Persiapan Pakaian - Dengan mengambil kira faktor musim, jumlah hari dan jenis aktiviti yang akan dijalani, jemaah boleh memilih dan menentukan jumlah dan jenis pakaian yang ingin dibawa. Ada yang memilih untuk membawa pakaian yang banyak dengan andaian tidak mahu membasuh baju atau mendobi.
Selain itu, bagi jemaah yang mempunyai keperluan khas seperti berkerusi roda, atau perlu menjalani rawatan cuci darah (Dialysis), perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada agensi tentang kaedah pengurusan sepanjang dalam perjalanan dan ketika berada di sana. Termasuk kos-kos tambahan yang diperlukan melibatkan tambang dan saguhati untuk pengiring.
Ada yang tidak suka membawa terlalu banyak pakaian kerana ingin memberi ruang untuk kurma, kacang atau ole-ole yang ingin dibawa pulang sebagai hadiah buat keluarga, saudara-mara dan kenalan. Ada juga yang tidak membawa pakaian yang banyak kerana ingin membeli pakaian untuk dipakai semasa di Mekah dan Madinah.
Jadi, terpulang kepada persiapan masing-masing, cuma perlu diingat jika musim sejuk sebaiknya bawa baju tebal, dan sebaiknya membawa kasut yang sesuai untuk berjalan jauh. Jika ada yang berminat nak mendaki Jabal Nur dan Jabal Thur, boleh juga bersiap dengan pakaian sukan.
Persiapan seterusnya ialah jemaah sebaiknya dapatkan maklumat berkaitan aturcara. Aturcara yang dibekalkan biasanya tertakluk kepada perubahan, tetapi menjadi hak jemaah untuk dimaklumkan mengenai setiap perubahan dalam aturcara yang telah dibekalkan. Ambil perhatian terhadap aktiviti lawatan dan ziarah yang akan dilaksanakan, waktu berkumpul, pakaian yang sesuai, apa perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas lawatan diadakan.
Bagi aktiviti lawatan di Mekah, kebiasaanya akan berakhir dengan bermiqat untuk berniat umrah. Bagi lawatan di Madinah pula, biasanya jemaah dinasihatkan agar siap-siap berwudhuk di hotel kerana akan menunaikan solat sama ada di Masjid Nabawi bagi ziarah dalam, atau menunaikan solat sunat di Masjid Quba bagi ziarah luar.
Ada juga baiknya, sebelum berangkat kita membuat sedikit ulangkaji sirah berkaitan destinasi-destinasi yang akan dilawati supaya lebih dalam penghayatan ketika mendengar ulasan Mutawif berkaitan destinasi yang dilawati.
Ada juga destinasi tambahan yang mengenakan caj tambahan, antaranya ziarah ke lokasi-lokasi sekitar Madinah, Makkah, Taif, dan Jeddah. Terlalu banyak lokasi dan aktiviti tambahan yang boleh dilakukan di bumi Arab Saudi ini.
Persiapan teknikal seterusnya ialah aplikasi Nusuk. Iaitu aplikasi yang membolehkan kita untuk masuk dan beribadah di dalam Raudhah. Raudhah ini sering menjadi rebutan para jemaah seluruh dunia. Malah ada yang sanggup bersesak-sesak, merempuh dan tidak kurang ada yang sehingga tahap sanggup bergaduh semata-mata ingin masuk ke dalam Raudhah. Jadi aplikasi Nusuk ini boleh dimuatturun melalui Google Play, Apple AppStore dan tutorial pemasangannya juga disediakan di sini:
https://www.facebook.com/watch/?v=492678176072039
Kenal pasti jadual dan daftar segera bagi supaya tidak terlepas peluang untuk masuk ke dalam raudhah, Taman dari taman-taman Syugra.
Kenal pasti jadual dan daftar segera bagi supaya tidak terlepas peluang untuk masuk ke dalam raudhah, Taman dari taman-taman Syugra.
Selain itu, bagi jemaah yang mempunyai keperluan khas seperti berkerusi roda, atau perlu menjalani rawatan cuci darah (Dialysis), perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada agensi tentang kaedah pengurusan sepanjang dalam perjalanan dan ketika berada di sana. Termasuk kos-kos tambahan yang diperlukan melibatkan tambang dan saguhati untuk pengiring.
Bagi jemaah yang berkerusi roda, atau yang mungkin tidak memiliki tahap kesihatan yang baik, mungkin ada keperluan untuk mendapatkan khidmat mutawif yang boleh menolak kerusi roda sepanjang melaksanakan umrah melibatkan tawaf dan saie. Biasanya perkhidmatan disediakan dari bilik ke bilik.
Begitu juga keperluan dari sudut makan dan minum sepanjang aturcara. Bagi yang memerlukan diet yang khas, mungkin boleh maklumkan kepada pihak agensi, dan boleh juga membuat persiapan dan persediaan dengan membawa bekal makanan yang diperlukan sepanjang tempoh perjalanan.
Perlu difahami bahawa makanan di tempat orang semestinya tidak menyamai selera di tempat sendiri. Walaupun seleranya melayu, tetapi cara dan rempah masakan semestinya ada sedikit sebanyak berbeza dengan makanan di Malaysia. Cuma, bagi diri saya secara peribadi, belum pernah berjaya saya mengurangkan makan sepanjang di sana. Bak kata orang parit, memanjang je berselera nak makan. 😋
Jangan lupa bawa bersama ubat-ubatan yang diperlukan. Begitu juga dengan rekod perubatan bagi jemaah-jemaah yang mungkin pernah mempunyai rekod penyakit kritikal yang lampau seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan sebagainya. Semua perkara ini penting dan sangat membantu bagi persiapan menghadapi perkara-perkara yang tidak diingini.
Berbalik kepada persoalan pokok dalam membuat persiapan, berjalanlah atas takdir dan ketentuan Allah kepada kita. Dialah sebaik-baik penolong, sebaik-baik yang menentukan, dan yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang berlaku ke atas diri kita.
No comments:
Post a Comment