Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, October 9, 2010

Selagi ada masa...

Saya masih ingat, ketika masih kecil, saya selalu bermimpi tentang remaja. Ingin bersekolah, berkawan, dan bermain. Setelah remaja, mula memasang angan-angan untuk dewasa. Saya teringat dan masih dapat menggambarkan, ketika saya dan kakak saya, bersembang tentang dewasa. Kakak saya bertanya,

"Kamu rasakan, kalau kamu ada RM50,000, kamu nak buat apa dengan duit tu?" soal kakak saya, Along memulakan bicara.

"hmm, Along?" balas saya sambil berkerut-kerut membayangkan duit RM50,000.00 berada di tangan.

"Kalau along, RM10,000,00 nak bagi kat mak ngan ayah..." tiba-tiba bertukar fikiran, "eh, tak jadilah, apa kata kalau kita bayangkan RM100,000?" ujar Along sambil menggerak-gerakkan keningnya.

"boleh jugak," balas saya sepontan sambil menelan air liur yang semakin banyak dirembeskan.

Berterusan dialog kami hingga ke lewat malam. Cita-cita dan selera yang tinggi. Paling menarik, ialah soalan penutup kepada dialog tersebut, "Agaknya, macam mana kita nak dapat duit RM100,000.00 tu ek?" soal saya setelah agak lama berkhayal dengan impian masing-masing.

Memang seronok untuk bermimpi, apalagi mimpi yang indah tentang masa depan. Selalu bercita-cita untuk mendapatkan dan melakukan sesuatu yang bermakna serta berharga dalam hidup.

Tapi pelik, kita tidak pernah bermimpi bahawa pada bila-bila masa sahaja kita akan mati. Kita mungkin akan terlupa bahawa sejauh dan setinggi mana pun mimpi kita, pada akhir nanti semuanya akan ditinggalkan. Disebutkan oleh Abu Laits As-Samarqandi di dalam Kitab Tanbihul Ghafilin, ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itu bumi akan bergoncang. Manusia bagaikan mabuk sehingga ibu yang mengandung menggugurkan kandungannya, dan yang menyusui akan lupa terhadap bayinya dan anak-anak segera beruban serta syaitan-syaitan pun akan berlarian.

Menceritakan kepada kita, sebenarnya, dunia ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Tetap akan ditinggalkan walau sebanyak mana pun yang mampu kita kutip semasa hayat kita. Seperti kata-kata Ulama', dunia ini adalah hamparan buat bekal menuju ke negeri akhirat. 

Kita hanyalah seorang hamba yang bekerja untuk Tuhan. Pada bila-bila masa kita akan dijemput untuk kembali kepadaNya. Sekiranya baik amalan kita, maka baiklah kesudahan yang menanti kita di sana. Orang putih kata, in the blink of eye!! Betul, saya rasa baru semalam saya main-main dengan kawan-kawan kat tepi longkang masa kecil-kecil dulu. Terasa seperti baru semalam saya menjawab soalan peperiksaan akhir tahun, terasa baru semalam saya bersama kawan-kawan belajar dan mencabar, dan kini berada di atas kapal kehidupan sendirian mencari hala tuju dan panggilan dari Tuhan.

Tapi Allah Ta'ala sukakan hambanya yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perbuatan. Muslim yang kuat adalah lebih dikasihi dan disayangi oleh Allah daripada muslim yang lemah dan tidak berupaya. Tambahan pula, zaman mutakhir ini, cabaran dan mehnah yang menunggu kita sangat besar dan ganas. Sesiapa sahaja yang tidak bersedia akan hanyut dan ditelan oleh arus dan masa.

Komuniti Islam di dunia memerluka mereka yang mempunyai kelebihan dan kekuatan. Sekurang-kurangnya mampu memelihara diri sendiri daripada godaan dan tipuan syaitan dan musuh-musuh Islam. Sepanjang mana dalam kehidupan kita seharian ini, kita berdepan dengan cabaran ini. Musuh sentiasa mencuba dan berusaha untuk mengajak kita menemani mereka di neraka. 

Sabar, bukan sahaja menanti apa yang dihajati. Atau menahan dari menangisi apa yang tidak mampu dimiliki, tetapi sabar di dalam melakukan kerja taat. Dan sabar sementara menanti giliran dipanggil untuk bertemu dengan Tuhan. Selagi ada masa ni, kerja dan hiduplah sungguh-sungguh. Berjuang dan berkorban sedaya upaya yang kita ada. Demi diri, keluarga, negara dan lebih-lebih lagi agama.

Jom, kita teruskan cita-cita dan mimpi kita, sementara masih belum sampai giliran kita ni, semoga ketika kita dijemput nanti kita pulang dengan hati yang sejahtera dan disambut oleh Allah Ta'ala dengan ucapan yang sejahtera.


1 comment:

Unknown said...

Jom cari bekal untuk mati!

Antara Yang Menarik