Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, April 5, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Keempat: Persiapan Rohani

Sebenarnya, walaupun ditulis yang keempat, persiapan yang paling penting adalah persiapan rohani. Rohani ertinya perkara yang melibatkan dalaman diri seseorang, seringkali dirujuk sebagai spiritual, semangat, jiwa, dan batin. Jika dirujuk dari Hadith, elemen rohani ini dikaitkan dengan hati. Sebenarnya hati adalah raja bagi diri kita. Hatilah yang menentukan tindakan, hati jugalah yang mengawal perasaan dan fikiran.


Sebab itu tidak pelik bagi seseorang yang pergi melaksanakan umrah, dia boleh menerima ujian dengan lapang dada, namun, ujian yang sama jika dihadapi di Malaysia, tindak balasnya mungkin sahaja berbeza.

Bayangkan, seseorang yang kehilangan kasut di Masjid Nabawi, terus sahaja dia mengucapkan Astaghfirullah, sambil fikirannya membayangkan dosa-dosa yang mungkin pernah dia lakukan, atau perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dia ucapkan. Tetapi tindak balas yang berbeza jika kasutnya hilang atau dikebas orang ketika berkunjung di surau berhampiran kediamannya di Malaysia.

Inilah yang dinamakan Kekuatan Rohani. Disebabkan, ketika berada di Madinah, rohaninya kuat, maka dia dapat menerima ujian dengan baik. Mungkin ketika dia berada di Malaysia, rohaninya tidak sekuat ketika dia berada di Madinah atau di Mekah, maka dia mula menyalahkan orang lain, bahkan sehingga menyalahkan diri sendiri. 

Persiapan rohani banyak bergantung kepada hubungan seseorang itu dengan Allah SWT. Semakin dekat hubungan seseorang dengan Allah, semakin kuat rohaninya. Jika kuat rohaninya, maka insyaAllah dia dapat menempuh kehidupan ini, begitu juga perjalanan umrah dengan baik.

Satu perumpamaan yang mudah, kita semua tahu akan adanya syurga dan neraka. Tetapi kenapa amalan dan sikap kita tidak menggambarkan kita teringin nak ke syurga, atau seperti tidak takut daripada terjerumus ke lembah neraka? Sebab itu, tidak cukup sekadar tahu dan kenal, jika tidak dipupuk dalam jiwa rohani.

Demikianlah, kita bukan tidak tahu perjalanan umrah ini adalah kerana dan ke arah Allah. Justeru persiapan apa yang boleh memandu agar tujuan perjalanan ini tidak menyimpang atau tersasar? Tidak lain dan tidak bukan persiapan rohani.

Dekatkan sungguh-sungguh diri dengan Allah, melalui jalan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, begitu juga yang diterangkan di dalam AlQuran mengenai ciri-ciri mereka yang Allah kasih. Antaranya dengan memperbanyak mendirikan solat dan bersabar, berdasarkan firman Allah:- 

“ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan Solat; "
Al-Baqarah Ayat 45.


Ertinya, orang yang kuat Rohaninya, kuat kebergantungannya dengan Allah. Dia yakin dengan pertolongan Allah dan dia yakin Allah SWT Maha berkuasa, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.

Bayangkan ketika kita masih kecil, dan perlukan duit kerana ingin membeli sesuatu, kepada siapa kita meminta? Pada ayah atau ibu? Ramai yang akan terus meminta pada ibunya, kerana dia percaya ibunya lebih mudah dan mungkin sahaja kerana dia percaya ibunya tidak akan menghampakan permintaannya. Sebab itu, dia terus menuju ke arah ibunya.


Begitulah kita sebagai manusia, jika memerlukan pertolongan, kepada siapa kita meminta dan merayu? Maka orang yang baik hubungannya dengan Allah, pastinya akan mendahulukan malah meletakkan Allah SWT sebagai satu-satunya sandaran hidupnya. Kerana dia percaya Allah SWT sentiasa mendengar, melihat, mengetahui segalanya, dan dia juga percaya Allah SWT sekali-kali tidak akan menghampakan permintaan, pujuk dan rayu hambaNya.

