Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, July 30, 2009

Demonstrasi : Perkara halal yang diharamkan.

Hukum mengharamkan perkara yang halal adalah sama seperti menghalalkan apa yang haram iaitu HARAM dan berdosa.

Demonstrasi sebenarnya tidak tertakluk kepada istilah tidak puas hati semata-mata, bahkan demonstrasi juga digunakan untuk tujuan pendidikan, kesedaran dan sebagai bentuk hebahan secara besar-besaran. Kita berarak dalam sambutan maulidur rasul, demontrasi mencegah kebakaran, majlis perkahwinan secara besar-besaran dan macam-macam bentuk aktiviti demonstrasi telah sedia kita amalkan sejak berkurun lamanya.

Begitu juga dengan himpunan di jalanan. Ianya adalah satu bentuk pendidikan bertujuan membangkitkan kesedaran dan mendesak pihak-pihak tertentu berhenti daripada melakukan kerosakan.

Lihat sahaja kesan demonstrasi jalanan yang diadakan oleh umat Melayu ketika peristiwa Natrah. Setidak-tidaknya menimbulkan rasa gerun kepada puak-puak zalim yang sentiasa menindas dan menganiaya rakyat.

Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos, bakal menyaksikan satu lagi dasar kerajaan dicabar oleh rakyat. Jika sebelum ini, puluhan ribu turun di jalanan untuk membantah dasar karut PPSMI, puluhan ribu juga turun dalam himpunan BERSIH, maka sudah pasti puluhan malah ratusan ribu rakyat yang tertindas akan turun di jalanan bagi menyatakan bantahan mereka terhadap perlaksanaan akta zalim ISA tersebut.

Tertindas di sini, tidak semestinya telah merasai keperitan di tahan di Kem Tahanan ISA, malah tertindas di sini apabila jiwa dan fikiran kita terganggu kerana sentiasa berada dalam keadaan terancam dek kezaliman yang terdapat pada ISA itu sendiri. Rakyat berasa terancam kerana ada kemungkinan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mahupun Perdana Menteri sendiri akan menggunakan akta zalim ini menahan sesiapa sahaja menurut pandangannya boleh mengancam keselamatan negara.

Manusia, sesuai dengan status berakal, perlu diberikan ruang untuk mempertahankan diri dan diadili dengan sebaik mungkin sekiranya disyaki terlibat dalam sebarang kegiatan yang salah.

ISA menafikan ruang ini, malah dengan sesuka hati mereka menghukum rakyat sekalipun belum dibuktikan bersalah. Ada tahanan yang diseksa sehingga nazak seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi. Beliau ditahan, dikurung, diseksa dengan pelbagai jenis seksaan baik emosi, fizikal mahupun spiritual.

Jika kita singkapi, ada tahanan ISA yang didera dengan dimasukkan batang besi ke dalam kemaluan mereka, didera begitu rupa berulang kali dan dipaksa untuk mengaku kesalahan mereka di dalam tahanan tersebut.

Ditegaskan sekali lagi, tahanan-tahanan ini tidak melalui sebarang perbicaraan dan oleh itu belum dibuktikan bersalah.

Demonstrasi, sebenarnya adalah satu aktiviti yang sihat. Melainkan ditafsirkan menurut logik aqal pemerintah yang zalim dan bersifat kuku besi. 17 Julai 2009, dua demonstrasi berlangsung serentak, satu di Utara, satu di KL. Di Utara, isunya adalah Ketidakpuasan hati rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri kedah berhubung isu BABI. Di KL pula isunya adalah menuntut supaya kerajaan Thai memberikan kuasa autonomi kepada rakyat di selatan Thai.

Peliknya, di utara tersebut, polis mengawal himpunan tersebut dengan baik dan mereka yang berhimpun boleh bersuara menggunakan pembesar suara dan menjerit sesuka hati mereka. Namun, di KL aktivis yang berhimpun dihalau balik hanya dengan ucapan "assalamualaikum" oleh perucap pertama himpunan tersebut.

Ini, demokrasi ala UMNO Barisan Nasional, sesuai dengan gagasan terbaik oleh Najib, Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Hentikan kezaliman, turun beramai-ramai membantah ISA, dan kerajaan Zalim Satu Malaysia...

Monday, July 27, 2009

Ayuh beralih Cepat!!!

Dunia memerlukan bantuan anda. Kita sebagai manusia yang berakal, diberikan keistimewaan untuk berfikir. Kita mampu membuat pilihan sendiri dan juga bertindak mengikut pilihan yang kita buat. Bagi mereka yang yakin dengan balasan terhadap perbuatan masing-masing, sudah pasti mereka akan membuat pilihan secara lebih berhati-hati dan bertindak mengikut apa yang lebih baik untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Manusia sebenarnya tidak layak menentukan yang mana betul dan yang mana salah. Tanggungjawab manusia yang sebenarnya adalah melaksanakan yang betul dan menghindarkan yang salah mengikut panduan yang diberikan oleh Tuhan.

