Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, December 22, 2010

Konsep Sirr Dan Hazar

DEFINISI

Sirr dari segi bahasa bermaksud rahsia, sementara Hazar bermaksud kewaspadaan. Antara perkara yang wajib ada pada sesebuah gerakan ialah konsep sirr dan hazar. Iaitu kerahsiaan dan kewaspadaan. Kerahsiaan merujuk kepada perkara-perkara penting yang perlu dirahsiakan terutamanya kepada pihak musuh, namun ada juga perkara-perkara yang perlu dirahsiakan kepada ahli sendiri. Antara yang perlu dirahsiakan ialah perkara-perkara yang melibatkan strategi sulit, perkara-perkara yang boleh mendatangkan aib, isu-isu sensitif dan sebagainya. 

Sebenarnya, bukan sahaja di dalam gerakan, konsep sirr ini sebenarnya perlu dalam kebanyakan aktiviti kehidupan kita. Bermula daripada pengurusan diri, rumah tangga, masyarakat, tempat kerja, negara mahupun dunia. Oleh kerana manusia diciptakan dengan pelbagai tujuan dan kepentingan, maka kerahsiaan adalah sangat perlu bagi mengelakkan sebarang konflik atau kontroversi samada berpunca dari dalaman sesebuah organisasi, mahupun daripada luaran.

Secara umumnya, konsep sirr bergantung kepada tahap kewaspadaan, hazar. Hazar seperti yang telah diterangkan di awal tadi, mempunyai dua jenis kewaspadaan yang utama. Iaitu waspada terhadap ancaman luaran dan dalaman. 

HAZAR TERHADAP ANCAMAN LUARAN

Ancaman luaran boleh diklasifikasikan sebagai musuh, pesaing, mahupun segala entiti yang tidak berkaitan dengan sesebuah organisasi. Tahap kewaspadaan menentukan tahap aliran maklumat yang berlaku antara kedua belah pihak. Semakin bahaya ancaman yang diberikan, maka semakin tinggi tahap kewaspadaan dan semakin tinggi jugalah tahap kerahsiaan.Kelalaian kita dalam menjaga kerahsiaan dan kewaspadaan luaran ini seringkali membuatkan kita "MENCETUSKAN KONTROVERSI YANG MERUGIKAN DAKWAH".

Ramai yang masih sangsi dengan gerakan Islam. Kadang-kadang kita tidak perlu pun menyatakan bahawa kita adalah ahli gerakan ISlam. Kerana dibimbangi akan ada ancaman daripada mereka yang tidak setuju, juga daripada mereka yang tidak faham. Akhirnya, keterbukaan kita mengundang pelbagai spekulasi dan kontroversi yang akhirnya akan merugikan misi dan visi dakwah yang kita bawa.

Berhati-hati di sini tidak bermaksud kita perlu menghentikan segala bentuk syiar dan langsung tidak mahu menzahirkan. Tetapi, berwaspadalah dengan segala tindakan. Malah, hazar ini sebenarnya bukanlah tetapan atau sempadan yang diletakkan semata-mata untuk mengongkong atau menjaga keselamatan semata-mata. Bahkan, konsep sirr dan hazar inilah yang sebenarnya membantu kita merancang strategi dengan lebih berkesan. Kita perlu memandang Hazar sebagai satu jenis strategi dalam memantapkan gerakan, bukan beban yang merencatkan perancangan.

HAZAR TERHADAP ANCAMAN DALAMAN

Seterusnya, hazar dari segi dalaman. Hazar dalam konteks dalaman agak kurang dibincangkan, sedangkan hazar jenis inilah yang lebih perlu diberikan perhatian.Terbahagi kepada tiga kategori, hazar terhadap hawa nafsu, keluarga termasuk isteri, anak, ibu dan bapa, dan yang ketiga hazar terhadap maksiat.

Kita perlu memandang Hazar sebagai satu jenis strategi dalam memantapkan gerakan, bukan beban yang merencatkan perancangan.
Hazar Terhadap ancaman dalaman: 1. Maksiat

Benar, berada dalam gerakan tidak bermakna kita akan terlepas daripada melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala. Kerana kita juga manusia, maka kita perlu sentiasa berwaspada daripada melakukan maksiat, atau salah laku kepada Allah Ta'ala. Maksiat bererti perkara yang dibenci oleh Allah, dan berdosa jika kita melakukannya. Maksiat kecil atau besar, kedua-duanya boleh menjejaskan keberkatan terhadap agenda yang kita bawa. 

Antara ruang-ruang yang boleh menyebabkan berlakunya maksiat ini ialah, tidak mengikut syariat, melakukan perkara-perkara yang sia-sia, dan melampau dalam membuat sesuatu pekerjaan. Membazir, tidak menghormati orang tua, bercakap mengenai keburukan orang, mengumpat, mencaci, memfitnah, tidak menjaga hubungan dengan manusia, apalagi jika tidak menjaga hubungan dengan Allah Ta'ala. Lalai dalam melaksanakan kerja taat juga termasuk dalam perkara-perkara maksiat.

