Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, June 23, 2014

Patah Belum Tumbuh, Hilang sukar dicari ganti...

Pertama kali aku mendengar namanya ialah ketika masih di UKM. Beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang sentiasa ingin  membawa kesegaran kepada dakwah dan perjuangan. Ditahan di bawah akta keselamatan Dalam Negeri, sudah cukup menjadi bukti bahawa beliau digeruni oleh lawannya. Sudah tentu, beliau disegani oleh rakannya.

Aku berpeluang bekerja terus di bawahnya ketika dilantik menjadi Setiausaha Kerja bagi Sukarelawan Pendidikan Rakyat, KAWAN. Beliau sebagai pengerusi, merupakan nadi utama yang menggerakkan kami semua. Idea dan cadangan beliau tidak putus mengalir mencurah-curah. Semangat dan keazaman beliau jauh mengalahkan kami orang-orang yang jauh lebih muda berbanding beliau.

Ustaz Dato' Abu Bakar Chik, pemergian beliau ditangisi seluruh pendokong gerakan Islam di Malaysia. Beliau ibarat pelita yang menerangi arah gerakan baik pemuda, apalagi dalam menggerakkan agenda pendidikan di Malaysia. Belum ada seminit pertemuanku dengannya yang tidak diisi dengan idea dan pandangan mengenai gerakan. Beliau menasihatkan kami, ketika kali terakhir kami bertemu dengannya, 1 Jun 2014 yang lalu, agar terus melibatkan diri dalam gerakan. Gerakan memerlukan pekerja, dan kitalah pekerja tersebut. 

Ya Allah, tempatkanlah roh Ustaz Abu Bakar Chik di kalangan hambaMu yang soleh, berikanlah kesabaran kepada ahli keluarganya dan gantikanlah yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik buat keluarganya dan kami semua yang merinduinya... Ameen.



Wednesday, March 12, 2014

Teknologi...

Alhamdulillah... dengan teknologi yang canggih, saya dapat mengemaskini blog yang sudah lama menyepi. Saya kini dapat menulis dengan handphone. (Baru nak berjinak-jinak)

Tapi, bukan teknologi komunikasi yang ingin dibincangkan di sini, sebaliknya, mengenai masalah kecanggihan sains dan teknologi yang berkaitan dengan kehilangan pesawat mh370.

Saya nukilkan di sini, tulisan Ust Hj Muhammad Ismi B Hj Mat Tau
Ib, Ajk Dewan Ulama' Pas Pusat...

Kehilangan mh370 adalah satu tragedi sains dan teknologi, sehingga menggemparkan dunia. Umum mengetahui, pesawat yang sebegitu canggih, malah cukup besar untuk hilang begitu sahaja.

Contohnya, seekor gajah agak mustahil untuk hilang dari pandangan, jika dibandingkan denga  seekor ayam. Langkahnya sahaja sudah cukup untuk dikesan.

Lebih menarik, kehilangan pesawat ini menarik minat kuasa besar dunia untuk menghulurkan bantuan. Ini menunjukkan betapa menarik dan istimewanya kes ini.

Namun, kita tidak boleh mengabaikan kuasa terbesar dunia, iaitu zat yang telah mencipta dunia dengan segala ketetapannya sendiri, iaitu Allah Taala.

Sekalipun ada yang membuat andaian teori konspirasi pihak tertentu, kita tetap tidak boleh lari dari hakikat asal kehidupan iaitu Allah Taala yang menentukan segalanya. Kita perlu yakin dengan ayat Allah, "mereka(musuh) merancang, dan Allah juga merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang" al-anfal.

Jika kita faham hakikat ini, kita akan terus memberikan fokus kepada tugas utama iaitu mengabdikan diri kepada Allah, dalam masa yang sama kita akan memberikan sepenuh fokus kita juga untuk menguruskan hal-hal penting yang berlaku di sekeliling kita, tidak terkecuali hal kehilangan pesawat mh370.

Malah, ketika negara kita diuji dengan ujian kemarau yang hebat, malah sistem perundangam kita sedang mengalami malapetaka yang dahsyat, kita juga sedang berdepan dengan masalah kenaikan harga barang.