Tuhan yang mencipta manusia, sudah pasti Dia yang lebih berhak menentukan jalan hidup manusia. Pilihan yang ada pada diri manusia hanyalah untuk menguji tahap keimanan mereka sebagai hamba.

Bukti yang jelas, ialah naluri manusia yang sentiasa ingin kepada kebaikan. Pencuri yang telah lama mencuri pun tidak mahu mengaku bahawa dia mencuri kerana naluri hatinya berkata bahawa mencuri ini satu dosa. Raja yang zalim yang telah lama menzalimi rakyatnya tidak akan mengaku bahawa dia adalah zalim kerana naluri hatinya berkata bahawa zalim ini satu dosa.

Tuhan memiliki segala kekuasaan dan Maha menentukan setiap perkara yang berlaku. Dia melindungi manusia dari segala bentuk kerosakan sama ada secara fizikal mahupun spiritual. Dia zahirkan segala bentuk kerosakan untuk manusia menginsafi perbuatan mereka. Banjir dan ribut juga dihantar olehNya untuk 'membersihkan' segala kekotoran dari tangan manusia.

Manusia lemah serta tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan kesilapan. Manusia perlu bergantung kepada ketentuan Tuhan. Tanpa pergantungan kepada Tuhan, manusia akan hanyut dengan keindahan dunia yang sementara, leka dengan nikmat yang Tuhan berikan, serta lalai dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Muncullah ideologi mengagongkan manusia, bertuhankan akal dan nafsu. Sehingga gagal melihat antara yang benar dan yang salah, antara tulen dan palsu, antara kaca dan permata.

Segeralah berubah dan beralih dari jalan kesalahan, ke arah kebenaran dan panduan Tuhan. Hanya Dia yang mampu menyelamatkan dan hanya Dia yang berkuasa memulihkan.

Saturday, July 18, 2009

Penangkapan 7 Anak Muda : Pemimpin Negara Perlu Bertanggungjawab

Sekumpulan Mahasiswa, seramai lebih 200 orang, berkumpul menyatakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan Thailand melalui wakilnya di kedutaan Thailand di Jalan Ampang pada hari Jumaat, 17/07/09, sejurus selesai solat jumaat. Bantahan yang mendesak supaya kerajaan Thailand memberikan keadilan dan hak autonomi kepada masyarakat di selatan Thailand telah dicemari dengan aksi-aksi kurang professional daripada pihak polis yang ditugaskan.

Hasil risikan mendapati bahawa pegawai-pegawai berkenaan ditugaskan untuk berkawal atas nama OPS-PADAM. Pautan berkaitan ops padam 1 2 3

Pasukan Polis yang jumlahnya hampir menyamai jumlah Mahasiswa yang hadir telah bertindak menyekat Mahasiswa terbabit daripada berhimpun dan juga mengeluarkan sebarang kata-kata di kawasan tersebut. Menurut salah seorang saksi menyebut bahawa, apabila juru acara memberikan salam sebagai permulaan, seorang pegawai yang dipercayaai berpangkat tinggi, nama tertera pada tanda nama beliau ialah Zainuddin di situ menyuruhnya diam kerana terlalu bising. Sedangkan, Mahasiswa tersebut baru sahaja mengucapkan salam.

Pergelutan awal bermula apabila pegawai tersebut bertindak kasar dan ingin merampas pembesar suara yang dipegang oleh juru acara tersebut. Mahasiswa bukan sahaja tidak dibenarkan berhimpun, bercakap, malah tidak dibenarkan membela diri dan dihalau dengan tidak bermaruah oleh pegawai polis tersebut.

Zainuddin memberikan amaran untuk bersurai selepas bersetuju untuk membenarkan wakil pimpinan Mahasiswa untuk pergi ke kedutaan Thailand bagi menyerahkan memorandum. Selepas wakil Mahasiswa diizinkan ke kedutaan Thailand, beliau memerintahkan pegawai-pegawai polis yang ada di situ untuk menyuraikan keadaan.

"Push, Push," arahan yang digunakan oleh beliau untuk menghalau Mahasiswa dari tempat perhimpunan tersebut. Maka bertindaklah pegawai-pegawai polis beruniform dan tidak beruniform menggerakkan secara paksa semua Mahasiswa yang hadir untuk pulang. Asakan itu diselang-selikan pula dengan provokasi murahan daripada pegawai-pegawai tersebut seperti :-
"guna otak sebelum bertindak!"
"Takda otak ke?"
"habislah pengajian korang lepas ni!"
"Kerajaan kita yang baik ni pun korang tentang!"
"Siapa suruh korang tentang kerajaan?"

Walaupun hakikatnya, Mahasiswa tersebut berhimpun untuk menyatakan bantahan ke atas kezaliman yang berlaku ke atas masyarakat di Selatan Thai. Tiada sebarang kait-mengait dengan kerajaan Malaysia.

