AlhamduliLlah, pengalaman dan hikmah kembara yang begitu banyak dan tinggi nilainya di wilayah yang sedang pulih dari bencana, Nanggroe Acheh Darussalam. Pada awalnya agak berat untuk berangkat, respon daripada mereka yang pernah ke Acheh, perjalanannya tidak seperti destinasi popular lain di dunia seperti China dan Negara-negara Eropah mahupun Timur Tengah. Namun, atas komitmen kerja, kaki disusun berbekalkan azam untuk bermusafir melihat kebesaran Allah Ta'ala yang diciptakan untuk mereka yang bersyukur. (macam pernah dengar lirik ni kan?)
Perjalanan ke Acheh bermula pada pagi Ahad, jam 11.55 pagi, penerbangan di LCCT menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, dan mendarat dengan selamat jam 12.20 tghari. Saya mendapat tempat duduk di sisi tingkap. Sebaik sahaja memakai tali pinggang keselamatan, langsung saya menumpukan sepenuh perhatian dan pandangan ke luar tingkap memerhatikan keadaan dan pemandangan. Begitu pramugari memberikan penerangan, tidak sedikit mengalih perhatian saya.
Sungguh asyik saya memerhatikan keadaan muka bumi Malaysia. Sebaik sahaja melepasi kawasan laut, pemandangan sudah mulai kosong dan kelopak mata mulai memberat. Tiba-tiba, pengumuman pramugari mengejutkan saya dari tidur. Rupanyaa, hampir sejam saya lena. Langsung saya melemparkan pandangan keluar tingkap, SubhanaLlah, rupa dan warna langit sahaja sudah begitu indah. Cerah dan sangat segar!
Pemandangan bumi Acheh dari sisi tingkap Kapal Terbang Air Asia begitu memukau. Buminya menghijau lautnya membiru, dari atas dapat dilihat kedudukan tulang-belulang Bukit Barisan yang menjadi pasak kepada bumi yang dahulunya dikenali sebagai Samudera Pasai. SubhanaLlah. Cinta pandang pertama!!
Sesampai di Lapangan Terbang, kami disambut oleh Pak Jack, atau nama panjangnya Jackzaharul yang bekerja sebagai Free Lance Tour Guide sekitar Acheh, Medan, Surabaya dan macam-macam tempat lagi di Indonesia.
Semenjak 2005, setelah diberikan Autonomi Luas oleh Kerajaan Republik Indonesia, Acheh dikenali sebagai Nanggroe Acheh Darussalam. Dahulunya digelar “Serambi Mekah” dan kini digelar “Syariat Islam”. Ternyata bumi ini sangat diberkati kerana tanahnya yang subur dan persekitarannya yang cukup menakjubkan. Pemandangan yang indah menghiasi perjalanan 7 jam kami dari Lapangan Terbang yang terletak berdekatan dengan Banda Acheh ke Daerah Lhok Seumawe yang terletak di sebelah timur kepulauan Acheh.
Kami menempuh perjalanan sejauh 350 km melewati kawasan pergunungan Bukit Barisan, menelusuri kampong-kampung dan pecan-pekan yang terdapat di Acheh. Perjalanan yang sungguh padat diisi dengan pelbagai informasi yang menarik mengenai Acheh, Indonesia, rakyatnya, dengan keadaan muka bumi dan social yang cukup berbeza dengan Malaysia.
Acheh mempunyai penduduk yang mempunyai peratusan Muslim terbesar di Indonesia. Hampir 95% dan di sesetengah kawasan mencatatkan 100% muslim. DI sana, semua wanita dan perempuan wajib memakai tudung sebagai tanda dia seorang Muslim. Jika tidak memakai tudung maka hukum ke atasnya ialah Kafir. (Superb!!)
Kegiatan utama rakyat Acheh masih lagi pertanian, dan agak tradisional. Di sana belum ada jentera yang digunakan secara meluas. Jika adapun hanyalah jentera bajak menggantikan kerbau itupun hanya di sesetengah tempat. Bersawah secara gotong-royong menjadi amalan kelaziman rakyatnya. Jika sampai tempoh menuai padi, mereka akan tolong-menolong menuai dari satu petak ke satu petak walaupun yang dituai itu bukanlah petak miliknya. Untuk memproses padi, mereka gunakan mesin bergerak. Dari rumah ke rumah, mesin itu di bawa menaiki motor yang disambung dengan gandar dan dibawa ke seluruh kampong. HEBAT!!