Segala ujian, bala, dan bencana ini perlu dihadapi dengan sabar, ketekunan dalam berusaha, dan paling penting dengan penuh ketaqwaan dan kebergantungan kepada Allah.

Allah Taala adalah sebaik-baik perancang. Pasti ada hikmah, dan hikmah yang terbesar ialah supaya kita kembali menginsafi diri dan kembali mengabdi diri.

Monday, March 10, 2014

Menulis...

Tulisan ini hanyalah ingin membuktikan bahawa saya masih hidup dan blog ini belum mati...

Semoga akan ada kelapanagan untuk terus menulis...

Wednesday, October 9, 2013

Langkah untuk Mengubah Dunia

Berubah mestilah bermula dengan percaya. Perbubahan itu juga perlu bermula dengan percaya. Sekiranya kita percaya bahawa perubahan itu boleh dilakukan, maka kita akan menyusun langkah dan mengambil langkah-langkah yang telah disusun dengan yakin. Pertama dan utama ialah Percaya.


Perubahan tertakluk kepada misi dan objektif. Melihat kepada situasi dunia sekarang, setiap manusia mahukan perubahan yang positif ke arah dunia yang lebih hijau. Hijau membawa maksud keamanan. Tiada perang, tiada kemusnahan, tiada prejudis dan tiada salah sangka.

Adakah perkara di atas mustahil untuk dijayakan?

Maka, di sinilah pentingnya kita PERCAYA. Percayalah bahawa kita mampu mengubahnya. Bagi orang yang beriman, mereka perlu percaya bahawa mereka juga memiliki tanggungjawab ke atas dunia. Tanggungjawab ke atas dunia bererti tanggungjawab untuk membawa kesemua yang disebut tadi ke atas muka bumi ini. Menghapuskan perang dan sengketa.

Tapi, perubahan perlu bermula dengan diri sendiri. JIka kita tidak mahukan peperangan dan membantu orang yang susah. Kita perlu terlebih dahulu membuang segala rasa benci kita kepada semua manusia, dan menjauhkan diri dari menyusahkan orang lain. Wujudnya orang yang susah adalah disebabkan adanya orang yang menyusahkan orang lain walaupun sekadar tidak peduli kepada kesusahan orang lain.

Termasuklah rasa benci kepada mereka yang selalu membangkitkan kebencian. Rasa benci kepada Yahudi dan Amerika misalnya, perlu dialas dengan alasan yang konkrit dan perlu bersifat objektif dan bukan subjektif. 

Benci kepada obama adalah kerana tindakan dan sikapnya. Namun batang tubuh obama itu sendiri tidk perlu dijadikan musuh, kerana obama juga adalah manusia yang sama seperti kita. Sekiranya kita mahukan dunia yang sentiasa menghormati hak orang lain, maka kita terlebih dahulu perlu menghormati hak orang lain, sekalipun hak untuk orang lain tidak menghormati kita. 

Bila kita faham hakikat perubahan bermula pada diri sendiri, maka kita akan faham proses perubahan itu memakan masa yang lama, kerana untuk mengubah 1000 orang tidak semudah mengubah diri sendiri.

Saya sedang mengubah dunia, dengan mengubah diri saya.. Saya masih belum berjaya mengubah orang lain kerana perubahan yang tidak pernah berlaku kepada diri saya. Bukankah "Aksi bersuara lebih hebat dari kata"?

Sekarang saya sedang belajar untuk menerima, sila ajari saya....

Tuesday, October 8, 2013

Cita-cita dunia bagi makhluk terpilih...

Cita-cita dunia....


Dunia ini ciptaan Tuhan.. Dia menciptakan dunia ini penuh dengan peraturan.. Setiap makhluk ada peraturan tersendiri, termasuk manusia. 

Namun Manusia sebagai makhluk terpilih, diberi sedikit kelebihan iaitu membuat pilihan. Haiwan, pokok, batu, juga angin, tidak boleh membuat pilihan. 

Sepanjang hidup seekor kucing hanya mampu mengiau, makan daging, dan berjalan dengan kaki yang empat. Kucing tidak boleh bercakap, tidak boleh menggoreng nasi, dan tidak pandai mensterika baju.