Ada juga yang digertak oleh pegawai FRU dengan menggunakan kayu cemeti dan perisai. Pegawai-pegawai FRU seramai hampir 10 orang lengkap bersenjatakan senapang gas pemedih mata, kayu cemeti, perisai, topi keledar dan kesemuanya digunakan untuk memaksa Mahasiswa bergerak meninggalkan tempat tersebut.

Sedangkan Mahasiswa yang hadir, bersenjatakan kopiah, buku lima remaja muda, kertas A3 bertulisan, dan mungkin juga selipar yang mereka sendiri sedang memakainya. Ada juga kelibat orang awam yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai polis yang mengugut hendak mengheret Mahasiswa yang enggan bekerjasama ke lokap.

Setelah hampir 15 minit kekecohan berlaku, pemimpin Mahasiswa yang masih mengepalai himpunan tersebut masih enggan beredar kerana ingin memastikan rakan-rakan yang pergi ke kedutaan Thailand berada di dalam keadaan yang selamat dan pulang ke tempat masing-masing bersama.

Akibatnya, Zainuddin menjerit, "Tangkap dia, sumbat dia ke dalam lokap, dia nak tunjuk pandai kat sini." sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah salah seorang Mahasiswa di situ yang mempertahankan haknya di dalam perlembagaan persekutuan, perkara 10, kebebasan berhimpun dan bersuara.

Tiga orang Mahasiswa yang masing-masing cuba mempertahankan hak mereka di rentap oleh pegawai polis, tiga pegawai bagi seorang Mahasiswa.

Selepas kejadian itu, Mahasiswa yang lain dihalau beredar dari tempat tersebut dan kebanyakan mereka bergerak ke Kompleks Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

Mereka menunggu kepulangan rakan-rakan mereka dari kedutaan Thailand dan dibebaskan oleh pegawai polis yang tidak profesional.

Suasana tenang di kompleks tabung haji dari pukul 2.30 hingga ke pukul 3.00 petang kerana masing-masing hanya menunggu rakan-rakan mereka dibebaskan dan selamat pulang dari keduataan Thailand. Mereka juga bersungguh-sungguh ingin mengetahui status Memorandum yang dihantar ke kedutaan Thaiand, apakah diterima dan diiring dengan baik seperti yang dijanjikan oleh Zainuddin atau sebaliknya?

Tiba-tiba, pegawai FRU berbaris. Sambil menggunakan kayu cemeti mereka mengetuk-ngetuk perisai plastik, mereka berjalan menuruni tangga perkarangan kompleks tabung haji, mengugut Mahasiswa yang berada di situ untuk beredar walaupun ketika itu suasana sangat tenang dan tiada sebarang aktiviti yang tidak sihat atau tidak sopan berlaku di situ.

Mahasiswa-mahasiswa dan beberapa orang awam terpaksa meninggalkan kawasan tersebut kerana ketakutan melihat kelakuan pegawai FRU dan pegawai-pegawai polis tersebut.

Seorang Mahasiswa, berbaju melayu dan berkopiah, merupakan salah seorang daripada kumpulan Mahasiswa yang berada di komleks tabung haji tersebut. Polis-polis yang ada di situ menyuruhnya beredar dan mengugut akan berkeras jika tidak beredar.

"Apa salah saya?" soal Mahasiswa tersebut.

"Kamu membuat kekacauan dan mengganggu keselamatan di sini," jawab salah seorang pegawai polis beruniform di situ.

"Saya tak buat apa-apa. Tuan pun nampak saya cuma seorang diri berdiri di sini,"ujar Mahasiswa tersebut.

"Saya nak kamu bersurai, balik belajar lagi bagus," sambut pegawai tersebut.

"Kalau begitu, saya mintak tolong Tuan lepaskan 3 kawan saya yang ditangkap, saya jamin tak sampai 5 minit, kami akan pulang belajar seperti yang Tuan minta," rayu Mahasiswa tersebut.

Selang beberapa ketika, bilangan pegawai semakin ramai. Mahasiswa yang berbaju melayu tersebut dipaksa menyerahkan diri kepada polis kerana tidak bekerjasama. Mahasiswa tersebut berlari ketakutan namun berjaya dikepung oleh puluhan pegawai polis yang berada di situ.

"Tangkap tangan dia! Gari tangan dia!" jerit pegawai-pegawai polis yang mengelilingi Mahasiswa tersebut.

Polis tersebut bertindak kasar dengan menyentap tangan Mahasiswa tersebut, tangannya dilipat dan badannya ditiarapkan di atas jalan. Tangannya digari seperti seorang penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis.

Seolah-olah ada jenayah yang sangat besar dan membahayakan yang telah dilakukan oleh Mahasiswa tersebut.

