Petua yang pertama ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Bermula seawal mungkin, kita dinasihatkan menjaga kesihatan dan elakkan daripada terlibat atau melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membahayakan kesihatan. Minum air secukupnya, makan dengan gizi yang seimbang, ambil makanan tambahan yang boleh meningkatkan kesihatan tubuh badan.
Ini sekadar petua umum yang mungkin berguna bagi setengah orang, tetapi mungkin agak sukar untuk diikuti oleh sesetengah yang lain. Boleh juga dapatkan nasihat daripada Doktor dan pakar. Ia nampak remeh tapi sebenarnya ianya banyak membantu.
Bawalah ubat-ubatan yang sesuai sebagai bekal. Antara ubat yang paling berguna dan banyak diperlukan ialah panadol (paracetamol), ubat batuk, ubat sakit tekak, vitamin c, minyak panas atau minyak urut, dan losyen pelembap sama ada kulit, bibir atau tapak kaki.
Petua yang kedua, bertujuan meningkatkan kecergasan badan, iaitu perbanyakkan aktiviti berjalan kaki. Pengalaman peribadi saya, setiap kali melaksanakan umrah, saya akan berjalan kaki sekurang-kurangnya 5 km. Bagi yang tidak pernah atau tidak membiasakan diri berjalan kaki, mungkin badan akan terkejut.
Penyakit demam urat, selalu menimpa jemaah yang kurang melakukan senaman sebelum berangkat menunaikan umrah. Tidak perlu jogging atau senaman yang berat-berat, memadai dengan berjalan kaki 2 ke 3 km sehari sudah mencukupi untuk membiasakan tubuh badan dengan aktiviti berjalan kaki sepanjang tempoh melaksanakan umrah.
Petua yang ketiga pula, pilih dan bawalah kelengkapan pakaian khususya kasut atau selipar yang sesuai dan selesa. Bagi jemaah wanita, tiada masalah untuk memakai kasut sukan sepanjang masa umrah, kerana kasut sukan sangat bagus untuk memberikan keselesaan dan keselamatan pada kaki. Jemaah wanita juga digalakkan memakai stokin yang tebal, dan mempunyai lapik bergetah untuk membantu memberikan cengkaman ketika berjalan kaki khususnya di dalam Masjid Haram.
Cuba perhatikan pekerja-pekerja di Masjid Haram, hampir kesemuanya memakai sama ada stokin yang tebal, kasut, atau selipar khusus untuk bertugas di dalam Masjid, kerana ini sangat baik untuk kaki mereka.
Contoh kasut dalam Masjid yang baik. Boleh dibeli secara atas talian |
Bagi jemaah lelaki pula, selain ketika menunaikan umrah, boleh juga memakai kasut dan stokin yang tebal dan bersesuaian. Adapun ketika ihram, pilih selipar yang selesa dan sesuai untuk berjalan jauh. Boleh juga bawa selipar khusus untuk dipakai ketika saie. Saie adalah perjalanan berjalan kaki yang paling jauh dalam keseluruhan perjalanan umrah. Sejak saya mula memakai selipar khusus ketika saie, saya dapat rasakan perbezaan dan mampu untuk berjalan dengan lebih baik lagi.
Apa yang menarik daripada segala persiapan ini ialah, jika kita bersungguh-sungguh membuat persiapan, dan persiapan ini pula khusus kita lakukan supaya dapat beribadah dengan baik, yakinlah setiap persiapan itu juga sebenarnya adalah ibadah. Semoga setiap kesusahan dan kepayahan yang kita tempuh walaupun ketika sebelum berangkat ini, dikira sebagai amal kebaikan dan menjadi asbab keringanan dan kelancaran perjalanan kita di sana nanti.
No comments:
Post a Comment