Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, March 30, 2011

Isu Kitab Injil: Dialog Boleh Menyelesaikan.

Terlalu banyak isu dan pertembungan antara Agama Kristian dan Agama Islam di Malaysia. Bahkan dengan agama-agama lain di Malaysia juga begitu, seringkali isu dan perbezaan antara agama dianggap sebagai isu sensitif yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka. 


Saya bersetuju bahawa isu ini adalah isu sensitif, jika tidak ditangani secara baik dan berkesan, hanya akan menimbulkan konflik yang lebih teruk dan berpanjangan. Namun, kita juga perlu bersetuju, konflik perlu ditangani dengan komunikasi dan interaksi yang berkesan.

Ironinya, isu kalimah Allah, juga isu cetakan bible dalam Bahasa Melayu sudah menjadi isu bualan rakyat. Ianya sudah diketahui umum dan sudah ramai yang mempunyai pendirian yang tersendiri mengenai hal ini. Malaysia sebagai sebuah negara Demokrasi dan sangat menjaga baik Hak Asasi Manusia, menerusi perlembagaannya sangat menjamin kebebasan rakyat untuk mempunyai pandangan dan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing di mana Islam diletakkan sebagai agama rasmi perlembagaan Malaysia.

Maka, sudah semestinya, kita perlu meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan ini. Maka interaksi dan komunikasi yang berkesan akan dapat memelihara hubungan baik antara kaum dan agama bila masing-masing bebas memberi dan menerima pandangan masing-masing. Berdialog, selain untuk mencari kebenaran, merupakan jalan yang terbaik untuk mencari penyelesaian. Kita bukan ketandusan kebenaran, kerana yang benar itu sudah sekian lama terang, jelas dan tersuluh, namun masing-masing dengan kebenaran masing-masing dan tidak pernah terfikir untuk "hidup" bersama sekalipun dalam perbezaan kebenaran.

Agama Islam merupakan ajaran yang benar, merupakan ajaran yang menekankan aspek toleransi dalam hubungan antara agama, dan hormat-menghormati di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira sempadan usia, harta dan kedudukan. Malah, Islam mengajar umatnya supaya memimpin menggunakan pengaruh bukan semata-mata kuasa. 

Memimpin menggunakan pengaruh, bermakna aspek utama dan terpenting dalam menjalankan amanah kepimpinan, ialah pendidikan kepada rakyat dan orang bawahan. Pendidikan yang berkesan mencakupi aspek peningkatan dan penguasaan ilmu, kebertanggungjawaban dan komitmen dalam setiap tindakan, dan juga penekanan dari segi akhlak, penampilan dan integriti. 

Rakyat yang maju dan bertamadun, ialah rakyat yang berpendidikan tinggi. Matang dan rasional dalam membuat pertimbangan, komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan.

Islam, satu-satunya agama yang dari awal lagi menyatakan hukum secara jelas terhadap mereka yang murtad. Begitu juga Islam, secara jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam beragama. Satu-satunya agama yang terpelihara dari segi sumber rujukan utama perlembagaan penganutnya, ialah agama Islam. Bahasa Arab yang digunakan dalam penulisan Al-Quran, terpelihara dengan penurunan Al-Quran itu sendiri. Kaedah Bahasa Arab dapat difahami dengan baik menggunakan Al-Quran. Sehingga ke saat ini, tiada buku yang mampu menandingi Al-Quran dari segi isi mahupun kaedah penyampaian dan penulisan.

Sejarah juga menunjukkan usaha penulisan Al-Quran itu sendiri dipelihara dan dijaga sebaiknya oleh Allah sehingga tiada satu pun kecacatan dan kelompangan, maka Al-Quran yang digunakan di Malaysia, adalah Al-Quran yang sama digunakan diseluruh dunia semenjak kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Berbeza dengan kitab bible yang ditulis oleh penganut agama kristian. Kepelbagaian dalam penulisan dan amalan pengikutnya bukan sekadar isi dna penyampaian, malah doktrin utama mengenai akidah orang kristian juga berbeza. Ada yang berpegang bahawa tuhan bagi kristian hanyalah Tuhan yang Esa, (ada yang merujuknya sebagai Allah), tetapi ada juga yang berpegang kepada konsep Trinity (iaitu Tiga Tuhan dalam satu). Namun bagi penganut agama kristian, kedua-kedua konsep ini tetap membawa kepada Tuhan yang satu walaupun jalan penceritaan dan pemahamannya berbeza. Mereka mengatakan Tuhan mereka juga ialah Allah. 

Hal ini, sangat berbeza bagi umat Islam, Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu baginya. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada yang menyerupainya dan setara dengannya.

Perbezaan inilah yang bakal menimbulkan konflik sekiranya Bible edisi Bahasa Melayu tersebut yang dikatakan menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan bagi agama kristian. Maka, Kerajaan memutuskan untuk menarik semula penahanan 35 000 kitab bible tersebut dengan dua syarat iaitu diletakkan cop "Untuk kegunaan penganut agama Kristian Sahaja", dan diletakkan nombor siri supaya tidak berlaku ketirisan.

Presiden Iran, Ahmadinejad memegang Kitab Injil dan Alquran
ketika di sebuah persidangan PBB.
Syarat ini pula dilihat sebagai satu penghinaan dan sekatan bagi penganut agama kristian. Seorang kristian, ketika mengulas mengenai isu ini berkata, "Orang Islam yang bersalah kerana tidak menekankan aspek akidah kepada penganutnya,". Ada benarnya pendapat ini, maka ianya tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kekurangan utama kita ialah ilmu dan juga kebolehan untuk toleransi, sama ada bagi penganut agama kristian yang minoriti di Malaysia, juga kepada Umat Islam yang majoriti, tetapi lemah di Malaysia.

Saya terpaksa mengaku, kerana inilah hakikat yang berlaku. Usaha pemantapan akidah umat Islam perlu dijalankan terus, kerana memimpin mestilah menggunakan pengaruh, tidak semata-mata kuasa. Tindakan yang diambil oleh kerajaan itu, bagi saya ada relevannya, dan saya sokong. Namun, pendidikan dan penerangan mengenai isu ini juga perlu dipergiatkan. Agar bumi ini, udara ini, tanah dan segala hasilnya ini, dapat kita nikmati dengan baik, harmoni, dan dengan rukun dan damai antara warganya...

Objektif utama dialog, selain mencari kebenaran, mencari jalan keluar daripada kekusutan, dan menjernihkan kembali keadaan. Setidak-tidaknya, kata akhir yang mampu kita capai ialah bersetuju untuk tidak bersetuju...


Oleh Mohd Farid Bin Hamlud
Sukarelawan Pendidikan Rakyat, KAWAN (NGO)
Bangi.

Anda bersalah kerana hari ini anda lahir!

Saya tidak berniat untuk menyanggah atau menafikan kajian yang dibuat oleh sesetengah orang yang Pakar dalam bidangnya, mengenai kajian psikologi manusia berdasarkan keterangan-keterangan tertentu dalam hidupnya. Tahniah atas kajian dan dapatan yang pastinya tidak semborono dikeluarkan segala hasil kajian tersebut.

Misalnya, bagi mereka yang lahir pada 18 Februari pastinya seorang yang kacak, sopan-santun dan memiliki perwatakan yang menarik seperti saya. Saya tidak nafikan, ciri-ciri itu ada pada saya, akan tetapi, saya yakin hidup tidak semudah apa yang kita percaya.

Untuk berjaya, kita memerlukan lebih dari sekadar percaya, iaitu BERUSAHA!! Anda berusaha, anda pasti akan dapat hasil yang anda citakan. Benar seperti Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. Ar-Ra'du, 13:11.

Hebat bukan? Inilah Islam, mengajar dan mendidik manusia supaya sentiasa mengeluarkan yang terbaik dari diri mereka tanpa perlu bergantung sedikitpun pada nasib diri sendiri yang kononnya malang tak tentu pasal.

Kali ni agak ringkas, sekadar lontaran untuk kita fikir-fikirkan sedalam-dalamnya...

Ingat, untuk berjaya bukan sekadar percaya, tetapi USAHA!!!! Ayuh!!!~


Tuesday, March 29, 2011

PANAS!! 35000 kitab bible edisi BM dilepaskan oleh KDN dengan syarat.