Sebab itu, perbanyakkanlah solat sunat, jika boleh sebelum masuknya waktu subuh, tunaikan sekurang-kurang dua rakaat. Mintak tolong dan sebagai usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah. 

Banyak amalan-amalan yang baik dilakukan sebagai usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah. Antaranya dengan perbanyakkan istighfar, zikir, selawat, bersedekah, membaca Al-Quran dan lain-lain lagi. 

Mudah-mudahan dengan usaha mendekatkan diri dengan Allah Ta'ala ini, dapat menenangkan hati, mententeramkan jiwa, dan paling penting memandu perjalanan umrah supaya kekal menuju ke arah dan keranaNya.





Tuesday, April 4, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Ketiga: Ilmu Pengetahuan Perjalanan

Selain ilmu berkaitan ibadah, ada juga ilmu lain yang penting untuk diketahui sedikit sebanyak sebelum berangkat, iaitu ilmu berkaitan perjalanan. Ilmu itu cahaya, menerangi hidup dan menyuluh jalan. Kita akan teraba-raba jika tiada ilmu. 

Pengetahuan yang pertama ialah Bahasa. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa kita akan ke Negara Arab Saudi, bahasa pertuturan di sana ialah Bahasa Arab 'Ammi, atau bahasa pasar bagi penduduk Saudi. Bahasa pasar arab pula tak sama bagi semua negara. Ditambah pula dengan masyarakat bukan arab yang menetap dan bekerja di sana, menjadikan Bahasa Pasar Arab Saudi sangat rencam dan "menarik".

Walaubagaimanapun, kebanyakan peniaga mereka boleh berbahasa Melayu, sekadar cukup untuk memudahkan urusniaga. Namun, polis, pekerja hotel, pekerja lapangan terbang, imigresen, dan lain-lain pihak bertanggungjawab, kebanyakan mereka hanya tahu berbahasa arab. Sangat sedikit yang mampu berbahasa inggeris dengan baik. 

Tujuan saya menyebutnya di sini, bukanlah untuk menasihatkan para jemaah mahir berbahasa arab, apa lagi untuk menjadikan bahasa sebagai syarat. Cukuplah sekadar kita ambil maklum keadaan yang bakal kita tempuh di sana nanti. Pesan saya, jika nak berinteraksi, jangan malu bertanya dan bersuara. Cakap sahaja dengan bahasa yang kita tahu, insyaAllah ada jalannya.

Perkara kedua ialah mata wang. Di Mekah dan Madinah, mata wang yang digunakan adalah dalam riyal. Tapi ada juga kedai-kedai yang menerima duit RM untuk urus niaga. Berkaitan mata wang, perkara yang penting ialah tukaran. Pilihan yang terbaik ialah tukar terlebih dahulu di Malaysia, kadar nilai tukarannya jauh lebih baik berbanding dua lagi kaedah yang lain. Biasanya jika tukar di bandar-bandar besar seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, kadarnya lebih baik lagi.

Pilihan kedua ialah dengan mengaktifkan urusniaga antarabangsa bagi pemegang kad debit. Tapi tidak semua bank mempunyai pilihan ini. Anda boleh bertanya dengan pihak bank masing-masing untuk mengaktifkan pilihan ini, dan sesetengah kad debit boleh diaktifkan urusan antarabangsa melalui perkhidmatan bank atas talian.  

Pilihan yang ketiga ialah dengan membawa duit tunai dan tukarkan duit itu di Mekah atau di Madinah. Pilihan ini agak popular namun amatlah tidak digalakkan. Masalah utamanya ialah nilai tukaran yang sangat rendah. Selain itu, lokasi kedai tukaran wang ini, hanya terdapat beberapa buah sahaja di Mekah dan Madinah. Jadi anda mungkin perlu berjalan jauh, dan beratur agak panjang, ditambah dengan kesukaran berkomunikasi. 

