Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, July 27, 2009

Ayuh beralih Cepat!!!

Dunia memerlukan bantuan anda. Kita sebagai manusia yang berakal, diberikan keistimewaan untuk berfikir. Kita mampu membuat pilihan sendiri dan juga bertindak mengikut pilihan yang kita buat. Bagi mereka yang yakin dengan balasan terhadap perbuatan masing-masing, sudah pasti mereka akan membuat pilihan secara lebih berhati-hati dan bertindak mengikut apa yang lebih baik untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Manusia sebenarnya tidak layak menentukan yang mana betul dan yang mana salah. Tanggungjawab manusia yang sebenarnya adalah melaksanakan yang betul dan menghindarkan yang salah mengikut panduan yang diberikan oleh Tuhan.

Tuhan yang mencipta manusia, sudah pasti Dia yang lebih berhak menentukan jalan hidup manusia. Pilihan yang ada pada diri manusia hanyalah untuk menguji tahap keimanan mereka sebagai hamba.

Bukti yang jelas, ialah naluri manusia yang sentiasa ingin kepada kebaikan. Pencuri yang telah lama mencuri pun tidak mahu mengaku bahawa dia mencuri kerana naluri hatinya berkata bahawa mencuri ini satu dosa. Raja yang zalim yang telah lama menzalimi rakyatnya tidak akan mengaku bahawa dia adalah zalim kerana naluri hatinya berkata bahawa zalim ini satu dosa.

Tuhan memiliki segala kekuasaan dan Maha menentukan setiap perkara yang berlaku. Dia melindungi manusia dari segala bentuk kerosakan sama ada secara fizikal mahupun spiritual. Dia zahirkan segala bentuk kerosakan untuk manusia menginsafi perbuatan mereka. Banjir dan ribut juga dihantar olehNya untuk 'membersihkan' segala kekotoran dari tangan manusia.

Manusia lemah serta tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan kesilapan. Manusia perlu bergantung kepada ketentuan Tuhan. Tanpa pergantungan kepada Tuhan, manusia akan hanyut dengan keindahan dunia yang sementara, leka dengan nikmat yang Tuhan berikan, serta lalai dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Muncullah ideologi mengagongkan manusia, bertuhankan akal dan nafsu. Sehingga gagal melihat antara yang benar dan yang salah, antara tulen dan palsu, antara kaca dan permata.

Segeralah berubah dan beralih dari jalan kesalahan, ke arah kebenaran dan panduan Tuhan. Hanya Dia yang mampu menyelamatkan dan hanya Dia yang berkuasa memulihkan.

No comments:

Antara Yang Menarik