35,00 kitab injil yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri menimbulkan pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Terbaru, semalam Pertubuhan Pembela Agama (PEMBELA) bertindak membuat laporan polis berhubung reaksi tidak puas hati penganut agama kristian yang mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang menahan pengeluaran Kitab Bible tersebut, dan mempersoalkan syarat yang dikenakan bagi melepaskan semua naskhah kitab bible tersebut.

Kementerian Dalam Negeri, melalui ketuanya, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, dalam kenyataannya berkata beliau masih lagi menunggu keputusan daripada Hakim Negara sama ada penahanan 35 000 kitab injil itu boleh ditarik balik atau sebagainya.

Terdahulu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid dilaporkan sebagai berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.

Hasil desakan dan permohonan daripada NGO Kristian tersebut, kerajaan akhirnya bersetuju untuk melepaskan kesemua 35000 naskhah Kitab Bible dengan dua syarat iaitu dicop dengan "Untuk kegunaan penganut agama kristian sahaja" selain diletakkan nombor siri pada setiap naskhah.

Hal ini sebenarnya bersabit dengan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Injil edisi Bahasa Melayu ini dan keputusan isu penggunaan Kalimah Allah itu sendiri masih berlarutan di Mahkamah sejak 2010. 

Paderi Goodnews Church ketika dihubungi wartawan merasakan tindakan kerajaan meletakkan cop tersebut dianggap mencacatkan dan mencemarkan kesucian kitab bible. Baginya tindakan tersebut membuatkan seolah-olah menjadi satu jenayah jika memiliki kitab bible tersebut dan sudah pasti tiada penganut kristian yang akan berpuas hati.

Isu ini, walaupun tidak sepanas isu video lucah pemimpin politik Negara, namun isu ini tetap perlu diselesaikan segera. Saya, seperti juga isu penggunaan Kalimah Allah, berpendapat satu dialog terbuka mengenai hubungan antara agama perlu diadakan segera. Apalagi kita juga menghadapi masalah interaksi antara agama dalam banyak isu sejak akhir-akhir ini. Isu lesen judi, penjualan arak dan masalah-masalah berkaitan undang-undang syariah yang perlu ditangani secara Negara Membangun yang menuju ke arah Negara Maju.

Walaupun saya berpendapat bahawa, oleh kerana Kerajaan sudah bersedia untuk berkompromi dengan menarik semula penahanan kitab tersebut, tetapi desakan terus diberikan oleh pihak kristian kononnya hak mereka untuk mengamalkan agama mereka telah disekat. (Harakah pun kena cop "Untuk Ahli PAS Sahaja", saya tak bising pon!)

Saya pelik, saya mempunyai pengalaman 3 kali ditolak dan dimungkiri oleh persatuan berasaskan agama kristian, untuk berdialog mengenai perbezaan agama Islam dan agama Kristian. Saya pernah bercakap sendiri dengan seorang Pastor dari Indonesia mengenai hal itu. Dia menyebut bahawa bagi pihaknya, dia khuatir sekiranya ada cubaan untuk menjatuhkan atau memburukkan agama kristian dalam sesi dialog tersebut.

Saya yakin dengan kebenaran Islam sebagai agama dan cara hidup saya. Bahawa agama Islam tidak pernah melarang dan memaksa manusia untuk memeluk agama Islam, tetapi semuanya akan terjawab sekiranya dialog itu berjaya direalisasikan.

Monday, March 28, 2011

Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan!!!!!!!!

Terkejut dengan soalan seorang sahabat saya, yang memajukan pandangan seorang non-muslim mengenai "ekstremis" dalam beragama. Katanya, walau apa pun agama yang dianuti, tidak boleh terlalu taat, nanti jadi ekstremis.

Saya cukup marah apabila ada yang cuba membuat kesimpulan awal yang dangkal, padahal dia belum cukup sedar tentang kenyataan yang dibuat.

Pertama, kita kena sedar bahawa kita adalah manusia. Semua manusia, walaupun rupa dan sifat adalah pelbagai, tetapi kita tetap sejenis, berpunca dari percantuman air mani kedua ibu bapa kita, kemudian membesardi dalam rahim ibu kita, dan setelah cukup masanya, kita akan lahir ke dunia, tanpa memiliki apa-apa. Selepas beberapa ketika, kita kemudiannya diberikan keupayaan untuk mendengar, kemudian melihat, dan setelah mencapai usia tertentu, akhirnya kita sendiri mampu berfikir dan seterusnya membuat penilaian dan pemilihan.


Semua ini, adalah jalan hidup seorang manusia biasa, dan setiap daripada kita pasti akan melaluinya. Kecuali Nabi Isa, yang tidak berayah, begitu juga Nabi Adam dan Siti Hawa, ibu dan bapa segala umat manusia, yang diciptakan sendiri oleh Allah.


Proses kejadian manusia, direkodkan secara jelas dan terperinci di dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW kira-kira 1400 tahun yang silam. Ketika itu, belum ada sebarang penemuan mengenai bagaimana manusia itu terbentuk. Ilmu mendapatkan anak, semua manusia tahu, tetapi bagaimana anak itu terhasil, hanya diketahui dan dibuktikan melalui ilmu sains ratusan malah seribu tahun kemudiannya.

Inilah kehebatan Al-Quran yang mengajarkan manusia tentang apa yang mereka tidak tahu.

Jika kita merujuk kepada keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran, kita akan dapati di dalamnya juga terkandung ilmu mengenai kejadian alam ini. Tidak sepatah kata pun yang bercanggah malah masih banyak yang belum ditemui oleh para saintis.


Maha Suci Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang(buruj), dan menjadikan padanya pelita (matahari) serta bulan yang menerangi. Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu). Al Furqan, 25: 61,62.

Jika ditanya secara logik, sudah pasti kita akan menjawab, Pemilik kitab Al-Quran ini sudah semestinya Maha Mengetahui segala-galanya. Mustahil untuk seorang manusia untuk memiliki ilmu setinggi ini. Keluasan ilmunya melebihi keluasan alam. Tingginya tidak terbatas, sudah tentu kekuasaannya juga tidak mampu ditandingi oleh sesiapa.

Kembali kepada persoalan ekstremis, saya memulangkan kembali soalan kepada sesiapa juga yang bertanya atau memiliki pendapat yang sama, Siapakah kita dan kenapa kita diciptakan?

Ya, kita adalah manusia ciptaan Allah. Kita hanyalah hambaNya, dan tiada tugas yang lebih layak kita lakukan selain hamba. Tiada tugas yang lebih mulia bagi seorang manusia selain menjadi hamba kepada yang Yang Maha Pencipta. Jika kita engkar atau kononnya "tidak mahu terlalu taat", maka kita sebenarnya telah lupa kepada asal-usul kejadian kita.

Tepat seperti firman Allah,

"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati)," Yasin, 36:77.

Maha suci Allah, saya berlepas diri dari kezaliman dan kejahilan mereka yang membantah...

Atas alasan apa yang logik pada fikiran kita untuk menangguhkan perintah dan tugas yang telah diberikan kepada kita sebagai hamba? Atau adakah di sana ruang untuk kita mengurangkan sedikit perintah yang telah diberikan kepada kita? Sedangkan nafas ini juga pemberianNya?

Sunday, March 27, 2011

Umrah: Apa yang perlu anda tahu? - Madinah Al-Munawwarah (Ziarah Dalam)

(untuk paparan gambar yang lebih besar, klik pada gambar foto yang tersebut)



Di sebalik dinding itulah rumah Nabi. (Gambar diambil ketika saya berada di dalam Raudah)


Setelah memiliki tiket dan visa, maka seterusnya anda akan terbang ke Negara Arab Saudi. Anda sebenarnya mumpunyai beberapa pilihan, sama ada ingin terus ke Mekah atau Madinah. Sesetengah orang, ada yang memilih untuk hanya ke Mekah, jadi tepulang kepada pilihan masing-masing. Hadith Nabi Muhammad SAW ada menyebut:

"Tidak digalakkan umatku untuk mengembara kecuali ke tiga tempat, iaitu Masjid haram, Masjid Aqsa dan Masjid ku,(Masjid An-Nabawi),"

Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad SAW menyebut, "Solat di Masjid ku ini 1000 kali ganda lebih baik dari bersolat di masjid lain, kecuali Masjid Haram, kelebihannya sebanyak 100 000 kali ganda"

Paling menarik ialah sabda Nabi Muhammad SAW, 

"Barangsiapa yang menziarahi ketika aku meninggal dunia, sama seperti menziarahi aku ketika hidup,"

Salah satu penjuru luar Masjid Nabi.
Nah, maka pilihlah sama ada masih hanya ingin ke Mekah, atau menziarahi Nabi dan para Sahabat R.A. terlebih dahulu di Madinah. Madinah merupakan bumi kedua yang diharamkan selepas Mekah. Orang-orang kafir juga tidak dibenarkan untuk memasuki kota Madinah. 

