Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, February 17, 2010

Krisis Berpanjangan: Masihkah ada harapan untuk Rakyat Malaysia?

Seawal bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, UMNO telah pun memulakan krisis dalam usaha merampas kekuasaan di Negeri Pakatan Rakyat. Selepas berjaya mengalahkan Pakatan Rakyat di Mahkamah untuk Negeri Perak, UMNO menyambung misi mereka membuat onar di Pulau Pinang. Mungkin kerana ingin menutup malu MB Kudeta yang menyambut TBC di kediaman sendiri, UMNO cuba mengalihkan tumpuan ke Negeri Pulau Pinang, pimpinan Lim Guan Eng.

Malaysia berdepan dengan krisis kepimpinan terbesar pada tahun ini, lebih teruk apabila krisis itu semakin berlarutan dan meleret sehingga tidak ternampak jalan keluar. Setelah slogan 1 Malaysia Najib ditolak bulat-bulat oleh rakyat kebanyakan, pelbagai kempen untuk memburukkan lawan dirancang dan dicanang. Walaupun kebanyakan senjata mereka akhirnya memakan tuan, UMNO dilihat seperti terus menyondol tanpa arah dan tujuan.

UMNO masih tidak sedar mengenai nasib yang bakal menimpa mereka di mahkamah rakyat. Sekalipun terlepas di mahkamah Rakyat, penindasan dan kezaliman mereka sudah pasti tidak akan terlepas daripada penghakiman Allah di Mahsyar kelak. Alangkah baiknya jika pemimpin kerajaan sedar dan faham akan hakikat ini.

Satu demi satu institusi dalam negara ini mengalami keruntuhan. Kepercayaan rakyat terhadap status ekonomi Negara sudah hampir setahun lenyap. Harga barang keperluan masih di paras bahaya, di samping status bekalan makanan yang sangat meragukan.

Keselamatan Negara juga terjejas apabila laporan mengenai jenayah terus meningkat dan semakin mengancam nyawa, maruah dan harta benda. Kerajaan lebih senang dan tenang mengatasi demonstrasi jalanan daripada menumpukan usaha menyelamatkan rakyat kebanyakan yang sentiasa terdedah dengan bahaya.

Ekoran krisis ekonomi yang berlarutan, peluang pekerjaan juga menipis menyebabkan kadar pengangguran meningkat. Justeru menyumbang kepada pemesatan industri "panjang tangan" di kalangan warganya.

Sektor pendidikan juga dilihat semakin terumbang-ambing. PPSMI, dasar 10 subjek SPM, SBT dan pelbagai pelan pendidikan tidak lebih dari sekadar eksperimen yang akhirnya memakan anak-bangsanya sendiri. Kekurangan belanjawan menyebabkan kerajaan terpaksa menggantung peluang pekerjaan di sektor pendidikan. Sudahlah pendidikan tidak cukup berkesan mendidik anak bangsa, murid-murid pula ketagihan guru yang cukup untuk mengajar mereka.

Saya pernah berbincang dengan beberapa orang guru, termasuk seorang Pengetua di Tapah, Perak. Beliau menyebut, sebenarnya masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja pada hari ini berpunca daripada kerajaan 125%. KPM melaksanakan PPSMI yang gagal membawa penambahbaikan terhadap prestasi pelajaran anak-anak luar bandar. Pelajar-pelajar sudah tidak lagi berminat dengan proses pembelajaran yang terlalu asing buat mereka. Natijahnya, mereka kerap ponteng sekolah, melepak dan akhirnya terjebak dalam gejala-gejalan negatif.

Guru-guru pula tidak mampu berbuat apa-apa, kerana tertakluk di bawah sistem yang mengawal pergerakan mereka. Guru-guru hanyalah buruh yang hanya boleh terlibat dalam proses PnP di sekolah, lebih dari itu bukan lagi menjadi urusan guru-guru malah seolah-olah dilarang untuk berbuat demikian.

Sumber maklumat, selain kawalan terhadap laporan yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan, tiada panduan khusus untuk mengawal bahan-bahan siaran. Rakyat dari semua lapisan terdedah kepada bahan hiburan yang melampau dan akhirnya mempengaruhi corak kehidupan seharian. Perkembangan dunia hiburan dan teknologi maklumat berlaku dengan begitu pantas, ibu bapa sudah tidak lagi mengenali anaknya walaupun hanya seminggu tidak bersama.

Rakyat sudah kehilangan tempat berlindung. Setelah semua badan-badan dan institusi-institusi penting di negara ini diperkosa oleh UMNO, badan kehakiman menjadi mangsa rogol terburuk dalam sejarah apabila keputusan mahkamah membenarkan rampasan kuasa yang berlaku ke atas negeri perak.

Dalam satu artikel di Malaysiakini, pemimpin dunia mengutuk tindakan pemimpin Malaysia dengan berkata, "Awak sendiri yang meludah pada perlembagaan, dan sekarang awak mahu rakyat hormat padanya(perlembagaan)?"

Prinsip Kerajaan Persekutuan sudah tidak lagi dihormati apabila kerajaan Pusat seringkali melanggar sempadan kuasa dan mencampuri urus tadbir negeri di bawah penguasaan Pakatan Rakyat. Kerajaan juga tergamak merampas wang royalti yang hakikatnya adalah milik rakyat kelantan yang perlu diuruskan secara bebas oleh kerajaan negeri.

Setelah satu demi satu institusi dalam negara ini dicelarukan, Masihkah ada harapan untuk Rakyat Malaysia? Selamatkah Malaysia untuk setahun dua yang akan datang?

Mujurlah sebagai seorang Rakyat Malaysia yang beragama Islam, saya mengimani bahawa kebenaran itu tetap akan muncul, dan kesudahan yang baik hanyalah untuk orang-orang yang beriman. Maka saya sanggup bersabar melihat kehancuran ini berlaku, dan menumpukan usaha menegakkan kebenaran pada PRU akan datang. Hancurlah Rejim BN-UMNO. Hiduplah keadilan dan kebenaran.

Islam Memimpin Perubahan.

1 comment:

PR - Pakatan Retak (Menanti Belah) said...

Korang memang tak tahu bersyukur. ingat senang ke nak memerintah negara???

Kerajaan lebih tahu dr bdak hingusan mcm korg ni.. blaja pun tak abes lagi!!!

Antara Yang Menarik