Sepanjang hidup sebatang pokok, hanya mampu membuat makanan sendiri, bernafas dan sedikit pergerakan. Pokok akan tetap di tempat yang sama selama bertahun2 hayatnya, kerana dia tidak boleh berlari jika takut ditebang, dan tidak boleh bersilat mengelak dari dikapak. Pokok di tepi sungai hanya akan faham betapa sejuknya air sungai, tanpa pernah kenal masinnya air laut..

Lain dengan manusia, kita diberi pilihan. Sedikit ruang kebebasan menjadikan dunia ini makmur dengan kebijaksanaan manusia, dan hancur dek kerakusan manusia.

Dunia ini hanyalah permainan. Siapa yang leka akan terus dipermainkan. Siapa yang bijak akan mengaturkan permainannya sendiri dan mencari jalan keluar kepada teka-teki.

Monday, October 7, 2013

TPPA: PM dan Kerajaan semakin hilang akal


Inilah penyakit akhir zaman apabila kita sendiri sudah tidak kenal yang mana musuh dan yang mana kawan.

Selain perpecahan umat Islam yang semakin teruk dan membarah, sikap pemimpin Negara Islam yang mengangkat Amerika sebagai idola adalah sma sekali tidak boleh diterima akal. Majoriti Negara Umat Islam kini diperintah oleh Pemimpin yang takut dan tunduk kepada kuasa Amerika.

Atas alasan apakah mereka perlu tunduk kepada Amerika?

Sejak tahun 2001, ketika kempen anti-pengganas dilancarkan oleh Amerika Syarikat, seluruh dunia seoalh terpukau dengan keikhlasan Amerika, lalu membenarkan perancangan jahat AMerika untuk menghancurkan dan melumpuhkan kekuatan Negara Umat Islam. Hasilnya, mereka yang kuat berpegang kepada Islam akan ditindas, manakala mereka yang mengangkat Amerika sebagai pemimpin tertinggi dunia akan dipelihara.

Sekalipun, TPP kononnya tidak membawa agenda politik dan ketenteraan, kononnya hanya melibatkan hubungan perdagangan, namun usaha Kerajaan Malaysia membina hubungan baik dengan Amerika sepatutnya dikutuk dan ditentang oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Sedangkan Allah Ta'ala telah menjelaskan bagaimanakah sikap kita terhadap orang Nasrani dan Yahudi, yang terbukti sentiasa bermuslihat dan berniat jahat terhadap Islam dan umatnya. Bagaimana mungkin seorang Perdana Menteri dari Negara Umat Islam sebagai majoriti, kononnya memiliki badan pengurusan jemaah Haji terbaik di dunia, membina masjid-masjid yang indah, dan kononnya menjadikan ISlam sebagai agama rasmi, menjadikan Amerika sebagai rakan kongsi.

Padahal, umum mengetahui kegagalan Amerika dalam mengurustadbir ekonomi negaranya sendiri sehingga tercatat sebagai negara yang memiliki hutang paling banyak di dunia, dalam masa yang sama syarikat-syarikat gergasi Amerika sedang berhadapan dengan krisis yang sangat dahsyat. Apakah Amerika benar-benar layak menjadi model ekonomi atau rakan kongsi perdagangan dengan Malaysia?
 
Jika Kerajaan tidak berminat dengan agenda jahat Nasrani dan Yahudi, Kerajaan perlulah sekurang-kurangnya memikirkan kelayakan Amerika dalam menjadi rakan kepada Negara Islam sebagai Agama Rasmi, Malaysia.

Mengagung-agungkan Presiden Amerika, Barack Obama juga adalah satu tindakan yang sangat khianat kepada saudara-saudara seagama yang teruk ditindas oleh rancangan jahat Amerika dan sekutunya. Apakah Najib langsung tidak sensitif terhadap krisis yang berlaku yang melibatkan negara-negara Umat Islam? Perlukah diterangkan kepada Kerajaan dan orang-orang UMNO bahawa Amerika adalah dalang kepada setiap keganasan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di seluruh dunia?