Bumi inilah yang dahulunya menjadi bumi pilihan Nabi bersama para Sahabat untuk menjadi tapak penyebaran Risalah Tauhid, syariat Allah kepada seluruh umat manusia. Bumi yang menjadi saksi kesetiaan para Sahabat menemani dan mempertahankan Baginda dalam usaha Dakwah dan mempertahankan Negara Islam Madinah. Begitu banyak perang yang berlaku, begitulah banyaknya Sahabat yang syahid. Dalam beberapa peristiwa berdarah yang menjadi ingatan juga pesanan kepada kita umat Islam hari ini supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki pada hari ini.

Di Madinah, seperti yang kita sedia maklum, didirikan Masjid An-Nabawi, yang disambungkan dengan rumah Baginda bersama Siti Aisyah R.A. Di dalam rumah itu jugalah tempat bersemadinya jasad yang mulia, hamba yang paling dikasihi Tuhan, juga dikasihi oleh sekalian manusia sehingga ke hari ini, tidak putus mengucapkan selawat dan salam yang setinggi-tingginya kepada Baginda, Muhammad Bin Abdullah SAW.

Rupa bentuk Masjid Nabi, Di Bawah kubah hijau itulah rumah yang juga menempatkan Maqam Baginda dan dua orang sahabatnya.
Selain daripada jasad insan agung ini, di rumah ini juga disemadikan jasad Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Sahabat yang paling dikasihi Nabi, dimuliakan oleh Nabi ketika dipilih sebagai satu-satunya manusia yang menemani Nabi dalam peristiwa hijrah Nabi dan Para Sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Dilantik sebagai Khalifah pertama, malah anaknya juga dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah R.A. 

Di sebelah Maqam Saidini Abu Bakar pula, tersemadinya jasad insan yang digelar sebagai Al-Farouq, didoakan sendiri hidayah baginya oleh Nabi Muhammad SAW. Hatinya yang keras, menjadi lembut dan lantas menjadi yang terkuat mempertahankan Nabi ketika hayatnya, Saidina Omar Ibn Al-Khattab R.A. 

Selain itu, disebutkan juga di dalam hadith Nabi yang bermaksud, 

"Di antara rumahku dan mimbarku, ialah taman dari taman-taman syurga," 

Maka, bersebelahan dengan rumah Nabi Muhammad SAW, di bahagian kanan, di dalam ruang Masjid, ada satu ruangan yang disebut sebagai Raudhah, ditandai dengan karpet berwarna hijau cair. Benar, di Masjid An-Nabawi, juga di Masjid Al-Haram, semuanya menggunakan karpet berwarna merah, kecuali di Raudhah. Kawasannya agak luas, kira-kira 200 kaki persegi (mungkin juga lebih sebab tak sempat untuk mengira panjang dan lebarnya, mungkin kalau ada yang tahu boleh berkongsi di sini.. huhu)

Mihrab Nabi, tempat Nabi sujud ketika
mengimamkan solat
Di Raudhah ini terlalu banyak sejarahnya, dahulunya setiap tiang ditandai dengan nama tertentu sebagai menunjukkan sejarah yang pernah berlaku di situ. Termasuk tiang tamar, yang merupakan tapak kedudukan pohon tamar yang pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sokongan ketika berdiri menyampaikan khutbah. Sehingga suatu ketika, sebilangan kaum ansar menawarkan untuk membina mimbar untuk digunakan oleh Nabi. pohon itu akhirnya menangis kerana tidak lagi dapat berkhidmat untuk Nabi Muhammad SAW. 

Walaubagaimanapun, tiang-tiang itu tidak lagi ditanda dengan namanya seperti dahulu kerana begitu ramai yang taksub dan melakukan amalan-amalan penyembahan yang didapati bercanggah, apalagi apabila berhadapan dengan pemerintah Arab Saudi yang sangat mementingkan sunnah dan melarang sebarang bentuk bidaah dalam urusan agama.

Itulah kehebatan dan kelebihan Masjid An-Nabawi, aktiviti Ziarah Dalam di Madinah bermaksud menziarahi tempat-tempat suci dan mulia di atas. Selain itu, aktiviti Ziarah Dalam tidak lengkap tanpa kita menziarahi Tanah Perkuburan "Baqi'", tempat di mana bersemadinya 10 000 orang Sahabat, juga isteri-isteri Nabi bersama-sama Khalifah ke -3 Khulafa' Ar-Rasyidin, Saidina Uthman Ibn Affan R.A.

Ziarah Dalam, bukanlah seperti menziarahi tempat bersejarah dan menghayati kisah semata-mata, tetapi menziarahi mereka ialah dengan cara kita mengucapkan salam dan mendoakan mereka, juga berdoa agar kita juga mengikut jejak langkah untuk hidup mulia dan mati juga mulia. 

Mengucapkan salam dan selawat sebagai tanda penghormatan juga kasih dan rindu kita kepada nabi Muhammad SAW. Semoga tergolong di kalangan umat Baginda yang mendapat syafaat di hari akhirat kelak. Mencintai Allah dan Rasul melebihi segala-galanya yang ada di dunia yang sementara ini.

Di sini, kalau berqasidah, kesannya sangat mendalam. Dulu, sebelum saya pernah kenal dan hafal qasidah, saya berselawat dengan nasyid selawat yang saya tau. Merdu juga, tetapi kalau anda tahu mana-mana nasyid yang sedap-sedap, tiada masalah untuk anda alunkan. Tetapi, janganlah sampai mengganggu orang lain. Jujurnya, walaupun sesedap suara Allahyarham Ustaz Asri pun suara anda, tidak dibenarkan untuk mengangkat suara di Masjid ini, juga di mana-mana masjid kerana ianya akan mengganggu ibadah orang lain.



Labbaika Allahumma Labbaika!!!

Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827 / +603-8739 3018

Saturday, March 26, 2011

Umrah: Apa Yang Anda Perlu Tahu? - Pertama dari yang utama!

Suasana di Masjid Haram, macam-macam gaya.
Seperti yang saya sebutkan dalam siri yang pertama mengenai perkongsian saya mengenai umrah, sepatutnya kali ini berkisar mengenai tentatif dan aktiviti di Mekah dan Madinah. Akan tetapi, saya merasakan ada yang terlebih dahulu perlu saya dahulukan, ada yang pertama yang perlu saya utamakan, iaitu KENAPA ANDA PERLU PERGI MENUNAIKAN UMRAH?

Saya alaminya dan merasainya sendiri, peri penting soalan pertama yang perlu anda jawab, KENAPA? 

Umrah dari segi istilah ialah menziarahi Masjid Al-Haram dan melaksanakan ibadah-ibadah yang tertentu. Tertentu di sini, merujuk kepada berihram, tawaf, saie dan seterusnya bertahallul. Aktiviti tawaf dan saie hanya disyariatkan di sini. Umrah adalah WAJIB berdasarkan firman Allah,

"Dan sempurnakan haji dan umrah kerana Allah," Al-Baqarah, 2 : 196

Kalimah "Atimmu" merupakan kata perintah yang membawa kepada hukum wajib yang secara jelas mewajibkan kita menunaikan umrah dan haji kerana Allah. Namun diperjelaskan dalam hadith Nabi, ketika menjawab soalan Malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki, ketika ditanyakan mengenai Islam, terakhir Nabi menyebutkan "Menunaikan haji di jalanNya bagi yang berkemampuan,"

Perintah ini, selain daripada membawa pengertian WAJIB, juga mengingatkan kita bahawa menunaikan umrah ataupun haji ini (begitu juga menguruskan pakej jemaah umrah dan haji) mestilah kerana Allah Ta'ala. Tanpa ada niat lain yang buruk. Pegangan kami di Darul Mubarak, juga saya amat yakin dan percaya, pegangan semua syarikat yang menawarkan Pakej Haji dan Umrah, kami melakukannya kerana Allah. Caj yang kami kenakan adalah caj perkhidmatan dan sama sekali tidak berniat ingin menipu atau menindas para jemaah yang merupakan tetamu-tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah.
Suasana di masjid juga begitu, sedang tidur pun dapat pahala.