Cuma pilihan ini masih sangat popular kerana biasanya jemaah sendiri tidak begitu pasti berapa jumlah yang sesuai untuk dibawa ke sana. Kebiasaannya jemaah akan menukarkan sedikit wang, dan membawa baki dalam ringgit untuk ditukarkan di sana jika perlu. Jika ditanya berapakah jumlah yang sesuai ditukar, pada saya bergantung kepada kemampuan anda berbelanja. Berapa banyak bekal yang ingin anda bawa pulang?

Jika sekadar ingin membeli makan dan minum tanpa membawa pulang apa-apa, maka SR500 adalah mencukupi untuk seorang. Tapi jika ada hajat ingin membeli ole-ole, dan sedikit cenderamata, bekal dan sebagainya, maka SR2000 juga mencukupi. Ramai yang saya jumpa, membawa SR2000 seorang sebagai tambahan belanja. Apapun, ianya berbalik kepada kemampuan kita masing-masing.

Tidak perlu terikut-ikut dengan cara orang lain, malah saya pernah juga berjumpa dengan jemaah yang hanya membawa SR200, itupun hanya untuk digunakan membeli sim kad dan tambang bas atau teksi untuk ke mana-mana destinasi tambahan selain yang disediakan oleh pihak agensi. 

Perkara ketiga ialah jual beli. Sekali lagi ditekankan jual beli mestilah mengikut kemampuan. Tak perlu meletakkan apa-apa sasaran dalam jual beli jika ianya mengganggu tumpuan anda untuk beribadah. Saya sendiri secara peribadi pernah mengelak daripada menerima apa-apa kiriman kerana pada ketika itu, jual beli ini amat mengganggu tumpuan saya untuk berkhidmat.

Tapi sekarang, saya mengganggap jual beli ini sendiri adalah khidmat yang dapat saya berikan kepada jemaah. Justeru ada lima hukum berkaitan jual beli, ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram, ditentukan oleh masa, keadaan, dan jenis jual beli yang ingin dijalankan. 

Perlu diingat, harga di sesetengah kedai langsung tidak diletakkan tanda harga, menyebabkan harga barang yang dijual itu, bergantung kepada nilai yang diletakkan oleh peniaga. Jadi perlu kepada tawar-menawar. Membeli belah di sana perlu kental dan jangan mudah luntur. Tapi, andaikata kita memang nak bayar lebih, niatkan sahaja sedekah. 😅

Perkara keempat ini juga penting iaitu perjalanan pergi balik hotel dan masjid. Jemaah dinasihatkan untuk memerhatikan keadaan di sekeliling hotel dan mercu tanda yang boleh dijadikan panduan untuk perjalanan pergi dan balik dari hotel ke masjid. Antara mercu tanda yang selalu dijadikan panduan ialah Menara Jam. Kenal pasti hotel anda di sebelah kiri atau kanan menara jam. Adakah berdekatan dengan menara jam atau bahagian yang bertentangan dari menara jam. 

Panduan ini penting namun, amatlah digalakkan bagi jemaah yang telah berusia, membawa waris yang lebih muda untuk membantu sebarang urusan. Walaupun telah beberapa kali datang ke Mekah, suasana dan keadaan sentiasa berubah dan faktor usia kadang-kala membataskan pergerakan seseorang. Sebaiknya janganlah dibiarkan mereka yang dah berusia pergi tanpa diiringi oleh waris yang muda dan sihat. 


Monday, April 3, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Kedua: Ilmu Ibadah

Sabda Nabi Muhammad SAW, "Sesiapa yang mahukan dunia, maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang mahukan Akhirat, maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya (dunia dan akhirat), maka hendaklah dia berilmu,"


Ilmu ini ibarat pelita yang menyuluh jalan dan menerangai kehidupan. 

Untuk melaksanakan Umrah, ilmu adalah bekalan yang sangat penting. Bukan hanya ilmu berkaitan ibadah Umrah seperti niat, tawaf, saie, bercukur, larangan ihram dan sebagainya, malah ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu ibadah harian dan ilmu berkaitan perjalanan juga turut diperlukan.