Selang beberapa kemudian, seorang demi seorang ditangkap, termasuk 2 orang Mahasiswi dan di bawa ke balai polis menaiki kereta polis dengan siren yang dibunyikan dengan kuat dan dipandu dengan laju seolah-olah keadaan tersebut sangat mencemaskan dan membahayakan keselamatan awam. Salah seorang Mahasiswi tersebut ditangkap oleh 7 pegawai polis lelaki, dan bajunya juga terkoyak kerana kekasaran yang dibuat oleh pegawai polis tersebut.

Adegan kejar-mengejar dan tangkap menangkap berterusan sehingga tiada seorang pun orang awam yang didapati berkeliaran di kompleks tabung haji tersebut terutamanya mereka yang kelihatan muda dan berpakaian seperti Mahasiswa.

4 orang Mahasiswa tersebut bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pegawai penyiasat atas tuduhan "ENGGAN MEMBERIKAN KAD PENGENALAN" dan denda RM1000 sekiranya gagal tampil ke Balai Polis berkenaan 2 minggu dari tarikh diikat jamin.

3 lagi Mahasiswa yang ditangkap terlebih dahulu dibebaskan pada pukul 3.30 petang 18/07/09 keesokan harinya, lebih kurang 24 jam ditahan dan diseksa mental dan fizikal.

Sebenarnya ada seorang lagi mangsa keadaan juga merupakan seorang Mahasiswa yang ditangkap dan ditahan dengan kereta yang dinaikinya. Mahasiswa tersebut bagaimanapun dibebaskan kerana polis gagal membuktikan kesalahan atau gagal mengemukakan tuduhan yang relevan kepada Mahasiswa tersebut.

Serentak dengan demonstrasi yang diadakan ini, berlaku juga satu demonstrasi di utara semenanjung Malaysia oleh penduduk tempatan yang marahkan kerajaan Negeri Kedah kerana isu BABI. Namun, hanya sedikit pegawai polis yang hadir, tiada pergelutan, tiada halangan, tiada penghalauan, apalagi penangkapan.

Kejadian ini, sekali lagi adalah bukti kehutanan dalam amalan dan tindakan pegawai polis yang diuruskan oleh institusi PDRM di bawah seliaan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia. Tahniah di atas perlantikan Musa sebagai KPN.

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi....

Gambar Kenangan 17/07








Wednesday, July 15, 2009

Salin dan Tampal...

1. EVERY ONE KNOWS ABOUT ALEXANDER GRAHAM BELL WHO INVENTED
PHONES, BUT HE NEVER MADE A CALL TO HIS FAMILY. BECAUSE HIS
WIFE AND DAUGHTER WERE DEAF. THAT'S LIFE - " LIVE FOR
OTHERS " .

2. THE WORST IN LIFE IS "ATTACHMENT " IT HURTS WHEN YOU
LOSE IT. THE BEST THING IN LIFE IS " LONELINESS " BECAUSE
IT TEACHES YOU EVERYTHING AND WHEN YOU LOSE IT YOU GET
EVERYTHING.

3. LIFE IS NOT ABOUT THE PEOPLE WHO ACT TRUE TO
YOUR FACE ........ ITS ABOUT THE PEOPLE WHO REMAIN TRUE
BEHIND YOUR BACK .

4. EGG BROKEN FROM OUTSIDE FORCE....... .A LIFE ENDS. ---------
IF AN EGG BREAKS FROM WITHIN...... .LIFE BEGINS .. ------------
---- GREAT THINGS ALWAYS BEGAN FROM WITHIN .

5. ITS BETTER TO LOSE YOUR EGO TO THE ONE YOU LOVE THAN TO
LOSE THE ONE YOU LOVE ....... BECAUSE OF EGO .

6. A RELATIONSHIP DOESN'T SHINE BY JUST SHAKING HANDS IN
GOOD TIMES. BUT IT BLOSSOMS BY HOLDING FIRMLY IN CRITICAL
SITUATIONS ..

7. HEATED GOLD BECOMES ORNAMENTS. BEATEN COPPER BECOMES WIRES.
DEPLETED STONE BECOMES STATUE. SO MORE PAIN, MORE GAIN (VALUABLE).

8. WHEN YOU TRUST SOMEONE TRUST HIM COMPLETELY WITHOUT ANY
DOUBT....... ....... AT THE END YOU WOULD GET ONE OF THE
TWO : EITHER A LESSON FOR YOUR LIFE OR A VERY GOOD PERSON .

Friday, July 10, 2009

Cuba mengembalikan Farid ke UKM..

Seminggu pertama untuk tahun akhir kedua di UKM sudah hampir berlalu. Walaupun di merata-rata dunia sedang mengalami kekecohan, namun suasana agak tenang dan damai di UKM.

Masyarakat kampus di UKM sedikit pun tidak terkocak walaupun hujan dan badai melanda seluruh dunia.

Di tengah-tengah ketenangan UKM, En Otak masih dengan kekalutan yang belum pernah ada rehatnya. Kali ini, dengan azam mengembalikan Farid ke UKM.

