Pada suatu hari, seorang lelaki, berusia awal 30-an, bekerja sebagai seorang tukang sapu. Hari itu, dia ditugaskan untuk menyapu sampah di sebatang jalan. Tidak seperti hari yang lain, pagi itu lelaki berkenaan keluar awal untuk bekerja meninggalkan isteri dan seorang anaknya yang masih kecil. Bermula agak awal, hanya dia seorang sahaja yang bertugas di jalanraya tersebut ketika itu.
Sedang dia asyik menyapu daun-daun kering yang gugur dari pokok yang ditanam menghiasi sepanjang jalan berkenaan, tiba-tiba datanglah sebuah kereta Honda Accord 2.0 meluru dengan laju dan melanggar lelaki berkenaan. Takdir Allah menentukan, dia meninggal di tempat kejadian dan kembali ke rahmat Allah disebabkan kecederaan yang teruk di kepala.
Pemandu Honda Accord 2.0 berkenaan berasa bersalah dan ingin menebus kesalahannya. Lelaki tersebut, yang juga berbangsa Cina dan beragama Buddha pergi ke rumah tukang sapu berkenaan untuk meminta maaf dan menebus kesalahan daripada keluarga Allahyarham.Bertemulah dia dengan balu serta isteri tukang sapu berkenaan.
Ketika itu, suasana muram dan rumah wanita berkenaan dipenuhi ramai saudara-mara dan sahabat handai yang hadir memberikan ucapan takziah dan membacakan yasin serta tahlil buat Allahyarham. Lelaki cina berkenaan menghampiran wanita tersebut, dan berkata,
"Puan, saya Peter, saya yang langgar suami puan," Peter memberanikan diri membuat pengakuan, menyebabkan orang ramai yang berada di rumah berkenaan menjadi sangat terkejut.
"Owh, awak. Saya tahu, dan saya telah memaafkan awak," balas wanita berkenaan, kali ini respon yang diberikan oleh wanita berkenaan tambah mengejutkan tetamu yang hadir, apalagi Peter yang terkebil-kebil matanya memerhatikan raut wajah wanita berkenaan yang sungguh tenang menghadapi detik sukar kematian suami.
"Benarkah apa yang puan sebutkan ini? Berilah saya peluang untuk menebus kesalahan saya," ujar Peter tidak berpuas hati dengan respon yang diterima.
"Kalau begitu, awak jagalah nyawa awak dengan baik, semoga Tuhan merahmati awak sekeluarga," balas wanita berkenaan, sempat juga dia mengukir senyuman cuba menenangkan dan mententeramkan jiwa Peter yang berkecamuk.
"Saya rasa awak dengar dan faham apa yang Puan Farah sebut bukan? Apa tunggu lagi?" seorang lelaki bangun dan menerpa ke arah Peter, berang dengan tindakan Peter yang seakan mengganggu majlis dan suasana di rumah tersebut.
Peter akur, lantas mengundurkan diri sambil memohon maaf kepada wanita berkenaan dan kepada sekalian yang hadir. Belum sempat lelaki yang berang tadi bangun dari tempat duduknya, wanita berkenaan menahannya dan berkata,
"Tak baik buat macam tu, saya rasa kalau Abg Man hidup lagi, tentu dia tak suka apa yang kita buat," ujar wanita berkenaan. sekalian yang hadir kembali meneruskan bacaan sehinggalah jenazah Man dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam yang berdekatan.
Keesokan harinya, ketika waktu tengahari, rumah wanita berkenaan masih tidak putus dengan kehadiran tetamu yang hadir memberikan ucapan takziah dan kata-kata sokongan kepada wanita berkenaan. Walaupun keluarganya agak sederhana, tetapi kenalan dan saudara-mara yang hadir tidak putus kerana kebaikan dan kelebihan yang ada pada Man dan keluarganya itu.
Tiba-tiba, Peter muncul sekali lagi, kali ini dengan sedikit buah tangan. Sekali lagi dia memohon ampun kepada wanita berkenaan. Teresak-esak dia merayu di muka pintu agar dimaafkan. "Puan, tolonglah maafkan saya. Saya bersalah, berilah saya peluang untuk menebus kesalahan saya," ujar lelaki itu dalam nada yang tersekat-sekat.
