Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...
Showing posts with label liku-liku kehidupan.... Show all posts
Showing posts with label liku-liku kehidupan.... Show all posts

Tuesday, May 16, 2023

Jalan Pintas Untuk Bahagia - Siri 1

Memiliki kebahagiaan dalam hidup, tidak sama dengan memiliki kekayaan, atau mempunyai kekuasaan, atau berjaya dalam persaingan. Kerana Kaya, Kuasa, dan kejayaan melibatkan persaingan dan setiap persaingan akan ada pihak yang menang dan pasti akan ada yang kecundang.

                Seseorang itu dikatakan kaya, kerana hartanya lebih banyak daripada orang lain. Seseorang itu berkuasa, berada di atas, apabila dia mempunyai orang bawahan yang mematuhi arahannya atau yang setia menyokongnya. Seseorang hanya dikira berjaya memenangi perlumbaan, apabila ada pihak lain yang dikalahkan.

                Berbeza dengan Bahagia, tidak ada pihak yang perlu kita kalahkan. Tidak ada sesuatu alat, harta, atau matlamat yang perlu kita capai untuk bergelar orang yang Bahagia, maka Bahagia itu adalah sesuatu yang bukan sahaja mampu dimiliki semua orang, bahkan Bahagia juga perlu dimiliki oleh semua orang.

                Kita semua boleh dan perlu hidup dengan kehidupan yang Bahagia. Bahagia itu ibarat udara yang walaupun dikongsi, tetap cukup dan mampu menampung keperluan setiap kehidupan. Seluas bentangan bumi ini, seluas itulah capaian kebahagiaan.

Wednesday, November 24, 2010

Kerana Dia

Pada suatu hari, seorang lelaki, berusia awal 30-an, bekerja sebagai seorang tukang sapu. Hari itu, dia ditugaskan untuk menyapu sampah di sebatang jalan. Tidak seperti hari yang lain, pagi itu lelaki berkenaan keluar awal untuk bekerja meninggalkan isteri dan seorang anaknya yang masih kecil. Bermula agak awal, hanya dia seorang sahaja yang bertugas di jalanraya tersebut ketika itu.

Sedang dia asyik menyapu daun-daun kering yang gugur dari pokok yang ditanam menghiasi sepanjang jalan berkenaan, tiba-tiba datanglah sebuah kereta Honda Accord 2.0 meluru dengan laju dan melanggar lelaki berkenaan. Takdir Allah menentukan, dia meninggal di tempat kejadian dan kembali ke rahmat Allah disebabkan kecederaan yang teruk di kepala.

Pemandu Honda Accord 2.0 berkenaan berasa bersalah dan ingin menebus kesalahannya. Lelaki tersebut, yang juga berbangsa Cina dan beragama Buddha pergi ke rumah tukang sapu berkenaan untuk meminta maaf dan menebus kesalahan daripada keluarga Allahyarham.Bertemulah dia dengan balu serta isteri tukang sapu berkenaan.

Ketika itu, suasana muram dan rumah wanita berkenaan dipenuhi ramai saudara-mara dan sahabat handai yang hadir memberikan ucapan takziah dan membacakan yasin serta tahlil buat Allahyarham. Lelaki cina berkenaan menghampiran wanita tersebut, dan berkata,

"Puan, saya Peter, saya yang langgar suami puan," Peter memberanikan diri membuat pengakuan, menyebabkan orang ramai yang berada di rumah berkenaan menjadi sangat terkejut.

"Owh, awak. Saya tahu, dan saya telah memaafkan awak," balas wanita berkenaan, kali ini respon yang diberikan oleh wanita berkenaan tambah mengejutkan tetamu yang hadir, apalagi Peter yang terkebil-kebil matanya memerhatikan raut wajah wanita berkenaan yang sungguh tenang menghadapi detik sukar kematian suami.

"Benarkah apa yang puan sebutkan ini? Berilah saya peluang untuk menebus kesalahan saya," ujar Peter tidak berpuas hati dengan respon yang diterima.

"Kalau begitu, awak jagalah nyawa awak dengan baik, semoga Tuhan merahmati awak sekeluarga," balas wanita berkenaan, sempat juga dia mengukir senyuman cuba menenangkan dan mententeramkan jiwa Peter yang berkecamuk.

"Saya rasa awak dengar dan faham apa yang Puan Farah sebut bukan? Apa tunggu lagi?" seorang lelaki bangun dan menerpa ke arah Peter, berang dengan tindakan Peter yang seakan mengganggu majlis dan suasana di rumah tersebut.

Peter akur, lantas mengundurkan diri sambil memohon maaf kepada wanita berkenaan dan kepada sekalian yang hadir. Belum sempat lelaki yang berang tadi bangun dari tempat duduknya, wanita berkenaan menahannya dan berkata,

"Tak baik buat macam tu, saya rasa kalau Abg Man hidup lagi, tentu dia tak suka apa yang kita buat," ujar wanita berkenaan. sekalian yang hadir kembali meneruskan bacaan sehinggalah jenazah Man dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam yang berdekatan.

