POLITIK BARAT
Thomas R Dye, di dalam karyanya, "Politics In America", menyebut bahawa politik ialah "siapa yang mendapat apa, bila dan bagaimana" (Politics: Who Gets What, When and How). Menurutnya lagi, politik wujud dalam organisasi, negara, pejabat, rumah dan di mana sahaja yang terdapatnya manusia. Di mana ada manusia, di sana pasti akan ada politik, iaitu proses menyelesaikan konflik dan masalah yang berlaku di kalangan manusia.
Politik menurut barat ialah seni serba mungkin, (The Art of Possible), maka bagi mereka yang berpegang dengan fahaman yang begini, tiada yang mustahil bagi mereka yang bijak dan pandai dalam berpolitik. Seni Berpolitik membuatkan dunia berada di dalam genggaman mereka. Mereka menggunakan seni dalam politik untuk merampas dan mengekalkan kuasa. Politik diperalatkan untuk memperalatkan orang lain. Politik menurut Barat, berkisar soal kuasa di mana kuasa sebagai alat dan matlamat akhir mereka berpolitik.
Kuasa dilihat sebagai sumber kekuatan, sehinggakan segalanya bermula dan berakhir dengan kuasa. Maka mereka menghasilkan undang-undang dan mengenakan pelbagai polisi untuk mengawal dan menguruskan hal ehwal manusia.
POLITIK ISLAM
Sementelah, politik menurut Islam, atau disebut sebagai Siasah Islami, ialah seni menyelesaikan masalah, “The Art Of Soluble”. Siasah atau politik merupakan alat dan juga kaedah untuk mengurus segala hal ehwal sama ada melibatkan orang Islam mahupun orang bukan Islam.Politik di dalam Islam menetapkan "Matlamat tidak menghalalkan cara", maka walaupun niat yang baik, tetap perlu mengikut lunas-lunas peraturan dan undang-undang, sama ada undang-undang di kalangan manusia, apalagi undang-undang yang diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada para Nabi dan Rasul.
Politik Islam mengajar seseorang itu untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal manusia tidak hanya menggunakan kuasa, tetapi memimpin dan mentadbir menggunakan pengaruh. Kuasa pengaruh menyebabkan rakyat dan masyarakat terdidik dan mematangkan manusia untuk membuat keputusan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur paksaan yang akhirnya melahirkan rasa tidak puas hati dan tidak tenteram.
Sekiranya kita benar-benar faham pengertian sebenar Politik, maka sudah pasti kita tidak akan menemui masalah untuk menerima sesuatu idea secara objektif, sekalipun idea itu datang daripada sesebuah organisasi yang mendakwa diri mereka sebagai Parti Politik.
POLITIK DAN NEGARA
Mudahnya, setiap perkara yang berlaku dalam urusan kehidupan kita melibatkan politik. Cuma, dalam sistem pentadbiran Negara, organisasi yang ingin bertanding di dalam Pilihanraya di Malaysia, dalam menentukan wakil rakyat dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, disebut sebagai Parti Politik. Padahal, organisasi-organisasi tersebut merupakan organisasi yang berdaftar dan sewajarnya diberikan "priveledge" (Kebenaran dan kebebasan) untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan tujuan organisasi tersebut didaftarkan.
Organisasi seperti UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP, Gerakan, dan lain-lain organisasi yang mendaftarkan diri mereka sebagai Parti Politik, secara asasnya bertujuan untuk menyertai Pilihanraya. Hak mereka dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu Hak untuk Berhimpun, Bersuara dan menyertai mana-mana Persatuan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, JPPM mengiktiraf pendaftaran parti-parti Politik di atas. Bermakna, di sisi undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia, semua parti di atas adalah Parti Politik yang berdaftar dan merupakan badan atau pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Kebebasan mereka bergerak dan menjalankan aktiviti masing-masing pula, sewajarnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, di mana Malaysia mengamalkan Prinsip Negara Demokrasi Berparlimen.
Demokrasi sewajarnya menjamin hak-hak parti-parti Politik untuk bergerak dan menjalankan aktiviti masing-masing.
SENSITIVITI PARTI POLITIK
Anehnya, rakyat Malaysia kini agak sensitif dengan istilah "Parti Politik" sehingga setiap perkara mahupun individu yang mempunyaikaitan dengan Parti Politik tidak dibenarkan untuk berada di dalam mana-mana institusi Kerajaan, sehingga kepada Masjid dan Surau juga tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana Parti Politik.