Untuk berjaya, menurut En Otak, Farid perlu segera kembali ke UKM. Kembali untuk mendapatkan apa yang sepatutnya menjadi milik Farid, kejayaan.

"Sebagaimana engkau pernah cemerlang dulu, kali ini juga sama, engkau boleh," seru En Otak.

"Engkau adalah apa yang aku fikirkan; jika aku fikirkan engkau boleh, maka engkau pasti boleh melakukan," sambung En Otak.

Teringat kata-kata nenek Orang labah-labah,
"A great ablities come with a great responsibilities".

Terima kasih atas peluang ini, semuanya kerana Kau Ya Allah...

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI : Terima Kasih

oleh: Sdr Faisal Tehrani (klik untuk baca di laman asal)

Foto: 7 Mac 2009: Orang ramai ditembak dengan meriam air ketika berusaha mencari perlindungan di dalam Masjid Negara.


19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."


Foto: 7 Mac 2009: Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said disembur gas pemedih mata.

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

8 Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012

Tuesday, July 7, 2009

Encik Otak kembali lagi.. Kali ini, dengan sesuatu yang lebih memeningkan..

Selama saya hidup, saya sering memerhatikan keadaan dan perkara yang berlaku di sekitar saya. Mungkin dengan agak teliti berbanding orang lain. Seringkali saya merasakan, setiap perkara yang berlaku seperti telah dirancang dan ada dalang disebalik setiap seuatu.



Saya masih teringat perasaan saya di darjah 3, di Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana, Ampang, Selangor. Waktu itu, awal tahun 1995, saya baru sahaja bertukar sekolah. Sebelum ini, sekolah lelaki, S.K. Saint Gabriel, Jalan Perwira, K.L. Berada di sekolah baru, semuanya menjadi sangat ganjil dan berbeza.

Saya ditempatkan di kelas 3 Fairuz, kelas ke-tiga menurut kedudukan kepandaian antara semua kelas darjah 3. Tiba-tiba ada seorang cikgu masuk ke kelas, memberi salam dan terus membuat pengumuman,

"Pada tangan saya ada 5 borang permohonan untuk menjadi pengawas sekolah, siapa yang berminat untuk menjadi pengawas?" umum beliau, berkaca mata, tinggi lampai dan agak segak gayanya. Kalau tidak silap, Cikgu Fauzi namanya, mengajar Matematik Tahap 1.

Serentak dengan pengumuman itu, maka ramailah rakan-rakan sekelas yang mengangkat tangan masing-masing menawarkan diri untuk mengisi borang menjadi pengawas sekolah. Sudah semestinya begitu, kerana pengawas bagi kami adalah suatu gelaran yang sangat suci dan dihormati. Tidak kurang ada yang membayangkan diri akan menjadi semakin segak dengan uniform biru.

Satu demi satu borang di"lelong" oleh Cikgu Fauzi, hinggalah borang ke-5. Pada awalnya, saya kurang berkeyakinan untuk merebut jawatan tersebut. Cikgu Fauzi pula seolah-olah terlalu memilih dan berhati-hati untuk memberikan borang tersebut.

Akhirnya, saya angkat tangan untuk cuba mendapatkan borang yang ke-5.

"Hah, kamu!" Cikgu Fauzi terus menunjukkan borang itu ke arah saya. Terkesima melihat muka Cikgu Fauzi yang tersenyum manis. Saya mematikan gerak, sambil menunggu kepastian.

"Ya, kamu!" Cikgu Fauzi seolah-olah dapat membaca keraguan yang terpancar pada muka saya.

Saya bingkas bangun, "Terima kasih cikgu," ujar saya kesopanan dan agak terharu dengan pengiktirafan tersebut.

"Ingat, hantar pada saya sebelum hari Jumaat, penapisan akan dibuat dalam masa terdekat," umum Cikgu Fauzi sebelum meninggalkan kelas.

Ketika waktu rehat, saya berjalan keseorangan ke kantin, tiba-tiba sufian, rakan sekelas 3 Fairuz, menyapa dari belakang.

"Kau betul-betul nak jadi pengawas ke?" soal sufian.

"Kenapa?" balas saya kembali.

"Kalau kau tak nak, bagi borang tu kat aku, aku minat jugak jadi pengawas ni," ujar Sufian, seingat saya, sufian juga tidak mengangkat tangannya. Dia berada di barisan belakang, dan semua yang berada di barisan belakang tidak mengangkat tangan kecuali aku.

"Ambiklah, kena hantar sebelum jumaat tau," sahutku spontan.

Sufian akhirnya berjaya dipilih menjadi pengawas. Kekal hingga ke darjah 6. Dia berjaya mengekalkan prestasi yang baik serta disiplin yang ternyata jauh lebih baik dari saya. Mungkin saya sendiri tidak mampu menjadi sebaik sufian sekiranya dipilih menjadi pengawas.