Kami ada pekerja yang bekerja untuk menguruskan pakej para jemaah, bagaimana dengan periuk nasi mereka? Juga pekerja-pekerja yang bekerja di Terminal Haji, di Masjid Haram dan Masjid Nabawi, mereka semuanya diberikan gaji atas perkhidmatan yang mereka berikan. Saya, seperti pembimbing lainnya, sentiasa berharap agar kelemahan dan kekurangan yang pasti akan sentiasa ada tidak menghalang para jemaah mendapatkan kemanisan beribadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Itulah keutamaan kami di Darul Mubarak, juga mana-mana agensi Umrah dan Haji lainnya.

Oleh itu, sebelum anda membuat keputusan untuk pergi, terlebih dahulu tanya diri anda sendiri kenapa anda ingin benar menunaikan Umrah? 

Pengalaman saya yang tidak seberapa mengajar saya kepentingan niat dalam menunaikan umrah dan ziarah ini. Kerana perjalanan ini adalah perjalanan ubudiah, perhambaan kita kepada Allah. Segala kesusahan yang kita hadapi, pastinya adalah mehnah dan ujian daripada Allah. Tepat seperti yang diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith pertama "Hadith 40 Imam Nawawi", 

"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niatnya. Dan bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu akan sampai kepada Allah dan Rasul. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang menjadi habuan, atau perempuan yang ingin dinikahi, maka hijrahnya akan sampai kepada apa yang dia inginkan,"

Secara panjang lebar, Baginda mengingatkan kepada kita, supaya meletakkan kepentingan Allah dan Rasul dalam setiap perbuatan dan amalan kehidupan kita. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkaitan dengan ibadah khusus seperti manasik haji dan umrah ini. Maka, kita perlu membulatkan niat dan tekad kita untuk mendapatkan Allah dan Rasul dalam perjalanan kita menjadi tetamuNya nanti.

Saya melihat sendiri, mereka yang begitu jujur dan ikhlas ingin melaksanakan umrah dan ziarah ini, Allah Ta'ala berikan begitu banyak kelebihan, kekuatan dan kelapangan untuk melaksanakan ibadah sepanjang keberadaan mereka di sana. Pernah saya membawa seorang nenek, usianya hampir 80tahun, sudah bongkok namun kental semangatnya sehingga mampu melaksanakan 9 kali umrah. Bukan satu dua kes, malah begitu ramai yang saya lihat dan kenali sendiri, betapa tinggi dan murninya azam mereka menyahut panggilan daripada Allah. 

Dalam kes yang berbeza, saya ditemukan oleh Allah dengan seorang jemaah yang begitu sombong dan berlagak dengan kelebihan dirinya untuk menunaikan umrah, akan tetapi hanya sekali sahaja diberikan kesempatan untuk menunaikan umrah disebabkan ujian yang Allah Ta'ala berikan kepadanya. Semoga kita terpelihara dari kemurkaanNya.

Sebenarnya saya sendiri, terkadang tidak begitu kuat untuk menghadapi dan menguruskan jemaah yang pelbagai karenah ini. Ketika mula-mula menguruskan jemaah, ada sahaja yang tidak kena, complain yang macam-macam, bahkan ada yang memaki-hamun dan sebagainya. Namun Ust Mahyoni, teman saya, wakil Darul Mubarak di Mekah, pernah menasihatkan saya, "kita buat kerana Allah, jangan biarkan manusia menggagalkan kita! Lupakan jangan pendamkan, kerana memang inilah cabarannya" Ingatan yang cukup menyentuh dan menyentak hati saya. Setiap kali saya berhadapan dengan ujian, saya selalu ingat kata-kata ini, supaya perjalanan saya mencari Pencipta tidak dihalang oleh yang dicipta. 

Apa yang ingin saya tekankan sekali lagi di sini, ialah kepentingan Niat. Niat anda akan memberikan apa yang anda mahukan sepanjang berada di Tanah Suci. Sudah tentu, Niat yang baik memerlukan keazaman yang tinggi. Kerana kita sesekali tidak akan dibiarkan oleh Allah berkata bahawa kita beriman, selagi kita belum diuji. Bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita juga akan diuji, inikan pula dalam proses kita ingin menjadi tetamuNya, pasti akan ada ujian dan hanya hambaNya yang benar-benar ikhlas, akan melepasi ujian ini dengan mudah. Saya juga hamba yang lemah yang masih sangat memerlukan bantuan dan petunjuk dariNya. Moga ingatan ini baik untuk tuan-tuan dan puan-puan, lebih-lebih lagi kepada diri saya yang sekadar menyampaikan pesanan.

Kemanisan dan keindahan perasaan menjadi tetamuNya, hanya Allah yang tahu. Sukar digambarkan dengan kata-kata. "Sejuta kata tak cukup untuk melukis indahMu" (Bak kata Opick). Betapa terhibur dan terisinya hati kita tatkala dibentangkan dan diperlihatkan kehebatan ciptaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Berada di bumi kekasihNya, menghirup dan merasai udara yang pernah dihirup dan dirasa oleh Nabi. Berjalan atas bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi, menziarahi tempat-tempat bersejarah yang juga pernah menumpahkan darah Nabi yang mulia itu.

Penyucian dan pembersihan jiwa yang sangat berkesan, apalagi jika kita membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quranul Karim yang diturunkan di sana. Menghayati setiap perjalanan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang tiada tolok tandingnya. Apalah sangat derita yang kita alami nak dibandingkan dengan Nabi? Bahkan setiap waktu hanya memikirkan tentang kita, sedangkan kita sendiri tidak mampu menjawab apakah benar ada Nabi di hati kita?

Layakkah kita untuk berhadapan dengan Nabi dia akhirat kelak setelah segalanya kita korbankan untuk dunia yang sentiasa menipu dan melalaikan kita?

Perjalanan menjadi tetamu Allah dan RasuluLLah, adalah perjalanan ubudiah, seorang hamba yang mencari Rabb dan kekasih Rabbnya. Sepertimana Allah Ta;ala menghiburkan Nabi dalam peristiwa Isra' dan Mikraj, begitu jugalah harapan kita tatkala diizinkan oleh Allah untuk berjalan menjadi tetamuNya nanti.

Semoga segala usaha dan urusan kalian dipermudahkan, diberikan kelapangan dan menemui hakikat sebenar kejadian insan. Sama-sama kita doakan supaya diri kita, orang-orang yang bersama kita, malah seluruh manusia di dunia ini diberikan petunjuk oleh Allah, dan menjadikan kita asbab kepada petunjuk mereka. Ameen Ya Rabbal Alameen..

Jom, berusaha dan beramal, kerana dan ke arahNya..

Labbaika Allahumma Labbaika!!!

Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827 / +603-8739 3018

Wednesday, March 23, 2011

Kesan Politik Peribadi

Kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang sanggup menjadikan isu peribadi sebagai modal politik. Sesudah gagal disabitkan tuduhan liwat, Dato' Seri Anwar Ibrahim dilibatkan pula dengan skandal video terlampau. Sebenarnya, sudah begitu banyak skandal dan salah laku moral pemimpin politik yang berpengaruh di Malaysia ini didedahkan. Ada berita yang melumpuhkan dan menamatkan karier politik individu tertentu, tidak kurang yang masih bertahan malah terus mendapat kepercayaan walaupun skandal tersebut dibuktikan dan diakui sendiri oleh individu tersebut.