Ilmu Umrah yang utama ialah pengetahuan tentang rukun dan wajib Umrah. Antara intipati pengajaran yang paling mustahak ialah keutamaan dalam ibadah umrah dan haji ini ialah menyempurnakan rukun. Jika seseorang itu tahu apa kah rukun dan bagaimana menyempurnakan rukun-rukun tersebut, tentu dia akan menyedari bahawa menunaikan umrah sebenarnya bukanlah sesukar yang disangka.





Memadai dengan dia berniat, kemudian mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali, bermula di penjuru Hajar Aswad, kemudian melanjutkan perjalanan dengan berulang-alik antara bukit Safa dan Marwah, juga sebanyak 7 kali, kemudian menggunting sebahagian atau mencukur keseluruhan rambutnya, maka dia telah berjaya menyempurnakan umrah.

Mengenai perkara wajib, dia mesti tahun kedudukan berniat ihram di Miqat, apa perkara yang jika tidak sengaja dilakukan tidak dikenakan dam, dan apa pula perkara sekalipun tidak sengaja masih dikenakan dam. Juga pengetahuan sedikit sebanyak mengenai jenis-jenis serta kadar-kadar dam bagi membantunya lebih jelas akan urusan berkenaan. 

Selain berkaitan dengan Umrah, ilmu ibadah harian seperti Solat, Taharah dan sebagainya juga wajib diketahui. Ini kerana selain melaksanakan Umrah, jemaah juga akan melaksanakan ibadah-ibadah lain di sana, malah ini juga sebagai bekal dan keperluan hidupnya selama berbaki hayat.

Sekurang-kurangnya urusan Fardhu Ainnya selesai. 

Namun begitu, Jemaah juga perlu tahu di sana akan terdapat pelbagai bentuk pertembungan atau perbezaan dari sudut Feqah. Baik melibatkan solat begitu juga hal-hal lainnya. Contoh mudah, bacaan Qunut dan Wirid selepas solat. Begitu juga Solat jenazah yang didirikan hanpir selepas setiap kali solat fardhu. 

Ilmu pengetahuan am berkaitan perjalanan, ilmu ibadah sebagai musafir, dan sebagainya juga tidak boleh dikesampingkan.

Justeru jemaah perlu bersiap dengan mempelajari asas-asas ibadah antara lain bertujuan

1. Supaya ibadah kita sah dan mudah-mudahan ianya diterima oleh Allah..

2. Supaya jika berlaku terpisah dengan jemaah ketika melakukan tawaf dan sebagainya, kita mampu menyelesaikan ibadah tersebut.

3. Tidak mudah terpengaruh dengan perbuatan orang ramai kerana tidak semua perbuatan orang ramai boleh dijadikan panduan atau ditiru. Juga tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia untuk diamalkan. 

4. Kegunaan ilmu ini bukan hanya untuk diri sendiri dan ketika umrah, malah ilmu-ilmu ini juga boleh disebarkan untuk membantu jemaah yang lain, begitu juga ianya pasti akan bermanfaat untuk kehidupan seterusnya. 

Semakin kita menggali, semakin kita tahu bahawa apa yang kita tahu sebenarnya sangat sedikit berbanding lautan ilmu Allah yang Maha Luas dan tidak bertepian. Semakin kita belajar semakin kita sedar bahawa kita sebenarnya belum boleh dikatakan tahu, hanya cebisan dari setitik ilmu, berbanding selautan ilmu Allah. 

Thursday, March 30, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Pertama: Niat (Bahagian 2)

Semestinya, niat melaksanakan Umrah ini ialah ikhlas kerana Allah. Seperti yang dijelaskan, ikhlas itu bererti kita mengharap kepada keampunan, rahmat, belas kasihan, keredhaan, dan perlindungan daripada Allah SWT. Selain itu, untuk memandu perjalanan umrah kita menjadi lebih terarah dan bermakna, kita juga perlu mengetahui apa sebenarnya yang ingin kita cari dan dapatkan dari perjalanan istimewa ini?