Dengan mengambil kira apa yang berlaku, saya rasa Cikgu Fauzi telah di"program"kan untuk menyerahkan borang itu kepada saya. Sufian pula di"program"kan untuk meminta borang itu daripada saya, maka penilaian akan dibuat berdasarkan keputusan saya sama ada ingin menyerahkan borang itu atau tidak.



Semasa di darjah 3, saya dipindahkan kelas sebanyak 2 kali. Ke kelas 3 Delima sekali, kemudiannya ke kelas 3 Berlian. Delima kelas kedua, dan berlian kelas No 1. Inipun saya rasakan hanya dugaan semata-mata. Saya kurang pasti apakah sebab dan punca perpindahan, namun saya pasti ada dalang disebaliknya.

Maka, saya terfikir. Siapa sebenarnya dalang kepada semua perkara yang berlaku dalam hidup ini? Kenapa saya sering merasakan ada pakatan-pakatan disebalik setiap yang berlaku. Malah saya juga merasakan ada pihak yang merakam tindakan saya untuk menguji sikap dan perbuatan saya.

Susah hendak digambarkan, tapi sememangnya itulah perasaan saya ketika kecil dulu, dan semakin kuat perasaan itu hingga ke hari ini. Walaupun aneh, tetapi saya selesa dengan keadaan ini. Menjadikan saya hamba yang merdeka.

Saturday, July 4, 2009

Isu penahanan 2 Mahasiswa protes Anti Rosmah: Pimpinan Mahasiswa UM perlu lebih bersikap rasional dan professional

Susulan kegemparan protes "anti-Rosmah" yang berlaku di Universiti Malaya, saya berpendapat Pimpinan Mahasiswa UM perlu mengambil pendekatan yang lebih professional. Kedua-dua Mahasiswa yang terbabit dalam kes tersebut tidak perlu melumpuhkan keseluruhan gerakan Mahasiswa yang sepatutnya perlu terus digerakkan.

Bagi saya, kita serahkan 2 Mahasiswa itu untuk diadili oleh pihak berkuasa. Walaupun pihak berkuasa yang ada ibarat pagar, pagar makan padi, namun adatnya biarlah sesuatu perkara itu diselesaikan dengan "baik" terlebih dahulu sebelum menggunakan cara yang lain.

Saya sama sekali menyanggah cadangan untuk membuat bantahan secara besar-besaran terhadap isu ini. Bimbang dilihat sebagai sanggup melindungi penjenayah semata-mata untuk kepentingan politik.

Jika benar, kita berani. Sebaliknya pula kalau berasa di pihak yang salah. Contohi kesabaran 7 Mahasiswa dalam ISA 7 yang bertarung habis-habisan. Sepanjang perjuangan mereka terdapat terlalu banyak tragedi pahit dan manis. Akhirnya, walaupun hak mereka diperkosa, masih lagi mereka didendang oleh masyarakat kerana kebenaran mereka.

Dalam kes di UM, mereka masih belum dibuktikan bersalah, jadi kita bersama mereka untuk memperjuangkan. Sekiranya mereka bersalah, kita perlu bersedia untuk berlaku jujur dan menjadikan peristiwa ini sebagai iktibar. Kemenangan bukanlah apabila kita sentiasa berada pada tempat pertama, bahkan kemenangan itu diperolehi apabila ia menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya.

Isu ini pastinya menjanjikan suasana yang lebih menarik dalam senario Gerakan Mahasiswa. Ia akan menjadi lebih menarik kerana peluang inilah yang ditunggu-tunggu oleh "pendengki" kepada Gerakan Mahasiswa untuk cuba melenyapkan dan memadam api kemaraan Mahasiswa.

Jangan biarkan walau seinci musuh kita mendahului perancangan dan kemaraan perubahan yang ingin kita bawakan. Justeru, Mahasiswa perlu berfikir dengan kritis dan kreatif serta memandang jauh ke hadapan dalam menghadapi segala tipu daya musuh apalgi dalam suasana genting seperti ini.

Pimpinan UM perlu bertanggungjawab dan bersikap lebih profesional. Sekadar nasihat dan teguran ikhlas dari seorang sahabat.

Wednesday, July 1, 2009

Luahan Penuh Emosi untuk KERIS, ISIUKM - Episod Akhir

Kem Kembara Insan, KKI II, (Kini KERIS)

Kebetulan, aku telah pun dimasukkan ke dalam kumpulan Usrah Timbalan Presiden ISIUKM, Ustaz Abd Syukor B Othman, FST/3. Dalam satu perjumpaan Usrah di Masjid UKM, kami membincangkan mengenai bab Aqidah. Sejurus sebelum tamat sesi usrah, dia mengingatkan kami untuk menyertai program KKI II. Aku seorang sahaja yang memberi respon negative(sekali lagi aku salahkan doktrin PC-PC 3M). Dia memaksa aku pergi dengan jaminan bahawa aku akan rugi seumur hidup kalau tak pergi.