Malah, "highlight" diberikan kepada parti-parti yang kalah dalam pilihanraya, atau dikenali sebagai Parti Pembangkang kepada Parti yang menguasai kerajaan pada ketika ini. Sebaliknya, Parti yang menguasai Kerajaan Malaysia pada ketika ini, BN, seolah-olah bebas daripada "sensitiviti Parti Politik".
Hal ini bercanggah dengan prinsip demokrasi dan ianya wajar dilihat sebagai "seni" pihak Parti Pemerintah untuk mengekalkan kuasa mereka semata-mata. Setiap tindak-tanduk kerajaan, melibatkan segala projak, akta-akta, dan bermacam perkara lagi sebenarnya dibuat semata-mata ingin mengekalkan kuasa dan penguasaan mereka ke atas Rakyat dan hasil mahsul Malaysia.
Hasilnya, lahirlah masyarakat dan rakyat yang cetek pemikiran dan tidak berkembang dengan baik. Kerencatan pemikiran ini pula, tidak hanya melibatkan soal urus tadbir negara, malah berjangkit sehingga ke seluruh sektor yang terdapat dalam Negara, melibatkan kegagalan dalam sektor ekonomi, sosial, pendidikan, pertanian, perlancongan, undang-undang dan keselamatan, sehingga menggugat kedudukan institusi DiRaja yang kononnya di dakwa oleh Parti Pemerintah ini sebagai "Masih Berdaulat". Tepat seperti kata Lord Acton, "Power Tends To Corrupt, Absolute Power Corrupt Absolutely". Kuasa membawa kepada kehancuran, kuasa penuh, menghancurkan sepenuhnya.
Bukti ketempangan dan kepincangan sistem politik dan segala yang bersangkutan dengan sistem politik amalan Parti Pemerintah ini ialah pelbagai sekatan dan dominasi dikenakan ke atas rakyat yang dihidu sebagai "menentang kerajaan".
Bukti penyelewengan "Kefahaman Sebenar Mengenai Politik" berada di mana-mana sahaja. Misalnya guru yang didapati terlibat dengan Parti Politik Pembangkang berdepan dengan Pertukaran Tempat Kerja dan pelbagai bentuk karenah Birokrasi, seperti yang dihadapi oleh Cikgu Maarof, Suami Cikgu Normala yang bertanding dalam Pilihanraya Kecil DUN Tenang, mewakili PAS(Parti Pembangkang). Bahkan, selain CIkgu Maarof, ratusan malah ribuan guru-guru dan penjawat awam dikenakan pelbagai tindakan sehingga membawa kepada "Menamatkan Perkhidmatan" gara-gara "dihidu" sebagai melibatkan diri dalam Parti Pembangkang.
Sehingga ke hari ini, para penjawat awam masih dijajah oleh pemikiran kolot "Sensitiviti Parti Politik" ini.
Di Universiti, sekolah-sekolah dan pelbagai institusi milik kerajaan juga menyaksikan segala unsur yang bersangkutan dan berkaitan dengan "Parti Politik" ini disekat dan tidak dibenarkan sama sekali. Dalam masa yang sama, pihak Kerajaan yang adakalanya tampil dengan membawa "Bendera Asal" jenama mereka yang sebenar iaitu Parti Politik, seolah-olah diraikan dna sangat-sangat dialukan.
Pernah berlaku di sebuah IPTA, pimpinan tertinggi Bahagian sebuah Parti yang tidak ingin saya sebutkan di sini, dijemput untuk merasmikan program anjuran kolej. Malah, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (juga dirahsiakan negerinya), Parti berkenaan dijemput untuk merasmikan Porgram Jamuan Makan Malam Persatuan Anak Negeri Berkenaan, mengenepikan Menteri Besar dan sekalian jemaah Exco Kerajaan Negeri tersebut yang terlebih-lebih layak untuk hadir, dihalang atas faktor "Sensitiviti Parti Politik".
Saya sebagai rakyat Malaysia, menghormati dan menjunjung tinggi Perlembagaan (sekalipun ianya hanyalah barang tinggalan Penjajah) dan menghormati sesungguh dan seluruhnya Undang-undang Negara. Bahawa Negara ini adalah Negara yang mengamalkan konsep Demokrasi. Maka kebebasan bersuara adalah tunjang utama kepada konsep Demokrasi ini. Apapun, sebagai rakyat yang bijak, matang dan berpengetahuan, kita sedia maklum bahawa kebebasan dalam amalan demokrasi perlu dipagari oleh semangat rasional dan toleransi.
Ayuh, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!