Isu penyatuan Umno dan Pas sudah lama dimainkan. Pelbagai lontaran dan pandangan yang menyokong dan membangkang dikeutarakan oleh banyak pihak. Isu perpaduan Melayu Islam menjadi tunjang kepada usul yang mendesak kepada penyatuan Umno dan Pas.
UMNO melalui media dan saluran penerangan cuba membangkitkan semangat perpaduan Melayu Islam, yang natijahnya membawa kepada penyatuan UMNO dan PAS. Mereka memberikan gambaran betapa teruk dan kritikalnya keadaan Malaysia pada ketika ini yang sedang dikuasai oleh bangsa bukan Melayu.
Saya, menyokong penuh idea perpaduan Umat Islam. Sekiranya Melayu itu cocok untuk mewakili label Islam di Malaysia, maka perpaduan Melayu juga saya sokong. Namun begitu, di dalam dunia yang luas ini, dengan hasil bumi, udara dan air yang kita kongsi bersama, semuanya anugerah Allah kepada seluruh manusia. Apakah kita boleh menafikan hak manusia yang tidak sebangsa atau seagama dengan kita?
Ini hanya sebahagian daripada sebab kenapa saya dan majoriti rakyat Malaysia yang celik dan berfikiran panjang menolak sepenuhnya kerjasama antara PAS dengan UMNO. Melihat kepada kondisi semasa, perpaduan UMNO dan PAS adalah sesuatu yang langsung tidak masuk akal dan sama sekali tidak boleh dibawa ke meja rundingan sekalipun.
Agenda Kepentingan Islam.
UMNO melaungkan dalam kempen kesedarannya, jika sayangkan Islam, PAS mesti bergabung dengan UMNO. Jika dilihat sekali imbas, motif utama mereka ialah inginkan kesatuan Umat Islam di Malaysia, dan ingin memperjuangkan hak dan kepentingan Islam dan Umatnya di Malaysia. Saya setuju dan tiada masalah dengan motif ini.
Namun, soalan yang perlu dijawab terlebih dahulu oleh UMNO dan Barisan Nasional, apakah dengan memiliki 6 orang Perdana Menteri, malah sejak merdekanya Tanah Melayu, sehinggalah sekarang, kesemua Perdana Menteri datangnya daripada UMNO, Islam tidak dapat dibela? Di tangan 6 Perdana Menteri UMNO yang Islam dan Melayu semuanya?
6 PM Melayu Islam, semuanya kelihatan kacak dengan songkok hitam masing2... Tahniah! |
Agenda Islam Hadhari sendiri sudah luput dan tidak lagi meriah seperti dulu. Seperti pemimpinnya juga, Agenda Islam dalam UMNO, datang dan pergi.
Atau UMNO dan Barisan Nasional boleh cuba mencadangkan jawapan kepada soalan, "Siapakah yang bertanggungjawab memansuhkan tulisan jawi dan menggantikannya dengan tulisan rumi?" Sedang kesan yang sedang dirasai sekarang ialah, ramai masyarakat Melayu Islam yang buta jawi sekaligus buta Al-Quran. Ketika tulisan jawi ini dihapuskan, di manakah agaknya UMNO menyimpan agenda dan slogan Islam yang dilaung-laungkan selalu itu?
Agenda Kepentingan Melayu
Agenda ini jauh lebih menarik daripada agenda Islam, kerana sudah namanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, UMNO, maka motif Melayu sudah semestinya menjadi motif yang jauh lebih utama dari mana-mana motif. Saya cuba bersangka baik terhadap niat murni penubuhan UMNO, dan mungkin kerana kesukaran untuk menyebut "PKMB" maka UMNO, akronim dalam bahasa penjajah yang dipilih. Sepatutnya, jika mereka terlalu "menggilakan" dan hidup dalam kebanggaan dengan kebangsaan Melayu yang mereka ada itu, maka PKMB adalah akronim yang lebih sesuai dengan jiwa Melayu mereka itu.
Berbeza dengan PAS, jika dilihat, Parti Islam SeMalaysia, akronimnya adalah PIS, tetapi mengapa PAS? Sudah tentu, mengambil dari tulisan jawi iaitu Islam dieja dengan huruf "alif", maka jadilah akronimnya, PAS, atau "Pa","Alif" dan "Sin".
Ada juga yang bersetuju dengan kempen perpaduan Melayu disebabkan merosotnya jumlah Ahli Parlimen Berbangsa Melayu di dalam Dewan Rakyat. Saya setuju, jika melihat kepada angka, memang itulah sebenarnya yang terjadi. Namun, angka tersebut tidak memberikan apa-apa makna selagi Negara Malaysia ini masih mengekalkan sistem Raja Berpelmbagaan. Walaupun UMNO sendiri yang mengurangkan kuasa Raja, melalui Perdana Menteri yang mereka bangga-banggakan, Tun Dr Mahathir pada tahun 1983 dan 1993. (Baca lagi, jangan malas!) Dan, kalau ada apa-apa yang terjadi, UMNO sepatutnya dipersalahkan atas segala dosa yang mereka lakukan. Mereka melanggar batas yang mereka sendiri bina.