Setelah “gagal” menghadirkan diri ke beberapa sesi taklimat yang dianjurkan oleh pimpinan ISIUKM, aku dihubungi oleh Exco Tarbiyyah ISIUKM, Ustaz Faizal Ibrahim, FPI/3.

“Ana ada hal sikit hujung minggu ni,” respon aku spontan kepada soalan pertama Ust Faizal.

“Kalau nta ada masalah duit, bagitau, ana boleh bagi diskaun pada anta,” balas Ust Faizal.

Aku terkelu, kagum kerana dia dapat meneka bahawa aku sedang bergelut mencari alasan.

“Farid, esok taklimat terakhir, ana cadangkan enta pergi je dulu taklimat. Lepas taklimat kalau nta tak dapat pergi pun takpe.

Akhirnya, aku pun hadir ke taklimat di bilik seminar FPI. Hari itu, Ust Faizal terus memikat dengan hujah dan kaedah yang sangat menarik.

Aku “terpedaya” dan akhirnya melangkahkan kaki ke KKI II.

Jumaat petang, kami berkumpul di Masjid UKM, menaiki bas ke Masjid KLIA. Hari pertama dan hari kedua kami nikmati dengan indahnya di sekitar Masjid KLIA. Walaupun hanset aku hilang, sedikitpun tidak terbanding dengan nilai mutiara yang aku terima semasa di KKI II ini.

Pagi hari ketiga, kami dikejutkan pada awal pagi. Pukul 3, kami sudah bangun dan bersiap untuk pertukaran tempat. Kami menaiki bas beramai-ramai ke Kem Rebutia, Gombak. Kami tiba di Kem Rebutia sekitar jam 5 pagi, menapak lebih dari sekilo ke tapak kem rebutia dari jalan besar. Setelah selesai solat subuh, bermulalah aktiviti kembara hutan. Macam-macam perkara menarik dengan modul yang sangat menguji Intelek, Emosi, Fizikal, dan spiritual kami.

Di penghujung kembara, ada aktiviti Tali Tinggi(High Rope), berjalan atas tayar, bergayut dan kemuncaknya terbang musang(Flying Fox).

Allahu Akbar!!!

Sambil duduk menantikan teman-teman yang lain, aku terfikir.

Apa agaknya yang aku tengah buat sekarang kalau aku tidak memilih untuk menyertai KKI II?

Apa agaknya nasib iman dan islamku jika aku memilih untuk duduk membatu di kolej tanpa sebarang aktiviti yang berfaedah?

AlhamduliLlah.

Tahun ni, ISIUKM akan menganjurkan program yang sama yang diberi nama KERIS. Sepanjang 4 tahun aku di UKM, sudah tiga kali program ini bertukar nama. Dan setiap pertukaran nama itu didahului dengan karenah birokrasi yang melampau. Semoga Allah menerima taubat pihak-pihak yang menghalang dan menunjukkan mereka ke jalan yang benar.

Kepada semua pelajar UKM, anda dijemput dan digalakkan untuk menyertai program ini. Tiada had umur, tiada sempadan bangsa, ideologi apalagi fakulti. Saya dengan yakinnya memberi amaran...

Anda akan menyesal seumur hidup kalau terlepas peluang mengikuti program ini!!!

Luahan Penuh Emosi untuk KERIS, ISIUKM - Episod 2

Zaman Terang Gelap bersilih Ganti...

PLKN yang membangangkan...

Aku sememangnya bernasib
malang apabila terpilih di antara ribuan sialan yang lahir pada tahun 1986 untuk menjadi bahan uji Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kementerian Pertahanan Malaysia(Di bawah Najib). Tiga bulan di neraka, telah merosakkan 90% daripada kehidupan aku. Kerosakan terbesar, menyebabkan aku gagal menyambung STAM di KISAS. Aku mula pandai bersoSIAL dan terjebak dalam keliaran. Iman aku waktu itu terasa begitu dahsyat pasang dan surutnya.

Akhirnya, tercampaklah aku ke Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, Kedah. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Di peringkat awal aku di KMK, saki baki kerosakan PLKN masih melekat pada badan aku. Agak sukar untuk dibuang. Sehinggalah aku bertemu dengan rakan yang baik, yang mampu membimbing aku keluar dari malapetaka dunia. Aku menyesal kerana terlalu banyak hati yang aku lukakan, terlalu banyak kerosakan yang aku lakukan.

Ke UKM akhirnya...


AlhamduliLlah, berjaya menamatkan dengan baik sehinggalah aku masuk ke UKM. Aku meletakkan 7 dari 8 pilihan aku di UKM, dan pilihan kedua aku dikabulkan.


Minggu Mesra Mahasiswa yang mendukacitakan...