Saya cuba mengimbas kembali, skandal peribadi yang pernah terbongkar sebelum daripada ini, mujurlah tiada satu pun yang dimulakan oleh Parti Islam SeMalaysia, PAS.

Ini kerana PAS mengamalkan Politik Islam, menyelesaikan masalah, selain memimpin dan membawa manusia ke arah kebaikan. Politik Islam tidak boleh bercampur dengan unsur-unsur maksiat seperti membuka aib, mencari kesalahan (bersifat peribadi), apalagi memfitnah dengan mereka-reka cerita dan memburuk-burukkan peribadi. Ianya sangat ditegah malah diterangkan dalam ayat yang cukup jelas di dalam Al-Quran, surah Al-Hujurat, 49 : 12,

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
Maka jelas, Islam melarang dengan perintah larangan yang sangat jelas, mengintip dan membuka aib orang lain. Walaupun, saya tidak berani mengatakan bahawa berita skandal tersebut mempunyai tujuan politik, tetapi bak kata orang tua-tua, "Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata,".

Bagaimanakah sebenarnya yang dikatakan politik peribadi? Adakah ia bermakna kita langsung tidak boleh mendedahkan keburukan seseorang? Bagaimana ingin melakukan "check and balance" sekiranya peribadi seseorang itu tidak boleh disentuh?

Sememangnya kita perlu menegur kesalahan baik dari segi urustadbir seseorang pemimpin hinggalah kepada kredibiliti dia sebagai seorang pemimpin. Menegur dan mengubah pemimpin adalah perkara biasa yang perlu berlaku dalam mana-mana organsasi apalagi dalam sebuah kerajaan. Kerajaan yang tidak boleh digugat ialah kerajaan yang sangat lemah dan menghancurkan, Power Tends To Corrupt, Absolute Power Corrupt Absolutely.


Tetapi apabila melibatkan isu-isu sensitif, tidak sepatutnya perkara tersebut dijadikan isu untuk tontonan dan makluman umum. Dua akibat utama daripada kegagalan mengawal isu ialah, pertama pembunuhan karakter yang tidak bermoral, kedua mendidik masyarakat dengan nilai yang tidak sihat.

Bayangkan, sebelum tahun 1998, saya rasa kita akan ada rasa malu untuk menyebut secara terbuka perkataan "liwat", namun sejak daripada perbicaraan kes liwat DSAI, rakyat Malaysia sudah tegal dengan istilah, lebih teruk daripada itu, berlaku pula pertambahan kes liwat yang dilaporkan di Malaysia.

Selepas skandal Chua Soi Lek juga begitu, rakyat sudah dibiasakan dengan istilah-istilah negatif yang sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan dan corak hidup masyarakat di Malaysia. Saya setuju, sekiranya salah laku moral ini, jika dibuktikan, boleh menapis pemimpin-pemimpin yang tidak berakhlak. Walaubagaimanapun, pihak terbabit perlu bijak mengawal supaya berita dan skandal tersebut tidak menjadi bahan jenaka rakyat.

Jangan salahkan trend, kerana andalah sebenarnya yang mengawal trend tersebut...

Malang sekali, Malaysia sekarang sudah semakin tenat dengan jenayah rakyat yang semakin tidak bermoral. Berita-berita seperti ini hanya akan meningkatkan lagi indeks jenayah dan salah laku moral rakyat Malaysia, percayalah, hanya berpolitik dengan Politik Islam dapat menyelesaikan masalah. Rakyat perlu dididik dengan nilai yang positif dan murni.

Kalau takut dengan istilah Politik Islam, bolehlah amalkan politik nilai kerana itu jugalah yang sebenarnya dianjurkan oleh Islam.

Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia!!!

Umrah: Apa yang perlu anda Tahu?

Tentu seronok mendengar / membaca mengenai pengalaman mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk melakukan Umrah dan Ziarah. Sudah tentu, ianya akan menjadi lebih seronok sekiranya anda mengalaminya sendiri. Jadi, beberapa perkara yang perlu anda tahu mengenai Umrah ini, saya kongsikan supaya anda mendapat lebih motivasi dan persediaan untuk ke sana.

Keperluan utama untuk mengerjakan Umrah.

Di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah
1. Visa - Untuk mendapatkan visa, terlebih dahulu anda perlu memiliki sebuah Passport Antarabangsa Negara anda sendiri. Sekiranya anda merupakan warganegara Malaysia, maka anda bolehlah memohon untuk mendapatkan Passport di mana-mana pejabat Imegresen yang terdekat. Harga untuk sebuah Passport ialah RM100, sah untuk tempoh 3 Tahun, terdapat 48 muka surat. (Bermakna 48 kali boleh melancong). Untuk ke luar negara, Passport anda mestilah sah untuk tempoh 6 bulan sebelum tarikh anda melancong.

Sebagai contoh, jika anda berhajat ingin menunaikan umrah pada tanggal 9 September 2011, maka Passport anda mestilah mempunyai kekosongan 2 muka surat dan sah sekurang-kurangnya sehingga 10 Mac 2011.

Harga untuk visa ialah RM300 seorang.

2. Dokumen Mahram (bagi wanita) Selain itu, khusus untuk wanita, anda perlu pergi bersama Mahram, atau setidak-tidaknya mendapat kebenaran daripada Mahram anda. Jika tidak, visa tidak akan dikeluarkan. Untuk tujuan ini, dokumen yang boleh membuktikan hubungan pertalian antara anda dan Mahram adalah diperlukan. Jika anda pergi bersama suami, maka sijil nikah diperlukan, atau jika anda pergi bersama anak / ayah/ abang, maka surat beranak diperlukan.

Sekiranya anda tidak pergi bersama Mahram lelaki, anda perlu mempunyai kumpulan Wanita sekurang-kurangnya 5 orang. Pada kebiasaanya, Agensi yang mengendalikan urusan visa akan mengumpulkan sendiri wanita yang tidak mempunyai mahram untuk diletakkan di dalam satu kumpulan.

3. Buku Cucuk. Untuk tujuan keselamatan dan kesihatan, anda perlu terlebih dahulu mendapatkan suntikan meningitis, suntikan khas untuk mendapatkan visa Umrah / Haji. Setiap kali suntikan, bertahan untuk tempoh dua tahun. Akan tetapi, ibu mengandung dan mereka yang mengalami masalah-masalah kesihatan tertentu perlu terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil suntikan ini.

4. Tiket Kapal Terbang. Dahulu, umrah tidak begitu popular disebabkan kemudahan pengangkutan yang agak terhad. Maka, datuk-datuk dan opah-opah kita hanya menumpukan kepada ibadah haji, itupan kebiasaannya hanya setahun seumur hidup. Kalau ada yang nak pergi Umrah / Haji, pasti akan diadakan kenduri doa selamat besar-besaran. Tetapi, keadaan sekarang sudah berbeza, anda boleh terbang pada bila-bila masa asalkan ada wang. 

Oleh kerana Mekah dan Madinah terletak di Negara Arab Saudi, maka anda bolehlah mendapatkan mana-mana tiket penerbangan yang boleh membawa anda ke sana. Terdapat beberapa jenis tiket yang boleh anda pertimbangkan:

a. Tiket Penerbangan Terus (Direct Flight): Tiket jenis ini hanya boleh didapati daripada dua syarikat Penerbangan iaitu Malaysia Airline System (MAS) dan juga Saudi Airline (SUV). Harga tiket jenis ini kebiasaanya adalah lebih mahal berbanding tiket biasa, iaitu bermula dari RM1500 (tidak termasuk cukai lapangan terbang bagi setiap perjalanan). Bermakna, untuk pergi balik, hampir RM3500.

b. Tiket Penerbangan Transit (transit Flight). Tiket jenis ini lebih murah dan mudah didapati. Hampir setiap Negara Islam ada menyediakan penerbangan tranist di Negara Masing-masing, termasuk Garuda (Indonesia), Royal Brunei (Brunei), Biman (Bangladesh), PIA (Pakistan), Gulf Air (Bahrain), Yemenia Airway (Yaman), dan banyak lagi. Anda juga boleh menaiki pesawat dari mana-mana Negara asalkan penerbangan itu boleh membawa anda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, Arab Saudi. Tempoh transit bergantung kepada jadual penerbangan syarikat terbabit. Adakalanya, sekitar 3 hingga 4 jam(paling cepat), ada juga yang memakan masa sehari dan terpaksa bermalam. Untuk transit, anda tidak perlu menjalani proses imegresen, sebaliknya akan terus dibawa ke Meja Pertukaran (transfer desk) atau Transit untuk proses seterusnya.

