Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, October 12, 2011

Polemik Malaysia dan Hudud


AlhamduliLlah, isu Hudud yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan Media Rasmi mereka, menyebabkan ramai yang mencari kebenaran di sebalik kerelavanan perlaksanaan hukum Hudud atau lebih tepat lagi Hukum Jenayah Islam.

Hukum Jenayah Islam lebih tepat dalam membincangkan isu Hukum Hudud ini kerana di dalam undang-undang jenayah Islam, bukan hudud sahaja yang wajib dilaksanakan, sebaliknya ada dua hukuman yang juga wajib diberikan perhatian serius. Hudud seperti yang kita tahu, jumhur Ulama' menetapkan hukum hudud ini hanya untuk pesalah-pesalah yang telah disabitkan terhadap enam jenis kesalahan sahaja. Iaitu Zina, Qazaf, Mencuri, Merompak, Minum arak, dan juga Murtad. Ada juga pendapat yang mengatakan hudud juga melibatkan mereka yang terlibat dengan kesalahan Bughat (derhaka).

Hudud, tiada kompromi kerana ianya adalah ketetapan Mutlak daripada Allah seperti yang diterangkan oleh Allah Ta'ala di dalam Al-Quran mengenai hukuman yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan di atas. Allah Ta'ala menjelaskan secara terang-terangan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang berzina, mencuri, dan sebagainya.

Selain Hudud, di dalam Undang-undang jenayah Islam juga terdapat hukum Qisas. Ianya juga wajib dilaksanakan. Hukum Qisas pula berkaitan dengan kesalahan yang melibatkan manusia dengan manusia. Jenis kesalahan yang melibatkan hukuman Qisas ini pula ada tiga iaitu, membunuh orang lain dengan sengaja, menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja atau melukakan orang lain dengan sengaja.

Hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan di dalam Undang-undang Qisas ini ialah dibalas dengan perbuatan atau kesalahan yang sama. Misalnya bunuh dibalas bunuh, terpotong tangan akan dibalas dengan dipotong tangan, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, tahap hukuman bergantung kepada budi bicara mangsa ataupun keluarga mangsa. Sekiranya keluarga mangsa mengampunkan dan memaafkan kesalahan pesalah yang telah disabitkan hukuman tesebut, maka dia bebas daripada menjalani hukuman Qisas tersebut dan hanya perlu membayar denda atau pampasan yang ditetapkan oleh keluarga mangsa tersebut.

Ketiga, ialah hukuman ta'zir. Ta'zir ialah hukuman yang selain daripada hukuman Qisas dan Hudud. Kadar dan jenis hukuman tidak ditetapkan sama sekali. Maka kadar dan jenis hukuman tertakluk kepada ketetapan mahkamah dan pemerintah.

Namun begitu, ketiga-tiga hukuman jenayah Islam ini tetap perlu dijalankan dengan Adil dan saksama. Proses perbicaraan yang telus dan adil tetap perlu dijalankan dengan berkesan kerana di dalam Islam, mereka yang bersalah perlu dibuktikan bersalah sebelum dihukum. Masing-masing ada hak untuk dibicarakan. Hukuman Jenayah Islam pula menjadikan matlamat pencegahan dan pendidikan sebagai matlamat utama ianya ditegakkan.

Perkara paling penting dalam membincangkan soal jenayah ialah bagaimana ianya diputuskan dan bagaimana pula ianya dilaksanakan. Menurut Pakar dan penganalisis Undang-undang Malaysia, Prof Abd Aziz Bari, untuk melaksanakan Hukuman Jenaayah Islam ini, kita sebenarnya tidak memerlukan kepada pindaan perlembagaan. Satu-satunya yang perlu diubah ialah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Maka segera akan dapat difahami bahawa, Bidang Kuasa Mahkamah Syariah ini hanyalah untuk digunakan oleh orang-orang Islam sahaja.