Aku sebenarnya menaruhkan harapan tinggi ketika berada di UKM. Aku hampir-hampir dibunuh sekali lagi dalam Minggu Mesra Mahasiswa Baru, sesi kemasukan 2005/2006, atau 3M. Aku lebih rela tidak hadir ke majlis penutup, dan terlepas untuk naik pentas menerima hadiah Johan Bola Sepak, daripada terus dibunuh dan dipermainkan oleh PC dan pentadbiran Kolej waktu itu, Pengetua KKM waktu itu Idris Zakaria(FPI) dan Pengurus En Syed dan En Nizam(sekarang pengurus di KIY).


Mereka begitu bangang menyajikan Mahasiswa baru dengan telatah keji mereka yang langsung tidak mencirikan keintelektualan mereka sebagai warga UKM. Menyanyi dan menari yang entah apa-apa. Seingat aku lebih daripada 50 orang Mahasiswa yang keluar meninggalkan dewan pada malam itu kerana tidak mampu menahan rasa mual terhadap gelagat beruk jelmaan manusia.


Minggu Pengenalan dan Pendaftaran Persatuan M3P.


Sebelum masuk ke UKM, aku berhubung dengan senior aku di KISAS, Suzaimee Zakaria, yang juga Mahasiswa FUU tahun 2 waktu itu. Awal-awal lagi dia mengajak aku menyertai Ikatan Studi Islam, ISIUKM. Pada awalnya aku bersetuju. Aku ponteng program hujung minggu 3M di kolej semata-mata untuk berjumpa dengan pimpinan ISIUKM di Masjid UKM. Dengan berjalan kaki bersama seorang sahabat, Ahmad Farhan Bin Jusoh, dari KKM ke Masjid UKM.


Namun begitu, aku akui bahawa semasa pendaftaran persatuan, tetap ada perasaan takut dan prasangka negative terhadap ISIUKM hasil doktrin durjana PC-PC dalam 3M. Jenuh aku berfikir dan membuat pertimbangan, akhirnya kata-kata seorang pimpinan ISIUKM di Masjid selepas Solat Jumaat menyebabkan aku terus ke Pusanika untuk mendaftar sebagai ahli ISIUKM.


Dia menyebut, “Kalau orang Islam pun takut nak sertai Persatuan Islam, baik jangan jadi Islam. Sia-sia belajar agama tinggi-tinggi kalau takut dengan Persatuan Islam,” Fahzan, Fpend/3, Exco LASAK ISIUKM.


Jadilah aku ahli ISIUKM yang ke-300an mendaftar pada sesi tersebut. Pada minggu berikutnya, semua ahli ISIUKM yang baru diajak untuk mengikuti satu program yang di beri nama Kem Kembara Insan II, KKI II. Diberi nama II kerana tahun sudah telah pun dianjurkan yang pertama.

Luahan Penuh Emosi untuk KERIS, ISIUKM - Episod 1

Sebelum ini...

Siapa aku sebenarnya...

Walaupun menggelarkan diri dengan gelaran albariti(maksud = asal dr Parit), tapi 18 tahun hidup aku habiskan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun dilahirkan di rumah Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, aku berpindah ke Cheras, Kuala Lumpur seawal usiaku 4 tahun.

Kemudian terus membesar sehingga usiaku 12 tahun dan menyambung pelajaran di kampungku, Parit,Perak. Terkadang aku mencipta sebab kenapa aku dipindahkan untuk bersekolah di kampung. Hanya ada satu sebab yang terlintas, Nakal. Waktu darjah 4 hingga 6, begini jadual seharianku, 7 pg keluar rumah, 7 malam pulang ke rumah. Keluar baju putih, balik baju warna warni.

Mungkin itulah sebabnya aku dipindahkan ke Parit, Perak. Tapi di sana, aku mula mengenal diri. Pak cik dan Mak cik yang berada di kampung benar-benar memberikan suasana kehidupan yang berbeza bagi aku. Terlalu jauh hiruk-pikuk kota dengan riuh rendah di desa. Aku mula menanam azam untuk membaiki diri dan menyemai cita-cita dalam hidup.

Sepanjang aku di Sek Men Sultan Muhammad Shah, Parit, Perak, hanya ada tiga nombor yang pernah aku dapat dalam semua ujian, 1, 2, dan 8. Akhirnya PMR, 9A, dan terus ke bumi waqafan, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, Selangor.

Dilahirkan untuk kali ke-3...

Aku dilahirkan buat kali ketiga semasa di KISAS. Justeru, kalau ditanya, nikmat apa yang paling berharga selepas Iman dan Islam? Bagi aku, KISAS. 2 Tahun yang berharga berlalu dengan pantasnya. Sesekali deru air mata mengalir terasa ingin diulang manisnya perasaan dicubit Ustaz Fazdi, ditampar Ustaz Sheikh, ditengking Miss Linn dan ramai lagi murabbitun yang menggasak dan menyental segala daki dan kotor jijik keburukan yang ada pada aku. Hasil yang tidak dapat membanggakan, aku memperolehi 7A 4B dalam SPM. Keputusan tersebut menaikkan lagi semangat aku untuk menyambung di KISAS, mungkin STAM.

Antara Yang Menarik