Pihak Lapangan Terbang akan menyediakan Hotel untuk menginap sekiranya tempoh transit lebih daripada 6 jam, termasuk makanan yang perlu ditanggung oleh penumpang sendiri. Jika anda mengikuti pakej dengan mana-mana agensi, kebiasaanya agensi terbabit akan memasukkan jumlah bayaran tersebut ke dalam harga keseluruhan pakej.

Sepanjang tempoh transit, anda boleh melawat-lawat di negara terbabit, pastikan anda membawa bersama Passport dan ada pegawai atau individu yang boleh dipercayai untuk memandu dan membantu anda.

c. Tiket Penerbangan Sambil Melancong.Tiket jenis ini tidak ada bezanya dengan tiket transit di atas, cuma, tempoh persinggahan adalah lebih lama. Anda boleh menyusun jadual penerbangan anda supaya tempoh anda singgah ke negara terbabit dapat dipanjangkan. Tempoh maksimum untuk transit biasa ialah 24 jam, kecuali masalah teknikal seperti penangguhan penerbangan (Flight Delayed). Jika lebih daripada itu, anda tidak dikira sebagai transit sebaliknya melancong maka perlu menjalani proses imegresen seperti biasa.

Sekadar itu dahulu, untuk siri akan datang, saya akan berkongsi mengenai jadual perjalanan anda di Mekah dan Madinah, juga sedikit mengenai asas hukum-hakam dan fiqah berkaitan dengan Umrah dan Ziarah. Teruskan membaca, jangan segan atau bertanguh untuk meninggalkan komentar atau soalan sekiranya ada...

Labbaika Allahumma Labbaik!!!!



Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus 
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827  /  +603-8739 3018.

Monday, March 21, 2011

Koleksi Video Perjalanan Ke dua

video
Suasana di Lantai Utama, penuh dengan manusia...


video
Beginilah biasanya di Lantai Utama, anda melangkah dan dilangkah..



video
Unta2 padang pasir, di Hudaibiyah.


video
Sempat juga merakamkan Azan Maghrib di Masjid Haram.


video
Sewaktu dalam perjalanan balik, melihat gelagat rakyat Saudi yang meraikan "kesembuhan" Raja Abdullah.

Video Koleksi Gambar Perjalanan Ke Dua


Perjalanan Menjadi Tetamu Allah 2

AlhamduliLlah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi, puji dan puji yang sebanyak-banyaknya atas kurniaan nikmat, ruang dan peluang yang cukup berharga untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah.


Perjalanan kali kedua ini, mengambil masa selama 13 hari. Bermula dengan transit di Bahrain, sebuah negara Pulau yang kecil, sehari bermalam di sana (boleh rujuk Peta Dunia untuk maklumat lanjut). Bahrain, Negara yang sangat cantik. Jauh bezanya pengalaman transit di Bahrain, berbanding di Dhaka, Bangladesh. Pemandangan indah tepi pantai, menghiasi pemandangan sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang ke Hotel kami ditempatkan.

Kebetulan, waktu itu merupakan musim sejuk bagi seluruh wilayah arab (Timur Tengah), maka suasana pagi yang cukup nyaman dan menyegarkan mengiringi perjalanan kami ke Lapangan Terbang.

Syukur, perjalanan kali ini, walaupun transit di Bahrain, tetapi kumpulan kami tidak menghadapi sebarang ujian yang berat, lancar sehinggalah kami tiba di Lapangan terbang Madinah, dan terus menuju ke Hotel As-Syaer, lebih kurang 100 meter dari Masjid Nabi.

Kami tiba agak lewat, waktu itu jam menunjukkan jam 1.00 tengahari, jemaah solat Zuhur sudah lama meninggalkan masjid. Selesai menguruskan bilik para jemaah, saya menemani mereka untuk makan tengahari, menghantar barang ke bilik dan langsung ke Masjid untuk menunaikan Solat Zuhur.

Sayu rasa hati apabila melangkahkan kaki ke Masjid Nabi yang mulia itu. Terima Kasih  Ya Allah, kerana membenarkan hambaMu yang hina ini untuk menjejakkan kaki ke sini sekali lagi. Terasa kerdil dan lemah, bila mengenangkan kekuasaan dan kehebatan Allah Ta'ala yang selama ini menjaga dan memelihara diri ini. Begitu agung dan hebatnya kasih dan sayangNya sentiasa memberikan peluang untuk hambaNya mendekatkan diri kepadaNya.

Semasa di Madinah, Ust Imam, keturunan Banjar, Indonesia, membimbing kami untuk ziarah dalam dan luar. Kali ini, saya tidak lagi melepaskan peluang untuk masuk ke syurga, malam yang pertama, saya bersama-sama rakan-rakan sebilik bangun di awal pagi (selepas tidur di awal malam), untuk sama-sama merasa pengalaman berada di Syurga.

"Di Antara Mimbar dan Rumahku, Taman dari Taman-taman Syurga," Hadith Nabi Muhammad SAW.

Kaum muslimin bersesak-sesak untuk berada di situ, tidak tergambar betapa terhiburnya hati saya apabila akhirnya berkesempatan untuk berada di Raudhah. Pada mulanya, saya mencelah di celahan ruang kosong, selepas menunaikan solat dua rakaat, saya memberikan tempat saya itu kepada jemaah saya. Sebaik sahaja saya berdiri, seorang lelaki menarik-narik jubah saya, ingin memberikan tempat duduknya kepada saya. AlhamduliLlah, lama sedikit saya berada di sana.

Perjalanan yang lepas, saya agak kurang mengambil kesempatan seperti ini kerana begitu banyak perkarayang perlu saya selesaikan, terutamanya dalam memastikan jemaah di bawah kendalian saya tertunai hak dan kebajikan mereka. AlhamduliLlah, kesabaran saya kali ini dibayar berganda oleh Allah, Terima Kasih Tuhan.

Setelah melengkapkan ziarah dalam dan luar, kami berangkat ke Mekah, seperti biasa bermiqat di Bir Ali. Tidak seperti di Madinah, ke Mekah kali ini, semua jemaah di bawah kendalian saya, tiada lagi bantuan Mutawwif atau pembimbing. Peluang ini saya guna sebaiknya untuk belajar dan mencabar, memberi dan menjadi yang terbaik. Doa yang tidak putus dipanjatkan, supaya perjalanan ubudiah kali ini, benar-benar memberikan kebaikan kepada diri saya lebih-lebih lagi kepada para jemaah, yang jarang-jarang berpeluang untuk ke Tanah Suci.

Umrah kali pertama berjalan dengan sangat lancar, AlhamduliLlah, pengalaman lalu yang sangat berharga menjadi bekalan penting untuk saya memastikan semua jemaah berada dalam keadaan yang baik dan dapat menunaikan umrah mereka yang pertama dengan baik dan sempurna.

Hari berikutnya, saya bersama-sama dengan Abang Zam, rakan sebilik, berusaha untuk mengucup hajarul aswad. keadaan begitu sesak, begitu ramai yang berhimpit-himpit namun akhirnya dapat juga saya mengucup batu hitam itu. 

"Jikalau bukan aku melihat Nabi Muhammad mengucupmu, nescaya aku tidak akan mengucupmu," kata Saidina Omar kepada hajarul Aswad, yang pernah dikucup oleh Nabi dan mengucupnya merupakan satu sunnah.

Terima Kasih Ya Allah, kerana menghiburkan hatiku...

Saya dan Abang Zam terpisah setelah bersesak-sesak. Walaupun ketika beratur tadi, dia betul-betul berada di belakang saya, katanya, "AlhamduliLlah, dapat juga, lebih kurang 5 minit selepas ustaz," sewaktu kami berjumpa kembali di dewan makan. Petang itu, saya menghabiskan masa saya, melepaskan rindu saya kepada Kaabah dan Masjid Haram.