Secara ringkas, keinginan ini lahir daripada impian dan cita-cita kita yang tersendiri. Ada orang, pergi ke Mekah kerana ingin melihat kaabah, menyentuh, mencium dan menelangkupkan badannya ke dinding Kaabah. Ada juga yang pergi kerana ingin minum air zamzam. Ada yang pergi, semata-mata kerana ingin melaksanakan tawaf dan merasai pengalaman membotakkan kepala.

Semua ini adalah hasrat dan keinginan yang tidak ada salahnya dan sebenarnya tidak kurang pentingnya untuk difikirkan. Senaraikan keinginan kita dan usahakan sungguh-sungguh untuk mencapainya. Cari dan dapatkan maklumat supaya apa yang kita inginkan ini benar-benar dapat direalisasikan. 

Pernah satu ketika, Nabi Ibrahim A.S. bertanya kepada Allah, "Ya Allah, bagaimana Engkau menghidupkan yang mati?"

Allah Ta'ala membalas kepada RasulNya itu, "Adakah engkau tidak mempercayai kemampuanKu menghidupkan yang mati?"

Nabi Ibrahim menjawab, "Bahkan aku percaya, tetapi aku bertanya kerana ingin mententeramkan hatiku,"

Lalu Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menunjukkan kepada Khalil (teman) Nya itu, dengan menghidupkan burung yang telah dicincang, terbang ke arah hambaNya, sebagai tanda mukjizat dan juga kasih sayangNya kepada Nabi Ibrahim A.S. Allah rakamkan peristiwa ini di dalam Al-Quran sebagai tanda Dia Maha Mengenal dan Menjadikan kita semua. 

Begitulah kita, tidak dinafikan hidup dan mati kita, sememangnya kita serahkan kepada Allah. Perjalanan Umrah kita juga, semestinya kita ikhlaskan kerana Allah. Namun ada di sana keinginan tertentu yang boleh mententeramkan hati kita. Ianya tetap terserah kepada ketentuan Allah, namun tidak salah untuk kita berusaha merealisasikannya.

Ada sahaja yang bercita-cita ingin mendaki Jabal Nur, menawan Jabal Thur, solat di dalam Hijr Ismail, mengucup Hajar Aswad, menziarahi Baqi dan sebagainya. Namun perlu diingat, semuanya ini tidak terkeluar dari kerangka menyerah dan mengabdi diri kepada Allah.

Saya sendiri, ketika mula-mula menjejakkan kaki antara "wishlist" saya ialah melihat Kaabah, melawat semua tempat-tempat bersejarah dan mengetahui seberapa banyak tempat-tempat dan sejarah-sejarah hebat bumi para Nabi dan Rasul itu. 

Sekarang, "wishlist" tersebut masih dalam proses kerana masih banyak tempat dan sejarah yang belum saya terokai, namun keinginan dan hasrat saya yang paling besar ialah membantu dan memudahkan ur
usan jemaah. Adakalanya, Allah tunaikan, dan adakalanya Allah Ta'ala tentukan takdir yang lebih baik. 

Ada orang bercita-cita dan teringin benar ingin solat di dalam Raudhah. Ingin benar merasai ketenangan luar biasa berada di dalam taman dari taman-taman syurga itu. Lalu dia meletakkan Raudhah sebagai salah satu "wishlist" umrahnya. Lalu diusahakan untuk membolehkan dirinya masuk ke dalam raudhah. Pelbagai persiapan dibuat, termasuk mengaktifkan aplikasi nusuk, selidik jalan dan pintu yang menyampaikannya ke Raudhah, namun apabila sampai detik dan masanya, setelah usaha bersungguh-sungguh, dia menyerahkan sepenuhnya pada taqdir dan ketentuan Allah.
Ini keinginan yang selalu ada dalam senarai Jemaah Umrah - Aiskrim di Arafah. 

Kerana keinginan yang paling besar, bukanlah semata-mata ingin memenuhi kehendak diri, sebaliknya keinginan yang paling besar ialah hidup benar-benar menyerah diri kepada Allah. 