"Saudara, saya sudah memafkan awak. Saya pasti, suami saya juga sudah memafkan awak," balas wanita tersebut, dengan tenang dan lemah lembut.
Peter tergamam, terkesima dengan kata-kata wanita tersebut yang sungguh menyentuh perasaannya. Namun dia masih belum berputus asa. Sehinggalah, beberapan orang tetamu menasihatkannya pulang, barulah dia pulang dengan perasaan yang hampa. Keesokan harinya juga begitu. Peter menjadi semakin terdesak. Keadaan dirinya serba tidak terurus. Urusan kerjanya ditinggalkan. Masanya dihabiskan dengan bersendirian, selain pergi ke rumah wanita tadi untuk memohon maaf dan memberikan saguhati kepada wanita berkenaan dan anaknya. Pelbagai usaha dilakukan agar dirinya diberi peluang untuk menebus kesalahan, namun respon yang diberikan oleh wanita berkenaan, tidak berjaya mententeramkan jiwanya yang diselubungi perasaan bersalah.
Seminggu berlalu, Peter masih tidak serik ke rumah berkenaan. Sehinggalah pada hari ke-9 pemergian Man, Peter berjumpa dengan wanita berkenaan. Dengan nada yang sama, dengan perlakuan dan aksi yang lebih kurang serupa, Peter memohon maaf daripada wanita berkenaan. Tetapi kali ini dengan penuh harap. Di dalam hatinya, Peter tekad tidak akan berganjak selagi tidak diberi peluang untuk menebus kesalahannya.
"Peter, sebenarya awak tak bersalah," wanita tersebut terpaksa memulakan bicaranya. Peter tersentak, jawapan yang diberikan semakin mengganggu fikirannya.
Melihat kerutan pada dahi Peter yang semakin bertambah, wanita berkenaan menyambung, "yang bersalah ialah orang yang reka kereta awak. Sebab, dia cipta enjin yang berkuasa tinggi sehingga membolehkan awak memandu laju dan melanggar suami saya," terang wanita tersebut.
Belum sempat Peter memberikan hujah balas, wanita tersebut menyambung lagi, "dan mungkin bukan orang yang reka kereta ni yang salah, sebaliknya orang yang reka jalanraya tempat suami saya menyapu yang salah. Mereka bina jalanraya dengan simpang yang tidak menitikberatkan keselamatan pengguna, sehingga menyebabkan awak melanggar suami saya," penerangan wanita berkenaan semakin menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Peter, "apa agaknya yang ingin disampaikan oleh wanita ini?" bisik Peter di dalam hatinya.
"Atau jika tidakpun, mungkin orang yang bertanggungjawab menjaga lampu lintas di awal jalan itu yang bersalah. Jika merah atau hijaunya dipanjangkan atau dipendekkan sedikit masanya, sudah tentu kereta awak juga tidak sempat melanggar suami saya," jelas wanita itu lagi.
"barangkali, yang bersalah ialah yang menanam pokok di tepi jalan itulah yang bersalah kerana pokoknya telah menggugurkan daun menyebabkan daun itu terpaksa disapu oleh suami saya, menyebabkan awak berkesempatan melanggarnya ketika itu," jelas wanita itu, dengan nada yang serius dan seolah-olah begitu mengesali kejadian dan kemalangan yang menimpa dirinya. Lopak matanya berair, namun titisannya tidak sempat gugur ke pipi lantaran ketabahan dan kecekalan jiwa yang ada padanya.
"Mungkin mereka semua tidak bersalah, sebaliknya sayalah yang sebenarnya pesalah dalam hal ini. Jika pada pagi tersebut saya menjamu suami saya makan dengan sarapan yang enak, bermanja sebelum dia pergi bekerja, sudah tentu suami saya akan keluar bekerja pada waktu yang sepatutnya, dan akan ada teman yang dapat menjaga keselamatan dirinya, dan sudah tentu, kemalangan pada pagi itu tidak akan berlaku sama sekali," terang wanita itu lagi. Kali ini, lopak matanya sudah tidak mampu menampung air matanya, lantas pipinya dibasahi air yang sudah sekian lama ditahan. Wanita tadi tunduk, tangisannya tidak berbunyi, sesunyi suasana pagi di rumahnya itu. Anak lelakinya disisi, melihat ibunya yang sedang menangis, "mak, kenapa mak menangis?" soal anak kecil itu.