Lawatan kami bermula keesokan harinya, iaitu hari ketiga kami di Mekah. Kali ini, saya yang menjadi mutawwif. Mujur sempat saya mentelaah sedikit sejarah mengenai tempat-tempat yang bakal kami ziarahi. Namun, masih ada soalan yang belum mampu saya jawab, terima kasih juga kerana ini adalah motivasi yang baik untuk belajar dan terus belajar, lagi dan lagi.

Mengiringi Jemaah Di Masjid Siti Aisyah
Miqat Tan'im,
Antara yang menarik, melawat Jabal Rahmah. AlhamduliLlah, semuanya dapat saya rasakan kali ini, di Jabal Rahmah (dalam bahasa Melayu, Bukit Kasih Sayang), saya memanjatnya bersama-sama para jemaah. Pemandangan luar biasa Padang Arafah dapat diperhatikan dengan jelas dari atas bukit ini. Kelihatan begitu ramai manusia yang bermunajat berdoa di sini. Syahdu sungguh melihat suasana tersebut. Barangkali mengenangkan peristiwa agung, pertemuan semula Adam dan Hawa yang terpisah sejak sekian lama, maka ramai yang berdoa agar dipereratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga. Bahkan ada juga yang berdoa untuk mendapatkan jodoh.

"Hai, nampak bersemangat lain macam je Ust bila kat Jabal Rahmah ni,Semoga dipercepatkan dan dipermudahkan, paling penting bertemu jodoh yang terbaik," usik seorang jemaah.

"Ameen, InsyaAllah," ringkas sahaja saya menjawab sambil membalasnya dengan senyuman.

Semasa dalam bas, kami tidak putus membincangkan mengenai kehebatan perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat R.A. Peristiwa Hujjatul Wida' Nabi bersama para Sahabat di Padang Arafah, kerja-kerja Haji di Muzdalifah dan Mina, uzlah Nabi dan peristiwa penurunan Al-Quran di Jabal Hira' (Jabal Nur), juga peristiwa agung hijrah Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Gua Thur menemani sepanjang perjalanan kami pada hari itu.

"Bayangkan, Asma' Binti Abu Bakar dipertanggungjawabkan untuk membawa bekalan makanan kepada Nabi dan ayahnya, Saidina Abu Bakar, di Jabal Thur ini. Kita ni, nak panjat bukit Safa dan Marwah pun dah lenguh-lenguh lutut," ujar saya ketika memberikan penerangan. Diriwayatkan, ketika peristiwa tersebut, Asma' dikatakan mengandung 4 bulan dan bertanggungjawab membawa bekalan makanan di Gua Thur tersebut untuk tempoh tiga hari sementara Nabi SAW dan Abu Bakar R.A bersembunyi di sana.

"Betullah ustaz, tak terbayang betapa hebatnya, kenapa ek kita ni agak manja?" ujar salah seorang jemaah yang memikirkan terlalu banyak mendengar rungutan para tetamu Allah ketika menunaikan umrah dan haji, sedangkan perjuangan dan pengorbanan Nabi, jauh lebih hebat dan lebih tinggai cabaran dan dugaannya. Semoga Allah menempatkan Baginda di kedudukan yang Terpuji yang telah Allah janjikan...

Setelah selesai ziarah, kami bermiqat diMasjid Ja'aranah, Miqat yang pernah Nabi gunakan ketika ingin menunaikan Haji Wida', yang pertama dan terakhir bagi Nabi Muhamad SAW. Dikatakan, miqat inilah miqat yang terbaik, dan Nabi Muhammad SAW berniat ihram untuk Haji Wida' Baginda di belakang batu-batu di Ja'ranah, iaitu di Masjid yang didirikan pada hari ini.
Ketika bermiqat di Masjid Ja'ranah, gambar terakhir sebelum bercukur..

Keesokan harinya, Ahad, meneruskan ziarah ke Muzium Dua Tanah Suci, Ladang Ternakan Unta, dan akhirnya bermiqat di Hudaibiyyah. Miqat Hudaibiyyah ini pula sempena peristiwa perjanjian Hidaibiyah. Menunaikan umrah bersama-sama dengan sebahagian jemaah dan kali ini bertahalul hanya dengan melalukan gunting kerana sudah ketiadaan rambut.

Setibanya di Hotel mendapat panggilan daripada Ust Ismi, saya perlu ke lapangan terbang untuk menyambut jemaah yang baru sampai dari Malaysia, melalui penerbangan Pakistan di Terminal Haji di Jeddah. Petang, selepas solat asar, saya bergerak menaiki GMC, milik Samsudin, menuju ke Jeddah. Lebih kurang 4 jam saya menunggu di sana, kerana sedikit masalah teknikal yang begitu kerap berlaku di Lapangan Terbang tersebut. Jam 10.30 mlm saya sudah berada seorang diri di Terminal haji, namun pukul 2.00 pagi barulah semua urusan jemaah yang baru sampai selesai.
Termenung di Terminal Haji...

AlhamduliLlah, saya memimpin rombongan ini ke Madinah, berjalan sejauh 400 km dari Jeddah. Setibanya di Madinah, memimpin untuk ziarah dalam dan seterusnya membawa rombongan yang diketuai oleh Ayah saya sendiri ke Mekah. AlhamduliLllah, inilah hikmahnya.

AlhamduliLlah, puji yang tidak terhingga sekali lagi dipanjatkan. Kali ini, saya sempat merasa semuanya, bahkan seluruh Masjid Haram sempat saya jelajah. Hajarul Aswad, Hijr Ismail, mendaki jabal rahmah, bersolat di Raudhah, berdoa di Multazam, dan lain-lain keistimewaan dapat saya rasakan sepenuhnya kali ini. 

Paling manis, merasai hujan di Mekah. Pergh, Terasa sejuknya sehingga ke tulang sumsum.(bak kata jemaah saya). Memang sangat menarik dan sangat seronok. AlhamduliLlah, terima kasih sekali lagi Ya Allah!!!


Semoga akan datang, dapat saya memberikan khidmat yang lebih baik kepada para tetamu Allah, dan tetamu RasuluLlah... Semoga diizinkan membawa keluarga kecil dan besar ke sana.

Monday, March 7, 2011

Rindu Untuk Kembali...

AlhamduliLlah, mungkin ketika anda membaca artikel ini, saya sedang berada di Tanah Haram, bagi melaksanakan ibadah Umrah dan Ziarah. Ketika ini, saya dan jemaah saya mungkin sudah berada di Madinah Al-Munawwarah, Tanah Haram yang dimuliakan oleh Allah, seperti mana doa RasuluLlah SAW Di dalam Hadith Baginda, "Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Ibrahim mengharamkan Makkah dan aku berdoa untuk (keberkatan) cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim berdoa untuk Makkah."

Segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke bumi Barakah ini. Rindu yang terpendam di hati, kali ini akan terlerai apabila sekali lagi diberikan peluang dan kepercayaan untuk membawa jemaah seramai 31 orang untuk menunaikan umrah.

Benar, walau sehebat mana pun saya menceritakan pengalaman berada di Tanah Suci, tentu tidak sama dan tidak akan dapat digambarkan betapa syahdu, hebat dan istimewanya menjadi tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah. Bayangkan sahaja, kita memijak bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi SAW dan para Sahabat Baginda yang tercinta. Menunaikan solat di Masjid Baginda yang mulia, tempat di mana disemadikan jasad Baginda yang sehingga kini masih dipelihara oleh Allah SWT. Di situlah juga rumah Baginda, tempat Baginda tidur, makan, bersama-sama dengan isterinya Aisyah R.A. juga para Sahabat.

Berada di Raudah, tempat yang Nabi Muhammad SAW selalu bercerita, berpesan dan menasihati para Sahabat di mimbar, dan adakalanya bersandar di tiang-tiang Masjid. Sehingga ada pohon tamar yang menangis ketika mimbar dibina kerana cemburu tidak lagi dapat berkhidmat untuk kekasih Allah yang mulia itu.

