Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, July 18, 2009

Penangkapan 7 Anak Muda : Pemimpin Negara Perlu Bertanggungjawab

Sekumpulan Mahasiswa, seramai lebih 200 orang, berkumpul menyatakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan Thailand melalui wakilnya di kedutaan Thailand di Jalan Ampang pada hari Jumaat, 17/07/09, sejurus selesai solat jumaat. Bantahan yang mendesak supaya kerajaan Thailand memberikan keadilan dan hak autonomi kepada masyarakat di selatan Thailand telah dicemari dengan aksi-aksi kurang professional daripada pihak polis yang ditugaskan.

Hasil risikan mendapati bahawa pegawai-pegawai berkenaan ditugaskan untuk berkawal atas nama OPS-PADAM. Pautan berkaitan ops padam 1 2 3

Pasukan Polis yang jumlahnya hampir menyamai jumlah Mahasiswa yang hadir telah bertindak menyekat Mahasiswa terbabit daripada berhimpun dan juga mengeluarkan sebarang kata-kata di kawasan tersebut. Menurut salah seorang saksi menyebut bahawa, apabila juru acara memberikan salam sebagai permulaan, seorang pegawai yang dipercayaai berpangkat tinggi, nama tertera pada tanda nama beliau ialah Zainuddin di situ menyuruhnya diam kerana terlalu bising. Sedangkan, Mahasiswa tersebut baru sahaja mengucapkan salam.

Pergelutan awal bermula apabila pegawai tersebut bertindak kasar dan ingin merampas pembesar suara yang dipegang oleh juru acara tersebut. Mahasiswa bukan sahaja tidak dibenarkan berhimpun, bercakap, malah tidak dibenarkan membela diri dan dihalau dengan tidak bermaruah oleh pegawai polis tersebut.

Zainuddin memberikan amaran untuk bersurai selepas bersetuju untuk membenarkan wakil pimpinan Mahasiswa untuk pergi ke kedutaan Thailand bagi menyerahkan memorandum. Selepas wakil Mahasiswa diizinkan ke kedutaan Thailand, beliau memerintahkan pegawai-pegawai polis yang ada di situ untuk menyuraikan keadaan.

"Push, Push," arahan yang digunakan oleh beliau untuk menghalau Mahasiswa dari tempat perhimpunan tersebut. Maka bertindaklah pegawai-pegawai polis beruniform dan tidak beruniform menggerakkan secara paksa semua Mahasiswa yang hadir untuk pulang. Asakan itu diselang-selikan pula dengan provokasi murahan daripada pegawai-pegawai tersebut seperti :-
"guna otak sebelum bertindak!"
"Takda otak ke?"
"habislah pengajian korang lepas ni!"
"Kerajaan kita yang baik ni pun korang tentang!"
"Siapa suruh korang tentang kerajaan?"

Walaupun hakikatnya, Mahasiswa tersebut berhimpun untuk menyatakan bantahan ke atas kezaliman yang berlaku ke atas masyarakat di Selatan Thai. Tiada sebarang kait-mengait dengan kerajaan Malaysia.

Ada juga yang digertak oleh pegawai FRU dengan menggunakan kayu cemeti dan perisai. Pegawai-pegawai FRU seramai hampir 10 orang lengkap bersenjatakan senapang gas pemedih mata, kayu cemeti, perisai, topi keledar dan kesemuanya digunakan untuk memaksa Mahasiswa bergerak meninggalkan tempat tersebut.

Sedangkan Mahasiswa yang hadir, bersenjatakan kopiah, buku lima remaja muda, kertas A3 bertulisan, dan mungkin juga selipar yang mereka sendiri sedang memakainya. Ada juga kelibat orang awam yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai polis yang mengugut hendak mengheret Mahasiswa yang enggan bekerjasama ke lokap.

Setelah hampir 15 minit kekecohan berlaku, pemimpin Mahasiswa yang masih mengepalai himpunan tersebut masih enggan beredar kerana ingin memastikan rakan-rakan yang pergi ke kedutaan Thailand berada di dalam keadaan yang selamat dan pulang ke tempat masing-masing bersama.

Akibatnya, Zainuddin menjerit, "Tangkap dia, sumbat dia ke dalam lokap, dia nak tunjuk pandai kat sini." sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah salah seorang Mahasiswa di situ yang mempertahankan haknya di dalam perlembagaan persekutuan, perkara 10, kebebasan berhimpun dan bersuara.

Tiga orang Mahasiswa yang masing-masing cuba mempertahankan hak mereka di rentap oleh pegawai polis, tiga pegawai bagi seorang Mahasiswa.

Selepas kejadian itu, Mahasiswa yang lain dihalau beredar dari tempat tersebut dan kebanyakan mereka bergerak ke Kompleks Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

Mereka menunggu kepulangan rakan-rakan mereka dari kedutaan Thailand dan dibebaskan oleh pegawai polis yang tidak profesional.

Suasana tenang di kompleks tabung haji dari pukul 2.30 hingga ke pukul 3.00 petang kerana masing-masing hanya menunggu rakan-rakan mereka dibebaskan dan selamat pulang dari keduataan Thailand. Mereka juga bersungguh-sungguh ingin mengetahui status Memorandum yang dihantar ke kedutaan Thaiand, apakah diterima dan diiring dengan baik seperti yang dijanjikan oleh Zainuddin atau sebaliknya?