Keesokan harinya, ketika waktu tengahari, rumah wanita berkenaan masih tidak putus dengan kehadiran tetamu yang hadir memberikan ucapan takziah dan kata-kata sokongan kepada wanita berkenaan. Walaupun keluarganya agak sederhana, tetapi kenalan dan saudara-mara yang hadir tidak putus kerana kebaikan dan kelebihan yang ada pada Man dan keluarganya itu.

Tiba-tiba, Peter muncul sekali lagi, kali ini dengan sedikit buah tangan. Sekali lagi dia memohon ampun kepada wanita berkenaan. Teresak-esak dia merayu di muka pintu agar dimaafkan. "Puan, tolonglah maafkan saya. Saya bersalah, berilah saya peluang untuk menebus kesalahan saya," ujar lelaki itu dalam nada yang tersekat-sekat.

"Saudara, saya sudah memafkan awak. Saya pasti, suami saya juga sudah memafkan awak," balas wanita tersebut, dengan tenang dan lemah lembut.

Peter tergamam, terkesima dengan kata-kata wanita tersebut yang sungguh menyentuh perasaannya. Namun dia masih belum berputus asa. Sehinggalah, beberapan orang tetamu menasihatkannya pulang, barulah dia pulang dengan perasaan yang hampa. Keesokan harinya juga begitu. Peter menjadi semakin terdesak. Keadaan dirinya serba tidak terurus. Urusan kerjanya ditinggalkan. Masanya dihabiskan dengan bersendirian, selain pergi ke rumah wanita tadi untuk memohon maaf dan memberikan saguhati kepada wanita berkenaan dan anaknya. Pelbagai usaha dilakukan agar dirinya diberi peluang untuk menebus kesalahan, namun respon yang diberikan oleh wanita berkenaan, tidak berjaya mententeramkan jiwanya yang diselubungi perasaan bersalah.

Seminggu berlalu, Peter masih tidak serik ke rumah berkenaan. Sehinggalah pada hari ke-9 pemergian Man, Peter berjumpa dengan wanita berkenaan. Dengan nada yang sama, dengan perlakuan dan aksi yang lebih kurang serupa, Peter memohon maaf daripada wanita berkenaan. Tetapi kali ini dengan penuh harap. Di dalam hatinya, Peter tekad tidak akan berganjak selagi tidak diberi peluang untuk menebus kesalahannya.

"Peter, sebenarya awak tak bersalah," wanita tersebut terpaksa memulakan bicaranya. Peter tersentak, jawapan yang diberikan semakin mengganggu fikirannya.

Melihat kerutan pada dahi Peter yang semakin bertambah, wanita berkenaan menyambung, "yang bersalah ialah orang yang reka kereta awak. Sebab, dia cipta enjin yang berkuasa tinggi sehingga membolehkan awak memandu laju dan melanggar suami saya," terang wanita tersebut.

Belum sempat Peter memberikan hujah balas, wanita tersebut menyambung lagi, "dan mungkin bukan orang yang reka kereta ni yang salah, sebaliknya orang yang reka jalanraya tempat suami saya menyapu yang salah. Mereka bina jalanraya dengan simpang yang tidak menitikberatkan keselamatan pengguna, sehingga menyebabkan awak melanggar suami saya," penerangan wanita berkenaan semakin menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Peter, "apa agaknya yang ingin disampaikan oleh wanita ini?" bisik Peter di dalam hatinya.

"Atau jika tidakpun, mungkin orang yang bertanggungjawab menjaga lampu lintas di awal jalan itu yang bersalah. Jika merah atau hijaunya dipanjangkan atau dipendekkan sedikit masanya, sudah tentu kereta awak juga tidak sempat melanggar suami saya," jelas wanita itu lagi.

"barangkali, yang bersalah ialah yang menanam pokok di tepi jalan itulah yang bersalah kerana pokoknya telah menggugurkan daun menyebabkan daun itu terpaksa disapu oleh suami saya, menyebabkan awak berkesempatan melanggarnya ketika itu," jelas wanita itu, dengan nada yang serius dan seolah-olah begitu mengesali kejadian dan kemalangan yang menimpa dirinya. Lopak matanya berair, namun titisannya tidak sempat gugur ke pipi lantaran ketabahan dan kecekalan jiwa yang ada padanya.

"Mungkin mereka semua tidak bersalah, sebaliknya sayalah yang sebenarnya pesalah dalam hal ini. Jika pada pagi tersebut saya menjamu suami saya makan dengan sarapan yang enak, bermanja sebelum dia pergi bekerja, sudah tentu suami saya akan keluar bekerja pada waktu yang sepatutnya, dan akan ada teman yang dapat menjaga keselamatan dirinya, dan sudah tentu, kemalangan pada pagi itu tidak akan berlaku sama sekali," terang wanita itu lagi. Kali ini, lopak matanya sudah tidak mampu menampung air matanya, lantas pipinya dibasahi air yang sudah sekian lama ditahan. Wanita tadi tunduk, tangisannya tidak berbunyi, sesunyi suasana pagi di rumahnya itu. Anak lelakinya disisi, melihat ibunya yang sedang menangis, "mak, kenapa mak menangis?" soal anak kecil itu.

