Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, April 27, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Keenam: Persiapan Mental

Persiapan Mental dikaitkan dengan persiapan cara fikir dan kesediaan dari sudut logik dan persepsi. Ini juga persiapan yang penting kerana Allah Ta'ala menyebut di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 12:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..."

Para Ulama menjelaskan termasuk dalam sangkaan ini ialah persepsi dan harapan. Elakkan daripada meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga nanti akan mengakibatkan kekecewaan. Serta elakkan daripada membuat persepsi yang negetif terhadap apa juga entiti atau situasi, kerana bimbang persepsi yang dibentuk itu jauh meleset dari keadaan dan situasi yang sebenar.

Untuk mengelakkan keadaan di atas, usahakan untuk meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah Ta'ala. Percaya sungguh-sungguh pada ketentuan Allah dan berjalanlah atas takdir dan ketentuan Allah. Allah adalah sebaik-baik perancang dan ketentuan Allah itu adalah yang terbaik untuk diri kita.

Betul, perkara ini amat mudah disebut, tapi amat sukar untuk dilaksana. Pujuklah hati dan minda kita untuk cuba sentiasa bersangka baik dengan Qada' dan Qadar Allah.

Saya sendiri mengalaminya dan saya akui ada pasang dan surutnya. Kadang-kadang kita boleh berlapang dada dengan perkara yang berlaku, tapi ada kalanya hati dan diri kita sendiri seperti tidak boleh menerima dan bukan sekali dua timbul rasa kecewa dan marah. Mohon segera ampun dan segera ingat pada Allah, kerana kita adalah insan yang lemah yang tidak pernah lepas dari lupa dan salah. 

Selain itu, antara pesanan yang berguna juga adalah, setkan pada minda dan diri kita, bahawa perjalanan ini adalah perjalanan ibadah. Malah ibadah itu pula, bukan hanya solat dan tawaf, berbuat baik, tolong menolong, memudahkan urusan, berkata dengan perkataan yang baik-baik, menahan diri dari rasa marah juga semuanya adalah ibadah bila dilakukan kerana Allah. 

Cuba bayang, setiap suapan makanan, setiap teguk air, setiap butir perkataan, setiap jejak langkah, semuanya adalah ibadah bila kita lakukan kerana Allah. Sungguh hebat perjalanan haji dan umrah ini. Persis seperti hadith Nabi SAW:

"Dari Ibnu Umar R.A, beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, Tidaklah unta yang ditunggang oleh jemaah haji menaikkan kaki belakang dan menurunkan depannya melainkan Allah mencatatnya sebagai kebaikan, sebagai penghapus dosa, atau sebagai pengangkatan satu darjat baginya," (HR Al-Baihaqi).

Menunjukkan setiap detik masa kita di sana sebenarnya adalah ibadah, selama kita tidak melakukan dosa dan maksiat. Lalu manfaatkanlah setiap detik dan waktu selama kita berada di sana untuk mengutip seberapa banyak nikmat dan rahmat daripada Allah, serta mohon sungguh-sungguh keampunan, rahmat, keberkatan dan perlindungan dari segala yang tidak baik di dunia dan akhirat.

Selain itu, kita juga boleh menyenaraikan misi dan objektif perjalanan umrah kita. Senaraikan lokasi dan aktiviti yang ingin kita lakukan sepanjang keberadaan kita di sana. Percayalah, persiapan ini sangat baik untuk membantu memandu akal dan fikiran kita supaya lebih terarah pada tujuan asal perjalanan kita ini. 

Perkara yang tidak kurang pentingnya ialah Fikrah Hidup Muslim. Perlu diingat, bahawa Allah Taala menjadikan setiap muslim itu bersaudara, dan setiap muslim itu sifatnya adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. 

Malah, boleh dikatakan punca sebenar segala kemusnahan dan petaka yang menimpa umat Islam di seantero dunia pada ketika ini, adalah disebabkan Umat Islam lari dari acuan Fikrah Hidup Muslim yang sebenar. Terlalu banyak kita saksikan pada hari ini, umat Islam bercakaran baik pemimpinnya, agamawannya, sehingga kepada pengikut-pengikut kepada aliran-aliran tertentu, saling berbalah dan bermusuh sehingga permusuhan itu dilihat lebih dahsyat daripada perseteruan mereka dengan musuh mereka dari kalangan mereka yang bukan Islam. 

Jika kita punya semangat toleransi dan semangat persaudaraan dalam Islam yang tinggi, kita akan sedar bahawa semua manusia yang kita temui di Tanah Suci nanti, sebenarnya adalah saudara kita dalam Islam. Kita diikat dengan kalimah yang sama. Malah kita sebenarnya berkongsi tujuan yang sama iaitu melaksanakan umrah dan ziarah. Walaupun akan ada masa turun dan naiknya, persiapkan diri kita sungguh-sungguh supaya apa pun yang terjadi, kita hadap dengan kejelasan minda dan emosi yang terkawal.
Ketika menunggu waktu berbuka di Roof Top, Masjid Haram. Pelbagai latar belakang, tetapi semuanya berkongsi Akidah yang sama.








No comments:

Antara Yang Menarik