Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, December 24, 2010

Kenduri 100 hari...

Konvensyen Pakatan Rakyat yang berlangsung baru-baru ini menggariskan beberapa agenda perubahan dan reformasi yang akan dilakukan secara besar-besaran dalam tempoh 100 hari pemerintahan. Ada dua petanda yang baik, pertama kesatuan agenda di dalam Pakatan Rakyat, kedua kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menjadi solusi kepada permasalahan yang melanda rakyat dan seluruh entiti dalam negara pada ketika ini.

Sudah tentu, UMNO diwakili oleh Najib meluahkan kebimbangan terhadap "belanja" yang diperlukan untuk menjayakan kenduri ini, namun sebagai pihak yang bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab, saya yakin Pakatan Rakyat bersedia untuk menanggung segala risiko dan memulangkan segala "hutang" yang dipinjamkan oleh rakyat kepada para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Rakyat sudah terlalu dahaga dan hampir kebulur dek kebajikan mereka yang semakin diabaikan. Harapan untuk merasai kenduri 100 hari merupakan tawaran yang dinanti-nantikan oleh segenap pelusuk negara. 

Oleh kerana kenduri 100 hari ini adalah kenduri yang sangat besar, maka kerja rewangnya juga memerlukan tenaga yang banyak. Tidak cukup dengan melibatkan pimpinan atau orang-orang politik semata-mata, malah rakyat khususnya anak-anak muda perlu sama-sama bergotong-royong membuat segala persiapan yang perlu bagi memastikan kelancaran kenduri tersebut. Sudah tentu, agenda utama ialah memastikan tempat kenduri ini ditempah terlebih dahulu, dan semestinya Putrajaya adalah lokasi yang sangat tepat untuk dilangsungkan kenduri ini.

Hanya Putrajaya sahaja yang mampu menampung 26juta rakyat yang mahu merasai kenduri ini. Dan hanya Putrajaya yang lebih cocok untuk dijadikan tempat kenduri, dengan pemandangan yang indah, dengan masjid yang besar, sudah pasti mampu menampung bilangan hadirin yang ramai.

Usaha untuk menggerakkan perubahan ini perlu disambut baik oleh semua pihak. Kita tidak seperti UMNO-BN yang suka bertelagah dan bercakar kerana merebut kuasa, kita punya kaedah dan disiplin yang tersendiri dalam menentukan corak dan hala tuju kita bersama. Siapa sangka, doktrin pemecahan dan pengasingan bangsa yang ditanam oleh penjajah dan kini disemai serta dibajai oleh UMNO-BN juga akan mati dan terhapus dengan kejayaan kenduri 100 hari ini.

Kita perlu tunjukkan kepada UMNO-BN cara yang betul untuk menyemai dan memupuk perpaduan. Sekadar topeng yang bermuka-muka, tidak akan menyelesaikan masalah.Apalagi kalau dayus mengikut kehendak isteri yang bukan-bukan. Lihat bagaimana setianya Wan Azizah mempertahankan "kelelakian" suamninya, sekalipun setiap hari dan sepanjang masa "kelelakian" suaminya itulah yang digugat oleh media.

Menyelamatkan bangsa hanya mampu dilaksanakan dengan ilmu. Sedang ilmu yang paling berguna ialah ilmu Agama. Ilmu penyuluh jalan. Dengan adanya ilmu, perkembangan tamadun kebendaan dapat diisi dengan tamadun kemanusiaan. Masalah timbul apabila tamadun akal yang mundur di Malaysia ini dikejutkan dengan perkembangan teknologi yang belum mampu disambut baik oleh rakyat. Natijahnya, perkembangan dan kemajuan yang hanya mendatangkan kerosakan.

Seperkara yang menarik mengenai kenduri 100 hari ini ialah, menunjukkan secara jelas kepada kita bahawa yang cuba diselesaikan di sini bukanlah masalah berkaitan dengan pemimpin negara. Boleh jadi, masalah berkaitan pemimpin negara ini yang kesepuluh antara puluhan masalah utama yang melanda kita ketika ini. Akan tetapi masalah yang cuba diselesaikan di sini ialah masalah kepimpinan negara.

Kepincangan dalam diri pemimpin tidaklah sebesar kepincangan dalam urusan kepimpinan. Soalnya sekarang, kita berhadapan dengan disiplin kepimpinan yang korup, amalan demokrasi yang berat sebelah, penipuan, penyelewengan, rasuah, penindasan dan macam-macam kerosakan yang sebenarnya disebabkan oleh pincangnya disiplin kepimpinan dalam negara. Rombakan yang perlu dibuat, tidak akan selesai sekiranya kita menggantikan penama-penama tertentu dengan nama-nama yang baru. 

Sekalipun 100% nama yang ada di dalam barisan Kabinet Negara itu ditukar, nama dan warnanya sekalipun, jika disiplin dan kepincangan kepimpinan itu tidak berubah, maka hasilnya tetap sama. Kita perlu membuat perubahan total. Setuju untuk kita mulakan daripada pucuk, menuju ke akar umbi. Tapi masalah pokok yang kita hadapi ialah amalan pentadbiran yang jauh menyimpang dan menyeleweng dari amalan kepimpinan yang berkesan.

Selesaikan masalah kita terhadap kepimpinan terlebih dahulu, langsaikan hutang kita dengan pemimpin kemudian.

Kepimpinan mengikut kaedah urustadbir yang berkesan, Good Governance yang telah lama kita pelajari, nah sekarang adalah masa untuk kita amalkan. Ketelusan, partisipasi, kedaulatan undang-undang dan sebagainya, adalah kunci kepada perubahan kepimpinan yang kita idam-idamkan. Jawapan yang mudah ialah kembali kepada Islam. Al-Quran mengajar kita, sekalipun yang telah disabitkan kesalahan itu ialah ahli keluarga kita sekalipun, maka kita perlu laksanakan hukuman yang setimpal.

Jika berhutang mesti ada saksi, jika berurusan tidak mengamalkan riba, tidak menghebahkan perkara-perkara yang sia-sia, menjaga batas-batas pergaulan, mengutamakan pendidikan dan pelbagai aspek pentadbiran dan politik yang perlu diamalkan oleh kepimpinan negara.

Semoga harapan untuk kenduri 100 hari ini akan menjadi kenyataan. Dan jika ianya menjadi kenyataan, jangan segan untuk sama-sama kita meriahkan. Untuk tujuan itu, sama-samalah kita berganding bahu memerah idea dan keringat memastikan persiapan menuju ke Putrajaya dapat dilaksanakan dengan baik.

Tahun 2011, TAHUN PERUBAHAN...

No comments:

Antara Yang Menarik