Peter semakin kebingungan. Dia menjadi hilang punca. Tanpa dia sedari tangisannya juga sudah berhenti, air mata dan hingusnya juga sudah kering. Ligat otaknya berfikir, apa agaknya yang cuba disampaikan oleh wanita tadi. Semua pesalah tadi sangat logik untuk disalahkan. Sedikit sebanyak, jawapan yang diberikan oleh wanita tadi melegakan perasaannya. Namun, hatinya menjadi serba salah, kerana kesalahan itu akhirnya diletakkan ke atas isteri Allahyarham yang telah dilanggar secara tidak sengaja tempoh hari.

"Beginilah," wanita tadi menyambung bicaranya semula selepas menenangkan dirinya selama beberapa minit. 

"Saya, sebagai seorang Muslim, percaya kepada kekuasaan Allah Ta'ala yang telah menciptakan manusia. Dia yang menciptakan saya, dan awak juga. Dia yang menghidupkan maka Dialah yang selayaknya mematikan hambaNya. Saya pasrah akan takdir yang telah disuratkan ke atas saya, dan saya mahu awak juga begitu. Saya percaya, setiap kejadian ada pengajaran dan hikmah yang tertentu, untuk saya, anak saya, bahkan untuk awak juga. Suami saya pergi dulu, kerana Tuhan lebih sayangkan dia, dan kita ini masih hidup juga kerana kasih dan sayangNya," terang wanita itu lagi. "Awak percaya pada Tuhan?"

Peter tergamam, kata-kata itu begitu asing bagi dirinya. Namun, kata-kata itu begitu menenangkan dan mententeramkan jiwanya. Siapakah Allah? Benarkah Dia yang telah menciptakan dirinya? 

Kali ini, Peter pulang dengan hati yang tenang. Dia yakin pada penerangan yang diberikan oleh wanita itu. Namun akalnya pula yang berselirat. Dia begitu berminat mahu mengenali siapakah Allah itu sebenarnya. Mengapa begitu sekali hebatnya Allah sehingga mampu menjadikan seorang wanita yang tidak bekerja dan tidak berpendidikan tinggi begitu tenang menghadapi detik-detik sukar dalam hidupnya.

Setelah dipertemukan dengan abang wanita itu, Ridhuan, Peter mengucap dua kalimah syahadah, setelah hampir sebulan belajar dan mendalami Islam. Peter mengakui, dia pada hakikatnya belum benar-benar memahami Islam. Bahkan akalnya juga belum mampu memikirkan. Namun jiwanya memberontak, seakan tidak mahu menangguhkan ketenangan yang bakal diperolehinya apabila hidup bertuhan.

Dia akur, semuanya hanyalah kerana Dia. Dia yang menentukan segala, moga hidup dan mati keranaNya. 

Sabar, bukan hanya terhadap perkara yang kita tak dapat, atau perkara yang kita dapat, malah yang paling penting ialah sabar sebelum kita Mati, KERANA MATI ITU PASTI.

Bila-bila masa kita dilanda perasaan resah dan gelisah, ingatlah Tuhan sentiasa bersama malah dekat dengan hambaNya. Kerana persandaran makhluk hanya pada Tuhannya, tempat dia pasrahkan segalanya. JOM TERUSKAN BERSABAR, dalam perjuangan mencari redhaNya.

Wednesday, July 15, 2009

Salin dan Tampal...

1. EVERY ONE KNOWS ABOUT ALEXANDER GRAHAM BELL WHO INVENTED
PHONES, BUT HE NEVER MADE A CALL TO HIS FAMILY. BECAUSE HIS
WIFE AND DAUGHTER WERE DEAF. THAT'S LIFE - " LIVE FOR
OTHERS " .

2. THE WORST IN LIFE IS "ATTACHMENT " IT HURTS WHEN YOU
LOSE IT. THE BEST THING IN LIFE IS " LONELINESS " BECAUSE
IT TEACHES YOU EVERYTHING AND WHEN YOU LOSE IT YOU GET
EVERYTHING.

3. LIFE IS NOT ABOUT THE PEOPLE WHO ACT TRUE TO
YOUR FACE ........ ITS ABOUT THE PEOPLE WHO REMAIN TRUE
BEHIND YOUR BACK .

4. EGG BROKEN FROM OUTSIDE FORCE....... .A LIFE ENDS. ---------
IF AN EGG BREAKS FROM WITHIN...... .LIFE BEGINS .. ------------
---- GREAT THINGS ALWAYS BEGAN FROM WITHIN .

5. ITS BETTER TO LOSE YOUR EGO TO THE ONE YOU LOVE THAN TO
LOSE THE ONE YOU LOVE ....... BECAUSE OF EGO .

6. A RELATIONSHIP DOESN'T SHINE BY JUST SHAKING HANDS IN
GOOD TIMES. BUT IT BLOSSOMS BY HOLDING FIRMLY IN CRITICAL
SITUATIONS ..

7. HEATED GOLD BECOMES ORNAMENTS. BEATEN COPPER BECOMES WIRES.
DEPLETED STONE BECOMES STATUE. SO MORE PAIN, MORE GAIN (VALUABLE).

8. WHEN YOU TRUST SOMEONE TRUST HIM COMPLETELY WITHOUT ANY
DOUBT....... ....... AT THE END YOU WOULD GET ONE OF THE
TWO : EITHER A LESSON FOR YOUR LIFE OR A VERY GOOD PERSON .

Friday, July 10, 2009

Cuba mengembalikan Farid ke UKM..