Carilah dan tetapkanlah, ke Mekah dan Madinah, apa yang kita cari? Apa yang kita mahukan? Ke mana kita nak pergi? Apa perkara yang benar-benar teringin kita lakukan?

Niat, keinginan dan hasrat ini, jika diadun dengan baik, akan menatijahkan perjalanan yang penuh syukur dan sabar. Kita tahu apa yang kita mahu, tapi kita juga tahu, Allah lebih tahu apa sebenarnya yang terbaik untuk kita. Usahalah sebaik mungkin kerana seseorang yang beriman itu sentiasa akan bersamanya kebaikan, selama mana dia tidak putus asa melaksanakan kebaikan, syukur dan sabar atas segala kejadian. 

Wednesday, March 29, 2023

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Persiapan Pertama: Niat

Daripada Umar Bin Al-Khattab R.A. beliau mendengar RasuluLlah SAW bersabda "Sesungguhnya setiap amalan dikira berdasarkan niat, dan hanya sanya seseorang itu mengikut apa yang diniatkan, Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya. dan siapa yang hijrahnya kerana habuan dunia yang menanti, atau perempuan yang ingin dinikahi, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya" - Hadith Riwayat Al-Bukhari.


Jelas dalam hadith ini, perkara pertama dalam setiap amalan dan perbuatan adalah niat. Niat memandu tindakan dan niat jugalah penentu hasil daripada tindakan. Jika seseorang itu memulakan perjalanan menjadi tetamu Allah untuk mendapatkan keampunan, nescaya keampunan lah yang akan melimpahinya sepanjang perjalanan itu. Jika yang dihajati ialah tanda dan bukti kebesaran Allah, pastinya Allah akan menyingkap hijabNya sehingga terlihat tanda-tanda dan bukti-bukti kebesaran Allah yang Maha Esa sepanjang perjalanan tersebut.


Ini jugalah apa yang pasti akan dialami oleh jemaah umrah apabila memulakan perjalanan. Adakah tujuannya untuk beribadah atau semata-mata berjalan?


Jika tujuannya ibadah, maka penglihatan, pendengaran, percakapan, perbuatan, malah perasaannya akan tertumpu kepada ibadah kepada Allah SWT. Nescaya setiap apa yang berlaku, sama ada baik atau buruk, maka akan dikembalikan dalam bentuk puji dan syukur, sabar dan redha atas ketentuan dan kurniaan Allah Ta'ala jua.


Sebab itu, persiapan pertama ialah "Ikhlaskan Niat". Bulatkan tekad, kuatkan azam, sebut dan ulang sentiasa, perjalanan ini adalah kerana Allah, dan tiada lain yang diharap selain Allah.

Ramai yang bertanya, betul kita niat kerana Allah, tapi apa sebenarnya yang kita cari dalam mengikhlaskan perjalanan ini keranaNya? Ulama membimbing kita dengan menjelaskan, orang yang Ikhlas beribadah kerana Allah, mereka mengharapkan:


1. Keampunan Allah. Seperti yang dijelaskan oleh Allah Ta'ala di dalam Al-Quran:
"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhanmu, dan syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa."  Surah Ali Imran, Ayat 133.

Inilah juga yang ditunjukkan dalam sirah perjalanan kehidupan para Nabi dan Rasul, yang sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Keampunan adalah perkara yang paling mahal di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Tiada yang dapat mengampunkan kesalahan hamba melainkan Allah.

Bukan hanya Allah Maha Mengampun segala dosa, malah Allah Maha Mengampun walau siapa pun yang berdosa, dan sebesar apa pun dosa yang dilakukan. 

2. Rahmat dan Kasih Sayang Allah. Kita hidup pada saat ini adalah disebabkan oleh rahmat dan kasih sayang Allah. Bahkan, hadirnya kita menjadi tetamu Allah juga adalah kerana kasih dan sayang Allah. Sebab itu, kita sangat berhajat kepada rahmatNya. 

