Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, December 25, 2010

2011: Tahun Perubahan

Sudah tentu sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, saya sangat gembira dan optimis dengan tawaran perubahan yang ingin dibawakan oleh Pakatan Rakyat. InsyaAllah, hampir pasti tahun 2011 ini akan menjadi tahun perubahan buat diri saya juga buat Negara Malaysia yang saya kasihi ini. Selain takdir dan kuasa Allah, hanya ada satu cara sahaja yang mampu menghalang ianya daripada direalisasikan, iaitu menangguhkan pembubaran parlimen ke tahun 2012 atau tahun-tahun berikutnya.



Program 100 hari memerintah menawarkan 10 agenda utama, antara yang termasuk dalam agenda Buku Jingga yang bakal menemui anda di pasaran adalah seperti berikut:

  1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Ada beberapan kata kunci utama yang perlu diperhatikan secara terperinci, bahawa tawaran Program 100 hari memerintah dan isi kandungan Buku Jingga lainnya adalah tawaran Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan yang komprehensif terhadap kepimpinan dan urus tadbir negara.

Urustadbir yang baik ialah proses membuat dan melaksnakan sesuatu keputusan bagi sesebuah organisasi secara berkesan. (pernah saya jelaskan di sini) Kerajaan UMNO-BN di bawah kepimpinan Najib dan/atau isterinya, masih gagal mengurustadbir negara ini dengan baik, kerana segala keputusan yang dibuat, bukan sahaja tidak telus, tidak responsif kepada kehendak rakyat, tidak mengutamakan pandangan ramai, tiada kesepakatan dalam proses membuat keputusan, malah proses perlaksanaannya juga sangat pincang dan perlu diberikan sedikit tunjuk ajar.

Perlaksanaan yang berkesan melibatkan proses pendidikan, penerangan dan penyebaran maklumat, serta penguatkuasaan undang-undang. Melancarkan sesuatu agenda sahaja belum cukup selagi proses pendidikan kepada rakyat terhadap agenda tersebut tidak dilakukan terlebih dahulu. Mendidik rakyat mestilah melalui proses penerangan dan penyampaian maklumat secara bersungguh-sungguh dan mempunyai keterangan yang terperinci supaya maklumat tersebut disampaikan dengan baik. Bagi mengukuhkan perlaksanaan agenda tersebut, maka badan-badan tertentu yang telah dilantik dan yang berkaitan perlu menguatkuasakan agenda tersebut bagi memastikan proses melaksanakan keputusan tersebut dilakukan dengan baik dan menyeluruh dari segi capaian dan liputannya.

Agenda yang bersifat populis tidak akan dapat bertahan lama. Ibarat pisang goreng yang hanya sedap ketika panas, begitu juga agenda-agenda yang kaya dengan slogan tapi kosong dari tindakan dan perlaksanaan. Lebih malang lagi, apabila kos yang tinggi lebih banyak dihabiskan untuk "memanaskan" agenda daripada memastikan agenda tersebut dicapai dan diterima pakai oleh rakyat.

Rakyat yang celik sudah lama sangsi dan tidak lagi menaruh percaya kepada agenda 1 Malaysia, yang rata-rata menjadikannya bahan jenaka menghiburkan hati. Untuk dimakan, tidak sekali. Rakyat yang celik akan melihat sendiri sejauh mana slogan yang dilaungkan itu benar-benar diterjemahkan dalam tindak-tanduk pentadbiran UMNO-BN.

Walaupun ianya memberikan kesan terhadap rakyat yang kurang celik, tapi dengan perkembangan teknologi yang sedang pesat membangun pada ketika ini, terlalu banyak ruang dan peluang untuk rakyat mengetahui cerita sebenar di sebalik "drama" yang dilakonkan oleh Kerajaan UMNO-BN selama ini.

Mungkin ketika Malaysia mula-mula Merdeka dahulu, rakyat belum lagi terdedah dengan maklumat sepertimana sekarang, justeru Parti Perikatan dengan mudah menanam kefahaman palsu ke dalam minda rakyat bahawa kemerdekaan yang dikecapi itu baik dan hasil titik peluh mereka. Sekarang, keadaan sudah berbeza, anak-anak kecil sendiri pun sudah muak dan hampir nak termuntah bila melihat gelagat UMNO-BN mempertahankan "najis" kemerdekaan yang mereka bangga-banggakan. Bukan sahaja lebih sudu dari kuah, bahkan lebih penyodok dari najis.

Mari kita lihat beberapa aspek yang menarik untuk dipanjangkan perbahasannya mengenai urus tadbir yang baik. Melihat kepada takrifan urustadbir yang baik, iaitu proses bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan juga proses bagaimana sesuatu keputusan itu dilaksanakan, maka urustadbir yang baik itu perlu melengkapi ciri-ciri yang utama seperti, kedaulatan undang-undang, ketelusan, responsif terhadap permintaan rakyat, kebertanggungjawaban, kesamaan dan keterlibatan, berteraskan kesepakatan dan muafakat antara pembuat dan pelaksana keputusan, dan juga keberkesanan dan kelancaran proses membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan itu sendiri.

