Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, November 12, 2010

Penipu Besar!!!

Pernah kita diajukan soalan, sekiranya ada peminta sedekah datang ke meja makan, meminta supaya diberikan sedikit wang untuknya, dengan muka yang menagih belas dan simpati, menatap wajah kita yang sedang makan dengan senang hati. Patut atau tidak diberikan wang? 

Tak pelik, jawapan kita akan berubah-ubah setiap kali soalan yang sama diajukan. Bahkan setiap kali berdepan dengan situasi yang sama, keputusannya juga berbeza. Sudah tentu, ianya bergantung kepada kandungan wang yang kita ada. Juga "saiz" wang yang terkandung di dalam dompet mahupun beg tangan. Tidak kurang juga pengaruh label "penipu" atau "sindiket peminta sedekah" yang sangat laris di pasaran mempengaruhi setiap keputusan yang kita ambil. Sesetengah orang, sempat juga dia memilih bulu dan rupa untuk memberi.

Ya, mereka(peminta sedekah) mungkin sedang menipu.

Suatu ketika, saya melawat satu-satunya majid di Bandar Shenzhen. Diberitahukan kepada saya oleh Imam, Mohammad Ali namanya, jumlah jemaah mencecah 5000 orang. Ketika di Masjid tersebut, ada saudara seagama saya, berbangsa China, berasal dari wilayah utara Negara Komunis tersebut, menjual Kacang Keras dan kismis. Dia meletakkan harga yang sedikit tinggi berbanding harga yang pernah saya temui di tempat-tempat lain sebelum daripada itu. Anehnya, saya membeli hanya pada dia dengan jumlah yang agak banyak. 

Melihatkan saya membeli kacang tersebut, maka ramai pula yang terpengaruh turut mengikut saya membeli kacang dan kismis yang dijual oleh pemuda tersebut. Penimbangnya "oldskool", kalau yang pernah hidup 20-30 tahun yang dulu mungkin pernah tengok penimbang dacing yang sangat unik dan menarik itu. 

Selepas daripada itu, kami berpindah tempat dan melawat tempat seterusnya. Tiba-tiba ada yang menyapa salah seorang daripada kami yang turut membeli, 

"Puan, dia jual mahal la! Puan dah kena tipu ni," ujar salah seorang peserta rombongan yang tidak terpengaruh untuk turut membeli.

"Eh ye ke?? Takpe, saya beli dengan saudara saya, mereka hidup tak semewah kita," balas wanita tersebut cuba meringkaskan perbualan.

Orang itu pun beralah, sambil meminta sedikit kacang yang dibeli itu, "Tapi sedap dan berlemak kacangnya kan?" ujarnya menutup bicara.

"A'ah," balas wanita tadi ringkas, sambil tersenyum.

Tapi, situasi begini tidak kerap berlaku ke atas kita, apalagi saya. Jika di Bangi, perkara yang selalu saya sebutkan kepada mereka yang cuba menipu dan mempengaruhi saya ialah, "Takpe ye, terima kasih," ujar saya dengan keringnya.

Kebiasaannya kita sering berfikir lebih banyak ketika hendak memberi dan kurang berfikir ketika menerima. Kalau orang bagi, tak sempat mata nak berkelip kita dah terima. Tapi kalau orang meminta, lapan ratus kali kelipan mata pun belum tentu membulatkan hati kita untuk memberi.

Malang bukan? Bagi saya dan kita semua yang terpedaya dengan penipu kecil dan lupa bahawa di sana ada penipu yang sangat besar.

Bagi saya, ditipu oleh mereka yang kecil-kecil ini, tidaklah seteruk ditipu oleh penipu besar yang sebenar, bahkan kebarangkalian untuk mereka yang kceil-kecil ini untuk menipu boleh jadi hanya 50% sahaja.

Pernah saya diingatkan oleh seorang pelanggan Darul Mubarak, "En Farid, saya dah serahkan duit saya pada Encik, di peringkat saya, dari segi hukumnya dah selesai. Saya rasa tak perlu sijil-sijil, hadiah-hadiah yang bukan-bukan semata-mata nak "MENUNJUKKAN" Encik betul-betul melaksanakan tugas dan amanah yang saya berikan. Sebab yang Maha Mengetahui ialah Allah. ENcik jawab sendiri dengan Allah Ta'ala kalau encik buat salah, di peringkat saya, tanggungjawab saya terhadap arwah dah selesai," tazkirah dan peringatan yang diberikan kepada saya ketika menyerahkan bayaran dan borang Upah Haji.

Sungguh tepat dan terkesan peringatan tersebut.

Kita sering kalut dengan manusia, terlalu teliti, berharap dan sering memaksa. Sedangkan, kita lupa bahawa kita sememangnya berada di pentas dunia, pentas penipu yang paling besar di dunia dan di akhirat. Malah dirakam di dalam banyak ayat Al-Quran Al-Karim.

Kita menyangka dengan ketelitian kita mengelakkan kita ditipu menyelamatkan harta kita di dunia, sedangkan sebenarnya kekikiran kita menyebabkan harta kita di akhirat ditipu oleh raja segala penipu iaitu dunia.

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Qurban yang semakin dekat dan semakin suntuk. Jom kita berkorban, mengelakkan diri kita ditipu oleh Dunia.

1 comment:

Ahmad Tajuddin said...

wadussss,terkena atas batang hidung sendiri...ternyata benar,dunia ini adalah penipu terbesar kepada iman kita....tapi,kita sering tertipu yaa...sering menganggap duni ini adalah segala-galanya...

Antara Yang Menarik