Jadi, di mana sebenarnya kedudukan Melayu di dalam UMNO?
PAS dan Pakatan Rakyat.
Ada yang mendakwa PAS mengkhianati Islam dan Melayu kerana sanggup untuk bersubahat dengan Democratic Action Party, DAP, dan Parti Keadilan Rakyat, PKR, yang mana kedua-duanya merupakan parti sekular dan dilihat seolah-oleh menentang kewujudan Melayu di Malaysia. Sejujurnya, kalaulah Melayu itu perangai semuanya mirip UMNO, maka tidak pernah wujud sekalipun tidak mengapa.
Ironinya, PAS, PKR dan DAP, sekalipun mempunyai perbezaan ideologi, corak, mods operandi, sistem dan perlembagaan masing-masing, mereka bersatu atas dua motif yang mereka kongsikan bersama, Hapuskan UMNO dan Selamatkan Malaysia.
Natijah daripada penyatuan PAS, PKR dan DAP ini akan membentuk sebuah Malaysia baru, yang mana ahlinya saling bantu-membantu untuk membentuk kehidupan yang lebih baik, sejahtera dan berkebajikan. Mengembalikan hak yang sepatutnya menjadi milik rakyat.
UMNO gagal menemui resepi di sebalik penyatuan ini, malah imej Buku Jingga cuba dipetakan sebagai penipuan dan angan-angan kosong, kerana mereka sendiri akui dan percaya bahawa Buku Jingga itulah yang sebenarnya rakyat mahukan, tetapi itulah yang mereka sendiri gagal laksanakan.
Najib cuba memperkenalkan Pelan Transformasi. Namun, hanya corong pembesar suara yang hebat berbunyi, tiada yang menyambut, apalagi ingin menyahut seruan tersebut. Lali ditipu dan tidak mahu bersubahat untuk menipu. Jika ada sekalipun, terpaksa demi sesuap nasi. Mereka-mereka inipun, sampai masanya akan meletus.
Jelas, satu-satunya perkara yang menyebabkan UMNO ingin mengajak PAS untuk bersama dengannya ialah kerana mereka bimbang kehilangan kuasa. Satu-satunya keutamaan Najib dan isterinya yang tercinta itu, ialah terus memerintah dan mengaut seberapa banyak keuntungan. Tidak ada sama sekali di dalam benak pemikiran mereka ingin membawa sedikitpun kebaikan kepada Malaysia ini. Sebab itulah, PAS dan UMNO merupakan dua garisan selari yang selamanya tidak akan bertemu. Walaupun selari, namun jarak di antara keduanya, ibarat langit dan bumi.
Saya mencadangkan supaya MCA, MIC, Gerakan, dan parti-parti lain yang bernaung atau bekerjasama dengan UMNO ini, segeralah kembali ke jalan yang benar. Tinggalkanlah UMNO, biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Mereka akan karam dek kerana benci dan dendam yang semakin sukar dipendam. Ayuh, kita bersama membina sebuah negara yang Lebih Baik. Kita mampu sekiranya kita mahu mencuba dan berusaha bersama-sama.
Talian hayatyang tinggal bagi UMNO sekarang hanyalah Media Arus Perdana yang membekalkan maklumat utama kepada seluruh rakyat Malaysia. Mujurlah senjata ini masih berfungsi seperti yang diarahkan, jika sekali sahaja ia bertindak melawan tuan, maka ketika itulah berlakunya kiamat dalam riwayat hidup UMNO, sekaligus mengheret pemimpin-pemimpinnya yang setia di dalam perjuangan Melayu mereka itu ke muka pengadilan, dan rakyat sendiri yang akan menghukum di atas segala dosa yang mereka lakukan.
Akal sihat rakyat yang telinganya mampu mendengar, matanya bisa melihat, pasti tidak akan mudah ditipu. Buktinya, ialah saya, dan anda juga yang sedang membaca artikel ini. Bahkan, artikel seperti ini sebenarnya sedang banyak dihasilkan oleh jiwa-jiwa yang semakin dahagakan keamanan dan kesejahteraan untuk ibu pertiwi ini. Saya juga seperti mereka, kami tidak pernah jemu, bahkan kami tidak pernah takut apalagi malu untuk menyatakan pendirian kami. Kerana Negara ini negara kami, dan Undang-undang yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia itu, juga adalah undang-undang kami. Mesej yang kami sampaikan adalah jelas dan sangat mudah difahami, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!