Seminggu pertama untuk tahun akhir kedua di UKM sudah hampir berlalu. Walaupun di merata-rata dunia sedang mengalami kekecohan, namun suasana agak tenang dan damai di UKM.

Masyarakat kampus di UKM sedikit pun tidak terkocak walaupun hujan dan badai melanda seluruh dunia.

Di tengah-tengah ketenangan UKM, En Otak masih dengan kekalutan yang belum pernah ada rehatnya. Kali ini, dengan azam mengembalikan Farid ke UKM.

Untuk berjaya, menurut En Otak, Farid perlu segera kembali ke UKM. Kembali untuk mendapatkan apa yang sepatutnya menjadi milik Farid, kejayaan.

"Sebagaimana engkau pernah cemerlang dulu, kali ini juga sama, engkau boleh," seru En Otak.

"Engkau adalah apa yang aku fikirkan; jika aku fikirkan engkau boleh, maka engkau pasti boleh melakukan," sambung En Otak.

Teringat kata-kata nenek Orang labah-labah,
"A great ablities come with a great responsibilities".

Terima kasih atas peluang ini, semuanya kerana Kau Ya Allah...

Monday, June 29, 2009

Rasa, Terasa, Perasaan, Perasan, Merasakan...

Tajuk di atas adalah tidak dirujuk sama sekali. Topik kali ini, masa depan.

Hari ini, baki pengajian di UKM tinggal lagi setahun, keputusan yang agak sukar untuk dibuat walaupun semenjak tahun 3 keputusan untuk diadakan tahun ke-5 di UKM ini telah dibuat.

Ini respon mereka,

1- "standardlah Engineering,"
2- "Ni mesti pasal blaja main2,"
3- "samalah kita,"
4- "Aik, dah tu bila nak kerja? lambat kerja lambat kahwin,"

Ini respon saya,

"I don't Give a damn! I run my own life-program,"

Jadi, Apa yang akan terjadi selepas ini? sekarang?

Saya akan terus belajar, sambil membina karier(sebenarnya sudahpun bekerja), di samping "mencari" masa depan yang bahagia.

Belum jumpa, juga belum pasti apa yang akan terjadi.

Tapi, langkah kaki ini tidak perlu berhenti, bahkan perlu terus berlari...

Ingat, What U give, U get Back!!!

Non U Give, Non u Get...

farid, tiada siapa yang akan lebih rasa, terasa, perasaan, perasan, dan merasakan jalan kehidupan yang engkau pilih... Walaupun kacak, tidak ke mana kalau tak bijak. (tp, kacak ke??)

Engkau buat, dan rasa sendiri apa yang engkau dapat.

Terbaik yang engkau Buat, terbaik (InsyaAllah) yang kau dapat...

Bertahan dan bersiap siagalah....

Tuesday, June 23, 2009

Pelajar Wanita Ditemui Mati Di UKM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Seorang pelajar wanita ditemui mati berhampiran tempat meletak kereta di Kolej Kediaman Za'aba, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Shakarudin Che Mood berkata mangsa, Siti Farihan Mohd Hassan, 23, ditemui tertiarap oleh seorang tukang sapu kira-kira 7 pagi.

"Seorang tukang sapu yang kebetulan sedang membersihkan kawasan itu ternampak mayat Siti Farihan sebelum menghubungi polis.

"Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan lebam pada muka Siti Farihan dipercayai akibat hentakan yang kuat. Dia dipercayai terjatuh dari beranda biliknya yang terletak di tingkat empat bangunan lima tingkat itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata polis tidak menemui sebarang kesan geledah di bilik mangsa dan polis juga telah mengambil keterangan dari rakan sebilik Siti Farihan.

Mangsa yang berasal dari Kelantan ialah pelajar peringkat Sarjana jurusan Sains Kimia.

"Kita telah soal-siasat rakan sebilik mangsa, bagaimanapun rakan sebiliknya tidak mengetahui kejadian itu kerana waktu itu rakannya sedang tidur dan polis tidak menolak kemungkinan ia berlaku seawal pukul 3 pagi," katanya.

Shakarudin berkata kejadian itu telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa dan punca sebenar kejadian masih disiasat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk dibedah siasat, katanya.

-- BERNAMA

Friday, June 12, 2009

En Otak: Masih gagal berfungsi dengan Baik...


Bangi, 11 Jun - Jam menunjukkan 11.15 malam, sambil menunggang kuda yang terpancit tayarnya di bangi, En Otak geligat memproses data yang diserap oleh kawan-kawan derianya yang lain. En Mata yang paling kuat bekerja kerana terpaksa mengecutkan iris supaya lebih banyak cahaya dapat dikesan oleh retina.

Walaupun keadaan fizikal yang mempunyai tarikan graviti yang agak tinggi, sehingga melambatkan pergerakan, namun emosi berjaya memaksa En Otak supaya teruskan bergerak. Jantung sudah semakin tercungap. Pernafasan Anaerob terpaksa dilancarkan. Keadaan semakin kritikal apabila En Otak tiba-tiba memproses bacaan jarak dari kedudukan semasa ke destinasi dituju.