Sepertimana ketika Nabi Muhammad SAW memimpin Negara Islam Madinah, yang pada ketika itu turut menaungi mereka yang beragama Nasrani(kristian), yahudi, dan agama-agama yang lain, Nabi Muhammad SAW tetap melaksanakan hukuman Hudud, Qisas, dan juga takzir ini ke atas orang Islam. Bagi mereka yang tidak beragama Islam, mereka boleh memilih sama ada ingin dibicarakan dalam Mahkamah Syariah ataupun mahkamah Sivil.

Maka, bantahan oleh mereka yang bukan Islam tidak sepatutnya menjadi masalah kerana undang-undang jenayah Islam ini, sedikitpun tidak mengganggu dan menjejaskan perlembagaan Persekutuan dan sedikitpun tidak bersangkutan terhadap orang-orang bukan Islam.

Inilah antara kesan buruk dan kegagalan UMNO paling besar di Malaysia, iaitu GAGAL sama sekali memahami tuntutan Islam ke atas penganutnya.

Islam mengkehendaki agar kita berhukum dengan hukum Islam, hukum yang diturunkan oleh Allah melalui perantaraan para Nabi dan Rasul. Islam mengajar kita agar berlaku Adil iaitu meletakkan sesuatau kena pada tempatnya. Juga berbuat kebaikan sesama kita. Islam merupakan cara hidup yang sangat seseuai, relevan dan memenuhi keperluan hidup semua manusia, malah mereka yang bukan Islam juga tidak terlepas daripada berpeluang melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka.

UMNO hanya faham Islam itu pada Solat, puasa, zakat dan haji. Sebab itu mereka tidak nampak kewajaran kita berkongsi Islam yang kita amalkan ini dengan mereka yang bukan Islam. Sedangkan di dalam Islam ini, syumul dan lengkap, meliputi segala bidang kehidupan manusia, dari sudut Undang-undang jenayah, ekonomi, sosial, budaya, kesihatan, sumber alam dan segala macam bentuk kegiatan dan keperluan umat manusia, semuanya terkandung lengkap di dalam cara hidup Islam.

Selagi rakyat terus membiarkan UMNO berkuasa,selagi itulah kuasa yang ada pada UMNO itu disia-siakan dan akhirnya akan menghancurkan Malaysia dan seluruh rakyatnya. Maka, ayuh! Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia!!!!

Sekiranya semua rakyat membaca artikel ini, maka segera akan dapat difahami dan diakui, bahawa golongan yang mungkin akan menolak hukum jenayah Islam ini hanyalah mereka yang terlibat dan sudah tentu hanya Orang Islam sahaja yang agak logik ingin memberontak. Sememangnya, penghalang untuk melaksanakan hukum jenayah Islam ini di Malaysia, bukanlah orang-orang bukan Islam. Tetapi orang-orang yang tidak faham dan tidak mahu menerima Islam.

Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang terus mengaku bahawa Tuhan kita ialah Allah Ta'ala, dan kita cukuplah Allah bagi kita dan Islam itu agama dan cara hidup kita....


7 comments:

sya said...

typing error on the last paragraph
mengaki?? maybe mengaku?

Farid Albariti said...

Terima kasih atas pembetulan...

iqmal naqib said...

tolong jelaskan sedikit bagaimana mengubah bidanh kuasa makhamah syariah dapat melaksanak hudud di malaysia. Sekadar bertanya untuk menambah ilmu pengetahuan

Farid Albariti said...

Mengubah kuasa mahkamah syariah supayabjumlah hukuman maksima selari dengan syara'..

Skrg cuma 3 tahun penjara, 5 kali sebatan, dan denda rm6k..

Biar selari supaya hukuman sama seperti yg ditetapkan..

iqmal naqib said...

Bukan ke perlu membuat pindaan dalam perlembagaan ke supaya perkara tersebut dapat dilaksanakan?

Farid Albariti said...

Kalau pindaan kepada kuasa mahkamah syariah hanya perlukan simple majoriti, tapi kalau pindaan perlembagaan perlukan sokongan 2/3 dewan rakyat...

iqmal naqib said...

Ooo... Terima kasih atas ilmu yang diberikan. Sangat membantu

Antara Yang Menarik