Peter semakin kebingungan. Dia menjadi hilang punca. Tanpa dia sedari tangisannya juga sudah berhenti, air mata dan hingusnya juga sudah kering. Ligat otaknya berfikir, apa agaknya yang cuba disampaikan oleh wanita tadi. Semua pesalah tadi sangat logik untuk disalahkan. Sedikit sebanyak, jawapan yang diberikan oleh wanita tadi melegakan perasaannya. Namun, hatinya menjadi serba salah, kerana kesalahan itu akhirnya diletakkan ke atas isteri Allahyarham yang telah dilanggar secara tidak sengaja tempoh hari.
"Beginilah," wanita tadi menyambung bicaranya semula selepas menenangkan dirinya selama beberapa minit.
"Saya, sebagai seorang Muslim, percaya kepada kekuasaan Allah Ta'ala yang telah menciptakan manusia. Dia yang menciptakan saya, dan awak juga. Dia yang menghidupkan maka Dialah yang selayaknya mematikan hambaNya. Saya pasrah akan takdir yang telah disuratkan ke atas saya, dan saya mahu awak juga begitu. Saya percaya, setiap kejadian ada pengajaran dan hikmah yang tertentu, untuk saya, anak saya, bahkan untuk awak juga. Suami saya pergi dulu, kerana Tuhan lebih sayangkan dia, dan kita ini masih hidup juga kerana kasih dan sayangNya," terang wanita itu lagi. "Awak percaya pada Tuhan?"
Peter tergamam, kata-kata itu begitu asing bagi dirinya. Namun, kata-kata itu begitu menenangkan dan mententeramkan jiwanya. Siapakah Allah? Benarkah Dia yang telah menciptakan dirinya?
Kali ini, Peter pulang dengan hati yang tenang. Dia yakin pada penerangan yang diberikan oleh wanita itu. Namun akalnya pula yang berselirat. Dia begitu berminat mahu mengenali siapakah Allah itu sebenarnya. Mengapa begitu sekali hebatnya Allah sehingga mampu menjadikan seorang wanita yang tidak bekerja dan tidak berpendidikan tinggi begitu tenang menghadapi detik-detik sukar dalam hidupnya.
Setelah dipertemukan dengan abang wanita itu, Ridhuan, Peter mengucap dua kalimah syahadah, setelah hampir sebulan belajar dan mendalami Islam. Peter mengakui, dia pada hakikatnya belum benar-benar memahami Islam. Bahkan akalnya juga belum mampu memikirkan. Namun jiwanya memberontak, seakan tidak mahu menangguhkan ketenangan yang bakal diperolehinya apabila hidup bertuhan.
Dia akur, semuanya hanyalah kerana Dia. Dia yang menentukan segala, moga hidup dan mati keranaNya.
Sabar, bukan hanya terhadap perkara yang kita tak dapat, atau perkara yang kita dapat, malah yang paling penting ialah sabar sebelum kita Mati, KERANA MATI ITU PASTI.
Bila-bila masa kita dilanda perasaan resah dan gelisah, ingatlah Tuhan sentiasa bersama malah dekat dengan hambaNya. Kerana persandaran makhluk hanya pada Tuhannya, tempat dia pasrahkan segalanya. JOM TERUSKAN BERSABAR, dalam perjuangan mencari redhaNya.
3 comments:
tapi,ana still rasa x bersalah walaupun buat macam2 dosa...tiu nak kira camne??
anyway,smart la gambar profail tu....mengancam!!
Huh~ Ataaaa~!!!
Kan akak dah pesan, "Jangan nakal-nakal!"
Be a smart MAN, ya~ :)
ata: pintu taubat masih terbuka.. Jom sama2.. huhu
Huda: tak dapek den nak nolong budak ata ni... :-)
Post a Comment