En Otak telah memberikan gambaran bahawa, perjalanan malam ini terpaksa dihentikan kerana bacaan-kebarangkalian-untuk-gagal menunjukkan angka bulat. Emosi pada kali ini telah mengambil kesempatan yang ada untuk melancarkan propaganda dan provokasi supaya membuat pertimbangan semula.

Pergelutan berlaku agak lama, barangkali hampir 100 pusingan kaki kuda itu berputar, akhirnya membuat keputusan untuk berhenti dan kembali ke tempat berteduh terdekat.

Setelah kembali stabil di tempat berteduh yang terdekat, EN Otak kembali membuat imbasan mengenai keputusan yang dicapai, akhirnya dia sedar bahawa walaupun walaupun En Otak pada hakikatnya masih belum memerah segala keringat yang ada, namun masih gagal memimpin pergerakan disebabkan pengaruh Tuan Hati, yang di situlah terletaknya emosi.

Akhirnya bermalamlah kacapermata di suatu tempat teduh di bangi. Dek kerana keletihan menunggang, ternyenyaklah dia sampai ke pagi.

Sunday, May 10, 2009

Tolong aku ulangi betul, kurangi salah gerak hidupku...


Jika sumpah itu amalan yang tidak dikeji, maka sudah pasti manusia akan mendapati bahawa Akulah orang yang paling banyak bersumpah. Sambil tanganku digenggam erat, aku menyeru kepada seluruh manusia, "Dunia ini sudah tiba kepada klimaks kekusutan minda dan perilaku warganya!".

Kegagalan fungsi mata, telinga, hati dan segala deria yang telah dikurniakan FOC oleh Tuhan, menambah rumit kusut masai pergolakan manusia. Hanyut di tengah arus buatan minda ciptaan karut pemikiran mereka. Walhal arus Tuhannya sentiasa mengalir segar secapai tangan menggapai.

Manusia, sekalipun reti bahasa yang indah untuk ditutur, faham perihal kesucian dan kesaktian bahasa alam tetapan Tuhan, masih menuturi kesat, loghat akal yang menyesatkan.

Akal telah sekian lama menggulingkan Tuhan dari takhta keputusan jalan kehidupan. Kerajaan Hati dipimpin nafsu yang kelaparan. Tiada ruang walau sekecil lubang tirisan untuk cahaya iman. Sekalipun ada, hadirnya tidak ubah bak cahaya bintang, terkadang berkelip, kerapnya malap dilitupi awan.

Tuhan, hati ini penuh dengan kehitaman. Jangan Kau tambahkan malangku Ya Allah dengan melunaskan tuntutan nafsuku yang tiada berkesudahan. Kau sinarilah Hati ini dengan cahaya HidayahMu, bak terangnya bumi dipancari suriaMu.

Kau mudahkanlah jalanku menghampiriMu, agar ingatanku tidak terpaling dari redha dan kasihMu. Leburkanlah dosa dan silapku, agar terpadam api murka nerakaMu. Golongkan aku dalam puak kanan yang mencintaiMu. Ameen.

Thursday, April 30, 2009

Siapa kita, dan siapa peduli siapa kita?

Aku dinamakan dengan nama yang diberikan oleh ibu bapa ku. Begitu juga manusia-manusia yang lain, dinamakan oleh orang-orang penting dalam kelahiran mereka sendiri. Dinamakan Singh, richard, leonardo, melissa, fizwan, diana, maimunah, dan sebagainya. Di awal kelahiran, nama-nama inilah yang dipakai.

Ketika sudah mula mampu berinteraksi dan bertindak-balas dengan keadaan sekeliling, maka nama-nama lain pula yang akan muncul. Acu, kak yang, taiko, comel, putih, hitam, muncung, dogol, jebon, pendek, tonjang, dan sebagainya. Sehingga ada yang dipanggil squirt kerana lemah-gemalai lelaki itu berjalan.

Sehinggalah usia meningkat dewasa, pelbagai gelaran yang akan kita terima, refleksi kepada perlakuan kita dan respon kita terhadap sekeliling.

Maka, kita akan menentukan gelaran yang akan manusia lain berikan kepada kita. Ingin digelar bos, maka mengarahlah dan menjadi pulalah kita ketua pengarah. Ingin digelar sweetie, maka berdandan-soleklah muka kita dan penampilan kita yang serba terhias. Ingin menjadi perkasa, atau raksasa, atau mereka yang bercita-rasa sekalipun, semuanya terpulang kepada kita.

Walaupun, sejauh mana kita benar-benar layak untuk mendapatkan gelaran yang baik atau buruk, semuanya bergantung kepada usaha dan pembawaan diri kita, namun pengadil yang akan menilai adalah mereka yang kita gelarkan "masyarakat sekeliling".

Nah, di sinilah bermulanya konflik identiti apabila kita terlalu bergantung kepada penilaian yang diberikan oleh "masyarakat sekeliling". Remaja akan terpedaya dengan budaya mesyarakat sekitarnya. Mahasiswa akan terpedaya dengan masyarakat sekitarnya dan saya juga terpengaruh dengan masyarakat yang ada di sekitar saya.

Kita akan terus berubah dan terpengaruh dengan konflik identiti ini, selagi kita terus menjadikan "masyarakat sekeliling" sebagai subjek utama pembawaan identiti kita. Sebab itu, soalan "Siapa kita, dan siapa yang peduli siapa kita?" perlu kepada jawapan yang tuntas.