Acheh merupakan bumi yang suatu ketika dulu menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Islam Samudera Pasai. Kerajaan Islam pertama di Asia Tenggara, dibuka pada kurun ke-12, 300 tahun sebelum Kerajaan Islam Melaka dibuka oleh Sultan Muhammad Syah (Parameswara) pada tahun 1511. Merah Silau, ataupun dikenali dengan Nama Malikus Saleh Merah Silau merupakan Sultan Pasai yang pertama dan pengasas kerajaan Islam Samudera Pasai yang telah melebar dan meluas pengaruhnya di Asia Tenggara. Bahkan Wali Songo juga dikatakan berasal dari Acheh dan menuntut dengan ‘alim Ulama’ yang berada di Acheh.
Di Lhok Seumawe inilah terletaknya makam Malikus Saleh, raja yang bertanggungjawab mengasaskan kerajaan Islam Samudera Pasai, bersama kaum kerabatnya. Makam beliau terletak bersebelahan dengan Makam Anak Sulungnya, Sultan Zahir. Begitu banyak sejarah dan kehebatan Kerajaan ini. Allah Ta’ala memuliakan beliau, ketika berlakunya Tsunami, kawasan kompleks Makam beliau dinaiki air setinggi 3 meter, namun makamnya dan kubur-kubur yang berada di sekitarnya sedikit pun tidak terjejas. Bahkan batu tanda kubur para Syuhada dan pahlawan Kerajaan Islam Samudera Pasai yang terletak berhampiran makam Malikus Saleh ini juga tidak terjejas semasa berlakunya Tsunami yang mengorbankan hampir 220 000 nyawa.
Acheh juga terkenal dengan bencana Tsunami yang melanda wilayah itu di penghujung tahun 2004. Jika ditanyakan kepada warga Acheh, kebanyakannya masih ingat, seawall jam 7 pagi, bumi Acheh bergema dengan gempa bumi yang kuat. Selang 5 minit dari gempa bumi yang kuat tersebut, berlakunya gelombang tsunami yang pertama yang tidak berapa kuat. Disusuli beberapa saat kemudian gelombang kedua seterusnya gelombang ketiga yang jauh lebih kuat berbanding gelombang pertama. Dikatakan, semasa gelombang pertama air naik setinggi 2 meter, tetapi ketika golombang kedua air dikatakan mencecah sehingga 2 pohon kelapa atau setinggi 30 meter tinggi sehingga menenggelamkan rumah-rumah malah bukit-bukit juga ada yang hapus dilewati air tsunami ini.
Sehingga ke hari ini, masyarakat Acheh belum dapat melupakan kejadian yang berlaku. Semasa berada di salah sebuah Pondok (di Indonesia dikenali dengan nama Pesantren) Darussalam, salah seorang mangsa Tsunami yang terselamat menceritakan detik-detik kecemasan ketika berlakunya Tsunami tersebut. Muliadi Ariffin, yang terselamat bersama-sama adik-adiknya telah kehilangan ibunya dalam nahas itu. Ketika kejadian berlaku, setelah berlakunya gempa, dia dan penduduk berada dalam kebingungan dan bertempiaran lari. Masing-masing menyelamatkan diri masing-masing. Ibu melupakan anak, anak juga melupakan emak, masing-masing berada dalam kecemasan dan tidak mampu berfikir apa-apa selain menyelamatkan diri sendiri. Ketika gelombang pertama datang, ramai yang sempat berlari menuju ke kaki bukit dan gunung yang terletak kira-kira 1 km dari kampong tersebut.
Ketika Muliadi bercerita, salah seorang di kalangan kami mencelah, “Ketika kamu melarikan diri, ibumu berada di mana?” soalan yang agak keras diajukan kepada Muliadi.
Sambil tertunduk Muliadi menjawab, “Ibu di dalam rumah tidak sempat melarikan diri, kami adik-beradik pula hanya bertemu 5 hari selepas kejadian.” Jawab Muliadi.
Sebak dada kami mendengar ceritanya. Begitu terperinci dan detail cerita yang disampaikan oleh Muliadi, seolah baru semalam peristiwa itu berlaku. Semoga Allah merahmati roh-roh mereka yang terkorban dalam bencana alam itu.
Di suatu kampong, di pertengahan jalan dari LapanganTerbang ke Lhok Seumawe, terdapat sebuah kawasan yang menempatkan 30 000 mangsa yang ditanam di dalam satu lahad. Di kawasan tersebut dibina sebuah arca yang tertulis ayat 82 surah Yasin, “Hanya sanya perintah Allah itu, apabila Dia mengkehendaki sesuatu, jika Dia berkata KUN FAYAKUN (‘Jadi’ maka jadilah ia)”. SubhanaLlah.