Orang yang ikhlas sentiasa mengharap rahmat kasih sayang Allah, jelas Allah di dalam Al-Quran:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuag pada jalan Allah (untuk menegakkan Agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." Surah Al-Baqarah ayat 218.

3. Keredhaan Allah. Hidup ini hakikatnya adalah ujian, untuk menguji siapa yang benar-benar beriman dan yang sebaliknya. Memohon keredhaan Allah juga bererti kita mohon agar Allah Ta'ala redha dengan kehidupan dan kematian kita. Kita tidak tahu, sepanjang kita hidup ini, ada tak perkara yang Allah murka? Malah ketika kita beribadah pun, kita mungkin tidak sedar ibadah yang kita lakukan itu mengundang murka atau mengundang rahmat daripada Allah SWT.

Sebab itu, dalam perjalanan Umrah, kita mesti meletakkan keredhaan Allah yang paling utama. Manusia yang ikhlas, mengharapkan keredhaan Allah, tentu sekali akan meletakkan kepentingan Allah yang paling utama. Dia sanggup mengenepikan kepentingan diri, mengorbankan bukan hanya harta, masa dan tenaga, malah perasaannya juga turut dikorbankan kerana Allah.

Lihat bagaimana manusia sanggup bersesak-sesak berjalan berhimpit di bawah terik matahari, apa sebenarnya yang mendorong mereka sanggup bersusah payah begitu? Kadang kala ditolak, kadang kala terpijak, berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Jika bukan kerana keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah, tentu ramai yang akan berputus asa. Sebaliknya, jumlah yang ramai itu, bukan hanya tidak mengentarkan malah membakar semangatnya untuk meneruskan langkah. 

Subhanallah, dalam keributan dan kesesakan inilah Allah akan turunkan ketenangan jiwa, tanda redha dan kasih sayangNya.


4. Kejayaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Kita tidak boleh terlepas daripada meminta perlindungan dan keselamatan dalam segala urusan di dunia dan di akhirat. Bahkan ini lah sebenarnya yang menggambarkan diri kita sebagai seorang hamba, sentiasa memerlukan pertolongan dan perlindunga daripada Allah. 

Dalam keadaan penuh sedar bahawa kita tidak mampu melakukan apa urusan sekalipun jika tidak adanya bantuan dan izin daripada Allah SWT. Ini jugalah yang sering kita sebut di dalam Al-Fatihah yang wajib kita baca setiap hari, 

"hanya kepada Mu kami mengabdikan diri, dan hanya kepada Mu kami minta pertolongan," Surah Al-Fatihah, ayat 5.

Menggambarkan keseluruhan perjalanan kita menjadi tetamu Allah adalah berkisar kepada berpaut pada dahan pertolongan Allah, dan berteduh di bawah limbangan teduhan kasih dan sayang Allah. Mengharap dengan sebenar-benar pengharapan, merendah diri, menghadap dan memohon keampunan, rahmat, keredhaan dan perlindunganNya di dunia dan di akhirat.

Antara amalan yang boleh kita laksanakan untuk memohon agar niat kita ini sentiasa dipimpin oleh Allah SWT ialah dengan mendirikan solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berselawat.
Lautan Manusia membanjir rumah Allah dari pelbagai latar belakang, warna, rupa dan bangsa.

Lantai Tawaf yang tidak pernah sunyi dari himpitan manusia yang mengelilinginya setiap waktu sepanjang tahun.

7 Persiapan Menjadi Tetamu Allah - Pendahuluan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Saya memulakan dengan pujian yang sebanyak-banyaknya dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala ketentuan dan segala nikmat. Selawat dan salam buat junjungan kekasih Allah, Nabi Muhammad, ahli keluarga Baginda, para Sahabat, juga seluruh yang mengikuti jejak langkahnya sehingga ke hari Kiamat.