Kita adalah kita, dan hanya kita yang peduli serta menanggung akibat daripada siapa kita?

Anda pilih jalan yang lurus, maka persetankan mereka yang memilih jalan bengkang-bengkok. Anda memilih untuk bersama dengan Tuhan yang orang lain tidak nampak, maka persetankan orang lain yang memuja tuhan yang tidak mampu mencipta malah diciptakan...

Siapa kita, dan siapa peduli siapa kita???

Saturday, April 25, 2009

Berdepan dan mendepani...


Segala puji dan pujian hanya milik Allah Ta'ala yang memiliki segala kerajaan langit dan bumi. Tidak sesekali Dia beranak, Tiada bagiNya sekutu dan tidak memerlukan sebarang pertolongan di dalam kerajaan, dan Dialah yang telah menetapkan kadar begi setiap sesuatu.

Ada pun, bagi hamba yang hina-dina ini, tidak langsung layak menerima apa-apa melainkan ujian dan cabaran. Diuji dengan pujian untuk melambatkan proses kematangan. Dicabar keimanan untuk menapis kekurangan dan menentukan tahap kejayaan.

Mencabar diri untuk membuktikan kemampuan. Menghina diri untuk mendapatkan kemuliaan dan keredhaan. Tiada yang lebih penting daripada pandangan Tuhan, sekalipun hina pada pandangan ciptaan. Sememangnya menarik gelaran dan kemasyhuran yang diberikan manusia. Harapnya tidak sedikitpun menarik janji dan pulangan daripada Tuhan. Moga dikekalkan minat pada pulangan Tuhan dan memandang enteng ganjaran insan.

Maka, kepada manusia-manusia sama ada teman ataupun lawan, buatlah apa-apa pun, asalkan tidak mengganggu saya dari menantikan pulangan Tuhan. Depani saya, berdepan dengan saya untuk selesaikan segala kesulitan dan jurang antara saya dan kalian.

Berdepan dan mendepani...

Thursday, February 12, 2009

Valentine's Day VS Baitul Muslim

14Februari telah diiktiraf ramai manusia di atas muka bumi ini sebagai Hari Memperingati Kekasih. Tajuk kekasih ini memang sesuai dijadikan BedTime Story waktu di asrama atau di hostel mahupun di rumah bujang bersama-sama teman-teman.

Saya punya keyakinan penuh bahawa kita semua sedia maklum akan sejarah asal-usul pemartabatan 14 Februari ini sebagai Hari Valentine. Saya juga cukup yakin bahawa terlalu banyak sumber yang menerangkan mengenai pandangan Islam mahupun sekular terhadap Hari Valentine ini, Teman saya, Saudara Idris juga punya pandangan yang bagi saya menarik dalam blognya tintaduat.blogspot.com. Antara isi yang menarik yang mampu saya petik(sekiranya berat untuk klik pautan tersebut) ialah berkenaan hari ini, 12 Februari merupakan tarikh pemergian tokoh mujaddid Imam As-Syahid Hassan Al-Banna.

Ringkas sahaja pesanan saya kepada farid dan juga kepada pembaca semua, tegakkan fardul muslim dan hidupkan baitul muslim. Sejujurnya saya tidak mempunyai pengalaman untuk menulis mengenai isu kekasih ini, oleh itu saya ingin sudahkan artikel ini dengan mengajak bloggerz semua untuk merenung bait dalam lagu nasyid Kumpulan Inteam, Ku Serah Cinta...

Ku serah segala ketentuan,
Biarlah masa yang berbicara
Kerana gerak dan tindakanku
Mahu bebas dari masalah...

Aku Adalah aku sekarang,
Biar terbuang tetap berjuang,
Akan ku serahkan jiwa ini,
Sepenuh hati dalam perjuangan,

Akan ku serah cinta ini,
Bukan lagi pada manusia,
kerana cinta martabat itu,
Tersalut seribu kepalsuan dan kepuraan...

ikuti sambungan lirik ini dengan mendengar sendiri di radio atau pc masing-masing...(tak "sanggup" nak sambung...)

Thursday, January 15, 2009

Berakhirnya satu lagi Pilihanraya...

Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. setengah jam yang lalu, tempoh pengundian di UKM telah berakhir, dan peratus keluar mengundi(angka tidak rasmi) di ukm adalah sebanyak 74.89%. Tahniah kepada Mahasiswa UKM kerana telah menjalankan tanggungjawab kepada UKM dan juga tanggungjawab kepada diri sendiri. Namun, malang buat mereka yang tidak mengambil berat dan juga kepada mereka yang gagal membuat keputusan di atas penilaian sendiri. Pemilihan pemimpin seharusnya menjadi tanggungjawab semua manusia dan, kita selaku Mahasiswa perlu terlibt secara aktif dan bebas daripada segala bentuk paksaan dalam memilih pemimpin yang sepatutnya.