Di Masjid itu jugalah, disemadikan jasad Sahabat Baginda yang paling dikasihinya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, yang sentiasa membenarkan setiap kata-kata Nabi. Beliau menangis kerana terharu apabila dipilih menemani RasuluLlah SAW dalam peristiwa Hijrah yang agung, menangis kerana mempertahankan Nabi SAW daripada bisa patukan ular, dan diabadikan peristiwa itu di dalam Al-Quran ketika Allah Ta'ala berfirman:

"Dan sekiranya kamu tidak mahu menolongnya (RasuluLlah SAW), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, ketika Dia mengeluarkannya (RasuluLlah SAW) daripada (kezaliman dan niat jahat) orang-orang kafir, secara berdua-duaan, ketika mereka berdua berada di dalam gua, ketika dia (RasuluLlah SAW) berkata kepada sahabatnya (Saidina Abu Bakar R.A) 'Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita'..." At-Taubah, 9:40.

Juga terdapat maqam Saidini Omar R.A, khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar. Insan yang dikurniakan hidayah oleh Allah sehingga menjadi pembela Nabi yang paling utama. Dengannya Dakwah dan perjuangan Islam menjadi semakin kuat sehingga musuh Islam takut dan gerun kepada Islam. Lihat sahaja kata-katanya, "Sesiapa yang mahu isterinya menjadi balu, dan anaknya menjadi yatim, silalah menghalang aku daripada berhijrah," kata-kata Omar kepada kaum musyrikin Mekah. Walaupun begitu sekali kehebatan beliau, tetap tawaddu' dan tunduk kepada Allah dan RasulNya. Begitu juga Maqam Saidina Othman dan lebih 70,000 maqam Sahabat R.A yang disemadikan di Baqi' (kompleks perkuburan) berdekatan Masjid Nabi.

Menziarahi Masjid Quba, Pergunungan Uhud, Masjid Qiblatain, dan pelbagai tempat-tempat yang sungguh bersejarah dan menyentuh hati.

Namun, kerinduan ini, tidak sehebat kerinduan untuk menjadi tetamuNya, menunaikan umrah di BaituLlah Al-Haram. Tiada pengalaman yang lebih manis dan menarik, selain beribadah di Masjid Al-Haram, melihat dan menyentuh binaan Ka'abah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya suatu ketika dulu. Tidak tergambar betapa kasih dan rindunya hati ini untuk kembali ke sana. Melihat sendiri betapa agung dan hebatnya syiar Islam, agama yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul.

Menunaikan tawaf di BaituLlah, melaksanakan ibadah Saie dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Menghayati kisah agung, ubudiah hamba Allah yang mulia, Nabi Ibrahim A.S. yang patuh melaksanakan perintah Allah, meninggalkan isterinya yang dikasihi, Siti Hajar dan anaknya yang disayangi, Nabi Ismail A.S. yang ketika itu masih bayi dan belum boleh berjalan.

Bayangkan ketabahan Siti Hajar dan anaknya Ismail, ditinggalkan berdua-duaan di bumi yang kering kontang, langsung tiada tumbuhan apalagi air untuk sekadar membasahkan tekak. Bekalan roti dan air untuk bertahan, yang pasti tidak akan cukup, tidak mematahkan semangat mereka yang sentiasa yakin kepada perintah dan peraturan Tuhan. Akhirnya jadilah lembah Bakkah itu, bumi yang masyhur, dipelihara dan diberkati sehingga ke akhir zaman. Telaga Zamzam yang tidak pernah kering menjadi lambang keagungan dan kehebatan Allah, mukjizat Nabi Ismail yang kekal sehingga ke hari ini.

AlhamduliLlah, doakan perjalanan saya menjadi tetamu Allah ini dipelihara dan diberkati oleh Allah. Dikurniakan keberkatan dan kerahmatan, tidak menjadikan kunjungan ini yang terakhir, dan kalaupun ini adalah kunjungan yang terakhir, diberikan ganjaran syurga.

Maafkan segala salah dan silap saya, halalkan segala makan dan minum saya. Andai pemergian ini tiada kembali, doakan saya ditempatkan dikalangan kekasihNya dan ditempatkan di dalam rahmat dan syurga Ilahi.  Terima kasih atas segala ilmu dan pengalaman bersama, yang insyaAllah tidak akan dapat saya lupakan. Segala kebaikan, hanya Tuhan yang layak membalasnya.

Sekiranya dipanjangkan umur, doakan saya kembali dengan sihat dan selamat, diberikan kekuatan untuk terus menjadi Daie dan pejuang agamaNya. Berjalan dan berlari dengan bangga meninggikan NamaNya yang Maha Mulia.

Saya mendoakan kalian semua, insyaAllah, diberikan peluang untuk sama-sama menjejakkan kaki ke sana.

Rindu dan cinta, membawa saya kembali ke sana... Dengan rindu dan cintaNya juga, doakan saya dan kita semua bersama...

Thursday, March 3, 2011

SubhanaLlah... Malulah dengan diri...






Hah! Apa lagi?? Jangan bazirkan hidup yang indah ini.. Jom teruskan hidup dengan senyuman..

Seriously, we have nothing to lose...

Tuesday, March 1, 2011

Senyum, dengan manis dan hensemnya..




Hidup ini singkat, sedar-sedar dah hujung remaja, kejap lagi dah dewasa, tak lama lagi tua.. (remajakah??) Dalam perjalanan hidup kita ini, sentiasa akan ada suka dan suka, pahit dan manis, menang dan kalah. Memang, kita ada banyak sebab untuk kecewa  dan berduka cita. Tapi tahukah kita, bahawa kita punya lebih sebab untuk suka dan gembira. Kita sentiasa ada harapan, dan kasihNya sentiasa mengingatkan, kita tidak pernah dan tidak akan sendirian.


Apa yang kita perlu lakukan hanyalah membuka mata kita untuk melihat, memaksa akal kita untuk berfikir, dan hati kotor kita untuk merasa. Bukankah hidupnya kita ini kerana kasih dan sayang Tuhan. Tidakkah kita pernah terasa betapa lembutnya sentuhan Allah yang sentiasa membelai dan menjaga kita dalam ingat dan dalam lupa?

Pernah kita meminta untuk hidup? Tidak, tetapi kasihNya yang membawa kita ke dunia. Kita keluar dari perut ibu yang bersusah-payah melahirkan dan membesarkan kita. Tiada apa yang kita bawa ke dunia, tidak mengetahui apa-apa, lalu diberikan telinga, mata dan hati untuk kita bersyukur. Supaya kita berpeluang menghirup udaraNya, berjalan di atas bumiNya, mengenali mereka yang menyayangi dan mengasih kita juga melihat indah dan hebat ciptaanNya.


SubhanaLLah, bumi ini cukup luas, mengapa kita merasa terhimpit dan tersepit? Larilah dari kekusutan pasti akan ada cahaya di hujung jalan.


Kalau tiada rezeki di Perak, di Johor masih banyak. Kalau tiada di Johor, masih boleh cari di Selangor. Kalau tiada rezeki kita di Malaysia pun, di Iran masih ada... (kenapa iran??) Kalau tidak mahu Iran sekalipun, berjalan, terbang dan berenanglah ke mana-mana yang kita suka, asal kita tidak putus asa, dan terus mencuba, pasti kita akan temui bahagian dan bahagia yang dijanjikan Allah untuk kita. Kalau tiada bahagian kita dalam hidup ini sekalipun, jangan putus asa, kerana mati bersamaNya, tetap adalah jauh lebih baik dan bermakna dari dunia dan seluruh isinya..

 Tiada Duka Yang Abadi - Opick


Ayuh, penuhi hidup ini dengan senyuman. Tentu lebih manis dan hensem. Saya dah cuba, dan saya dapat rasa indahnya. Begitu indah hingga tiada ruang untuk dukacita. Asal kita tahu, Dia sentiasa bersama kita. Tengok sahaja betapa hensemnya saya... (serius!!)

Seronok bukan? Berjalan dan berlarilah, bertaburan di muka bumi Allah ini dan lihatlah betapa Dia sangat Mengasihi kita, menyayangi dan memelihara diri kita dengan baik. DenganNya kita hidup, denganNya kita mati!!! InsyaAllah..

Yakinlah dengan CintaNya, kerana cintaNya tidak pernah mengecewakan.

Alangkag Indah - Opick

Jom senyum!! Semanis dan sehensem saya.. (lebih lagi pun takpe!!)

Antara Yang Menarik