Umrah bererti mengunjungi Kaabah untuk melaksanakan Ibadah tawaf, Saie, bercukur dengan syarat-syarat yang tertentu. Perjalanan melaksanakan ibadah Umrah, turut disebut sebagai perjalanan menjadi tetamu Allah. Ini kerana panggilan untuk melaksanakan Umrah ini adalah satu kewajipan dan jemputan untuk hadir ke Baitullah ini, adalah jemputan yang teristimewa dari pemilik rumah yang agung ini, Allah 'Azza Wa Jalla.


Kaabah yang terletak di Masjid Haram, disebut juga dengan pelbagai nama antaranya Baitullah, ertinya rumah Allah. Juga disebut dengan nama Baitul 'Atiq, ertinya rumah pembebasan yang membebaskan manusia dari Azab Neraka menuju ke syurgaNya, dan membebaskan manusia dari belenggu jahiliah, kepada cahaya keimanan dan perhambaan diri sebenar kepada Allah SWT.


Kerana itu, perjalanan ini adalah perjalanan yang cukup istimewa. Maka persediaan untuk menghadapinya juga perlulah persediaan yang istimewa.


Bayangkan sahaja, jika ketika bercinta, undangan diterima dari kekasih untuk bertandang. Tentu sahaja, pakaian yang dipilih pakaian yang istimewa, membersih dan berwangi, bersiap awal dan mungkin sahaja berlatih untuk mengucapkan kata-kata terbaik sebaik sahaja berjumpa.


Apalagi, jemputan ini adalah jemputan pemilik dan pengurnia segala Cinta. Maha Kasih dari pada sekalian kekasih. Pemilik kepada sekalian makhluk di langit dan di bumi, Maha Penguasa dan Maha Pengurnia.


Maka persiapan yang menyeluruh dan bersungguh-sungguh perlu dibuat, supaya perjalanan menjadi tetamu Allah ini menjadi perjalanan yang paling indah dan bermakna dalam kehidupan kita. Mudah-mudahan setiap langkah, setiap harga yang dibayar, setiap penat dan lelah, diberikan kebaikan dan dicatat sebagai kebajikan berpanjangan.


7 persiapan menjadi tetamu Allah ini, adalah rangkuman daripada pelbagai bentuk persiapan yang penting untuk perjalanan menunaikan umrah ini, hasil daripada pemerhatian, pengalaman yang sedikit, dan kesempatan yang Allah berikan selama 13 Tahun berkhidmat kepada para tetamu Allah melalui Darul Mubarak Travel & Tours Sdn Bhd. Semoga ianya bermanfaat untuk diri saya dan anda semua.
Gambar ketika membimbing jemaah Haji, Julai 2022/1443H

Terobek... Umrah 6 Jan 2022


Umrah Bersama Sakinah Ropien. Membawa Jemaah Darul Mubarak HQ, 6 Januari 2022 seramai 36 orang...
Antara pengalaman menarik yang mungkin tidak akan berulang:
1. Solat dalam keadaan penjarakan saf.
2. Tawaf di lantai utama, dipecahkan kepada 2 kelompok, pejalan kaki dan berkerusi roda. Orang berkerusi roda paling beruntung kerana pusingan paling dekat dengan kaabah.
3. Suasana agak lengang.
4. Pergerakan keluar masuk Masjid sangat terkawal, satu jalan masuk dan satu jalan keluar.
5. Keluar masuk masjid menggunakan aplikasi eatmarna dan di Madinah menggunakan aplikasi Tawakkalna.
6. Waktu ziarah, banyak sangat tempat yang masih tutup kerana kekurangan pengunjung. Di setiap lokasi ziarah, tidak sampai 10 bas yang ada.
7. Pulang ke Malaysia di bawa kuarantin di hotel, makan Nasi Kandar Pelita TIAP-TIAP WAKTU SETIAP HARI.
Jadi benarlah, Allah bagi lebih daripada apa yang kita minta.. Tak sepatutnya ada masa untuk merungut, apalagi mengeluh, kerana nikmatNya sentiasa lebih dan sentiasa ada.









Mohon juga teman2 doakan saya diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah menunaikan haji pada tahun ini..

Antara Yang Menarik