Terlalu banyak peristiwa dan kejadian yang berlaku semasa pilihanraya kali ini, ada yang pahit tak kurang juga yang manis. Semalam, sahabat karib saya, terlibat dalam kemalangan sewaktu mereka berdua dalam perjalanan ke kuliah. Saksi yang berada di tempat kejadian melaporkan bahawa sememangnya pemandu van yang merempuh motosikal sahabat saya bersalah kerana melanggar lampu merah. Sudahlah tidak mahu mengaku bersalah, ada pula pegawai polis yang tampil untuk membela pemandu wanita tersebut. Walaupun kenyataan ini agak bersifat perkauman bagi sesetengah pihak, namun saya ingin mengajak kalian semua untuk merenung. Inilah akibatnya sekiranya kita gagal berfikir secara rasional dalam tindakan dan kehidupan kita seharian.

Polis tersebut, berketurunan india, mengarahkan agar pengguna-pengguna jalanraya ketika itu mengalihkan van ke tepi jalan. Menurutnya, ia adalah bertujuan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Hakikatnya, van tersebut adalah bahan bukti yang tidak boleh dialih melainkan setelah mendapat kebenaran polis trafik yang bertanggungjawab. Kebetulan pegawai polis tersebut bukan polis trafik. Mujur ada Sdra Fikah, calon GMUKM, yang juga menuntut di FUU. Fikah menuntut agar polis tersebut bertanggungjawab, walaupun menerima ugutan daripada pegawai polis tersebut.

Baik, apa pengajaran yang perlu kita lihat daripada insiden tersebut?

1. Berfikir secara rasional dan bersikap professional. Rasional meksudnya fikir dalam-dalam berdasarkan hujah dan alasan yang kukuh. Profesional pula, tidak mementingkan diri atau apa-apa yang berkaitan dengan diri.

2. Kalau dah salah, cepat-cepat mengaku salah. Dengan tidak mengaku salah, kita telah menambah kesalahan dan menyebabkan kesan akibat kesalahan itu bertambah parah.

Situasi ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua dalam setiap perbuatan kita seharian. Mengundi secara rasional, bercakap secara rasional, bersikap profesional dan akur dengan kesalahan kita.

Friday, December 5, 2008

Super Hero...

Pernah tak? Mungkin bila kita terdengar ada orang menjerit meminta pertolongan, kita terasa macam nak jadi hero menyelamatkan orang itu.. (apalagi bagi lelaki kalau perempuan yang menjerit)

Pernah tak? Bila berita jenayah terpapar di kaca televisyen mengisahkan adik kecil dirogol dan dibunuh, terasa simpati dan ingin menjadi hero menghulurkan bantuan.

Pernah tak? Waktu rancangan BERSAMAMU di TV3 menyiarkan sekeluuarga yang hidup dalam kesusahan, beratapkan langit berlantaikan tanah, terasa ingin menjadi hero menyentap hanset menghantarkan sms untuk hulurkan tangan ringankan beban...

Pasti pernah, bila melihat orang lain dalam kesusahan, kesedihan, kemalangan, kecelakaan, kita terasa belas kasihan dan ingin menghulurkan tangan (menjadi hero)... Apalagi kalau yang ditimpa musibah itu, seseorang yang kita kenal, lebih-lebih lagi yang kita sayang dan kita ambil berat...

Saya yakin dan hampir pasti dengan kenyataan di atas sebab Tuhan kurniakan kita sifat kasih dan kasihkan hambaNya yang punya rasa kasih. Pengecualian diberikan kepada ikatan permusuhan sebab, ikatan ini atas dasar nafsu dan bukan bersifat kemanusiaan, justeru saya tak bincangkan mengenai binatang dan tidak perlu perbincangan mengenai binatang dipanjang-lebarkan.

Baik, siapa yang ingin menjadi superhero angkat tangan?

. . . .

mmm, sebelah pun memadai sebenarnya..

Ok, terima kasih, jatuhkan tangan..

Kalau nak jadi hero, saya ada cadangan panduan yang boleh diikuti...

Laksanakan Islam seluruh dan sesungguhnya...

Cuba dulu, baru tahu rasanya. Saya? Masih mencuba tapi semakin terasa kesannya.

Derita, sengsara dan terseksa di dunia ini tiada yang kekal sifatnya. Begitu juga nikmat, sihat, rahmat, berkat yang kita kecapi di dunia ini juga tiada yang kekal sifatnya. Saya cabar, jika ada yang pernah merasa "sedap" ketika makan selama lebih dari 24jam? Saya yakin, selepas kenyang sudah tiada lagi rasa "sedap", betulkan?

Atau, siapa yang pernah terasa sakit akibat luka sepanjang masa? Sudah pasti bila luka itu sembuh, sudah tiada rasa sakit, betulkan?

Inilah yang saya maksudkan dengan "Setiap suka dan duka, pahit dan manis di dunia ini tiada yang kekal sifatnya" Selepas setiap kali mendung pasti akan cerah.

Justeru hero yang tulen, sebenar dan sejati adalah Nabi Muhammad S.A.W. kerana baginda tidak pernah memandang kepada sakit dan sihat yang sementara, tetapi sentiasa terbayang kepada Negeri Akhirat yang kekal abadi...

Tidak terlintas sedkitpun untuk berehat, sentiasa bersemangat untuk selamatkan dunia ini dari derita dan sengsara balasan neraka yang lebih ngeri dari mana-mana seksa dan derita yang kita tanggung di dunia. Apalah sangat berlapar 3 hari, dikutuk 3 minggu, dikeji 3 bulan, difitnah 3 tahun, dihalau selama-lamanya dari Universiti, jika dibanding dengan seksa api yang tidak akan tertahan, tiada tidur, tiada rehat dan kekal sifatnya.

