Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, November 25, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERBAHAN - Bahagian 7 - Memiiliki Jiwa Pemimpin

Ibnu Taimiyyah menggariskan dua sifat utama yang perlu ada pada seseorang pemimpin , iaitu Al-Quwwah dan Al-Amanah. Al-Quwwah bukan hanya disandarkan kepada kekuatan fizikal malah kekuatan emosi dan mental perlu dimiliki oleh mereka yang bergelar pemimpin. Al-Amanah pula merujuk kepada sifat tanggungjawab dan profesionalisme seseorang itu dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

Terdahulu telah dinyatakan bahawa di dalam Islam, tiada istilah kuasa dalam soal kepimpinan dan pentadbiran di kalangan manusia. Sebaliknya manusia hanya diberikan amanah untuk menjadi wakil pentadbiran Allah Ta'ala di dunia. Pengertian khalifah juga tepat menceritakan mengenai soal ini.

Power is corrupt, Absolute power corrupt absolutely. Frasa yang juga tepat menggambarkan situasi sekiranya manusia menyangka mereka berkuasa.

Nabi Muhammad menjelaskan bahawa setiap manusia adalah pemimpin, di mana sekecil-kecil pimpinan ialah memimpin diri sendiri. Manusia akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab dan amanah kepimpinan itu di hari akhirat kelak. Justeru, jawatan sama sekali bukanlah suatu nikmat atau ghanimah yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

Pemimpin selain diukur dari segi wawasan perjuangannya, perlu dinilai dari segi kemahiran membuat keputusan dan pertimbangan. Pemimpin perlu mempunyai kebijaksanaan dan keadilan kerana mereka akan sentiasa berdepan dengan masalah dan pilihan yang perlu dibuat sama ada melibatkan diri sendiri apalagi yang melibatkan rakyat di bawah kepimpinannya.

Sebab itu, taqwa perlu ada pada diri pemimpin. Manusia yang bertaqwa sentiasa berhati-hati ketika membuat tindakan dan pilihan. Manusia yang bertaqwa juga sentiasa memikirkan yang terbaik dan berpandangan jauh dalam melakukan sesuatu perkara.

Apabila bercakap mengenai hala tuju kepimpinan, seseorang pemimpin itu perlu memiliki jiwa yang besar walaupun dalam masa yang sama perlu mengukur baju di badan sendiri. Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang mampu berfikir demi kemajuan dan pembangunan rakyatnya untuk masa depan yang lebih panjang dan mencabar. Berfikir untuk kepentingan semua dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk dieksploitasi sebaiknya. Di sinilah kemampuan kritis dan kreatif seorang pemimpin akan teruji.

Walaupun sekadar memimpin sebuah institusi yang kecil seperti UKM, pemimpin Mahasiswa perlu memikirkan nasib rakan-rakannya untuk tahun-tahun mendatang serta bijak dalam membuat sebarang keputusan dan merancang sebarang tindakan.

No comments:

Antara Yang Menarik