Satu soalan yang sangat bernas pernah dilontarkan dan tidak mampu dijawab oleh Kerajaan UMNO-BN, JIKA BENAR TPPA ADALAH BAIK KENAPA ISI PERJANJIAN TIDAK DIDEDAHKAN???

Semoga Allah melimpahkan taufiq dan hidayahNya untuk kita semua....

Sunday, September 1, 2013

Kita masih perlu bebaskan Malaysia daripada "pewaris British"...

Malaysia sudah merdeka, tapi masih perlu bebas daripada UMNO-BN. Sejarah menceritakan segala-galanya. Kalau kita guna sedikit sahaja bahagian akal kita, kita akan dapati bahawa UMNO-BN ini sebenarnya bukanlah parti orang Melayu, tetapi Parti British berbangsa Melayu. 

Satu contoh paling konkrit ialah ketika semua Parti dan Pergerakan Politik di Tanah Melayu diharamkan oleh British, UMNO satu-satunya Parti yang tidak diharamkan. Ketika rakyat bangkit menentang penjajahan British, ketika itu Balai Polis Bukit Kepong di bawah British, UMNO-BN menganggap mereka yang mempertahankan Balai Polis British sebagai wira, malah tempat berlakunya peristiwa tersebut dijadikan monumen bersejarah yang paling berharga. Inilah kesan pengaruh British terhadap Orang Melayu, khususnya UMNO.

Ketika rakyat bangkit ingin memperjuangkan kemerdekaan, rakyat melaungkan slogan Merdeka, UMNO melaungkan slogan "Hidup Melayu". Mereka tidak mahu merdeka, apa yang mereka mahu hanyalah melayu, itupun diragui ketulusannya.

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit untuk satu lagi perjuangan kebebasan, iaitu perjuangan membebaskan Malaysia daripada UMNO-BN. Mereka adalah petualang di muka bumi ini. Rakyat dizalimi dan ditindas. Paling ketara, maruah rakyat tergadai dek rm500, sedang kepahitan yang ditanggung adalah 5 tahun lamanya. Selama 55 tahun merdeka, nilai kepentingan Rakyat di sisi UMNO-BN hanyalah RM500, itupun digula-gulakan.

Inilah asal-usul bendera Malaysia yang diperkenalkan oleh pewaris British...
Hakikatnya, penderitaan yang dialami oleh rakyat sudah lama bermula. Kini, ianya semakin bertambah. Kenaikan harga barang, pelbagai cukai dikenakan kepada rakyat bahkan hak untuk mendapatkan biasiswa kini menjadi punca utama anak muda berdepan dengan risiko muflis. Sistem pendidikan Negara kucar-kacir, bermula dengan penghapusan tulisan jawi (tulisanasal bahasa ibunda), memartabatkan Bahasa Penjajah, kini dengan pelbagai sistem yang karut menyebabkan potensi anak-anak merosot dan membimbangkan. Tidak kurang, tumbuh pula bagai cendawan pusat perniagaan ilmu, iaitu universiti yang hanya memikirkan tentang keuntungan.

Atas alasan apakah, rakyat Malaysia perlu menanggung beban hutang lebih setengah trilion akibat sifat boros dan kegagalan urustadbir UMNO-BN? Atas alasan apakah, rakyat terpaksa dihukum oleh akta kejam, sedang Kerajaan membiarkan segala anasir negatif yang merasuk pemikiran rakyat? Harapkan pagar, pagar yang makan padi.

Sejak Negara masih belum merdeka lagi, kita sudah pun menerima kaum cina dan india sebagai jiran. Mengapakah tempoh yang begini lama masih belum dapat membuang prejudis dan prasangka antara kaum dan agama di Malaysia? Muncul pula filem “Tanda Putera”, seolah ingin menanam sejarah palsu yang hanya akan memanjangkan sengketa.

Jadilah kita bangsa Malaysia yang benar-benar merdeka, akal, jiwa, akal dan raga. Sudah sampai masanya kita bebaskan Malaysia daripada cengkaman UMNO-BN yang sama sekali tidak pernah simpati dengan nasib rakyat. Ayuh bangkit, selamatkan Malaysia! 

Antara Yang Menarik