Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, January 29, 2010

PRK 2010, Kemenangan Mahasiswa ditangguhkan lagi...

AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah Ta’ala yang memiliki segala yang berada di langit dan di bumi. Tiada satu perkara pun yang akan terlepas daripada pandanganNya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih menyambung nyawa untuk berada di pentas dunia yang penuh dengan mehnah dan tribulasi.

25 Januari 2010 merupakan tarikh penamaan bagi proses pilihanraya kampus di UKM. Setiap tahun, seluruh warga UKM akan meraikan “perayaan” peralihan kepimpinan tertinggi Mahasiswa. Seluruh jentera pentadbiran UKM daripada pembantu am di pejabat sehinggalah kepada pegawai-pegawai keselamatan akan dikerah untuk terlibat dalam proses demokrasi kepimpinan di peringkat Mahasiswa.

Tiga hari diperuntukkan kepada semua pihak yang bertanding untuk berkempen dan memasarkan diri masing-masing dalam usaha meraih undi daripada Mahasiswa-mahasiswa UKM. Sekiranya proses demokrasi ini berlaku secara adil, maka keputusan yang diumumkan pada 28 Januari(semalam) akan menjadi penentu terhadap selera sebenar Mahasiswa UKM. Mahasiswa keseluruhannya akan menjadi pengadil dalam menentukan calon mana yang lebih layak bergelar pemimpin di kalangan mereka.

Dalam suasana demokrasi yang tulen, Mahasiswa perlu mempunyai hak untuk diwakili dan mewakili. Kita perlu mengakui bahawa perlu ada ketua di kalangan Mahasiswa yang mampu memimpin dan mewakili Mahasiswa keseluruhannya. Tidak cukup sekadar itu, pemimpin ini perlulah menjadi suara sebenar Mahasiswa yang mampu mewakili hak dan kepentingan Mahasiswa secara berkesan.

Sekiranya kita beranggapan bahawa Mahasiswa yang ada pada masa kini sebagai bakal pemimpin Negara pada masa akan datang, maka kita seharusnya mengambil berat proses yang dialami oleh Mahasiswa dalam tempoh kematangan mereka. Malangnya, semasa di kampus Mahasiswa disajikan dengan suasana yang penuh dengan penipuan dan penindasan. Kesempitan ruang dan peluang yang tersedia menyekat potensi dan penjanaan minda di kalangan Mahasiswa. Proses yang dialami Mahasiswa kini, akhirnya hanya akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan masyarakat pada masa akan datang.

Power is corrupt, Absolute power corrupt absolutely. (kuasa membawa kepada kemusnahan, kuasa yang mutlak akan membawa kemusnahan yang mutlak) Justeru, Mahasiswa sendiri perlu bangkit mengubah keadaan mereka sendiri. Tiada siapa yang akan dapat membela nasib Mahasiswa sekiranya Mahasiswa sendiri berpeluk tubuh.

Sekiranya perubahan tidak dilakukan sekarang, sudah semestinya kebobrokan yang ada akan terus menyempitkan dan menindas potensi dan keunggulan Mahasiswa.

No comments:

Antara Yang Menarik