Steven R Cover dalam bukunya “7 Habits Of Highly Effective People” ada menyatakan antara ciri orang yang mempunyai kehidupan yang terbaik ialah mereka yang memikirkan terlebih dahulu apa yang berada di hujung minda sedar dan separa sedar. “Begin with the end of mind” merujuk kepada kaedah berfikir manusia yang memiliki kehidupan terbaik ialah mereka yang menjelaskan terlebih dahulu persoalan utama iaitu tujuan.
Apa sebenarnya tujuan kita hidup dan
kenapa kita perlu terus hidup? Ibarat bermain bola, jika kita tahu sasaran kita
ialah menjaringkan gol dalam ruang masa yang ada, maka kita akan focus kepada
tujuan kenapa kita berada di atas padang. Apa peranan yang sedang dan patut
kita mainkan? Apa strategi untuk sama ada mengekalkan kemenangan, membuat jaringan
kemenangan, menyamakan kedudukan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan defisit
jaringan?
Demikian juga hidup. Apa sebenarnya
yang kita nak capai dalam hidup?
Sebab itu, orang cerdik pandai
selalu mengingatkan, bermimpi dan berangan-angan bukan hanya percuma, mimpi dan
angan-angan ini jugalah sebenarnya yang memberikan kekuatan untuk kita
meneruskan hidup malah berjuang atas apa juga mimpi dan cita-cita yang ada.
Dulu, ketika kecil ramai orang
selalu bercita-cita untuk menjadi seseorang dengan kerjaya atau profesion
tertentu. Kebanyakannya terpengaruh dengan contoh dan model yang tampak di
depan mata. Ini cuma salah satu bentuk cita-cita tapi ini bukan satu-satunya.
Ada ramai orang yang memiliki
pekerjaan bukan daripada apa yang telah mereka pelajari sama ada di peringkat
sekolah atau institusi pengajian tinggi, malah ramai yang sekadar belajar sesuatu
bidang yang mereka sendiri tidak akan ceburi nanti.
Mungkin ada yang mengganggap
perbuatan itu sebagai sesuatu yang sia-sia, tetapi adalah menjadi suatu perkara
yang lebih merugikan jika kita sendiri tidak jelas, dan melakukan sesuatu yang
kita sendiri pun tidak sedar tujuan dan alasannya.
Peluang untuk melakukan sesuatu yang
bermakna dalam kehidupan tidak akan datang berulang kali. Jadi, rebut dan
manfaatkan sungguh setiap peluang, menjadikan setiap langkah perjalanan kehidupan
kita lebih berarah dan bermakna.
Cari dan temui alasan dan tujuan
besar kenapa kita mengambil sesuatu keputusan dan sebab di sebalik setiap langkah
yang kita lakukan. Kitalah yang lebih jelas malah perlu lebih sedar, ke mana
sebenarnya kehidupan kita ini ingin dibawa? Kenapa kita buat sesuatu dan kenapa
pula kita tidak berbuat sesuatu?
Dengan mengetahui setiap punca dan
arah tuju, kita akan mempunyai lebih kawalan terhadap tindak-tanduk, pemikiran,
jiwa dan perasaan kita sendiri. Kita akan lebih jelas, kenapa selepas kita
tewas dalam satu-satu pertandingan, kita tidak perlu mengambil masa yang lama
untuk termenung dan memikirkan sebab kita tertewas, sebaliknya bangun dan
bangkit untuk mencari jalan untuk kembali menang kerana kita punya sebab untuk berjaya
dalam persaingan.
No comments:
Post a Comment