Ternyata ujian yang Allah Ta’ala kenakan kepada saudara-saudara seakidah kita di Acheh sangat berat. Bahkan ada yang kehilangan seluruh kaum keluarga, hidup sebatang kara. Lebih menyedihkan, kampong halamannya juga sudah tiada kerana ditenggelami air. Allahu Akbar!! Derita yang mereka lalui, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk membina kembali Negara dan tanah air yang mereka sayangi. AlhamduliLlah, keadaan di wilayah Islam pertama Asia Tenggara itu sudah semakin pulih walaupun parut yang ditinggalkan oleh Tsunami 2004 begitu besar dan hampir mustahil untuk dihilangkan.
AlhamduliLlah, perjalanan yang memberikan hikmah yang sangat banyak. Didedahkan dengan sejarah pemerintahan Kerajaan Islam samudera Pasai, dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah, melawat ke kawasan-kawasan bencana Tsunami, dan juga mengembara di sepertiga kawasan Acheh dari Barat ke TImur melihat kajadian Alam dan kebesaran Tuhan yang Maha Agung dan tiada tandingannya.
Antara yang menarik, kami di bawa ke Maka Sheikh Abdurrauf AlFansuri atau dikenali dengan Syiah Kuala. Terletak di pesisir pantai, namun komplek makamnya bersama pengikut-pengikutnya langsung tidak terjejas. Begitu juga Masjid Baiturrahim yang terletak di tepi pantai. Masih elok, walaupun bangunan-bangunan lain yang terdapat di kawasan tersebut habis musnah kesemuanya dihentam ombak Tsunami yang sangat ganas. Begitu juga Masjid tertua di Acheh dan Asia Tenggara, Masjid Baiturrahman. Semua orang yang berlindung di dalam masjid tersebut terselamat dari bencana. Mereka yang berada di dalam Masjid menyaksikan sendiri air naik setinggi masjid namun hanya tempiasnya sahaja yang masuk ke dalam masjid. Langsung tidak terjejas dan menyelamatkan semua yang berada di dalamnya, termasuk seorang Non-Muslim berbangsa Cina ketika itu.
Diceritakan, ketika berlakunya Gempa, ada yang menjerit, “Siapa yang berlindung di dalam Masjid akan selamat!”
Maka dia pun turut mengikut orang-orang yang berlari masuk ke dalam Masjid. Kegerunan dan keganasan Ombak Tsunami dilihat secara langsung semasa berada di dalam Masjid tersebut. Lalu, selepas berlalunya ombak tsunami itu, dia melihat orang-orang ramai melakukan sujud syukur dan bertakbir memuji Allah. Dia juga turut melakukan perkara yang sama walaupun dia sendiri tidak mengerti apa yang dibacanya. Setelah kejadian itu, dia memeluk agama Islam, bahkan seluruh kaum keluarganya juga memeluk Islam. SubhanaLlah.
ROmbongan seramai 11 orang dari Darul Mubarak Travel n Tours berakhir pada pagi Rabu. Kami pulang dengan dengan muatan barang yang sederhana tetapi terisi dengan begitu banyak pengalaman dan pengajaran yang sungguh bermakna. Walaupun begitu, belum lagi kapal terbang berlepas, hati saya sudah sampai di Malaysia. Benar bagai dikata, Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, seronok lagi kat negeri sendiri... :-)
Batu nisan pahlawan Kerajaan Samudera Pasai yang juga tidak terjejas akibat Tsunami. Menurut sesetengah pendapat, mereka dikatakan mati syahid. |
Makam Ratu Nahrisyah di Lhok Seumawe. Salah seorang ratu yang pernah memerintah Kerajaan Islam Samudera Pasai. |
Bergambar bersama semua peserta rombongan di Kapal Apung yang dihanyutkan 5km dari pantai. |
Pantai Lhok Ngah, dahulunya meriah dengan aktiviti mandi-manda kini suram dan lengang. |
Papan tanda amaran Banjir Tsunami dapat dilihat dengan banyak di sekitar kawasan yang teruk terjejas. |
Melawat kapal nelayan yang tersadai di atas sebuah rumah. |
Bergambar di Masjid Baiturrahman |
Di Pondok Anak Yatim Darussalam |
Bergambar bersama Haji Salam di Makam salah seorang panglima yang sepanjang 6m. |
Gambar kawasan yang dahulunya merupakan sebuah perkampungan, kini ditenggelami air. |
2 comments:
Sangat menarik perkongsiannya..:)
Subhanallah. hebat2!
erm..xjumpa laksamana sunan kat sana?
ayah, em..da mcm leh wat sambungan trilogi ramli awang murshid-(bagaikan puteri-cinta sang ratu-hijab sang pencipta,..hehe tambah satu agi. cinta sufi.) pasni leh ar tambah agi..
Post a Comment