan diri, dan sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyucikan diri."

Masjid Quba juga disebut dalam Hadith, bahawasanya sesiapa yang berwudhuk dari rumahnya kemudian menunaikan solat dua rakaat di Masjid Quba, maka baginya pahala satu umrah. Nabi Muhammad SAW juga kerap kali ke Quba', untuk menunaikan solat di sana.

Cuba bayangkan, berwudhuk, solat dua rakaat, bersamaan ganjarannya dengan 7 pusingan tawaf, 7 pusingan saie dan bercukur. Bermakna, hebat dan besar ganjarannya.

Kali ini, rutin ziarah sedikit berbeza, pada kebiasaannya kami akan pergi ke ladang kurma dan terus ke jabal Uhud. Namun, ziarah kali ini, selepas selesai ke ladang kurma, kami mengikut jalan lain melewati Masjid Qiblatain, kemudian melewati Masjid Sab'ah, dan akhirnya baru menziarahi Jabal Uhud.

Rutin dahulu, Masjid Quba' - Ladang Kurma - Jabal Uhud - Kilang Cetak Al-Quran - Masjid Qiblatain - Masjid Sab'ah, dan akhirnya pulang ke hotel.

Jadi, cuma kilang cetak Al-Quran yang tidak dapat diziarahi. Kalau ke kilang cetak Al-Quran, semua pengunjung akan diberi Al-Quran percuma, jadi beza kali ini hanyalah, tiada lagi Al-Quran percuma.

Sebelum menunaikan umrah pada kali ini, berkesempatan berprogram bersama Al-Fadhil Ustaz Hasnul Jamal (Vokalis kumpulan Diwani). Kebetulan program ketika itu ialah sambutan Maulidur Rasul. Banyak kisah-kisah menarik yang baru pertama kali didengari.

Dalam banyak-banyak kisah dan teladan yang Al-Fadhil Ustaz sampaikan, saya tertarik dengan pengajaran dari kisah Perang Uhud.


Beliau menyebut, kita pada hari ini sibuk dengan analisis Pasca Perang Uhud, dengan pelbagai Post Morterm, yang kononnya bernilai sebagai muhasabah untuk gerak kerja. Tapi, Nabi Muhammad SAW sendiri sebenarnya tak pernah buat post mortem Perang Uhud, dan tidak meletakkan beban kesalahan yang besar kepada tentera muslimin. Kesalahan dan kesilapan adalah lumrah dalam kehidupan. Kita tidak dituntut untuk merenung terlalu dalam kesalahan yang kita buat.

Semuanya dah berlalu, yang paling penting pacu kehidupan mendatang dengan lebih baik dan cuba sedaya upaya mengelak dari melakukan kesalahan yang sama. Mustahil bagi manusia lemah seperti kita, hatta generasi emas Para Sahabat untuk tidak melakukan kesalahan sama sekali. Namun, yang membezakan antara manusia yang melakukan kesalahan ini ialah siapa yang benar-benar bertaubat, dan tidak putus asa untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Allah sebut secara jelas dalam Surah Ali Imran, rangkuman ayat-ayat yang khusus menceritakan Ibrah dari Perang Uhud. Antara yang menarik ayat 139, 

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."
Antara mesej yang jelas, ialah segala keputusan dalam hidup ini, melibatkan kaya atau miskin, lapang atau sempit, sihat atau sakit, menang atau kalah, senang atau susah, segalanya adalah ketentuan Allah Ta'ala, bukanlah persoalan-persoalan ini yang penting, sebaliknya sejauh mana kita berusaha memperbaikinya, menghadapi apa pun keputusannya dengan penuh sabar, syukur dan akur kepada ketentuan Allah Ta'ala.

Kita mulia kerana dan hanya kerana Islam. Itupun, kemuliaan semuanya dari Allah, Allah memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki, Allah hinakan sesiapa yang Dia kehendaki, natijah akhirnya tetap kebaikan yang berpanjangan bagi mereka yang beriman dan bertaqwa.

Kita sama-sama berharap agar ibrah ini dapat menyerap dalam kehidupan kita selama hayat masih di kandung badan.

No comments:

Antara Yang Menarik