Kedaulatan undang-undang misalnya, merujuk kepada ketinggian undang-undang dan perlembagaan itu sendiri. Bermakna, tiada yang terlepas daripada melalui proses undang-undang dan hanya yang bersalah  akan dikenakan hukuman. Setiap rakyat mahupun pemimpin perlu melalui proses undang-undang untuk dibuktikan bersalah ataupun sebaliknya. Walau sebesar mana sekalipun ancaman yang dia bawa, sebagai seorang manusia, dia punya hak untuk dibicarakan dan melalui proses keadilan yang sewajarnya. Pemansuhan ISA sangat menepati ciri-ciri ini. Kerajaan yang mengamalkan akta zalim ISA ini sebenarnya adalah jauh lebih kejam daripada mana-mana pesalah yang kejam yang pernah ditahan oleh ISA ini. Sekalipun komunis itu, kononnya dikatakan menghuru-harakan negara, menahan mereka tanpa bicara adalah kekejaman dan kezaliman yang jauh lebih dahsyat, insyaAllah tiada tempat yang lebih layak untuk orang-orang yang menghukum tanpa usul periksa ini melainkan neraka, nauzubuLlahi min zalik.

Ketelusan merujuk kepada prinsip-prinsip demokrasi dan keterlibatan rakyat dalam menilai dan mengambil bahagian dalam proses membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan. Rakyat berhak untuk tahu keseluruhan perbincangan yang diadakan di Dewan Rakyat. Sekadar satu atau dua jam liputan, yang juga tidak menyeluruh menyebabkan rakyat tidak terdidik dengan baik. Hasilnya, penilaian yang dibuat oleh rakyat adalah dangkal dan akhirnya menyebabkan mereka membuat keputusan yang salah, terutama dalam memilih pemimpin.

Perbahasan Dewan Rakyat bukanlah milik Speaker Dewan Rakyat, mahupun UMNO-BN atau mana-mana media yang menyimpang peranan dan tanggungjawabnya, sebaliknya perbahasan itu adalah milik rakyat. Sekurang-kurangnya rakyat tahu apa yang sedang berlaku di dalam negara pada ketika ini. Malah terdedah kepada maklumat yang tulen dan benar(genuine information). Ia bukan sahaja menjadikan rakyat lebih matang dan berpendidikan, malah kos untuk penerangan dan penguatkuasaan agenda juga akan berkurangan.

Contohilah Kerajaan Islam Kelantan, dan negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang membuka sidang Dewan Undangan Negeri untuk tatapan rakyat. Lagipun, setiap perbincangan dan keputusan itu akhirnya akan dipulangkan kepada rakyat.

Kerajaan UMNO-BN bukan sahaja tidak responsif terhadap kehendak dan permintaan rakyat, malah dilihat mengamalkan prinsip kronisme yang sangat tidak sihat. Dasar ekonomi kapitalis yang diamalkan kerajaan memberikan keselesaan dan keuntungan kepada syarikat-syarikat tertentu, dalam masa yang sama kehendak dan kebajikan rakyat diabaikan. Kenaikan harga minyak, penstrukturan semula subsidi minyak, kenaikan harga barang, penguatkuasaan bayaran tol setelah sekian lama, dilihat sebagai contoh kecil kegagalan Kerajaan dalam mengambil berat perhatian dan kehendak rakyat.

Saya, seperti rakyat yang celik lainnya, mengakui kelembapan dan krisis ekonomi yang melanda Negara pada ketika ini membuatkan Kerajaan menghadapi jalan buntu dalam menyelesaikan masalah berkaitan tahap ekonomi negara. Berikutan belanjawan Negara mencatatkan defisit perbelanjaan tahunan berturut-turut untuk tahun yang ke-13. Namun, kebijaksanaan dan kemahiran urustadbir yang baik amatlah diperlukan bagi mengimbangi keperluan rakyat serta kondisi semasa ekonomi negara. Penjelasan yang diberikan oleh Kerajaan sehingga ke saat ini, masih belum mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap wibawa kerajaan UMNO-BN dalam menguruskan soal kewangan negara.

Sekali lagi, contohilah Kerajaan Islam Kelantan dalam cara mereka mengawal ekonomi negeri mereka. Walaupun dilihat kecil dan sederhana, tetapi kekayaan negeri diagih sebaiknya berbanding Sabah, Serawak dan Terengganu, sekalipun hasil buminya banyak, namun rakyat masih miskin. Sudahlah miskin harta, terlindung pula dari mendapat cahaya kebenaran dan seringkali tertinggal dalam proses perubahan dan kemajuan. Mungkin ramai yang berkata Kelantan dan negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dianaktirikan, tetapi bila melihatkan kepada Terengganu, Sabah dan Serawak, saya rasa negeri-negeri ini sudah menjadi Yatim Piatu kerana ibu dan bapanya yang sudah hilang kewarasan dan gagal membuat pertimbangan akal yang sihat. 

Belum lagi kita bincangkan mengenai konsep federalisme dan semangat Raja Berpelembagaan. Semuanya hanya akan membuktikan, di Malaysia ini tiada yang lebih bersalah daripada UMNO-BN dan punca segala jenis kesalahan juga hanyalah UMNO-BN. Untuk UMNO-BN, semuanya salah dan tiada yang tidak salah melainkan yang salah-salah belaka.

AlhamduliLlah, Harapan untuk perubahan dihidupkan dengan pembohongan yang perlu dipercayai  dalam BUKU JINGGA keluaran PAKATAN RAKYAT tidak lama lagi. Rakyat perlu terus menghidupkan harapan ini dengan membuka seluas-luasnya ruang dan peluang untuk harapan ini subur dalam hati setiap rakyat. Agar Negara Malaysia yang kita cintai ini kembali disinari cahaya kebenaran, kebajikan dan keadilan.

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA!!!

2 comments:

Ahmad Tajuddin said...

nape kat buku oren tu dia tulis pembohongan?

Farid Albariti said...

supaya nampak lebih menarik.. :-)

Antara Yang Menarik