Kepada semua muslim, mujahid, mukmin, khususnya Farid dan teman-teman dari gerakan Islam, kita perlu mengIslamkan diri kita kerana Islam inilah satu-satunya jalan keluar kepada semua derita, sengsara dan bahaya kegelapan dunia, kepada kegembiraan yang tiada batas dan hujungnya di akhirat.

Saya sebut begini sebab, saya risau saya mendabik dada mendakwa diri Muslim, hanya dengan menyertai persatuan Islam, atau hanya menyampaikan risalah Islam, atau menyertai Pilihanraya dengan nama dan label Islam. Bahkan saya, Farid, 22t 10b, perlu mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Di dalam car hidup Islam ini terdapatnya tuntutan aqidah, ibadah, dan akhlak. Tuntutan individu muslim, berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan ber "alam sejagat".

Semoga saya dapat menjadi Super Hero yang dapat belajar lebih dalam mengenai Islam, kemudian mengamalkan dan berkongsi amalan tersebut dengan saudara-saudara seagama, kemudian menyampaikan kepada mereka yang belum menemui indahnya agama ini.Ameen...


Wallahua A'alam...

Monday, November 10, 2008

tidak sepertinya...

Isnin 10 Nov 2008, musim peperiksaan di UKM dan beberapa IPT yang "sewaktu" dengannya telahpun rancak berjalan. Dilaporkan terdapat beberapa kejadian aneh yang melibatkan jumlah mahasiswa/i yang agak ramai berlaku di kampus-kampus tersebut. Menurut beberapa teman saya yang melihat sendiri kejadian tersebut, Mahasiswa/i yang telah pun menduduki peperiksaan menyatakan kekecewaan masing-masing kerana gagal menjawab soalan peperiksaan dengan baik.


Malah, ada juga yang dilaporkan "menonggeng" kerana kecewa dengan prestasi masing-masing dalam peperiksaan tersebut. Menurut seorang siswi yang hanya mahu dikenali dengan nama ct, peperiksaan kali ini benar-benar di luar dugaan kerana begitu banyak soalan yang tidak pernah terfikir dek akalnya yang waras dan sihat.

Pihak kacapermata.blogspot.com cuba mendapatkan pandangan beberapa orang pakar mengenai hal tersebut. Antara yang sempat ditemui adalah Prof Ir Mohd Farid Bin Hamlud, yang juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kertasnya yang kedua khamis nanti. Beliau menyatakan bahawa, sebenarnya gejala "frust menonggeng" ini sudah biasa terjadi kerana beberapa sebab yang begitu ketara dikalangan Mahasiswa/i di IPT tempatan. Antaranya:-

1. Tidak hadir ke kuliah.
2. Tidak menyiapkan tutoran "sendiri"
3. Melawan kata pensyarah(tidak berkat).
4. Kurang ulangkaji.
5. Yang paling teruk antara semua sebab, kurang berminat untuk belajar.

Justeru, Prof Ir Farid menyarankan kepada semua mahasiswa/i di luar sana agar terus berusaha, kerana hanya usahalah yang layak menjadi tangga kejayaan. Namun begitu, bagi kes (5) di atas, tiada yang dapat membantu melainkan diri sendiri. Jika kita sedar akan kepentingan dan kegunaan perkara apa yang kita sedang lakukan, maka sudah pasti kita akan memberikan tumpuan terhdapnya.

Sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal fikiran, kita jangan mudah tewas dengan tekanan yang sebenarnya datang dari diri kita sendiri. Pokoknya, sendiri buat, sendiri tanggung. Ujian adalah untuk menguji sejauh mana diri kita layak untuk meningkat, Ujian periksa untuk menguji kelayakan kita dalam akademik, ujian hidup untuk menguji kelayakan kita mendapatkan gelaran kematangan. Jangan kusutkan pemikiran anda, usaha terus sehingga anda layak memiliki gelaran "berjaya dalam hidup".

Berkenaan dengan akademik ini bukanlah satu-satunya kayu ukur untuk menentukan kejayaan. Apalagi untuk digunakan sebagai "life jacket", sebaliknya ianya hanyalah sebagai satu suntikan untuk kita lebih berusaha mendapatkan ilmu supaya menjadi orang yang berguna. Menggunakan ilmu yang kita pelajari dengan sebaiknya adalah lebih baik daripada berhempas pulas menuntut untuk meninggalkan ilmu di dalam dewan peperiksaan semata-mata.
"Menggunakan ilmu yang kita pelajari dengan sebaiknya adalah lebih baik daripada berhempas pulas menuntut untuk meninggalkan ilmu di dalam dewan peperiksaan semata-mata."


Semalam adalah kenangan yang tidak dapat diubah,
Esok adalah ramalan yang cuacanya sukar ditelah,
Hari ni gunakan sebaiknya kerana ia adalah anugerah....

p/s: apalah maknanya berjaya dalam sistem pendidikan yang sekular dan caca merba ni kalau jatidiri masih songsang dan mundur serta jauh dari ketamadunan insan.

Undergoing MyBlogLog Verification

Antara Yang Menarik