Hazar Terhadap ancaman dalaman: 2. Keluarga


Seterusnya, waspada terhadap kaum keluarga. Seperti yang diterangkan di dalam surah Al-Munafiqun, 63:9, 
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi,"

Keluarga boleh menjadi ancaman sekiranya, keluarga menyebabkan kita lalai dari melakukan kerja taat.  Adakalanya tekanan ini boleh berpunca daripada sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas kita, boleh jadi ibu atau bapa kita yang melarang kita untuk terlibat dengan gerakan. Namun, ianya juga boleh berlaku disebabkan oleh pengaruh dan perhatian kita yang terlari disebabkan oleh tumpuan terhadap keluarga. 

Akan tetapi, bagi seorang mukmin, kita perlu faham bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kita mampu membentuk dan memimpin keluarga kita dengan baik agar mereka tidak menjadi fitnah kepada kita. Kerapkali kita menyalahkan ibu, bapa, isteri malah anak-anak kerana kononnya menyusahkan dan menyekat kita, sedangkan yang bersalah dalam hal ini ialah diri kita sendiri yang gagal menjadi contoh dan memberikan kefahaman yang berguna kepada keluarga kita. Saya yakin, ayat ini bukanlah diturunkan untuk "merenggangkan" hubungan kekeluargaan di kalangan ahli gerakan, sebaliknya ada mesej dakwah dan tarbiyyah yang perlu difahami dan digerakkan dengan sebaiknya oleh setiap ahli gerakan. (Doakan saya!)

Sekali lagi ditegaskan, Hazar tidak semata-mata membawa maksud kekangan dan halangan, tetapi lebih kepada strategi yang akan mengukuhkan tindakan dalam sesebuah gerakan.

Hazar Terhadap ancaman dalaman: 3. Hawa Nafsu

Seterusnya, walaupun yang terakhir, namun inilah yang paling berat dan bahaya kepada semua ahli gerakan. Bahkan ramai yang tertumpas kerananya, (Na'uzubiLlahi minzalik). Hazar terhadap hawa nafsu. Saya sifatkan hawa nafsu ini, selain daripada godaan syaitan dan segala macam bentuk maksiat, hawa nafsu ini juga merujuk kepada segala perkara yang berkaitan dengan kepentingan diri, atau lebih dikenali dengan Agenda Peribadi.

Kita kerapkali gagal berbincang untuk mendapatkan keputusan yang tepat disebabkan ada agenda peribadi yang ingin diselesaikan. Misalnya ketika berbincang untuk membahagikan tugas, kadang-kadang kita menjadikan faktor "aku tak mampu" sebagai alasan, padahal yang sebenarnya ialah "Aku tak mahu". Pelik, jika mesyuarat secara majoriti menyatakan kita layak dan patut untuk melaksanakan tugas tersebut, mengapa masih berdalih? Mungkin, jika benar-benar kita mempunyai masalah yang agak berat untuk diceritakan, cuba berbincang secara masak dan matang supaya masalah berkaitan dengan pengagihan tugas ini dapat diselesaikan dengan baik.

Ramai yang menyangka, apabila menyebut berkaitan dengan Agenda Peribadi, terbayang mengenai soal jodoh dan mencari pasangan. Saya tak nafi, tapi bukan ini sahaja agenda peribadi yang sering melanda sesebuah gerakan. Agenda Peribadi ini juga boleh bersifat pemikiran. Misalnya, kita terlalu taksub dengan idea kita sendiri sehingga tidak mahu berbincang dan cuba mendominasi perbincangan dengan idea kita sendiri. Atau mungkin ada kepentingan-kepentingan bersifat duniawi yang lain, yang juga selalu menimpa gerakan.

Dalam hal ini, penyelesaian yang tuntas ialah yang pertama, sentiasa bersihkan hati dan mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Keduanya, berbincanglah secara masak dan mendalam supaya keputusan yang kita buat secara bersama itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Keberkatan dalam berjemaah walaupun pincang adalah jauh lebih baik daripada terus berpisah daripada jemaah.

Untuk memastikan kita terus bersemangat dalam melaksanakan kerja taat dan menyerahkan jiwa dan raga kita kepada gerakan meninggikan kalimah Allah, kita perlu sentiasa optimis terhadap kemampuan kita dan sahabat-sahabat seperjuangan, lebih-lebih lagi sahabat-sahabat seakidah dengan kita. Maka istilah yang sangat sesuai ialah, TAQWA, takut tapi rindu. Kita berhati-hati dan meracang strategi dengan penuh kritikal, kreatif dan berhati-hati, takut sekiranya tersalah, namun kita tetap akan terus melangkah kerana rindu dan cinta kita kepada rahmat dan redha Allah. Terus melangkah tanpa ragu.

Kesimpulan, pencerahan terhadap konsep sirr dan hazar amatlah diperlukan untuk melahirkan sebuah gerakan yang kuat dan bertenaga. Selain mengukuhkan keselamatan, konsep sirr dan hazar ini menyelamatkan kita daripada ancaman musuh mahupun ancaman terhadap agenda peribadi, samada yang kita sedari lebih-lebih lagi yang tidak kita sedari. Cukuplah Allah bagiku, Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia, dan Dialah Tuhan yang memiliki arasy yang agung.

1 comment:

Unknown said...

allhamdulillah, terima kasih.. izinkn saya copy ya

Antara Yang Menarik