Tiba-tiba, pegawai FRU berbaris. Sambil menggunakan kayu cemeti mereka mengetuk-ngetuk perisai plastik, mereka berjalan menuruni tangga perkarangan kompleks tabung haji, mengugut Mahasiswa yang berada di situ untuk beredar walaupun ketika itu suasana sangat tenang dan tiada sebarang aktiviti yang tidak sihat atau tidak sopan berlaku di situ.

Mahasiswa-mahasiswa dan beberapa orang awam terpaksa meninggalkan kawasan tersebut kerana ketakutan melihat kelakuan pegawai FRU dan pegawai-pegawai polis tersebut.

Seorang Mahasiswa, berbaju melayu dan berkopiah, merupakan salah seorang daripada kumpulan Mahasiswa yang berada di komleks tabung haji tersebut. Polis-polis yang ada di situ menyuruhnya beredar dan mengugut akan berkeras jika tidak beredar.

"Apa salah saya?" soal Mahasiswa tersebut.

"Kamu membuat kekacauan dan mengganggu keselamatan di sini," jawab salah seorang pegawai polis beruniform di situ.

"Saya tak buat apa-apa. Tuan pun nampak saya cuma seorang diri berdiri di sini,"ujar Mahasiswa tersebut.

"Saya nak kamu bersurai, balik belajar lagi bagus," sambut pegawai tersebut.

"Kalau begitu, saya mintak tolong Tuan lepaskan 3 kawan saya yang ditangkap, saya jamin tak sampai 5 minit, kami akan pulang belajar seperti yang Tuan minta," rayu Mahasiswa tersebut.

Selang beberapa ketika, bilangan pegawai semakin ramai. Mahasiswa yang berbaju melayu tersebut dipaksa menyerahkan diri kepada polis kerana tidak bekerjasama. Mahasiswa tersebut berlari ketakutan namun berjaya dikepung oleh puluhan pegawai polis yang berada di situ.

"Tangkap tangan dia! Gari tangan dia!" jerit pegawai-pegawai polis yang mengelilingi Mahasiswa tersebut.

Polis tersebut bertindak kasar dengan menyentap tangan Mahasiswa tersebut, tangannya dilipat dan badannya ditiarapkan di atas jalan. Tangannya digari seperti seorang penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis.

Seolah-olah ada jenayah yang sangat besar dan membahayakan yang telah dilakukan oleh Mahasiswa tersebut.

Selang beberapa kemudian, seorang demi seorang ditangkap, termasuk 2 orang Mahasiswi dan di bawa ke balai polis menaiki kereta polis dengan siren yang dibunyikan dengan kuat dan dipandu dengan laju seolah-olah keadaan tersebut sangat mencemaskan dan membahayakan keselamatan awam. Salah seorang Mahasiswi tersebut ditangkap oleh 7 pegawai polis lelaki, dan bajunya juga terkoyak kerana kekasaran yang dibuat oleh pegawai polis tersebut.

Adegan kejar-mengejar dan tangkap menangkap berterusan sehingga tiada seorang pun orang awam yang didapati berkeliaran di kompleks tabung haji tersebut terutamanya mereka yang kelihatan muda dan berpakaian seperti Mahasiswa.

4 orang Mahasiswa tersebut bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pegawai penyiasat atas tuduhan "ENGGAN MEMBERIKAN KAD PENGENALAN" dan denda RM1000 sekiranya gagal tampil ke Balai Polis berkenaan 2 minggu dari tarikh diikat jamin.

3 lagi Mahasiswa yang ditangkap terlebih dahulu dibebaskan pada pukul 3.30 petang 18/07/09 keesokan harinya, lebih kurang 24 jam ditahan dan diseksa mental dan fizikal.

Sebenarnya ada seorang lagi mangsa keadaan juga merupakan seorang Mahasiswa yang ditangkap dan ditahan dengan kereta yang dinaikinya. Mahasiswa tersebut bagaimanapun dibebaskan kerana polis gagal membuktikan kesalahan atau gagal mengemukakan tuduhan yang relevan kepada Mahasiswa tersebut.

Serentak dengan demonstrasi yang diadakan ini, berlaku juga satu demonstrasi di utara semenanjung Malaysia oleh penduduk tempatan yang marahkan kerajaan Negeri Kedah kerana isu BABI. Namun, hanya sedikit pegawai polis yang hadir, tiada pergelutan, tiada halangan, tiada penghalauan, apalagi penangkapan.

Kejadian ini, sekali lagi adalah bukti kehutanan dalam amalan dan tindakan pegawai polis yang diuruskan oleh institusi PDRM di bawah seliaan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia. Tahniah di atas perlantikan Musa sebagai KPN.

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi....

5 comments:

Anonymous said...

Azizn kt 40 org yg pg. 200 ke 40?

Anonymous said...

de video tak??

Farid Albariti said...

200.. tapi kalau kira sekali dengan polis mungkin sampai 400...:-)

video ada tapi org lain yang rakam..

Tak teringat nak rakam video dalam cell.. nanti kalau ada peluang saya cuba..:-)

Anonymous said...

dah xpe takyah ahh cube2...ckuplah skali ko dlm cell,pe pe pun..TAKBIR!!!

ammar said...

masuk penjara ke??
jadilah seperti sayyid qutb..terukirnya fi zilalil quran di dalam penjara...takbir!!!

Antara Yang Menarik